Friday, July 13, 2012

Hukum Hakam Selepas 'Terlanjur' Zina ( Siri Akhir )



Akhirnya sampailah kepada kemuncak penbincangan isu ini iaitu nasab anak yang terhasil daripada zina.

Atau bahasa mudahnya kepada siapakah di’bin’kan anak tersebut?

Ia adalah kemuncak kerana penentu kepada kehidupan seseorang..

Samada menanggung derita daripada dosa ibu dan bapanya atau bahagia dalam seribu satu rahsia.

Ia merebak kepada wali..

Kepada pusaka…

Kepada nafkah..

Sehingga saat ini juga saya sering dihujani soalan tentang hal ini..

Ini menunjukkan ia benar-benar realiti dan banyak yang terjadi dikalangan masyarakat..

Sebelum saya meneruskan, elok dijelaskan bahawa dalam islam, anak itu secara automatic mendapat nasab ibunya samada diluar nikah atau setelah bernikah.

Namun, untuk mendapatkan nasab bapanya, ia tidak semestinya berdasarkan hubungan biologi samata-mata antara anak dan bapa. Ini bermakna anak yang lahir daripada benih seorang lelaki tidak semestinya terus digelar bapa.

Islam hanya melayakkan seseorang bapa itu mendapat gelaran tersebut apabila mempunyai hubungan yang sah dengan pasangannya. Dengan kata lain, dia adalah suami yang sah kepada si ibu kepada anak tersebut.

Maka, jika seseorang itu melakukan zina kemudian mengahwini pasangannya, seterusnya hamil.. Tidak semestinya lelaki tersebut hilang hak sebagai ayah 100%.. dan juga tidak semestinya juga berhak 100%.

Berikut adalah perinciannya..
1. Jika anak yang dilahirkan itu hasil daripada benih orang lain yang diyakini bukan daripadanya seperti perempuan tersebut telah pun hamil sebelum berkahwin, maka diharamkan di’bin’ atau dinasab padanya.

Ini berdasarkan pengharaman nasab anak angkat dalam islam pada surah Al-Ahzab, ayat ke 5 :

ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ فَإِنْ لَمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) Yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 
( Al-Ahzab : 5 )
Begitu juga hadith yang direkodkan dalam sahih Muslim.

مَنْ ادَّعَى أَبًا فِي الْإِسْلَامِ غَيْرَ أَبِيهِ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ

Sesiapa yang mendakwa bapa dalam islam selain daripada bapanya, sedangkan ia mengetahui bapanya ( yang sebenar ) maka, syurga haram ke atasnya

2. Jika anak yang dilahirkan itu lebih daripada 6 bulan daripada perkahwinan, hasil daripada benihnya, maka berhak dinasabkan kepada si bapa. Pendapat ini disepakati oleh ulama.

3. Jika anak yang dilahirkan itu kurang daripada 6 bulan daripada perkahwinan, hasil daripada benihnya, maka tidak boleh di'bin'kan kepada bapanya. Hanya ber’bin’kan ibunya sahaja. Ini adalah pendapat majoriti ulama.

Terdapat ulama-ulama tertentu yang mengharuskan si anak itu di’bin’kan kepada ayahnya walaupun lahir kurang daripada 6 bulan dengan syarat si ayah mesti mengakui itu adalah anaknya hasil daripada perkahwinan mereka. Ini adalah pendapat Ishak bin Rawaihah dan Imam Abu Hanifah.

Majlis fatwa kebangsaan telah memilih pendapat yang pertama bahawa dilarang menasabkan anak kepada bapanya jika lahir kurang daripada 6 bulan selepas perkahwinan. Mereka memberikan alternatif agar anak di’bin’kan kepada Abdullah.

Manakala Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin pada tahun 2008 pula memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibu bapanya kurang daripada enam bulan boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami.

Hakikatnya, demi masa depan anak dan bagi mengelak berlakunya fitnah yang lebih besar terhadap perkahwinan suami dan isteri, maka pendapat yang kedua boleh digunapakai.

Bagaimanapula dengan anak yang tidak diketahui ibu dan bapanya? Insyallah saya akan mencoretnya di masa hadapan

0 ulasan em “Hukum Hakam Selepas 'Terlanjur' Zina ( Siri Akhir )”

 

Bayu Timur Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger