Wednesday, February 29, 2012

Nasihat Seorang Isteri


Antara 4 nikmat dunia yang disebut oleh baginda s.a.w. adalah isteri yang solehah, jiran yang baik, rumah yang luas dan kenderaan yang baik. Alhamdulillah saya mendapat tiga daripadanya. Satu bersifat kekal dan dua bersifat sementara.

Hari demi hari melalui fasal kehidupan, cabaran sentiasa bertambah, namun seperti yang dijanjikan Allah, itu semua masih di bawah kemampuan kita. Kadang kala bukan pencapaian duniawi yang dinilai namun sikap kita dalam berhadapan dengannya.

Saya melalui satu persatu fasal hidup, sebagai anak yang tinggal dibawah tanggungan hidup ibu bapanya, kemudian ke alam universiti yang jauh beribu-ribu batu dari tanah air, perkahwinan dengan orang tersayang dan di’rezeki’kan Allah anak yang comel. Itu semua adalah ujian dan dalam masa yang sama adalah nikmat hidup..

Terpulang pada keadaan kita dalam menerimanya..

Diusia 25 tahun ini saya dikurniakan sesuatu yang bukan semua mereka yang pada usia ini menikmatinya.
Alhamdulillah. Nikmat yang tersirat padanya tanggungjawab.

Isteriku GURUku..
Antara perkara yang paling beharga buat saya adalah kehadiran isteri dalam hidup ini. Mengenali beliau selama 4 tahun sebelum mengikat ikatan yang halal dalam hubungan ini, kini beliau adalah teman, rakan belajar, penyeri hidup dan juga GURU saya.

Dulu, saya terkenal dengan sikap terburu-buru dan sering memandang negetif pada sesuatu perkara. Mereka yang pernah bersama saya terutamanya dalam mengendalikan persatuan pelajar mungkin ‘serik’ dengan perangai saya.

Namun setelah berkahwin, perkara yang sering dinasihati oleh isteri saya adalah sentiasa bersikap positif ke atas apa yang berlaku. Kekurangan wang, masalah belajar, masa depan, berselesih faham dengan rakan, apabila saya menceritakan sesuatu kepadanya, sukar untuk berakhir dengan hati semakin celaru.  

Bersikap positif boleh menyelamatkan kita daripada tekanan, sakit hati, salah faham, marah, pandang rendah dan 1001 sifat-sifat negetif lain yang begitu mudah dinyalakan.

Setelah lama melaluinya, saya merasai betapa bersikap positif turut melahirkan sifat lain seperti tawadu’, hormat menghormati antara satu sama lain, dan yang paling penting menghargai kata-kata yang baik tanpa perlu mempertikaikan kedudukan orang yang mengungkapnya.

Ia ibarat penutup botol, jika anda membukanya maka barulah botol itu boleh diisi..

Suatu yang dahulu saya tahu, namun tidak tahu macam mana mengaplikasinya..

Kerana ia melibatkan emosi, bukan sekadar akal..

Kisah Nabi s.a.w dengan Ummu Salamah.
Tatkala perjanjian Hudaibiyyah termeterai antara baginda s.a.w dan wakil Musyrikin Mekah, ramai sahabat keliru. Di saat mereka sudah bersedia untuk menggempur kota Mekah, namun terpadam semangat itu hanya dengan tawaran ‘berat sebelah’ daripada Qurasy.

Mereka keliru mengapa baginda s.a.w bersetuju. Terpaksa melupakan hasrat menunaikan umrah pada tahun tersebut. Bahkan diarahkan oleh baginda s.a.w bercukur dan menyembelih binatang korban di Hudaibiyyah, suatu perkara yang ganjil.

Sahabat diam dan tidak memberi respon…

Baginda s.a.w mengadu kepada ummu Salamah, isteri beliau. Setelah mendengar, beliau mencadangkan agar baginda s.a.w. memulakan dahulu semua itu, pasti mereka yang lain akan mengikutinya..

Ia berjaya…

Lihatlah betapa pentingnya nasihat seorang isteri dalam kehidupan suami. Mereka digelar ‘kurang akal’ bukan kerana kebijaksanaan mereka yang terbatas namun kerana perasaan mereka mengatasi logik.

