
Fatawa Syazah, saya kira antara buku terbaru karangan ulama terkenal Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi. Buku yang setebal 160 muka surat ini padat, ringkas dan cukup sesuai untuk dijadikan bacaan tambahan bagi pelajar aliran agama. Baru-baru ini, saya telah menjadikannya sabagai bahan diskusi untuk group fiqh di Café Ghazali. Mungkin boleh dikongsi untuk semua.
Permulaannya, Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi menyifat fatwa ganjil ini berlaku apabila seseorang itu telah terkeluar daripada metodologi fatwa yang sebenar. Ia sangat kurang berlaku pada zaman silam, namun di zaman moden terdapat banyak fatwa yang disifatkan sebagai ganjil ini.
Fatwa ganjil pada zaman silam
1 .Fatwa Laith bin Laith.
Imam Laith telah mengeluarkan fatwa mewajibkan puasa dua bulan berturut-turut kepada seorang Raja yang melakukan persetubuhan di siang hari Ramadhan. Ia bertentang dengan fatwa Jumhur Ulama bahawa kafarah tersebut adalah berdasarkan urutan iaitu membebaskan hamba, jika tidak mampu berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak mampu handaklah memberi makan kepada 60 fakir miskin. Mazhab Maliki pula berpendapat dibenarkan memilih antara mana-mana kafarah tadi.
Namun Imam Laith yang merupakan anak murid kepada Imam Malik ini berfatwa sebaliknya ( wajib berpuasa ) dengan hujjah sebagai satu pencegahan kepada Raja yang jika kafarahnya adalah membebaskan hamba, ataupun memberi makan kepada 60 fakir miskin ia mudah dilaksanakan dan kemungkinan akan mengulangi kembali perbuatan tersebut.
Tambah Al-Qardhawi, ia adalah hujjah yang batil bertentangan dengan Al-Quran atas dasar maslahat bahkan boleh membawa kepada mengubah nas mengikut keadaan.
2.Fatwa Ibnu Hazm
Membincangkan fatwa ganjil dikalangan ulama silam, tidak dapat tidak contoh fatwa Ibnu Hazm pasti disebut. Dek keganjilan fatwa beliau hingga ada ulama menyebut
من حزم أن يترك رأي إبن حزم ( menjadi kewajipan meniggalkan pendapat Ibnu Hazm )
Antara pendapat beliau:-
1.Jilatan Anjing
Hadith Nabi s.a.w menyebut "jika anjing menjilat bekas dikalangan kamu, hendaklah kamu membasuhnya dengan tujuh basuhan, basuhan pertama dengan air tanah". ( riwayat Muslim )
Ibnu Hazm menyatakan hukum basuhan tersebut hanya terhad pada jilatan anjing sahaja. Jika anjing itu makan dalam bekas, ataupun mandi di dalamnya tidak perlu dibasuh seperti hukum jilatannya, Begitu juga jika anjing menjilat selain daripada bekas seperti tangan manusia maka tidak diwajibkan basuhan dengan air tanah dan enam air biasa!
2.Air Kencing Dalam Bekas Bertakung.
Begitu juga dalam memahami hadith
“ Janganlah kamu membuang air kecil dalam bekas yang bertakung yang tidak mengalir ( janganlah ) kamu mandi didalamnya “
Ibnu Hazm mengkhususkan hanya kencing yang secara terus ke dalam bekas bertakung yang dilarang. Namun, jika kencing di luar kemudian air kencing itu mengalir masuk ke dalam bekas, maka ia tidak merosakkan air tersebut.
Lebih ta’ajub lagi, air tersebut hanya tidak boleh digunakan untuk berwuduk namun untuk minum dan lain-lain ia masih halal selagi mana tidak berubah sifat!
3.Najis Musyrikin
“ Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis” ( At-taubah : 28 )
Begitu juga dalam memahami ayat kenajisan kaum Musyrikin. Ibnu Hazm memahami najis tersebut adalah najis yang hakiki ( sebenar ), maka segala peluh, air liur dan air mata mereka adalah najis. Ini bertentangan dengan pendapat jumhur bahawa kenajisan yang dimaksudkan di sini adalah najis maknawi ( kiasan ) iaitu merujuk kepada akidah dan kepercayaan mereka.
Ini berdasarkan dalil-dalil berikut:-
1.Keharusan berkahwin dan makan makanan serta sembelihan ahli kitab.
2.Rasulullah s.a.w pernah berwuduk dengan bekas seorang perempuan musyrikah..
3.Baginda s.a.w pernah mengikat Thamamah bin Athal sebagai tahanan di masjid ( beliau adalah kafir ).
4.Baginda s.a.w pernah memakan daging biri-biri yang dihadiah oleh Yahudi Khaibar.
5.Begitu juga membenarkan sahabat menggunakan periuk orang majusi.
Secara kesimpulannya pendapat Ibnu Hazm berbeza dengan jumhur adalah disebabkan method beliau sendiri yang hanya menghukum secara literal nas, menolak qias, menolak takwil serta mengabaikan maqasid syariah dalam memahami nas.
( sambungan : fatawa ganjil di zaman moden )
0 comments:
Post a Comment