Monday, November 21, 2011

Apa ERTI saya MENGHUKUM..



Saya masih ingat ketika PERTAMA kali ke-4 di Universiti Mu’tah dua tahun yang lalu. Kedua-dua panel Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan Ustaz Maszlee Malik menyarankan agar mahasiswa pengajian islam cuba beralih kepada bidang kemanusian yang lain setelah selesai peringkat ijazah sarjana muda. Antaranya bidang psikologi, kaunseling, sejarah, politik dan pelbagai ilmu kemanusiaan yang lain.

Tujuannya agar graduan-graduan pengajian islam ini memahami bagaimana tabiat manusia itu secara semula jadi. Ia penting bagi keberkesanan kerja-kerja dakwah. Ustaz Maszlee banyak bercakap tentang keterbukaan yang menghasilkan manfaat jangka masa yang panjang buat islam. Ia memberi ruang yang kepada mereka yang tidak faham islam memahaminya.

Ustaz Hasrizal pula menekankan kepentingan membezakan antara ‘ real problem’ dan ‘presenting problem’. Real problem adalah masalah usul dan asas, presenting problem pula adalah masalah furu’ dan kecil. Apabila menyelesaikan masalah usul secara automatik masalah furu’ akan berjaya diselesaikan.

Mempertikaikan pengharaman babi, kewajipan menutup aurat dan solat walaupun semua itu adalah perkara yang berkaitan WAJIB dan HARAM.. Ia masih lagi furu’ ( kecil ) jika dibandingkan dengan ketidakfahaman mereka terhadap apa erti hidup sebagai seorang manusia..

Menyelesaikan satu masalah yang utama boleh menyelesaikan 1000 masalah furu’. Menjimatkan masa dan tenaga serta lebih berkesan.

Ketika pulang di Malaysia, saya mencuba bidang motivasi. Bersama dengan AFM dan kadang kala secara solo, sempat juga saya turun berhadapan dengan pelbagai ragam manusia terutamanya pelajar sekolah menengah. Misi untuk mengubah manusia. Baru saya sedar manusia tidak hanya berubah apabila mereka TAHU namun apabila mereka MAHU.

Berhujjah secara intelektual hanya memberi TAHU..

Maka adakalanya kita perlu menjentik emosinya agar melahirkan keMAHUan..

Ia bukannya tugas mudah. Selebihnya terserah kepada Allah.

Sebenarnya ini bukanlah satu perkara yang asing, hatta dalam pengajian fiqh juga apabila ingin mengeluarkan hukum. Ia bukan sekadar anda memberi TAHU tentang HUKUM dan DALIL, namun anda perlu berusaha juga untuk menjadikan mereka MAHU melaksanakan atau meninggalkannya.

Boleh jadi orang itu berhadapan dengan masalah dan ujian daripada Allah yang beliau sendiri tidak inginkan. Maka bantu, bimbing dan dekati, bukannya menghukum apatah lagi membenci. Boleh jadi suatu hari nanti giliran kita yang terperangkap dengan ujian tersebut.

Ini juga method Prof Yusof Al-Qaradhawi dalam menjawab persoalan-persoalan hukum.

Saya masih ingat dalam fatawa beliau seorang wanita yang telah bercerai talak tiga dengan bekas suaminya, namun setelah menyesal mereka ingin mengikat kembali perkahwinan tersebut. Caranya dengan peranan orang ketiga iaitu ‘cina buta’.

Beliau tidak terus menjawab hukum, walaupun hukum bagi ‘cina buta’ ( orang yang berkahwin dengan janda yang ditalak tiga, kemudian menceraikannya dengan tujuan sekadar ingin menghalalkannya pada bekas suami ) jelas HARAM.

Namun beliau cuba menyelesaikan perempuan tersebut..

Boleh jadi talak tiga itu dalam satu lafaz, ada pendapat yang menyatakan ia hanya jatuh satu.. maka, rujuklah..

Boleh jadi talak itu berlaku dalam keadaan suami yang TERLALU marah, maka ia tidak jatuh..

Boleh jadi talak itu jatuh dalam keadaan anda haid, maka ia juga tidak sah di sisi sebahagian ulama.

Kemudian beliau menerangkan perkahwinan dan tujuaannya agar manusia bahagia hidup bersama hingga ke akhir ayat, manakala perkahwinan ekspress dengan cina buta bukanlah suatu yang menepati matlamat islam dan ia menjijikkan.

Akhir sekali barulah didatangkan dengan HUKUM dan DALIL.

Rakan-rakan sekalian..
Apabila menyebut tentang hukum, kita bukan berlepas tangan untuk menyebut tentang haram, namun berusaha untuk menjadikan mereka juga menjauhinya.

Sebab itulah bukan setakat belajar dan tahu HUKUM dan DALIL. Banyak lagi yang perlu dinilai dan dipertimbangkan. Antaranya:-
1.Membezakan antara tempat yang khilaf dan yang disepakati. Jika ia masalah perbezaan pendapat ulama, lapangkanlah dada anda. Berikan kebebasan kepada manusia mengikut pendapat yang sesuai dengan mereka.

