Saturday, March 3, 2012

Langkah Pertama ke Arah Tafsir Sains Al-Quran


“ Ifwat, aku tengok hang ni asyik duk cakap bab feqah, fatwa, hadith je.. Aku tak pernah dengar hang cerite bab ‘ijaz Quran”

Teringat sembang-sembang bersama sahabat, teman baik, dan ‘kaunselor’ saya di Mu’tah suatu ketika dahulu, Ustaz Tarmizi. Kami antara generasi yang datang pada tahun 2006 dan pulang ke tanah air bersama pada 2010.

Kata-kata beliau bukanlah serius apatah lagi beliau merupakan seorang pelajar jurusan bahasa arab yang mungkin melihat ilmu syariah secara umum, namun ia tetap memberi kesan kepada saya.

Walaubagaimanapun saya tidak melenting mempertahankan bidang saya, iaitu fiqh lebih penting daripada ‘ijaz Al-Quran. Bagi saya, jika tidak mendalami ilmu lain, saya tidak akan mengulas tentangnya apatah lagi dengan negatif seperti ilmu tasawuf, ilmu qiraat, dan ilmu perubatan islam. Semua ilmu-ilmu dibawah payung syariah islamiah adalah saling melengkapi antara satu sama lain.

Jika kita dapati seorang sufi yang melampau-lampau dengan tarekatnya, seorang yang belajar hadith yang tegar membid’ahkan orang, dan seorang yang yang mendalami fiqh begitu ringan memetik pendapat ulama tanpa rasa tanggungjawab, sedarlah hakikatnya bukan salah ulama dan pengkhususan ilmu itu, namun penuntutnya yang belajar ‘kurang masak’ atau pun tersalah niat.

Saya sentiasa menyimpan hasrat untuk mengkaji tentang Al-Quran secara serius terutamanya dari sudut ‘ijaz ilmi padanya, namun bebanan terpaksa menumpukan kepada pengkhususan fiqh yang semakin hari semakin memerlukan pembacaan yang banyak membantutkan niat tersebut.

Apabila membaca sejarah islam terutamanya sejarah mazhab kita akan bertemu dengan kisah pemalsuan hadith-hadith baginda s.a.w. Dikalangan mereka yang mempelopori kegiatan ini ada yang berniat jahat samaada ingin membawa fitnah kepada islam, memenangkan mazhab mereka ataupun mengampu pemerintah.

Namun ada juga yang mempunyai niat ‘baik’. Antaranya kisah Nuh al-Jaami’ apabila ditanya tentang sebab beliau mengada-adakan hadith palsu berkenaan, lantas dijawab, “aku lihat orang ramai telah meninggalkan al-Quran, dan sebaliknya mereka sibuk mempelajari Fiqh Abu Hanifah serta Maghazi Ibn Ishaq. Kerana itulah aku mencipta hadith tentang kelebihan surah-surah di dalam al-Quran untuk mengembalikan manusia kepada al-Quran!”

Walaubagaimanapun ia tetap termasuk dalam ancaman rasulullah s.a.w akan kekal dalam neraka bagi mereka yang mengada-ngadakan kalam baginda s.a.w.

Pengalaman belajar agama.
Selama 5 tahun saya belajar agama di sekolah, namun masih tidak terdetik minat untuk terus  mendalami bidang ini. Jika ada pun, ia hanya semangat ‘sambal belacan’ apabila dimotivasikan oleh ustaz-ustaz belajar agama rezeki murah dan hidup berkat.

Semua itu berubah apabila saya tiba di UIA, satu tempat yang sering dinasihatkan oleh sebahagian orang agar dijauhi kerana membiaknya fahaman wahabi dan juga tempat yang kurang berpotensi untuk melahirkan graduan agama yang fasih berbahasa arab. Semua itu karut dan tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab.

Kelas pertama saya adalah subjek Religion ini Malaysia, yang merupakan subjek perbandingan agama. Hanya satu jam kelas pertama bersama Ustaz Maszlee Malik ( kini Dr ) berjaya mengubah semangat dan sikap saya terhadap agama. Dua persoalan yang dibincangkan pada kelas hari itu ‘apa bukti islam itu agama yang benar’ dan ‘apa bukti Al-Quran itu kalam Allah” benar-benar menyedarkan saya tentang sesuatu..

Ada beza antara mereka yang belajar agama kepada mereka yang belajar kerana agama.

Bezanya sangat besar dan anda boleh perhatikan sikap dan kesungguhan pelajar agama antara kedua-duanya golongan ini.

Saya tekad untuk belajar agama melalui perbandingan agama dan Sains Al-Quran, namun keadaan dan keperluan sering mengubah haluan kita. Sebagai pelajar yang baru berjinak dengan agama, saya juga terperangkap dengan isu khilafiyah, isu bid’ah, isu salafi wahabi yang memaksa saya perlu mencari jawapan di tempat yang lebih dekat dengan sumber islam iaitu tanah arab.

Saya cuba beralih kepada bidang hadith demi memahami isu-isu tadi dengan kefahaman yang sebenar. Kemudian saya beralih kepada bidang fiqh kerana keperluan memahami hukum hakam agama sangat mendesak namun dalam masa yang sama masih bertalaqqi hadith dengan Dr Mohammad Said Hawa. Setelah selesai mendalami fiqh diperingkat ijazah saya menyambung peringkat MA. Kini pengkhususan saya difokuskan lagi kepada usul fiqh dan maqasid syariah.

Hinggalah minggu lepas, saya diberi slot dalam program Sains Islam. Saya memilih untuk membentangkan tajuk Tafsir Sains, moga-moga ia adalah langkah pertama untuk saya berterusan dalam bertaamul dengan tafsir

Berikut adalah sebahagian slide saya.. mungkin boleh dimanfaatkan untuk semua















0 ulasan: