Monday, January 16, 2012

Fatwa-Fatwa Ganjil ( Siri Akhir )


Dalam bab yang seterusnya, Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi telah menyentuh beberapa isu dan fatwa yang sebenarnya bukanlah ganjil walaupun kelihatan sedemikian. Antaranya:-

1. Fatwa muqallid ( mengikat diri ) dengan mazhab
Fatwa yang dikeluarkan oleh seseorang mujtahid berdasarkan mazhabnya tidak dinamakan sebagai syaz walaupun ia bertentangan ulama-ulama dalam mazhab yang sama ataupun dengan mazhab yang lain.

2. Fatwa bertentangan dengan empat mazhab
Begitu juga dengan fatwa yang berlawanan dengan empat mazhab tidak dianggap ganjil. Walaupun ada ulama yang mewajibkan agar setiap fatwa yang dikeluarkan tidak bertentangan dengan empat mazhab yang muktabar, namun Al-Qardhawi menganggap syarat tersebut sebenarnya menyempitkan ummah.

3. Fatwa bertentangan dengan majoriti ulama
Pendapat individu ataupun minoriti yang berbeza dengan majoriti juga tidak dianggap sebagai  syaz, bahkan sahabat sendiri banyak bersendirian dalam pendapat mereka seperti pendapat Ibnu Abbas dalam masalah mirath ( pusaka ). Begitu juga pendapat Abu Bakar ketika memutuskan ingin memerangi golongan yang enggan membayar zakat yang pada mulanya tidak dipersetujui oleh majoriti.

4. Ijtihad Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim.
Pendapat Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim dan mereka mengikuti aliran ini sering dicemuh lantaran bertentangan dengan empat mazhab yang dianggap sebagai ijmak, namun akhirnya diterima bahkan ada yang dijadikan sebagai undang-undang khususnya masalah talak tiga dalam satu lafaz hukumnya adalah jatuh satu.

Ada juga dengan fatwa yang dianggap sebagai ganjil suatu ketika dahulu seperti fatwa harus melontar jamrah sebelum tergelincir matahari ketika menunaikan haji, kini diterima berdasarkan wujudnya dalil naqli dan juga bertepatan dengan maqasid Syariah iaitu memudahkan urusan ibadat.

Sama juga dengan fatwa yang mengharuskan memulakan ihram setelah tiba di lapangan terbang Jeddah dan mengiktibarkannya ( Jeddah ) sebagai salah satu miqat ( tempat yang ditetapkan untuk bermulanya niat haji dan ihramnya ) daripada miqat-miqat haji.

Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi juga cuba mempertahankan beberapa fatwa beliau dalam isu minoriti ( fatwa yang dikeluarkan untuk masyarakat muslim di Eropah ) bahawa ia bukanlah hukum yang ganjil, bahkan pendapat-pendapat tersebut terbina atas pendapat sahabat, tabien dan generasi salaf yang menurut beliau lebih aula untuk diikuti apatah lagi bertepatan dengan maqasid syariah. Antaranya:-

1. Wanita yang memeluk islam tanpa suaminya ( masih kafir ) tidak perlu dibatalkan perkahwinan mereka dengan syarat-syarat tertentu seperti suami tidak memaksa isteri menukar agama. Fatwa ini juga merupakan pendapat Saidinia Umar, Saidina Ali dan Imam Zuhri. Hikmahnya agar ia tidak menghalang hasrat wanita mendekati islam berbanding apabila mengetahui terpaksa berpisah dengan suami.

2. Muslim mewarisi mirath ( pusaka ) daripada keluarga mereka yang bukan islam. 
Fatwa daripada pendapat Ibnu Taimiyah ini juga bertepatan dengan maslahat ummat islam dan agar harta tersebut tidak lari daripada pemilikan mereka.

Dalam bab yang terakhir, Dr Yusof cuba membuat kesimpulan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan fatwa-fatwa ganjil ini terhasil. Antaranya:-
  1. Fatwa yang dikeluarkan bukan daripada ahlinya. 
  2. Tidak menghormati pengkhususan ilmu ( seperti ulama fiqh lebih mengetahui kaedah-kaedah hukum berbanding ulama aliran lain )
  3. Tergesa-gesa dalam mengeluarkan fatwa
  4. Kagum dengan pendapat peribadi ( keengganan untuk berbincang pendapat secara musyawwarah ) 
  5. Mengikut selera politik.
  6. Melampau-lampau dalam mengiktibarkan maslahat

Seterusnya dalam mengatasi fatwa-fatwa ganjil ini, antara penyelesaiannya:-
  1. Memberi kefahaman kepada umat islam tentang hukum-hakam islam.
  2. Memberi amaran kepada ulama yang mengeluarkan fatwa-fatwa ganjil
  3. Berbincang dan berhujjah dengan ulama yang mengeluarkan fatwa ganjil ini dengan hujjah ilmiah. 

Namun langkah pencegahan adalah lebih baik sebelum berlakunya fatwa ganjil ini. Antaranya:-
  1. Menentukan ahli fatwa yang berkelayakan.
  2. Menambah thaqafah ( ilmu pengetahuan ) ahli-ahli fatwa
  3. Memerhati dan menilai fatwa dan pengajian ahli-ahli fatwa
  4. Mewujudkan pembentukan ahli-ahli fatwa
  5. Mewujudkan ma’had ataupun pusat ilmu untuk melahirkan ahli-ahli fatwa yang berkualiti.
Akhir sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hafiz Dasar yang sudi meminjam buku tersebut kepada saya. Begitu juga dengan rakan-rakan yang mengikuti diskusi fatwa ini di Café Ghazali setiap ahad, selasa dan khamis. Moga kita dapat mengadakan kembali diskusi-diskusi ilmiah santai ini sambil menghirup nescafe panas..

Sekian..

0 comments: