Beberapa hari lepas ramai pelajar tahun satu bertanya apakah
perbezaan antara sifat 20 dan tauhid tiga? Manakah yang lebih ‘afdhal’ untuk
dipelajari?
Sukar untuk menjawab soalan itu secara spontan.
Sukar untuk menjawab soalan itu secara spontan.
Cara yang terbaik untuk memahaminya mestilah dengan belajar melalui
kelas samada di Universiti atau talaqqi, merujuk kitab, bertanya kepada
kedua-dua guru aliran yang berbeza-beza dan yang terakhir serta yang paling
penting menilai hanya apabila anda betul-betul faham dengan adil.
Ia memerlukan masa, usaha dan yang paling penting kesabaran
anda sebelum berkata
“ Ini afdhal, itu tidak releven”
Teringat saya dengan seorang bekas garduan syariah mengkritik
pengajian akidah di Jordan yang mengandungi fahaman-fahaman Asyaerah. Apabila
saya bertanya mengapa, jawapannya..
“ Payah untuk difahami”
Bagaimana anda mengkritik perkara yang anda tidak faham?
Adilkah?
Tulisan ini bukan bertujuan mengenyangkan anda dengan isu ini. Namun anggaplah ia adalah gambaran umum untuk memudahkan kefahaman anda.
Menyelusuri Sejarah.
Dalam memahami mazhab dalam islam, sejarah adalah sebahagian
daripada jawapannya. Ini kerana setiap yang muncul pasti terkesan dengan
suasana yang berbeza-beza. Mereka yang tidak membaca sejarah tidak layak untuk mengupasnya.
Generasi Zaman Salaf.
Zaman salaf merujuk kepada zaman baginda s.a.w., sahabat dan
generasi awal tabien. Golongan ini dianggap sebagai golongan yang terbaik untuk
diteladani oleh ummah.
Dalam akidah, Rasulullah s.a.w. menggunakan ‘akal’
dalam membicarakan tentangnya demi kebenaran islam itu sendiri. Baginda s.a.w berdialog dengan ahli kitab, berdebat
dengan musyrikin, dan menjawab persoalan-persoalan mereka. Namun cara ini hanya digunakan dalam dakwah.
Di zaman ini tidak wujud perbincangan atau perdebatan
berkaitan dengan ciri-ciri iman ( perkara yang mengeluarkan iman seseorang ), qada’dan qadar secara terperinci dan
sifat-sifat Allah. Mereka hanya menerima
apa yang diwahyukan tanpa bertanya atau meminta penjelasan secara terperinci.
Ia berterusan di zaman Khalifah Ar-Rasyidin. Sikap inilah
dikatakan sebagai manhaj salaf..
Selepas zaman Khilafah Ar-Rasyidin muncul dua mazhab paling besar dikalangan ummat islam iaitu Syiah dan Khawarij. Asas perjuangan mereka adalah politik, namun akhirnya membawa kepada akidah apabila kedua-duanya menggunakan istilah ‘kafir’ kepada mana-mana yang ingkar dengan mereka.
Generasi Selepas Salaf.
Zaman Khilafah Abbasiyah menyaksikan fatrah kemuncak
perkembangan ilmu dalam sejarah islam. Berlakunya pertukaran budaya dan ilmu seperti sains, sastera, kemanusian hatta agama dengan tamadun-tamadun lain dengan kegiatan penterjemahan begitu rancak ketika itu. Antara yang diterjemah adalah
ilmu kalam atau dikenali juga sebagai ilmu mantiq.
Ilmu kalam sebenarnya bermatlamat membetulkan cara memahami sesuatu
dengan panduan akal yang tepat. Ia dikatakan berasal daripada tamadun Greek. Dengan
ilmu ini, kata-kata dapat disusun dengan baik, akal dipertajamkan, hujjah
diselarikan demi mengukuhkan pendirian dan sebenarnya adalah manhaj berhujjah
serta berdebat.
Ilmu ini di’import’ ke dalam perbahasan akidah. Jika sebelum
ini dalil akidah hanyalah naqal iaitu nas Al-Quran dan As-Sunnah secara zahir,
Ilmu kalam menjadikan akidah juga mesti disokong oleh akal dan hujjah logik demi
memantapkan iman.
Golongan muktazilah adalah yang paling awal mempeloporinya.
Satu perkara yang perlu diketahui, Muktazilah ada jasanya yang tersendiri dalam
akidah islam. Ulama-ulama mereka banyak menulis kitab menentang
golongan-golongan yang sesat ketika itu seperti Jabariah dan Qadariah.
Cuma masalahnya, apabila mereka melampau dalam mengagungkan
akal sehingga dijadikan penentu kebenaran. Sebagai contoh apabila ada nas
ayat-ayat Al-Quran dan Hadith yang bertentangan dengan logik akal, mereka akan
men’takwil’ nas tersebut ( mengubah makna ) agar selari dengan logik. Hasilnya
banyak fahaman-fahaman bid’ah yang muncul dan kemuncaknya adalah Al-Quran itu
makhluk.
Munculnya Asyaerah dan Maturidi.
Setelah sekian lama Muktazilah ber’takhta’ muncul seorang ulama
terkenal Abu Hassan Al-Asyari yang mengasaskan aliran Asyaerah. Beliau
menggunakan ilmu kalam untuk menyanggah kembali pendapat-pendapat Muktazilah.
Mazhab Asyaerah ini lebih bersederhana antara golongan Salaf yang hanya memahami akidah secara zahir nas dan mazhab Muktazilah yang memahami akidah dengan akal secara melampau.
Mazhab Asyaerah ini lebih bersederhana antara golongan Salaf yang hanya memahami akidah secara zahir nas dan mazhab Muktazilah yang memahami akidah dengan akal secara melampau.
Bersama dengan Asyaerah adalah Mazhab Maturidi ( Diasaskan
oleh Abu Mansur Al-Maturidi ) yang ‘lebih’ sedikit daripada mazhab Asyaerah
dalam manhaj akal namun tidak melampau seperti Muktazilah. Kedua-dua mazhab ini
dikenali sebagai Ahli Sunnah ketika itu.
Jasa paling besar mazhab ini adalah berjaya meruntuhkan Muktazilah hingga menjadikan mereka hanyalah sejarah untuk dipelajari.
Kemenangan mereka ke atas muktazilah berpaksikan hujjah dan akal, satu senjata
menjadi kebanggaan muktazilah suatu ketika dahulu.
Sifat 20
Mazhab Asyaerah menyusun 16 sifat wajib bagi Allah. Manakala
Mazhab Maturidi menambah 4 lagi menjadikannya sebagai sifat 20 wajib bagi
Allah. Pengajian akidah disusun sebegini:-
20 sifat wajib bagi Allah
20 sifat mustahil bagi Allah
1 sifat harus bagi Allah.
4 sifat wajib bagi Rasul
4 sifat mustahil bagi Rasul
1 sifat harus bagi Rasul
50 sifat ini perlu dipelajari oleh seluruh ummat islam, bukan
hanya sifat 20. Selain itu, ilmu kalam dan mantiq juga dipelajari sebagai muqaddimah sebelum mendalami sifat 50 ini..
Munculnya Salafiyyah.
Setelah berkurun-kurun cara pengajian akidah terkesan dengan
ilmu kalam, muncul tokoh pembaharuan terkenal, Ibnu Taimiyyah dengan seruan kembali
kepada kefahaman golongan salaf dalam bab akidah terutamanya dalam bab
sifat-sifat Tuhan.
Tauhid dalam akidah difahami dengan tiga perkara iaitu:-
Tauhid Rububiyyah : Beriman bahawa Allah yang mencipta dan mentadbir
alam ini.
Tauhid Uluhiyyah : Beriman bahawa Allah maha Esa, tiada Tuhan yang
wajib disemba selain daripadanya.
Tauhid Asma' wa Sifat : Beriman bahawa sifat Allah maha suci daripada persamaan dengan sifat
makhluknya.
Antara 2 ‘akidah’
Untuk menjadikan diri sebagai seorang mukmin cukup sekadar meyakini
dan memahami kalimah syahadah serta beriman dengan 6 perkara seperti yang
diajar oleh Jibril A.S kepada baginda s.a.w.
Sebenarnya kita pernah melalui pengajian KEDUA-DUA aliran ini
sejak kelas KAFA hinggalah Pendidikan Syariah Islamiah ( SPM ) samada sedar
ataupun tidak.
Cumanya, kita hanya meng’hafal’ ataupun mungkin kita tidak
tahu ada pertembungan antara kedua-duanya yang masing-masing mendakwa cara mereka adalah
betul.
Sepanjang apa yang saya belajar di UIA, belajar subjek akidah
di Universiti Mu’tah, seterusnya secara bertallaqi, saya dapati setiap daripada
kedua-duanya ada kelebihan masing-masing.
Tauhid tiga cukup jelas dan sesuai untuk dipelajari oleh
orang awam dan mereka yang baru memeluk islam.
Sifat ‘50’ pula ataupun aliran Asyaerah pula sangat PENTING untuk dipelajari dan difahami kepada mereka yang MENDALAMI PENGAJIAN SYARIAH.
Sifat ‘50’ pula ataupun aliran Asyaerah pula sangat PENTING untuk dipelajari dan difahami kepada mereka yang MENDALAMI PENGAJIAN SYARIAH.
Kepentingannya adalah untuk berhujjah dan menjawab keraguan
yang ditimbulkan oleh Orientalis, golongan Ateis, Syiah, Muktazilah atau apa
sahaja fahaman-fahaman lain yang bertentangan dengan akidah yang sebenar.
Akal menjawab akal..
Hujjah menjawab hujjah..
Saya belajar dan saya coretkan dalam buku sulong saya kembara mencari tuhan bahagian
dua.
Ingat, kita berbeza dengan orang awam biasa kerana tugas kita
menjawab keraguan dalam agama…
Ingat, jangan terlalu cepat menilai atau menghukum jika kita
sendiri tidak faham…
Ingat, mendalami agama tidak akan menghasilkan faham apabila kita sendiri
meletakkan tanggapan yang negetif terhadap apa yang ingin dipelajari..
3 comments:
Terima kasih berkongsi, teruja untuk mengetahui sifat 50 itu pula dengan huraian mendalam.
Sama-sama.. Insyallah
Jazaka Allah. Entri yang baik. Anda begitu berhati hati bila bertembung antara dua aliran ini. Syabas..inilah yang kita cari- PERSAMAAN dan beribadah kepada Allah. Teruskan dakwah, saya mengikuti dengan penuh kecintaan sebagai saudara muslim.
Post a Comment