Tak Perlu Keluar Salafi.
Teringat ketika menuntut di pusat matrikulasi UIA enam tahun
yang lalu, saya telah menghabiskan RM 1,000 sempena ekspo buku satu malam
sahaja semata-mata mengumpulkan buku-buku karangan Ustaz Rasul Dahari, Dr Asri,
Kapten Hafiz Firdaus, Mohd Yaakub bin Mohd Yunus dan buku-buku ulama
salafiyyah daripada Indonesia.
Saat itu saya begitu kagum dengan aliran yang digelar
sunnah, salafi, ataupun tajdid ( pembaharuan ) yang menyeru agar ummah kembali
kepada amalan generasi salaf ( generasi awal islam )samada dalam memahami akidah
ataupun pengamalan ibadat.
Dalam bab akidah, tauhid uluhiyyat, rububiyyat dan asma’ wa
sifat ditekankan oleh golongan ini lebih jelas dan mudah difahami berbanding
sifat 20 yang menjadi pengajian majoriti masyarakat ketika itu. Begitu juga sifat-sifat
Tuhan hendaklah difahami tanpa ditakwil ( diubah dengan makna yang lebih sesuai
) seperti tangan Allah, mata Allah dan sebagainya tidak perlu diubah perkataan
tersebut demi mengelak menyamakan Tuhan dan makhluk
Begitu juga dalam amalan ibadat, hendaklah benar-benar
disebut nas Al-Quran dan As-sunnah secara jelas dan yang sahih. Tinggalkanlah
wirid secara berjemaah selepas solat, doa qunut, amalan tahlil dan bacaan
yassin ketika jummat. Kewajipan ummat islam adalah mengikut Rasulullah s.a.w
bukannya taqlid kepada mana-mana mazhab ataupun imam.
Cantik seruan itu sambil disokong bahawa segala kerosakan
yang berlaku pada agama-agama sebelum ini adalah akibat penganutnya membiarkan
bid’ah dalam agama mereka. Jika ada yang menghalang seruan ini dimotivasikan dengan
perjuangan baginda s.a.w. juga ditentang hebat tatkala ingin mengubah amalan
jahiliyyah ketika itu.
Saya merasakan inilah jalan yang sebenar setelah
bertahun-tahun belajar di sekolah agama ala-ala pondok dengan metod menghafal,
membaca kitab arab, belajar ilmu mantiq, balaghah, nahu yang cukup membosankan.
Semakin lama semakin ramai rakan meninggalkannya dan saya hampir memilih jalan
tersebut.
Berbeza dengan aliran salafi yang menekankan setiap kalam
dalam agama mesti ada hujjah dan nas bukannya berpaksi kepada kata-kata ulama
dan kitab semata-mata. Ia lebih seronok untuk diterokai.
Namun saya tidaklah terlalu berani menzahirkannya berbanding
ramai dikalangan sahabat yang terkesan sudah berani berdebat dan melahirkan
perkataan bid’ah kepada sesiapa yang dilihat bertentangan dengan mereka. Begitu
juga mengamalkan beberapa amalan yang kelihatan ganjil di mata masyarakat
seperti menyapu stokin, jamak ketika hujan, mengerak-gerakkan jari ketika tasyahhud,
meninggalkan qunut serta wirid dan pelbagai lagi.
Saya masih cuba mengkaji setelah beberapa bulan di UIA, saya
kembali ke sekolah bertanyakan hal ini kepada ustaz. Panjang syarahannya namun
apa yang saya dapat fahami salafi, wahabi, ibnu taimiyyah, kaum muda, albani
adalah itu sesat akidah mereka, tidak menghormati ulama dan anti mazhab.
Kemudian saya disindir oleh pensyarah tatkala kembali menceritakan
apa yang disebut oleh ustaz itu lantas mencadang agar saya meng’khatam’kan kitab
tulisan Kapten Hafiz Firdaus ‘Membongkar jenayah ilmu Buku Salafiyah Wahabiyyah
karangan ustaz Zamihan’.
Orang yang berkata wahabi itu sesat adalah ustaz. Orang yang
berkata wahabi itu sebenar-benar aliran juga ustaz. Jadi saya tiada pilihan,
melainkan saya sendiri yang perlu jadi USTAZ!!