Emosi yang memainkan peranan penting sebagai nasihat pada keadaan-keadaan tertentu. Suatu yang mungkin tidak disokong oleh logik akal seorang lelaki..

Pilihlah isteri kerana agama..

Didiklah isteri dengan agama..

Kerana ia akan memanfaatkan kita di saat yang tidak disangka-sangka..

Terima kasih isteriku…

Saturday, February 25, 2012

Kerana Kita Adalah Penuntut Ilmu.


Alhamdulillah, semester ini adalah yang terakhir bagi subjek yang berbaki dalam pengajian MA saya. Hanya ada 3 lagi subjek yang perlu ditempohi. Saya dapat menghidu cabaran kali ini mungkin semakin sukar berbanding semester sebelum ini.  Setiap pensyarah kelihatan begitu tegas dengan masa dan tugasan.

Di tambah pula, setiap kali ke kelas saya terpaksa mendukung Mukhlis yang sudah masuk 3 bulan ( berat 6 kg ). Setiap kali kelas, kami meletakkan sementara di asrama perempuan. Terima kasih kepada khalah-khalah yang menjaga beliau, Ustazah Aminah, Ustazah Islamiyyah dan Ustazah Syahida. Tidak lupa Ustazah Maryam, Tia Farah, Aunty Sue ( Hamidah Harun ), Mok Ja dan ramai lagi mak angkat Mukhlis. Moga Allah membalas jasa kalian.

Menghantar Propsosal
Untuk semester ini juga, saya telah menghantar proposal cadangan bagi tajuk tesis MA. Alhamdulillah, Ketua Jabatan Fiqh, Dr Jabir sudah menyatakan persetujuan secara lisan berkenaan tajuk tersebut. Ketika di bilik beliau, saya perhatikan Dr Jabir cuba menaip tajuk proposal saya di ‘google’. Alhamdulillah tidak muncul.  

Itu perkara biasa apatah lagi, Dr Jabir kali pertama mengenali saya. Namun ia mengingatkan saya kelas Asalib Bahas, 2 tahun yang lalu di Universiti Mu’tah apabila assignment  untuk subjek tersebut enggan diterima oleh  pensyarah atas alasan ia di’copy’ daripada tajuk orang lain.

Penat lelah saya berulang alik ke Amman dari Mu’tah mencari kitab..

Namun saya menerimanya kerana ‘saya masih seorang penuntut ilmu’

Hari Al-Ghazali.
Alhamdulillah, program-program di bawah KALAM ( Karnival Akademik ) berjaya dilaksanakan dengan baik. Bahkan mendapat sambutan dan kesan yang positif daripada pelajar. Antaranya Hari Ghazali, hari yang dikhususkan kepada pelajar Syariah telah menerima kehadiran di luar jangkaan. Peserta memenuhi dewan bawah tanah Imarah Towilah itu. Kertas kerja lebih daripada 100 dicetak. Ditambah dengan cuaca yang sangat sejuk , tarikan salji di Ajlun, bertembung dengan kejohanan Futsal, namun kehadiran yang datang cukup membanggakan.

Saya diamanahkan untuk membentangkan slot bagaimana berinteraksi dengan perbezaan pendapat dikalangan ulama. Dalam masa satu jam, ia bukan tugas yang mudah untuk menceritakan isu ini yang wujud dalam akidah, fiqh, tafsir dan hadith.

Lebih daripada itu bagaimana ingin men’jinak’kan mereka yang keras dengan aliran dan pendapat tertentu
dan dalam masa yang sama bagaimana ingin ‘mengikat’ mereka yang sewenang-wenangnya memetik mana-mana pendapat ulama tanpa rasa bertanggungjawab atas dasar ‘ tidak diingkar apa yang diikhtilafkan”

Fahamilah khilaf dalam keadaan kita masih seorang penuntut ilmu.

Kelas tafaquh Halal dan Haram
Alhamdulillah, kelas kendalian saya, diskusi kitab Halal dan Haram dalam Islam karangan Prof Dr Yusof Al-Qardhawi sudah masuk semester yang ketiga. Sudah separuh tajuk yang telah dibincangkan bersama. Kitab yang pernah disyarahkan oleh Prof Dr Syuesh Mahamid beberapa tahun yang lalu di Mu’tah.

Kehadiran pelajar sentiasa bertambah. Baik syabab atau akhwat. Tidak pernah saya mengajar atau mengendalikan kelas dengan kehadiran seramai ini. Hinggalah khamis lepas, kehadiran masih juga ramai cuma agak lewat. Ustaz Khairul selaku Exco Pembangunan Insan dan Ideologi melahirkan kebimbangan beliau. Mungkin beliau risau saya terasa.

Namun, saya tidak pernah terkesan dengan kehadiran. Bagi saya semakin ramai yang hadir semakin bertambah beban saya. Penyampaian ilmu adalah satu amanah. Boleh jadi kalam kita memberi kesan kepada yang hadir. Boleh jadi ia disebarkan. Siapa yang boleh menjamin kata-kata kita bebas daripada kesilapan?

Moga saya dipelihara oleh Allah akan ketelanjuran dalam berkata-kata.

Sebab itu, saya sering mengunakan perkataan ‘ saya berkongsi’ atau ‘apa yang saya faham’ bagi setiap kelas saya. Kata-kata yang bertujuan menyedarkan diri saya dan rakan-rakan pendengar bahawa

‘ Saya masih penuntut ilmu’

Kelas Dr Mahmud
Untuk semester ini juga saya menghadiri kelas tafaqquh Dr Mahmud, pensyarah Universiti Jordan di masjid Usamah. Semua pelajar yang hadir adalah dikalangan tahun satu dan dua sahaja. Dengan mengajar kitab fiqh ibadat dalam Mazhab Syafie. Alhamdulillah, kelas selama 2 jam ini benar-benar memberi manfaat buat saya.
Teringat saya selepas kelas, ada rakan yang menyapa

“ Ustaz datang juga ke kelas ni?”

 Jika difikirkan status, berat untuk hadir. Sebagai pelajar MA, ditambah pula dengan sikap Dr Mahmud yang kadang kala sering menyoal pelajarnya. Bayangkan jika tidak dapat menjawab, pasti reputasi saya sebagai pelajar MA dan ‘ustaz’ yang mengendalikan kelas halal haram terjejas.

Namun, dari dulu hingga sekarang saya berusaha meletakkan diri saya sebagai status seorang pelajar. Tidak kira setinggi mana pun kedudukan kita, namun ia tetap rendah di bawah ilmu dan alim ulama.

Berusaha Untuk Berubah.
Saya sedar dikalangan mahasiswa yang agak jauh dengan program-program akademik ataupun kelas pengajian menaruh harapan untuk berubah dan menyertai usaha-usaha ilmu ini. Namun, mungkin faktor persekitaran rakan-rakan, status yang berbeza dengan orang lain yang mungkin sebagai beban untuk kita dilihat sebagai tidak sempurna ketika menuntut ilmu membantutkan niat murni untuk diterjemahkan sebagai satu perbuatan.

Saya faham situasi itu memerlukan mujahadah yang tinggi
.
Dalam masa yang sama berada dalam kejahilan adalah keadaan yang ‘maut’ buat seseorang penuntut syariah sebelum pulang ke tanah air.

Maka, carilah inisiatif untuk mengisi kekosongan dan memadamkan kejahilan. Jika tidak mampu menuntut ilmu secara berkelompok, berinteraksilah dengan orang yang alim secara individu. Manfaatkan mereka. Yang paling penting adalah pensyarah-pensyarah kita.

Berubah itu besar cabarannya. ia mesti dimulakan dengan langkah yang pertama..

Kita masih ada peluang dan sebab untuk berubah..

“ Kerana kita adalah seorang penuntut ilmu”

Ilmu dicari bukan datang sendiri.. 

Sunday, February 12, 2012

KALAM : Demi Satu Perubahan


Alhamdulillah, suasana pelajar Malaysia di bumi Mafraq ini semakin positif terutamanya dalam semangat memburu ilmu. Usaha ini perlu disedarkan sebagai faktor utama mengapa kita wujud di bumi anbiya’ ini.
Perubahan ini saya kira sangat drastik. Kehadiran ke program ilmu, kelas-kelas tafaquh semakin bertambah baik, begitu juga diskusi-diskusi ilmu banyak dihidupkan dikalangan mahasiswa.