2.Sebelum menghukum, betulkanlah syakhsiah peribadi anda. Jadikanlah diri anda seorang yang berakhlak dan untuk menghukum anda perlu menampilkan imej ilmiah anda agar dihormati.

3.Apabila menghukum, mulakan dengan muqaddimah yang baik seperti memberi kesedaran sebagai seorang muslim dan pelajar jika ia berkaitan.

4.Akhir sekali, apabila menghukum, jangan MEMAKSA agar mereka mengikutinya 100%, bagi ruang dan peluang untuk berubah serta berdoalah untuk mereka.

Sifir hukum, jika satu perkara itu HARAM ia membawa kepada KEMURKAAN Allah dan Azab NERAKAlah jawapannya.

Anda rasa sebagai seorang yang mengucup dua kalimah syahadah tidak takut kah?

Lihatlah kisah bagaimana Nabi s.a.w berhadapan dengan seorang badawi yang kencing dalam masjid..

Belajar juga kisah baginda menjawab keinginan seorang pemuda yang ingin berzina..

Begitu juga ketika perjanjian Hudaibiyyah..

Pendekatan dan strategi Nabi s.a.w..

Semua itu perlu dikaji di’luar’ kotak hukum itu sendiri.

Bagaimana?

Belajar dahulu..

Faham dahulu tentang hukum..

Faham juga tentang manusia..

Baru bertindak..

Kemudian barulah bertawakkal..

Tuesday, November 15, 2011

Respon : Pandangan Peribadi Surat Pekeliling MPPMJ

Sebenarnya apabila saya menulis artikel Pandangan Peribadi Surat Pekeliling MPPMJ, jauh di hati ini mengharapkan ada tulisan lain yang boleh me’neutral’kan pandangan tersebut samada daripada pimpinan persatuan ataupun jemaah. Sehinggalah saya dapat menghidu tulisan mantan Presiden ISMA Jordan, Dr Syamil Salmi

Apabila menulis dengan berterus terang ia pasti mendatangkan 2 perkara:-
1.Matlamat yang ingin disampaikan akan jelas kepada pihak-pihak yang dituju.
2.Pasti ada respon daripada mereka.

Apatah lagi apabila menyebut ISMA, satu organisasi yang kini dilihat kukuh bertapak dikalangan mahasiswa Jordan.

Namun, pengalaman ber’ukhuwwah’ dengan ramai pihak, maka tulisan saya dijawab dengan dengan bahasa yang SOPAN namun JELAS maksudnya.

Berkenaan artikel Dr Syamil, ia baik dan bagi saya tiada satu pun yang salah.

Berkenaan artikel saya pula, ia tetap dipertahankan atas dasar pandangan peribadi.

Biar saya perjelaskan artikel saya lagi.

Saya menulis atas pengalaman 2008 dan bertujuan sebagai cadangan kepada persatuan naungan MPPMJ serta MPPMJ sendiri dalam mengambil pedekatan terhadap badan-badan lain yang mungkin dilihat oleh mereka mendatangkan kesan negetif.

Itu jelas..

Namun, apabila saya menulis pandangan saya berkenaan penyertaan mahasiswa ke dalam jemaah, ia pasti mengundang perasaan ‘tidak senang’ mereka. Namun saya bukan anti jemaah. Anda boleh rujuk artikel saya menghentam mereka yang mendakwa sentiasa benar berada di luar jemaah.

Saya kecilkan skop penulisan saya. Oleh kerana saya merupakan keluaran SYARIAH dan daripada JORDAN, maka artikel tersebut hanyalah untuk mereka yang mempunyai kedua-dua ciri tersebut. Namun, itu pun bukan semua..

Kemudian, sebagai pelajar aliran fiqh kami diajar agar apabila mengeluarkan hukum agar disertakan sekali dengan ILLAH dan HIKMAH. Illah itu penentu hukum, hikmah itu kesan hukum. Tiada illah maka tiadalah hukum.

Saya aplikasikannya dalam setiap tulisan saya.

Saya menyebut tiga sebab yang bersifat ILLAH mengapa pelajar perlu me’nahan’ diri daripada menyertai jemaah. Ketidakcermatan dalam menguruskan masa, kesan terhadap perpaduan dan menjejaskan penguasaan dalam ilmu serta akademik. Itu semua konteks di JORDAN, selama 4 tahun..

Jika berjaya mengatasinya maka teruskanlah..

Manakala dalam ilmu, saya tegas bahawa ilmu dan akademik adalah paling UTAMA di sini. Ia adalah harapan ibu bapa, masyarakat, agama dan negara. Ilmu juga bekalan dakwah anda sendiri bagi mereka yang bergelar ustaz yang pasti dihujani dengan hukum hakam nanti. Hanya sekitar 4 tahun sahaja untuk anda menguasainya.

Berkenaan dengan keperluan mahasiswa dalam mengambil berat isu-isu semasa. Saya tidak melawan arus. Ia sememangnya kerana kita adalah masa depan negara. Namun, ia masih terbuka kepada cara dan pendekatan mahasiswa itu sendiri. Pandangan saya, di perantauan cukupIah dengan kecaknaan kita mengambil berat isu-isu dan politik tanah air. Hanya dalam masa 4 tahun, balik nanti kita ada berpuluh-puluh tahun untuk berjuang.

Mantan Presiden, Dr Syamil yang merupakan sahabat saya dahulu ( mungkin dia tak sedar saya menyambung kembali pengajian MA di sini ) dan saudara Hashimi, presiden ISMA kini yang saya terhutang budi kerana membantu dalam penerbitan buku saya dahulu ‘ Kembara Mencari Tuhan’. Dua ‘figure’ besar ISMA Jordan ini, saya tidak ingin korbankan perhubungan antara kami.

Kita berbeza pandangan dalam hal ini, namun kita berkongsi matlamat dalam banyak lagi isu untuk kepentingan ummah.

Saturday, November 12, 2011

Pandangan Peribadi Surat Pekeliling MPPMJ.



Surat MPPMJ..

“ Sehubungan dengan itu , barisan kepimpinan MPPMJ telah bermesyuarat dengan pihak EMJ dan mencapai kata putus bahawa tiada kebenaran diberikan untuk penubuhan badan-badan atau organisasi selain organisasi – organisasi yang telah berdaftar di bawah Education Malaysia Jordan iaitu Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan ( MPPMJ ), Persatuan-persatuan Zon (PZ) dan Badan-badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN)”


Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan ( MPPMJ )telah pun mengeluarkan surat pekelilingnya yang terbaru. Surat yang saya rasa tidak mempunyai sedikit kekuatan pun untuk mendesak ahlinya yang terbabit agar mematuhi pekeliling tersebut. Mungkin sekadar berperanan menyatakan pendirian badan terbesar mahasiswa Malaysia di Jordan itu yang kini sudah menjangkau usia lebih 10 tahun itu.

Isu jemaah.. Organisasi selian persatuan…

Ketika saya berada di bumi Jordan sekitar tahun 2006, sudah kedengaran lebal-lebal tertentu seperti ‘dia orang J” “dia orang A”” dia orang P”. Cuma bezanya mahasiswa tidaklah begitu berminat untuk aktif dengannya. Mungkin selepas era 2000, fenomina ‘Aku tidak Pedulisme’ yang melanda mahasiswa baik di tanah air ataupun di luar negara melembabkan mereka sendiri, apatah lagi untuk aktif dengan kerja-kerja berbentuk dakwah dan tanggungjawab sosial ini.

Hari ini timbul satu isu dikalangan komuniti mahasiswa Malaysia Jordan. Apa yang saya tahu mereka yang berada Mu’tah, Mafraq dan Amman tidaklah begitu terkesan kerana bilangan mahasiswanya tidak begitu ramai namun di Irbid yang kini mencecah 1,000 mahasiswa ditambah pula dikalangan mereka yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan jurusan pengajian, ia bagaikan satu cabaran buat mereka ( pandangan orang yang melihat dari luar )

Pada tahun 2008 tatkala saya diberi peluang berada di barisan pimpinan MPPMJ, timbul isu peng’iktiraf’an Kelab UMNO Jordan. Pendirian MPPMJ ketika itu jelas.

“ MPPMJ dan persatuan naungannya bukanlah badan politik, tidak akan bekerjasama dengan badan politik dan badan yang menggunakan nama politik”

Namun, kami mengetahui KUJ adalah kelab yang bernaung di bawah Kedutaan Besar Amman dan mereka juga adalah kelab yang aktif dan kukuh sumber kewangannya.

Ketika itu, kami mengambil pendekatan lebih sesuai dan tidak merugikan komuniti mahasiswa di sini. Setiap mahasiswa Malaysia Jordan adalah aset yang sangat penting dan perpaduan mereka lambang kekuatan buat persatuan di sini. Di perantauan Ukhuwwah dan Perpaduan adalah segala-galanya..

Maka ketika itu kami mengambil pendekatan sebegini dengan KUJ.

1.Kami melarang sebarang bentuk kerjasama rasmi mana-mana persatuan dengan KUJ atas alasan ia boleh membawa sentimen yang negetif dikalangan mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang politik.

2.Dalam masa yang sama, kami menggalakkan ahli KUJ berkhidmat bersama dengan persatuan. Diperingkat MPPMJ ketika itu, Ketua Biro Sukan dan Kebudayaan disandang oleh Presiden KUJ. Dengan kebanyakan ahli KUJ meminati kesenian dan kebudayaan, mereka memanfaatkan ruang yang sedia ada ini. Apa yang penting buat kami mereka tahu membezakan antara entiti MPPMJ dan KUJ ketika berkhidmat.

Kesannya, saya masih ingat bagaimana Presiden KUJ menulis dalam blog peribadinya meminta agar pihak kedutaan menghormati perbezaan ideologi mahasiswa. Ketika itu timbul isu peserta KARISMA Mu’tah memakai jersi tajaan Kerajaan Negeri Kelantan yang tertulis dibelakangnya “ Membangun Bersama Islam”

Itu cerita dahulu tidak 100% sama dengan isu sekarang namun mungkin saya berharap ada sesuatu yang boleh dipelajari.. iaitu pendekatan..

Ketika di Malaysia saya menjenguk-jenguk web MPPMJ. Pernah suatu ketika saya melihat pekeliling yang sama seperti hari ini. Saya menyangka itu untuk KUJ.

Sehinggalah kembalinya saya ke sini untuk pengajian MA, barulah saya tahu ia adalah respon kepada Ikatan Muslimin Malaysia ( ISMA ). Beberapa pemimpin dan bekas pimpinan MPPMJ pernah juga bertanya dan meminta respon saya. Begitu juga sahabat-sahabat baik saya di Irbid yang menjadi ‘figure’ besar NGO ini pernah juga berdiskusi berkenaan isu ini.

Beberapa hari lepas, mungkin kejutan juga buat mahasiswa Malaysia Jordan apabila program ISMA bakal dirasmikan oleh Pengarah EMJ yang baru. Sahabat saya, Ustaz Hafiz Dasar yang kebetulan bersama beliau ( Dr Azidan ) dalam satu majlis di Amman kelmarin menceritakan kepada saya bahawa Dr. Azidan kehairanan mengapa perlu dihalang wujudnya persatuan-persatuan yang tidak berasaskan zon dan negeri. Menurut beliau lagi, wujudnya pelbagai NGO mungkin boleh menggalakkan persaingan yang sihat ( di’riwayat’kan oleh Ust Hafiz Dasar ). Sehinggalah terpampangnya surat hari ini di laman MPPJ.

Saya sendiri secara peribadi ( dalam masa yang sama BOLEH MENERIMA pendapat yang berbeza ) merasakan lebih cenderung agar mahasiswa di sini hanya memfokuskan persatuan yang berasaskan zon dan juga badan kebajikan anak negeri masing-masing disebabkan beberapa perkara. Antaranya:-

1.Kepadatan tempoh berada di sini.
Sistem pengajian Jordan yang begitu padat dan membebankan mahasiswa dengan kehadiran ke kelas serta peperiksaan yang berterusan menyaksikan mahasiswa perlu bertungkus lumus membahagikan masa mereka.

Itu belum termasuk pengajian di luar universiti, hubungan dengan masyarakat tempatan yang semuanya memanfaatkan pengalaman yang beharga buat mahasiswa sebelum pulang.
Bagi saya cukuplah dengan keterlibatan dengan persatuan zon yang lebih berperanan menjaga kebajikan akademik dan penempatan dan badan kebajikan anak negeri yang menjaga persaudaraan sesama negeri.

2.Ke arah perpaduan.
Ini juga hujjah yang dipertahankan oleh pimpinan persatuan. Bagi mereka ( dan saya menyokong ) cukuplah ada 2 persatuan yang boleh disertai oleh semua ahli kerana ia berasaskan geografi bukannya berasaskan ideologi ia akan membawa kepada perbezaan yang dikhuatiri membawa perpecahan.

Mengapa saya kata bebas pemikiran mahasiswa? ( FB saya ). Ada yang tidak bersetuju serta menambah ini adalah satu bentuk ketidakterbukaan. Saya setuju ia menyekat kebebasan bagi mereka yang mempunyai pembacaan yang luas, pemikiran yang matang dan pengalaman dakwah bersama jemaah-jemaah di Malaysia dahulu.

Namun, bagi mahasiswa yang baru menjejak ke alam universiti, biarlah mereka menimba ilmu sebanyak-banyaknya dan akhirnya apabila telah matang bolehlah memilih haluan dakwah masing-masing. Ini lebih baik untuk individu dan jemaah itu sendiri.

Pengalaman saya, ramai menyertai jemaah secara ‘ekspres’, akhirnya keluar menjadi golongan yang terlalu ‘anti’ dengan jemaah tersebut dan memburuk-burukkan serta membuka 'rahsia' mereka.

Namun..
Dalam masa yang sama persatuan-persatuan dibawah naungan MPPMJ mestilah mempertingkatkan integriti mereka sendiri dengan bebas daripada mana-mana ideologi politik dan penguasaan mana-mana jemaah dalam persatuan mereka. Mereka juga perlu terbuka dalam menerima pandangan dan kritikan daripada ahli.

Mereka juga mestilah bersifat mesra pelajar terutamannya dalam menangani isu-isu dalam komuniti masing-masing seperti isu akademik, kesedaran belajar, isu ikhtilat dan isu kebajikan mahasiswa. Mereka mestilah matang dari semua aspek berbanding ahli.

Mungkin kewujudan NGO-NGO ini adalah respon mahasiswa yang lebih selesa dengan pendekatan NGO-NGO tersebut berbanding persatuan-persatuan naungan MPPMJ sendiri.

Berkenaan dengan surat MPPMJ tadi, saya tidak pasti apa kesannya.. Yang jelas pendirian MPPMJ dan EMJ mungkin melegakan ramai pihak yang berkhidmat dengan persatuan masing-masing.

Cuma apa yang tak jelas adakah ia memulihkan keadaan mereka yang berada dalam NGO-NGO ataupun jemaah-jemaah untuk

“Oleh itu, pihak MPPMJ berharap semua ahli dapat bersatu di bawah persatuan-persatuan yang telah berdaftar dengan pihak EMJ dan menjadikan persatuan – persatuan tersebut sebagai medan untuk menyumbang tenaga dan bakti, serta mengasah potensi yang ada.”

Mungkin MPPMJ boleh mengambil langkah seperti kami pada tahun 2008?

Namun, saya rasa sukar…

Berusahalah untuk memahami antara satu sama lain. Kadang-kadang memahami bukan hanya dengan bercakap dan dialog, namun dengan cara dan tindakan. Ia lebih berkesan..

Wallahua'lam..

Friday, November 4, 2011

Fiqh Hajj : Sebuah Catatan..



Bercakap tentang Fiqh Hajj, ia sedikit sukar tanpa pengalaman ataupun sekurang-kurangnya praktikal. Ia adalah sebuah fiqh yang sangat teliti dan realiti dari sudut waktu, tempat dan tatacaranya. Alhamdulillah saya antara yang pernah menjadi pilihan Allah untuk menziarahi rumah agungnya. Insyallah, saya akan cuba kongsikan pengalaman tersebut beserta hukum-hakam secara ringkas.

Jika dilihat setiap agama mempunyai tempat suci beserta ritualnya yang tersendiri seperti masyarakat Hindu memuliakan sungai Indus, penganut Buddha memuliakan pohon Bodhi yang dikatakan tempat turunnya 'wahyu' kepada pengasas agama ini. Begitu juga Kristian yang meng’taqdis’kan sungai Jordan yang didakwa sebagai tempat Jesus dibaptiskan. Yahudi pula umum mengetahui bercita-cita tinggi ingin merobohkan baitul maqdis untuk membina Haikal Sulaiman mereka.

Islam pula menjadikan dua tanah suci lagi bersejarah buat ummatnya sebagai tanah haram yang dikhaskan untuk mereka sahaja. Timbul reaksi negetif, islam bukan agama terbuka apabila melarang penganut agama lain memasuki kedua-dua bumi haram itu. Untuk apa datang kalau enggan mengikut syaratnya kelayakkannya. Hanya syahadah sahaja untuk anda memasukinya. Bukannya susah pun.

Apa yang membezakan dengan agama lain, Islam tidak menyucikan segala bentuk objek di tanah haramnya samada ka'bah, hajar aswad ataupun air zam-zam.

Jika ka'bah roboh, ummat islam tetap bertawaf di situ.

Jika air zam-zam kering sekalipun, Mekah tetap dikunjungi.

Jika hajar aswad dicuri,ia langsung tidak akan menjejaskan ibadat haji.

Ini bezanya ummat islam dengan ummat lain. Kita ada prinsip tersendiri dalam agama terutamanya akidah. Ibadat adalah ketaatan kita kepada Allah berdasarkan apa yang diajar oleh baginda s.a.w.

Seterusnya, ibadat haji bermatlamat secara tidak langsung sebagai perhimpunan tahunan ummat. Ibadat dalam islam mementingkan jemaah seperti solat dan kemuncaknya adalah haji, jemaah seluruh dunia.

Yang menarik juga hukum-hakam berkaitan haji sangat tidak ketara perbezaan pendapat antara ulama. Semuanya melaksanakan tatacara ibadat yang satu. Ihram, Tawaf, saie, wuquf.

Samada Sunnah, Syiah, Ibadhi, Salafi, Wahabi, Asyaerah, Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali masih kiblat yang sama. ( tak taulah kalau syiah taqiyyah )

Sebelum Haji
Haji adalah ibadat yang diwajibkan kepada ummat islam dengan syarat kemampuan. Ia terdiri daripada 3 perkara:-
1.Keperluan musafir hingga tiba dengan selamat di tanah suci serta perjalanan pulang.
2.Keperluan ketika ibadat haji termasuk makan, minum, pakaian dan penginapan.
3.Bagi perempuan, disyaratkan mahram di sisi jumhur ulama. Ini juga adalah syarat kerajaan Arab Saudi sendiri untuk mendapatkan visa.

Cuma, bagaimanakah isu bagi mereka yang berhutang?

Haji itu tetap sah, cuma perbuatan tersebut adakah diharuskan atau dilarang? Sebenarnya sunnah baginda tidak menggalakannya maka itulah sebabnya haji disyariatkan hanya sekali seumur hidup serta diharuskan melewatkannya sehingga berkemampuan.

Namun, di zaman kini, jika ingin mengumpul duit mungkin melambat ataupun mengaburkan matlamatnya dan dalam masa yang sama mampu membayar hutang secara berkala seperti pinjaman kereta dan rumah, maka tidak menjadi masalah memilih cara begini. Siapa tahu masa hadapan kita? Sempat atau tidak, larat atau tidak.

Saya pula daripada ditanggung oleh keluarga memandangkan kosnya hanyalah sekitar RM 1,750 ( pekej murah dari Jordan ). Semoga Allah memberkati dan permudahkan urusan mereka untuk menunaikan haji sesegera mungkin.

Pekej Haji
Alhamdulillah, Islam memang mudah, sudahlah hanya diwajibkan sekali. Ibadat haji juga boleh dilakukan dengan tiga cara. Haji Ifrad ( hanya haji ), Haji Tamattu’( dahulukan umrah, kemudian haji ) dan Haji Qiran ( gabungkan ibadat haji dan umrah dalam satu masa ).

Hampir 80% daripada ummat islam melaksanakan haji Tamattu’ kerana dua sebab:-
1.Jemaah boleh bertahalul ( bebas daripada larangan ihram ) setelah menunaikan umrah apabila tiba di Mekah sehinggalah hari ke 9 zulhijjah.
2.Nabi s.a.w melaksanakan haji secara tamattu’ dan haji ini disebut dalam Al-Quran.

Saya bersama beberapa orang sahabat, kami memutuskan untuk melaksanakan haji Ifraq setelah memikirkan haji tersebut tidak dikenakan dam dalam keadaan kewangan kami yang terhad.

Setelah beberapa hari di Madinah, 5 zulhijjah kami bertolak ke Zulhulaifah, pinggir Madinah untuk memulakan ibadat haji. Di sanalah perlu niat untuk memilih pekej haji mana yang ingin dilakukan serta bermulanya pantang larang ( ihram ).



Apa yang membezakan ibadat haji dengan ibadat lain, tatacaranya terdiri daripada rukun dan perkara yang wajib. Jika meninggalkan rukun menjadikan ibadat tersebut tidak sah, meninggalkan perkara yang wajib pula masih sah namun bakal dikenakan dam ( denda ). Ini menjadikan haji sebagai ibadat pantang larang dan memerlukan kecermatan.

Ia bukan isu kesulitan, ia adalah kualiti ibadat. Ibadat yang mungkin dilakukan sekali seumur hidup ini mestilah dilakukan dengan sesempurna mungkin. Di saat ini, semua rukun, wajib, dan sunnat semuanya dilaksana.

Setelah berihram, perjalanan ke Mekah yang mengambil masa sekitar 6 jam, terdetik di hati saya alangkah baiknya jika saya melaksanakan Haji tamattu’. Haji tersebut dimulakan dengan ibadat umrah, setelah selesai jemaah boleh bertahallul iaitu bebas dari pantang larang hinggalah tibanya tarikh haji 9 zulhijjah, barulah berihram kembali untuk ibadat haji pula.

Namun atas sebab ihtiyat ( berhati-hati ), saya membatalkan hasrat tersebut tatkala saya tidak mengetahui hukumnya. Sebenar pada pendapat fuqaha, menukar niat haji Ifrad dan Qiran kepada Tamattu’ tidak menjadi masalah, namun jika sebaliknya tidak dibenarkan ( ruj : Dr Fathullah )

Tiba di Mekah sekitar jam 8 malam dalam keadaan berihram, jemaah-jemaah lain semuanya melaksanakan ibadat umrah untuk ‘bebas’ daripada larangan ihram. Kami pula hanya menunaikan sa’ie haji. Yang masih berbaki hanyalah Wuquf, Mabit, Lontar Jamrah, dan Tawaf.

Pada 8 Zulhijjah, para jemaah sudah pun meninggalkan Masjidil Haram menuju ke Mina. Sunat berada di sana. Mekah lengang buat beberapa hari. Namun, disebabkan keadaan yang sesak saya memilih untuk berada di Mekah lagi. Alhamdulillah, hujan turun. Saya berada dalam situasi masa dan tempat yang paling mustajab untuk berdoa. Saya berdoa dua perkara dalam hidup ini dan Alhamdulillah diqabulkan Allah dalam masa tidak sampai setahun.

9 zulhijjah
Inilah detik haji yang sebenar, semua mazhab bersepakat bahawa berwuquf di Arafah adalah rukun haji, siapa yang terlepas waktu dan tempat maka tidak sah haji. Tempohnya antara Zohor hingga ke Maghrib. Dengan menyewa van kami tiba di Arafah sebelum pukul 11.

Arafah sangat padat, bayangkan sekitar 3 juta ummat islam berada disebuah kawasan yang hanya sebesar sebuah pekan. Bukit Rahmah yang dikatakan pertemuan antara Nabi Adam dan Siti Hawa, bertukar menjadi putih setelah diliputi oleh jemaah haji.



Apabila melihat jumlah jemaah haji daripada bukit tersebut, akan mengingatkan kita sabda baginda bahawa ia adalah keadaan padang mahsyar yang kecil. Itu baru 3 juta. Penduduk bumi kini dianggarkan 6 bilion. Itu di zaman kini, bagaimana pula usia bumi yang dihuni manusia sekitar 15 ribu tahu. Semua manusia beratur untuk dihisab. Moga kita mendapat lindungan arash Allah di sana kelak.

Jamak Taqdim dan Takhir.
Di sini kami solat zohor dan asar secara jamak setelah mendengar khutbah Arafah, Semua sepakat bahawa di Arafah dilaksanakan jamak taqdim antara Zohor dan Asar kemudian Jamak Ta’khir Magrib dan Isyak di Muzdalifah

Setelah maghrib, ramai orang berpusu-pusu meninggalkan Arafah, ada yang berjalan kaki, yang menaiki bas dan ada juga dengan coaster menuju ke Muzdalifah kira-kira 7 km daripada Arafah. Berbeza dengan wuquf di Arafah yang dianggap sebagai rukun, Mabit di Muzdalifah pula dianggap sebagai perkara wajib.

Muzdalifah kawasannya agak berbukit-bukit. Syaratnya hanyalah berada di sana walaupun beberapa detik dan disunnatkan bermalam. Kami pilih bermalam, sebahagian besar jemaah ada yang terus ke Masjidil Haram untuk Tawaf rukun.



10 Zulhijjah.
Pagi esok kami bertolak ke Mina, lokasi yang ketiga yang merupakan syarat wajib bagi urusan haji. Dengan manusia yang berpusu-pusu, kami diarahkan dengan laluan yang satu oleh petugas kerajaan.

Hanya satu tempat perlu dilontar pada hari pertama manakan tiga tempat pada hari berikutnya. Setelah itu kami mencari khemah di Mina. Bayangkan khemah mencecah ratus-ratus ribu, mustahil boleh dicari dengan panduan no 42 ( pada gelang plastik bewarna hijau tua ditangan yang diberikan sewaktu masuk ke Mekah). Setelah puas berjalan, dihalau polis dan tidur dibawah trak bagi mengelak kepanasan, akhirnya kami terlihat sebuah peta yang bewarna warni.

Dengan ijtihad kami, gelang yang bewarna hijau itu mungkin kawasan perkemahan yang dilukis dengan warna hijau yang terletak di atas bukit. Akhirnya benar 'ijtihad' tersebut. Kini kami sudah tahalul awal ( separuh bebas ), ia cukup nikmat dapat mandi dan bersabun serta menanggalkan ihram setelah hampir 6 hari memakainya.



11, 12 dan 13 Zulhijjah
Tempoh ini, para jemaah perlu berada di Mina untuk melontar bagi 3 hari lagi atau 2 hari ( dengan syarat meninggalkan Mekah pada hari tersebut ). Setelah itu barulah boleh bebas sepenuhnya. Cuma bagi kami masih tertinggal satu lagi rukun iaitu tawaf ifadhah terus bergegas ke Mekah melaksanakannya. Setelah itu, kami melaksanakan tawaf wida’ yang juga merupakan perkara wajib sebelum pulang.


Kesimpulan..
Setiap ibadat disebut kesannya kepada mukmin.

Sesungguhnya solat itu mencegah fahsa’ dan mungkar (Surah al-Ankabut: 45)
Solat itu mencegah mungkar, lihatlah kesannya.

Diwajibkan ke atas kamu puasa seperti ummat-ummat terdahulu moga-moga kamu bertaqwa ( Al-baqarah, ayat 183 )
Puasa itu menjadikan manusia lebih takut dalam perintah Allah.

Ambillah zakat daripada harta mereka untuk membersihkan harta tersebut ( At-Taubah : 103 )
Zakat itu menjadikan harta lebih berkat.

Maka haji? Apa yang disebut oleh Allah?

Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu Dengan berjalan kaki, dan Dengan menunggang berjenis-jenis unta Yang kurus Yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) Yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara Yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari Yang tertentu ( Al-Hajj : 27 )

Jika kesan solat mungkin boleh dilihat beberapa minit selepas menunaikan solat.

Jika kesan puasa mungkin boleh dilihat beberapa hari selepas Ramadhan.

Kesan haji pula?

Jika tidak berkesan.. Ada yang tak kena..

Thursday, November 3, 2011

Ikhtilat : Satu Penilaian dan Pertimbangan.



Dahulu semasa di Universiti Mu’tah, saya masih ingat cabaran Dr Ahmad Rawasydah kepada mereka yang sangat keras dalam isu ikhtilat, apakah dalil yang menyatakan Iktilat itu haram?

Kelas riuh rendah. Ramai yang berebut mengangkat tangan. Ada yang membaca ayat ‘la taqrabu zina’. Ada mendatangkan hadith jika seseorang perempuan itu bersama dengan lelaki yang bukan mahram berdua-duaan, maka syaitan adalah yang ketiga.

“ Kalau macam tu, korang semua balik rumah, jangan datang universiti”

Beliau menambah lagi, semua dalil yang diberi itu tiada langsung menunjukkan HARAMNYA IKTILAT SECARA ZAT.

Sememang zina haram secara zat kerana dalil dan mudharatnya jelas. Begitu juga dengan Khalwat antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Namun ikhtilat, jelaskah dalilnya? Jelaskah situasinya sebelum menghukum? Jelaskah kesannya?

Dalam menghukum tiga perkara yang perlu diteliti:-
1.Isu yang ingin dihukumkan.
2.Dalil yang ingin didatangkan.
3.Hukum yang ingin dikeluarkan.

Semuanya mesti JELAS dan KUKUH jika anda ingin berkata HARAM.. HARAM.. HARAM..
Mari kita hurai satu persatu.

Ikhtilat adalah isunya, namun bagaimana bentuk dan situasinya. Ikhtilat dalam kelas untuk belajar? Ikhtilat ketika bermesyuarat dan bekerja? Ikhtilat makan bersama-masa di Popeye atau KFC ( dating )? Masing-masing mempunyai situasi yang berbeza-beza.

Kemudian dalil yang ingin digunakan. Sarihkah ( JELAS ) ia? Sahihkah ia? Jika mendatangkan dengan dalil mudharat, JELASkah kadar kemudharatan itu?
Dalam syariat, menjatuhkan HARAM mesti didatangkan dalil yang SARIH dan SAHIH.

Akhir sekali, Hukum yang ingin dikeluarkan. Jika HARAM adakah ia haram secara zat atau HARAM disebabkan perkara lain atau dikenali sebagai haram lighairihi.

Ia bukan dilevel yang sama dan ada sebab mengapa perlu dibezakan..

Haram secara zat seperti daging babi, perbuatan zina, minum arak yang mana zatnya sudah haram ia tidak akan menjadi harus melainkan:-

Dharurat.. Jika tidak melakukan akan membawa kepada kematian.

Haram lighairihi ( disebabkan faktor lain ) pula asalnya adalah HARUS cuma disebabkan ia mendatangkan kesan yang buruk atau membawa kepada perkara yang HARAM maka ia diharamkan. Umpamanya meminang tunang orang lain atau menjadi penulis, saksi dalam urusan riba.

Jika dharurat mengharuskan haram secara zat, Haram secara lighairih diharuskan dalam beberapa keadaan:-

1.Hajiat.. Jika meninggalkannya akan menyebabkan kesulitan dan kesusahan. Umpamanya pekerja di bank konvesional yang hanya bertugas sebagai office boy, pak guard, pencatit, jika mereka berhenti kerja menyebabkan kehilangan sumber pendapatan dan sukar untuk mencari kerja lain maka diharuskan dengan syarat-syarat tertentu seperti berusaha juga mencari kerja lain.

2.Maslahat lebih besar,jelas dan lebih berbentuk jangka panjang daripada mudharat yang kecil, kabur dan bersifat jangka masa pendek ..

Umpamana mewujudan kuliah Syariah di Universiti. Jika dilihat suasana ikhtilat di universiti sentiasa wujud, namun jika kita mengambil langkah tidak mewujudkan kuliah syariah akan mendatangkan kesan yang lebih besar seperti:-

1.Ilmu syariah tidak dijadikan dalam bentuk pengkhususan akademik yang boleh memberi manfaat kepada negara, masyarakat dan mereka yang mendalami ilmu itu sendiri dari segi kerjaya.
2.Kewujudan pengajian syariah dan pelajarnya boleh membina biah solehah sekaligus menjadikan universiti adalah tempat ilmi lagi berkat.

Maka, kesimpulannya Ikhtilat dilevel kedua. Haramnya disebabkan perkara lain seperti membawa kepada khalwat dan zina.

Satu Cadangan di Bumi Mafraq.
Jika kita dalam usaha mewujudkan perbincangan ilmiah, kerja-kerja yang berbentuk tanggungjawab sosial dan usaha-usaha merapatkan kekeluargaan serta persaudaraan, semua itu mendatangkan manfaat yang lebih BESAR dan JANGKA PANJANG, jangan korbankannya hanya kerana IKHTILAT secara total..

Ia boleh dipulihkan.. jangan terburu-buru.. bagi panduan..

Penyelesaian jangka masa pendek : Kempen anti ikhtilat secara besar-besaran, tuliskan dalil-dalil pengharamannya banyak-banyak dan ‘mention’ kan perkataan IKTILAT besar-besar agar semua orang fobia dengannya.

Penyelesaian jangka masa panjang : Wujudkan kesedaran menuntut ilmu dan tekankan matlamat serta motivasi dalam menuntut ilmu hingga memwujudkan biah ilmiah. Apabila wujudnya biah ilmiah ia akan membentuk biah solehah dan akhirnya insyallah akan berkurang nilai-nilai negetif dalam komuniti pelajar.

Tidak semestinya semua penyelesaian perlu diatasi secara langsung.

“ Ustaz, Ini adalah HARAM, perkara HARAM ini ketentuan Allah, kita tidak boleh memandai-mandai”

Don’t grow old, grow up..

Kita dah tahu sejarah kita yang dahulu bagaimana.. Belajar daripada sejarah.

p/s : Cuba faham apa yang orang maksudkan dengan membaca tulisan mereka secara terbuka bukan membaca dengan mulut dan mata sahaja.. tapi dengan kefahaman akal dan keterbukaan hati..