Antara kelemahan yang paling jelas penggunaan matawang kertas ialah nilainya yang tidak tetap. Ia sentiasa berubah berdasarkan permintaan dan jual beli. Situasi ini juga berlaku kepada dinar dan dirham namun tidaklah terlalu ketara seperti matawang kertas moden pada hari ini.
Hal ini akan mendatangkan masalah bagi sesiapa yang berhutang dengan satu matawang dan melangsaikannya dengan matawang yang lain. Kemudian ketika tempoh pembayaran, nilai matawang tersebut telah pun berubah.
Contohnya, saya berhutang RM 3,800 dan diminta oleh penghutang agar membayarnya dengan matawang USD. Ketika meminjam nisbah antara kedua-duanya adalah RM 3.8 bersamaan USD 1. Jika diikutkan saya mesti membayarnya dengan nilai USD 1,000 nanti.
Namun beberapa tahun selepas itu apabila tiba waktu untuk melangsaikannya, nilai RM turun berbanding USD iaitu RM 3.4 bersamaan USD 1.
Sekiranya saya mengikut berdasarkan RM3,800 dahulu, saya terpaksa membayarnya lebih daripada USD1,000. Maka, ketika itu akan wujud unsur riba kerana membayar melebihi apa yang dipinjam.
Atau adakah saya perlu hanya membayar USD 1,000 yang nilainya hanya bersamaan dengan RM 3,400? Ini pasti akan memberi kemudharatan kepada penghutang kerana nilainya lebih rendah daripada apa yanbg saya pinjam dahulu.
Pendapat Fiqh Ringkas
Ada pihak mewajibkan kita membayar seperti mana mengikut nilai ketika waktu mula meminjam. Maknanya saya hanya perlu membayar dengan USD 1,000 walaupun nilainya kini tidak lagi bersamaan dengan RM 3,800 kesan turun naik matawang selepas itu.
Hujjahnya, jika saya membayar mengikut nilai semasa pasti berlaku perubahan dan lebihan yang membawa kepada riba.
Pihak yang kedua pula mewajibkan pembayaran mengikut nilai semasa. Maknanya saya perlu membayar lebih daripada USD 1,000 kerana nisbahnya kini adalah RM 3.4 bersamaan USD 1.
Hujjah mereka jika kita membayar mengikut asal, nilainya lebih rendah dan menyebabkan kezaliman kepada penghutang.
Kemudian ada pihak yang ketiga mencadangkan melihat kepada keadaan semasa. Jika nilai tidak begitu besar jurang perubahannya, maka hendaklah membayar mengikut nilai asal.
Jika perubahan yang besar berlaku hendaklah mengikut nilai semasa agar lebih adil.
Sebenarnya agak sukar untuk memilih pendapat yang paling tepat mengikut hukum syarie. Samada akan berlaku riba ataupun ketidakadilan.
Kesimpulannya, antara 2 pihak mestilah membuat persetujuan ketika mengadakan perjanjian samada ingin membayar berdasarkan nilai ketika meminjam ataupun mengikut nilai semasa.
Wallahu'alam
Moga memberi pencerahan buat rakan-rakan yang mengambil subjek muamalat maliah muasirah..
Saturday, December 31, 2011
Friday, December 23, 2011
Isu Kelas Tafaqquh : Hukum Perempuan Menyambung atau Menanam Rambut.

Untuk kelas Tafaqquh tadi, saya risau jika ada yang salah faham berkenaan dengan hukum perempuan menyambung rambut atau menanamnya. Moga-moga artikel ini memberi pencerahan.
Secara umumnya, hukum menyambung atau menanam rambut adalah haram bagi perempuan dengan rambut perempuan lain. Terdapat 6 hadith daripada sahih Bukhari dan 17 hadith daripada sahih muslim menerangkan perharaman tersebut (Fathu Bari, syarah Sahih bukhari, Imam Ibn Hajar Al-Asqalani, bab menyambung rambut, kitab libas dan Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi kitab libas dan zinah ).
Di sini dinyatakan beberapa hadith tersebut :
1.Hadith Abu Hurairah : sesungguhnya Nabi s.a.w melaknat perempuan yang menyambung rambut dan meminta disambungkan rambut, perempuan yang melukis tatu dan meminta dilukiskan tatu ( Fathu Bari, Syarah Sahih bukhari no : 5933 ).