Kemuncaknya, Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Al-Alibayt ( PRISMA ) telah menganjurkan Karnival Akademik atau singkatannya KALAM untuk semester ini. Program yang digerakkan oleh pengarah Ustaz Hasibullah bin Roslan bersama AJKnya akan berterusan selama sebulan dengan 5 matlamat dalam akademik iaitu

KEBERSAMAAN..

KESEDARAN,..

KEMAHIRAN..

KEMANTAPAN..

GIVE & RECEIVE AKADEMIK..

Apa yang penting, matlamat-matlamat ini sebenarnya ingin mewujudkan biah ilmiah dikalangan komuniti PRISMA di Mafraq. Dalam masa yang sama, saya juga dijemput sebagai penggerak bagi tujuan murni ini dan diminta secara peribadi oleh Ustaz Hasib untuk menuliskan sesuatu tentangnya.

Ada beberapa perkara yang ingin saya sebutkan di sini. Moga bermanfaat buat semua:-
1. Membina satu biah ilmu bukan hanya bergantung kepada program, namun ia adalah kesedaran semua ahli. Biah ini tidak akan terus wujud dengan sempurna, namun ia akan lahir, membesar dan akan berkekalan untuk kesinambungan generasi-generasi akan datang.

2. Membina satu biah ilmu tidak mampu bergantung kepada peranan individu yang cemerlang, ceramah yang disampaikan oleh tokoh-tokoh yang hebat namun ia mesti digerakkan oleh semua ahli dengan usaha yang pelbagai.

3. Pergerakan ke arah pubahan ini juga tidak akan mampu juga masing-masing masih ingin menonjolkan ‘title’ seperti pimpinan, dirast ulya, pelajar mumtaz, pelajar senior,dan  pelajar yang mempunyai latarbelakang pengajian tinggi sebelum ini. Semua itu perlu di’cemar’  demi menyatukan hati kita dalam kempen ini.

4. Ukuran kejayaan juga tidak sewajarnya 100 % dengan kehadiran ke program, namun sekurang-kurangnya semua berubah menggerakkan usaha ilmiah. Samada memberi ilmu, mengatur program, menghadirkan diri, menyokong atau sekurang-kurangnya memberi respon untuk perjalanan program ini.

Konvensyen Akademik.
Sepanjang KALAM ini, saya mencadangkan agar diadakah satu perhimpunan pelajar. Saya mengganggap ini adalah kemuncak KALAM dengan ‘ demonstrasi’ pelajar menyokong perubahan akademik. Datanglah 
membawa usul, membahaskannya atau sekurang-kurangnya menyokong suara ini dengan kehadiran anda

Biarlah suara yang mendesak itu datang daripada mahasiswa sendiri kepada mahasiswa..

Perubahan itu bermula daripada kesedaran yang diterjemahkan kepada sikap dan perbuatan..

Itulah sifirnya..


Thursday, February 2, 2012

Sifat 20 dan Tauhid Tiga : Menilai Yang Lebih Utama.


Beberapa hari lepas ramai pelajar tahun satu bertanya apakah perbezaan antara sifat 20 dan tauhid tiga? Manakah yang lebih ‘afdhal’ untuk dipelajari? 


Sukar untuk menjawab soalan itu secara spontan.

Cara yang terbaik untuk memahaminya mestilah dengan belajar melalui kelas samada di Universiti atau talaqqi, merujuk kitab, bertanya kepada kedua-dua guru aliran yang berbeza-beza dan yang terakhir serta yang paling penting menilai hanya apabila anda betul-betul faham dengan adil.

Ia memerlukan masa, usaha dan yang paling penting kesabaran anda sebelum berkata

“ Ini afdhal, itu tidak releven”

Teringat saya dengan seorang bekas garduan syariah mengkritik pengajian akidah di Jordan yang mengandungi fahaman-fahaman Asyaerah. Apabila saya bertanya mengapa, jawapannya..

“ Payah untuk difahami”

Bagaimana anda mengkritik perkara yang anda tidak faham? Adilkah?

Tulisan ini bukan bertujuan mengenyangkan anda dengan isu ini. Namun anggaplah ia adalah gambaran umum untuk memudahkan kefahaman anda.

Menyelusuri Sejarah.
Dalam memahami mazhab dalam islam, sejarah adalah sebahagian daripada jawapannya. Ini kerana setiap yang muncul pasti terkesan dengan suasana yang berbeza-beza. Mereka yang tidak membaca sejarah tidak layak untuk mengupasnya.

Generasi Zaman Salaf.
Zaman salaf merujuk kepada zaman baginda s.a.w., sahabat dan generasi awal tabien. Golongan ini dianggap sebagai golongan yang terbaik untuk diteladani oleh ummah.

Dalam akidah, Rasulullah s.a.w. menggunakan ‘akal’ dalam membicarakan tentangnya demi kebenaran islam itu sendiri. Baginda  s.a.w berdialog dengan ahli kitab, berdebat dengan musyrikin, dan menjawab persoalan-persoalan mereka. Namun cara ini hanya digunakan dalam dakwah.

Di zaman ini tidak wujud perbincangan atau perdebatan berkaitan dengan ciri-ciri iman ( perkara yang mengeluarkan iman seseorang ), qada’dan qadar secara terperinci dan sifat-sifat Allah. Mereka hanya menerima apa yang diwahyukan tanpa bertanya atau meminta penjelasan secara terperinci.

Ia berterusan di zaman Khalifah Ar-Rasyidin. Sikap inilah dikatakan sebagai manhaj salaf..


Selepas zaman Khilafah Ar-Rasyidin muncul dua mazhab paling besar dikalangan ummat islam iaitu Syiah dan Khawarij. Asas perjuangan mereka adalah politik, namun akhirnya membawa kepada akidah apabila kedua-duanya menggunakan istilah ‘kafir’ kepada mana-mana yang ingkar dengan mereka.

Generasi Selepas Salaf.
Zaman Khilafah Abbasiyah menyaksikan fatrah kemuncak perkembangan ilmu dalam sejarah islam. Berlakunya pertukaran budaya dan ilmu seperti sains, sastera, kemanusian hatta agama dengan tamadun-tamadun lain dengan kegiatan penterjemahan begitu rancak ketika itu. Antara yang diterjemah adalah ilmu kalam atau dikenali juga sebagai ilmu mantiq.

Ilmu kalam sebenarnya bermatlamat membetulkan cara memahami sesuatu dengan panduan akal yang tepat. Ia dikatakan berasal daripada tamadun Greek. Dengan ilmu ini, kata-kata dapat disusun dengan baik, akal dipertajamkan, hujjah diselarikan demi mengukuhkan pendirian dan sebenarnya adalah manhaj berhujjah serta berdebat.

Ilmu ini di’import’ ke dalam perbahasan akidah. Jika sebelum ini dalil akidah hanyalah naqal iaitu nas Al-Quran dan As-Sunnah secara zahir, Ilmu kalam menjadikan akidah juga mesti disokong oleh akal dan hujjah logik demi memantapkan iman.

Golongan muktazilah adalah yang paling awal mempeloporinya. Satu perkara yang perlu diketahui, Muktazilah ada jasanya yang tersendiri dalam akidah islam. Ulama-ulama mereka banyak menulis kitab menentang golongan-golongan yang sesat ketika itu seperti Jabariah dan Qadariah.

Cuma masalahnya, apabila mereka melampau dalam mengagungkan akal sehingga dijadikan penentu kebenaran. Sebagai contoh apabila ada nas ayat-ayat Al-Quran dan Hadith yang bertentangan dengan logik akal, mereka akan men’takwil’ nas tersebut ( mengubah makna ) agar selari dengan logik. Hasilnya banyak fahaman-fahaman bid’ah yang muncul dan kemuncaknya adalah Al-Quran itu makhluk.

Munculnya Asyaerah dan Maturidi.
Setelah sekian lama Muktazilah ber’takhta’ muncul seorang ulama terkenal Abu Hassan Al-Asyari yang mengasaskan aliran Asyaerah. Beliau menggunakan ilmu kalam untuk menyanggah kembali pendapat-pendapat Muktazilah. 


Mazhab Asyaerah ini lebih bersederhana antara golongan Salaf yang hanya memahami akidah secara zahir nas dan mazhab Muktazilah yang memahami akidah dengan akal secara melampau.

Bersama dengan Asyaerah adalah Mazhab Maturidi ( Diasaskan oleh Abu Mansur Al-Maturidi ) yang ‘lebih’ sedikit daripada mazhab Asyaerah dalam manhaj akal namun tidak melampau seperti Muktazilah. Kedua-dua mazhab ini dikenali sebagai Ahli Sunnah ketika itu.

Jasa paling besar mazhab ini adalah berjaya meruntuhkan Muktazilah hingga menjadikan mereka hanyalah sejarah untuk dipelajari. Kemenangan mereka ke atas muktazilah berpaksikan hujjah dan akal, satu senjata menjadi kebanggaan muktazilah suatu ketika dahulu.

Sifat 20
Mazhab Asyaerah menyusun 16 sifat wajib bagi Allah. Manakala Mazhab Maturidi menambah 4 lagi menjadikannya sebagai sifat 20 wajib bagi Allah. Pengajian akidah disusun sebegini:-

20 sifat wajib bagi Allah
20 sifat mustahil bagi Allah
1 sifat harus bagi Allah.
4 sifat wajib bagi Rasul
4 sifat mustahil bagi Rasul
1 sifat harus bagi Rasul

50 sifat ini perlu dipelajari oleh seluruh ummat islam, bukan hanya sifat 20. Selain itu, ilmu kalam dan mantiq juga dipelajari sebagai muqaddimah sebelum mendalami sifat 50 ini..

Munculnya Salafiyyah.
Setelah berkurun-kurun cara pengajian akidah terkesan dengan ilmu kalam, muncul tokoh pembaharuan terkenal, Ibnu Taimiyyah dengan seruan kembali kepada kefahaman golongan salaf dalam bab akidah terutamanya dalam bab sifat-sifat Tuhan. 

Tauhid dalam akidah difahami dengan tiga perkara iaitu:-

Tauhid Rububiyyah : Beriman bahawa Allah yang mencipta dan mentadbir alam ini.
Tauhid Uluhiyyah : Beriman bahawa Allah maha Esa, tiada Tuhan yang wajib disemba selain daripadanya.
Tauhid Asma' wa Sifat : Beriman bahawa sifat Allah maha suci daripada persamaan dengan sifat makhluknya.

Antara 2 ‘akidah’
Untuk menjadikan diri sebagai seorang mukmin cukup sekadar meyakini dan memahami kalimah syahadah serta beriman dengan 6 perkara seperti yang diajar oleh Jibril A.S kepada baginda s.a.w.

Sebenarnya kita pernah melalui pengajian KEDUA-DUA aliran ini sejak kelas KAFA hinggalah Pendidikan Syariah Islamiah ( SPM ) samada sedar ataupun tidak.

Cumanya, kita hanya meng’hafal’ ataupun mungkin kita tidak tahu ada pertembungan antara kedua-duanya yang masing-masing mendakwa cara mereka adalah betul.

Sepanjang apa yang saya belajar di UIA, belajar subjek akidah di Universiti Mu’tah, seterusnya secara bertallaqi, saya dapati setiap daripada kedua-duanya ada kelebihan masing-masing.

Tauhid tiga cukup jelas dan sesuai untuk dipelajari oleh orang awam dan mereka yang baru memeluk islam. 


Sifat ‘50’ pula ataupun aliran Asyaerah pula sangat PENTING untuk dipelajari dan difahami kepada mereka yang MENDALAMI PENGAJIAN SYARIAH.

Kepentingannya adalah untuk berhujjah dan menjawab keraguan yang ditimbulkan oleh Orientalis, golongan Ateis, Syiah, Muktazilah atau apa sahaja fahaman-fahaman lain yang bertentangan dengan akidah yang sebenar.

Akal menjawab akal..

Hujjah menjawab hujjah..

Saya belajar dan  saya coretkan dalam buku sulong saya kembara mencari tuhan bahagian dua.



Ingat, kita berbeza dengan orang awam biasa kerana tugas kita menjawab keraguan dalam agama…

Ingat, jangan terlalu cepat menilai atau menghukum jika kita sendiri tidak faham…

Ingat, mendalami agama tidak akan menghasilkan faham apabila kita sendiri meletakkan tanggapan yang negetif terhadap apa yang ingin dipelajari..