Sunday, November 18, 2012

Rehlah Menyelusuri Tamadun Rom di Jordan ( siri 1 )


Alhamdulillah, Rehlah Ilmi BPP kali ke 3 berjaya disempurnakan. Bersama sekitar 35 pelajar dan 3 tetamu daripada Malaysia, kami menziarahi kota Jerash dan Kota Raba’. Untuk jelajah kali ini, sebagai pengisi slot, saya cuba memberikan perkongsian yang penting tentang Rom dan hubungannya dengan islam, namun dalam keadaan santai agar tidak menjemukan peserta. Ia tidak mungkin memenuhi kehendak peserta, melainkan cukup sekadar membuka minat dalam mengkaji tentangnya dengan lebih jauh.

Rom adalah satu bangsa, tamadun dan empayar yang pernah mengukir nama di sejarah dunia. Ia muncul sejak 500 tahun sebelum masihi dan bertahan hingga 1425 masihi. Tempoh yang begitu lama hingga muncul pepatah
“ Rome wasn’t built in a day”

Pembinaan Rom tidak hanya berlaku dalam masa yang singkat. Ini menggambarkan tiada kejayaan, kemegahan, kekuatan wujud dengan tiba-tiba melainkan mesti dengan usaha yang berterusan, positif dalam menghadapi jatuh bangun dan mengikut sunnah alam.
Yang bangun ada sifirnya.. Yang jatuh juga ada sifirnya..
Rom muncul sebagai kelompok manusia yang kecil, mengambil alih tamadun greek, seterusnya membentuk empayar yang besar dengan memiliki jajahan yang luas melangkaui 3 benua, Eropah, Asia dan Afrika.

Kemunculan Rom Timur ( Byzantine )
Tatkala Rom di Itali melalui zaman kemerosotan, Rom berpisah menjadi 2 kerajaan iaitu Rom barat dan Rom timur yang muncul di satu kawasan yang menjadi titik geografi menyambungkan benua asia dan eropah. Kawasan itu dinamakan constantinople sempana nama pengasasnya.

Constantine merupakan maharaja yang memeluk agama kristian. Jika sebelum ini, rom sangat memusuhi golongan masehi, kini bertukar menjadi pusat penyebaran kristian.
Namun bukan mudah agama nasrani ini diterima oleh rom melainkan harga yang besar perlu dibayar. Agama yang diambil bukanlah yang asli namun mengikut dotrin oleh Paul yang mengubah identiti agama nasrani kepada kristian hari ini seperti konsep Trinity, konsep ketuhanan Jesus dan menghalalkan banyak perkara seperti arak, babi dan lain-lain.

Walaubagaimanapun mereka masih diiktiraf sebagai ahli kitab seperti kisah yang disebut dalam surah Rom.
Tatkala mereka kalah dengan Parsi di laut mati, ummat islam di Mekah begitu sedih kerana mereka merasakan begitu hampir dengan rom beragama samawi berbanding Parsi yang menyembah api.

Namun, Allah menurunkan ayat

غُلِبَتِ الرُّومُ . فِي أَدْنَى الأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ

Dikalahkan Rom di tanah yang paling rendah, dan mereka selepas kalah akan mengalahkan

Di saat itu, Rom Byzantine telah menanggung kerugian yang besar dan mustahil untuk bangkit.Rom menghadapi serangan dan tekanan daripada musuh yang ramai. Empayar Parsi di timur berjaya menawan Syam. Begitu juga kerajaan-kerajaan eropah yang lain seperti Avar, Slav, dan Vonhard. Mereka hampir menakluk Constantinople.

Apabila ayat yang meramalkan kemenangan mereka ini turun,ia dipersendakan oleh Kafir Qurasy berdasarkan realiti semasa. Namun lebih kurang 7 tahun,berlaku peperangan antara kedua-dua kuasa besar ini dan berakhir dengan kemenangan rom. Bahkan mereka berjaya mendapatkan kembali tanah jajahan yang dirampas oleh Parsi.

Begitu juga dengan itu ayat 'adna al-ard' memberi erti kawasan yang paling rendah di muka bumi. Ia diceritakan Al-Quran dan dibuktikan pada zaman kini bahawa kawasan pertempuran itu di sekitar laut mati memang merupakan kawasan paling rendah di muka bumi ini.

Ia satu mukjizat..