Akhirnya dengan tekad saya meninggalkan UIA dan tanah
air semata-mata untuk hadir ke bumi
Jordan ini. Matlamat utama adalah untuk menjadi mereka yang memahami agama,
tanpa dilupakan ingin menyelesaikan persoalan yang merumitkan saya siapakah
salafi, Ibnu Taimiyyah, wahabi dan yang anti dengan mereka. Siapakah yang
betul, siapakah salah?
Di sini saya menuntut dengan pensyarah-pensyarah yang
pelbagai latar belakangnya. Ada yang Salafi, ada yang Hanafi dan yang
Kontemporari, ada yang Haraki ( pro gerakan islam ) dan ada yang pro kerajaan.
Semuanya ditagih ilmu dan hikmah tanpa mempedulikan latarbelakang mereka.
Lama-kelamaan, saya menyedari sesuatu yang berbeza. Ada
pensyarah yang anti Salafi Wahabi tetapi menyokong ijtihad Ibnu Taimiyyah. Ada
yang melihat akidah tauhid tiga yang diperjuangkan oleh Salafi( uluhiyyah,
rububiyyah dan asma’ wa siffat ) adalah suatu yang sesuai untuk dipelajari
namun tidak menyokong gerakan Wahabi di Saudi. Ada yang bercakap melangkaui
mazhab namun tidak membid’ahkan orang lain.
Sehingga hari ini..
Akhirnya saya faham apa yang berlaku dikalangan kita yang mengupas isu ini adalah masalah sikap dan akhlak bukannya kebenaran ilmu. Daripada kedua-dua pihak, keta’suban antara mereka begitu tebal. Adab dan Akhlak khilaf dilanggar begitu sahaja. Begitu juga sikap meletakkan pekej salafi, Ibnu Taimiyyah, wahabi, kaum muda dan tidak bermazhab adalah perkara yang sama walhal ia bukan sedemikian.
Saya meyakini perjuangan aliran salafi iaitu agar kita
kembali kepada Al-Quran dan As-sunnah, dan pengamalan genarasi salaf adalah
yang terbaik. Dan saya yakin semua daripada kita tidak mengingkarinya.
Namun, siapakah yang boleh mendakwa jalan mereka adalah 100%
mengikut pengamalan salaf? dan mereka yang berbeza dengan kita adalah salah?
Dalam isu akidah, adakah kita pasti apabila sahabat tidak
mentakwilkan ayat-ayat sifat, ini bermakna mereka melarang yang lain daripada
mentakwilkannya? Adakah ia masalah usul atau furu’?
Seterusnya, fahamkah
kita sejarah munculnya mazhab Asyaerah ini? Lupakah kita siapakah yang berjaya
menundukkan golongan muktazilah hingga pupus saki bakinya pada hari ini? Begitu faktor sejarah mengapa Ibnu Taimiyyah dan
Muhammad Bin Abdul Wahab menyeru agar kembali kepada pemahaman salaf?
Setelah membetulkan sikap dan adab, jangan juga mem’bangkul
sampah’kan sejarah kemunculan mereka. mereka yang buta sejarah tidak layak
bercakap.
Berkenaan dengan amalan-amalan. Saya meyakini bahawa dalam perbezaan pendapat maka Al-Quran dan As-sunnah adalah penentunya. Setiap amalan dan ibadat mestilah bersumberkan daripada kedua-duanya. Saya yakin semua daripada kita beriman tentang hal ini.
Namun, adakah apabila sesuatu amalan itu tidak disebut secara
sorih dari sudut nas atau bersumberkan nas yang kurang sahih, layak digelar
bid’ah? Bagaimana jika amalan tersebut masih dalam lingkungan ijtihad ulama yang
pastinya juga masih dibawah pemahaman nas.
Jika pendapat itu dirasakan kurang tepat, lebih baik digantikan dengan amalan ini marjuh ( kurang kuat ) berbanding menyebut amalan ini adalah tidak sunnah. Walaupun kecil isunya, besar kesannya.
Saya lalui persoalan-persoalan tersebut dan saya yakin tidak
perlu keluar salafi,tapi jadilah salafi yang sebenar. Generasi salaf yang penuh
tawadu’ dan berakhlak dalam berbeza pendapat yang kecil.
Salaf yang tidak mengingkari ijtihad orang lain jika berbeza
pendapat..
Beralihlah kepada manhaj yang sederhana samada Salafi
ataupun Asyaerah..
Sekurang-kurang ia menyelamatkan kita dari bercakap perkara
yang kita sendiri belum pasti..
0 comments:
Post a Comment