2.Riwayat Said bin al-Musayab: " Sesungguhnya Muawiyah telah datang ke Madinah dan berkhutbah kepada kami. Kemudian beliau mengeluarkan satu ikat rambut serta berkata: Saya tidak pernah melihat seorang pun yang mengerjakan seperti ini kecuali orang-orang Yahudi, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sendiri bersabda ini adalah dosa ( yakni perempuan yang menyambung rambut )." ( Syarah sahih muslim no: 5545. Bukhari : 5938 ).
3.Hadith riwayat Aisyah : "Seorang perempuan Ansar telah berkahwin, kemudian telah jatuh sakit sehingga gugurlah rambutnya, kemudian keluarga perempuan tersebut ingin menyambung rambutnya, tetapi sebelum itu mereka bertanya dahuulu kepada Nabi, Baginda bersabda: Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang minta disambung rambutnya." ( Fathul Bari, Syarah shahih bukhari hadith no : 5934)
Selain itu juga, pengharaman tersebut turut dikaitkan dengan:
1.Unsur-unsur penipuan. Ini akan memberi kesan dalam akhlak dan muamalat manusia. Sebagai contoh sekiranya perempuan yang menyambung rambut tersebut dipinang oleh seseorang lelaki yang menganggap bahawa rambutnya adalah yang asli.
2.Unsur-unsur mengubah ciptaan Allah berdasarkan ayat ( An-Nisa’:119) : Aku ( Syaitan ) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.
Perbahasan Ulama:
1.Imam Malik, Mazhab Hanafi dan Mazhab Hanbali mengharamkan penyambungan rambut dengan apa sahaja bahan samada rambut manusia, bulu haiwan ataupun lain-lain kerananya larangan tersebut adalah menyambung rambut ( Tafsir Qurtubi 3: 343, Mughni, Ibnu Qudamah 1:99, Hasyiah Thahawi 4: 186 )
2.Mazhab Syafie pula berpendapat pengharaman hanya pada rambut manusia. Selain itu juga diharamkan menyambung bukan disebabkan suami, sekiranya kerana suami dan mendapat keizinannya, maka diharuskan ( Majmu’, nawawi 3:141, Mughni Muhtaj 1:191 ).
3.Imam Laith bin Said mengharuskan sambungan dengan selain rambut manusia beralasan( Majmu’, nawawi 3:141) :
a.Tiada unsur penipuan
b.Maslahat Perempuan kepada suaminya.
4.Pendapat pensyarah kuliah Syariah Universiti Mu'tah Dr. Muhammad Said Hawa dan Prof Dr. Syuesh Mahamid mengharuskan dengan syarat :
a.Bagi wanita yang sudah berkahwin.
b.Mendapat keizinan suami.
c.Bukan daripada rambut manusia lain.
Kesimpulan.
Pendapat terpilih pada saya adalah pendapat pensyarah kuliah syariah Uni. Mu'tah dan mazhab Syafie berdasarkan hadith tersebut mempunyai illah ( sebab tertentu ) iaitu penipuan. Sekiranya dengan keizinan suami maka diharuskan demi maslahat rumah tangga.
Untuk isu lain seperti kanta lekap insyallah jika ada masa ada ruang akan dihuraikan..
Thursday, December 15, 2011
Moga-moga Tergolong Dikalangan Mereka Yang Ikhlas.

“ Muhammad, tahniah, apa nama anak kamu?” Abu Umar (rakan sekelas saya ) menelefon saya beberapa minit sebelum waktu maghrib.
“ Mukhlis”
“ Hmm.. Nama tu bagus, tapi. Bla..bla..bla.. “
Saya kurang faham dengan kata-kata beliau, namun ia sudah membuatkan hati tidak tenang hingga terbawa-bawa ke mimpi. Namun, masih lagi ada sekitar 3 hari sebelum nama anak saya didaftarkan.
Semua orang sudah memanggil saya dengan gelaran Abu Mukhlis.
“ Dr, apa pendapat kamu tentang nama anak saya Mukhlis?” Saya menelefon Dr Ali Sumairan
“ Jika ada peluang untuk mengubahnya maka ubahlah kerana apa sahaja nama-nama berbentuk sifat yang baik seperti berjaya ( aflah ), untung ( rabih ), pandai ( zaki ), baik ( tayyib ), mulia ( kareem ) lebih elok dielakkan. Namakan anak kamu dengan nama-nama sahabat atau dengan nama-nama hamba Allah”
Saya makin gelisah.
“ Apa pendapat kamu Sheikh Ahmad” aju saya kepada bilal masjid Umar ( bilal di sini bukan seperti di Malaysia, mereka merupakan graduan syariah dan mahir juga dalam hukum hakam serta menjadi rujukan orang kampung )
“ Setakat aku tahu, ia nama yang baik. Jika kamu ingin aku tanya sheikh-sheikh ( ustaz ) yang lagi hebat, aku boleh tanyakan agar hati kamu lebih tenang”
Sehari selepas itu
“ Abu Mukhlis, sebenarnya kalam mereka yang berkata demikian adalah kurang tepat. Aku dah tanya ramai sheikh, mereka semuanya menyatakan tiada masalah”.
Tidak cukup dengan itu, saya bertanya ( melalui FB ) dengan dua bekas pensyarah saya di Mu’tah dahulu yang saya kagumi, Prof Dr Syuesh Mahamid dan Dr Muhammad Said Hawwa.
“ Mengapa dilarang pula? Bukankah ia adalah sebahagian daripada mereka-mereka yang ikhlas pada agama Allah?” Ujur Dr Syuesh yang kini mengajar di Arab Saudi.
“ Tidak menjadi masalah, asalkan kamu mendoakan dia agar menjadi orang-orang yang ikhlas” Jawab Dr Muhammad Said Hawwa.
Begitu juga dengan guru dan pembimbing saya, Ustaz Mahadi Mohammad juga menyatakan tidak pernah mendengar tentang hal ini.
Sebagai pelajar Syariah saya perlu juga merujuk sumber-sumber ilmi, akhirnya saya bertemu dengan hadith dan pendapat ulama.
Hadith Muslim yang bermaksud
"Rasulullah saw. melarang kami memberi nama anak kami dengan nama Aflah, Rabaah, Yasaar, dan Naafi'," ( Muslim 2136 ).
Sesetengah ulama merangkumkan nama-nama tersebut dengan seluruh nama yang mempunyai makna sifat yang baik ( kata Dr Ali Sumairan ).
Antara sebab larangan tersebut juga dinyatakan dalam hadith yang berikutnya
“Janganlah engkau menamai anakmu dengan nama Yasar, Rabah, Najih, dan Aflah. Sebab jika kamu bertanya apakah dia ada di sana? Dan kebetulan ia memang tidak di sana maka akan dijawab, 'Tidak ada.” ( Muslim : 2137 ).
Hadith seterusnya menjadi bukti bahawa larangan tersebut hanya bertaraf makruh
“Nabi saw.pernah ingin melarang nama Ya'la, Barakah, Aflah, Yasar, Naafi', dan yang semisalnya. Namun aku lihat setelah itu beliau diam saja tidak mengatakan apapun tentang hal itu hingga akhirnya beliau wafat dan tidak mengatakan apapun. Kemudian Umar pun ingin melarang nama-nama tersebut tetapi ia juga tidak melakukannya," ( Muslim 2137).
Sebahagian ulama secara kesimpulannya menyatakan maksud larangan tersebut agar tidak menimbulkan kata-kata yang kurang enak seperti.
“ Aflah ( orang yang berjaya ) ada tak di rumah?”. Jika jawapannya tiada seolah-olah tiada kejayaan di rumah tersebut.
Begitu juga apabila nama yang disifatkan itu berlawanan dengan tingkah laku si empunya badannya, agar tidak terus dicela atau dipermain-mainkan.
“ Ni bukannya Najih ( berjaya ) tapi rasib ( gagal )”
Melihat kepada semua hadith, perbincangan ulama silam serta pandangan pensyarah-pensyarah saya memilih untuk meletakkan nama Mukhlis atas dasar moga-moga menjadi doa kepada dirinya sendiri.
Setelah berkahwin, saya banyak belajar dan tertarik dengan sikap isteri saya. Antaranya beliau sentiasa menekankan keikhlasan dalam melakukan sesuatu. Beliau juga sering menenangkan saya dengan perkataan ‘ikhlas’ jika kami dalam kesulitan.
Ikhlas yang paling besar dan hanya pada yang satu.. Ikhlas kerana Allah..
Dalam kita mengajar sesuatu cita-cita yang tinggi..
Dalam kita menyumbang kepada masyarakat..
Dalam kita berkhidmat..
Dalam kita belajar untuk mencapai kejayaan..
Jika gagal atau sebalik hasilnya bagaimana?
Ikhlaslah yang menjadi pengubat jiwa, penenang hati dan yang paling penting menjamin ganjaran daripada NYA di akhirat kelak walaupun di dunia kita ‘gagal’..
Tidak hairanlah dalam kitab Riyadus Solihin ( Imam Nawawi ), Kitab yang dianggap kedua selepas Al-Quran perlu dibaca oleh ummat islam setiap hari memulakan bab yang pertama dengan ‘bab ikhlas’ sebelum meneruskan kepada bab-bab yang lain.
Kerana ikhlas itu penentu iman kita..
Membezakan kita dengan orang bukan beriman..
Moga-moga tergolong dikalangan orang-orang yang ikhlas..
Moga-moga dirimu menyedari ia nama yang baik, janganlah cemarkannya.
Amin..
Sunday, December 11, 2011
Selamat Datang Mukhlis.. Selamat Menjaga Amanah Abu Mukhlis..

Detik 13.45 tengah hari.. Hari Jumaat 13 Muharram 1433.. 9 Disember 2011..
Detik kelahiran putera sulong yang begitu memberi makna buat hidup kami. 8 bulan 16 hari dalam kandungan ibunya, akhirnya selamat jua tiba di alam dunia ini.
Terima kasih yang tak terhingga kepada Umm Abdul Rahman, jiran kami yang sanggup menemani kami sejak pukul 2 pagi hingga selepas selamat dilahirkan, bersama-sama menaiki teksi jam 3 pagi ke Irbid sejauh 40 km dari Mafraq.
Buat teman-teman pelajar perubatan JUST di Irbid yang menemani isteri saat-saat sebelum kelahiran, Dr Naqeb, Dr Nadhirah, Dr Atiq dan ramai lagi yang menasihati dan menenangkan kami sepanjang berada di sana.
Abu Rania dan Umm Rania yang menghantar kami pulang serta perkongsian pengalaman teknik-teknik penjagaan bayi.
Abu Mujahid ( Amer Huzaifah ) serta isteri yang mengambil berat tentang kami.
Safarah, Baiti, Munirah, Ustaz Mustaqim, Ziyad dan yang menziarahi kami di Hospital.
Rakan-rakan mahasiswa Malaysia Uni Al-Alibayt yang menziarahi, membantu dan bertanya khabar tentang kami yang tidak mampu untuk disebut satu persatu nama anda semua.
Allah sahaja yang mampu membalas jasa kalian.
Kepada ibu dan bapa kami di tanah air, doa kalian memudahkan urusan kami di sini, moga Mukhlis dapat bertemu dengan nenda-nendanya beberapa bulan lagi..

Selamat datang Mukhlis, semoga menjadi rahmat buat semua terutama buat ibu dan bapanya.
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)” ( Al-Ahqaaf 46: 15 )
Harapan kami..
Abu Mukhlis pula..
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepemimpinan kamu.” ( Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Setiap insan sentiasa melalui fasal perubahan dalam hidup mereka. Semuanya dinantikan dengan amanah dan tanggungjawab yang mesti disempurnakan demi mendapat keredhaanNYA.
Daripada tanggungjawab anak kepada ibu bapa.
Tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.
Tanggungjawab kepada agama dan ilmu.
Tanggungjawab membimbing isteri.
Hari saya ditambah lagi dengan tanggungjawab yang tidak mengurangkan tanggungjawab-tanggungjawab sebelum ini.
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih.Ibu bapalah bertanggungjawab mencoraknya anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.”(Bukhari dan Muslim)
“Wahai orang beriman!Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu ”(at-Tahrim: 6)
Mukhlis permata hati kami..
Subscribe to:
Posts (Atom)