Rom, Islam dan Orientalis
Dalam jelajah ini, saya cuba menekankan satu perkara lagi iaitu  tuduhan Orientalis barat bahawa agama islam ini terkesan dengan tamadun rom. Menurut mereka, Rasulullah s.a.w sendiri pernah berulang alik dari Mekah ke Syam.

Memang ada jawapannya seperti yang dikarang oleh ulama, namun apa yang ingin difokuskan bahawa ia bukanlah tuduhan yang boleh dijawab dengan ‘main-main’ dan malas.
Tidak hairanlah, Di kuliyyah Syariah, kita memperlajari 2 subjek berkenaan dengannya iaitu thaqafah islamiyyah dan madkhal ila dirasat syariah. Di sana, ada bab yang memperincikan tentang isu ini yang memerlukan anda mentelaahnya dengan bersungguh-sungguh.

Rom dan Hadith akhir zaman.

تقوم الساعة والروم أكثر الناس
“Berlakunya Kiamat dan Rom merupakan manusia terbanyak” (Riwayat Muslim).

Amru Bin Al-Ash mengulas tentang hadith ini
لئن قلت ذلك إن فيهم لخصالا أربعا إنهم لأحلم الناس عند فتنة وأسرعهم إفاقة بعد مصيبة وأوشكهم كرة بعد فرة وخيرهم لمسكين ويتيم وضعيف وخامسة حسنة جميلة وأمنعهم من ظلم الملوك

Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”.

Kata Prof Madya Dr Asri
“ Merenung hadis dan ucapan ‘Amr bin al-‘As ini, dapat kita lihat kekuatan dalam kehidupan masyarakat Barat ini sekalipun banyak perkara yang kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka. Ciri-ciri kebaikan dan kekuatan yang disebutkan ‘Amr bin al-‘As dapat kita lihat dalam pengurusan mereka yang lebih baik dibandingkan masyarakat lain termasuk masyarakat muslim hari ini. Sikap mereka dalam mencegah kezaliman penguasa lebih baik dari masyarakat lain yang feudal. Royal Family mereka sekalipun berjasa dalam sejarah, namun hari ini tidak dibiarkan bertindak tanpa boleh dipertikaikan. Dengan itu masyarakat mereka hidup dengan penuh keyakinan terhadap hak dan suara mereka”

Ini jelas menunjukkan sunnatullah iaitu peraturan alam itu jelas. Jatuh bangun manusia adalah disebabkan tangan mereka sendiri. Mereka yang menentukan takdir. Bahkan dalam perkara yang berkaitan dengan ramalan hari kiamat!

Dalam berinteraksi memahami hadith akhir zaman, mestilah membandingkan antara dua tanda iaitu tanda yang negatif dan juga tanda yang positif.

Apabila disebut hadith yang menceritakan ulama dimatikan.. dalam masa yang sama ada hadith menegaskan akan sentiasa ada golongan yang mempertahankan kebenaran dalam agama.

Apabila diramalkan ummat islam lemah.. ada hadith yang memberi pengkhabaran bahawa islam akan menang..
Pokok pangkalnya.. Semua perkara ditentukan dengan usaha dan sikap ummat islam itu sendiri..

Rom dan pembukaannya.

إذ سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم أي المدينتين تفتح أولا قسطنطينية أو رومية؟ فقال النبي صلى الله عليه وسلم لا بل مدينة هرقل أولا ـ يعني القسطنطينية

Ketika ditanya Rasulullah s.a.w, bandar manakah yang akan dibuka dahulu, Constantinople atau roma? Jawab Nabi s.a.w.,bandar Hiracle dahulu iaitu Constantinople.

Seperti ramalan Rasulullah s.a.w sendiri bahawa dua kota rom iaitu roma di itali dan Constantinople di Turki bakal dibuka oleh ummat islam.

Constantinople sudah pun dibebaskan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh.

Ia bukan selepas ungkapan Nabi s.a.w namun 800 tahun selepas itu. Ia melibatkan hingga 9 ekspedisi besar bermula daripada sahabat hinggalah kepada Muhammad Al-Fateh.

Berkenaan dengan Roma di Itali, Ada dua pendapat dikalangan ulama. Ada yang menyebut janji itu belum tertunai dan pasti menjadi realiti suatu hari nanti..

Ada sebahagian pula berpendirian pembukaan roma bukanlah melalui cara ketenteraan seperti Constantinople bahkan dengan bentuk dakwah dan penyebaran islam. Kini, masjid dan pusat islam sudah wujud di Itali.

 

1 ulasan:

 

Bayu Timur Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger