Friday, October 28, 2011

Kalah Psikologi Sebelum Mengubah


Dalam menilai sesuatu isu samada yang berlaku dahulu, kini dan akan datang, sebagai mereka yang mengaku menyembah Allah yang satu dan mengikuti Rasul yang satu seharusnya tidak mengabaikan petunjuk wahyu iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Al-Quran dan As-sunnah bukan hanya berkaitan dengan hukum-hakam semata-mata. Ia merangkumi semua aspek. Ketuhanan, sejarah, asal usul manusia, kisah-kisah ummat terdahulu dan jalan kejayaan dunia akhirat. Semua itu membawa tujuan yang satu iaitu sebagai PETUNJUK buat manusia. Bukan hanya PETUNJUK bagi baginda s.a.w dan mereka yang sezaman dengan baginda sahaja, bahkan sepanjang zaman.

Menilai isu ummat islam diwaktu ini mestilah juga berasaskan kedua-dua sumber ini. Samada ia disebut dengan jelas ataupun memerlukan pentafsiran dan pemerhatian yang teliti.

Fenomena Menyalahkan Yahudi.
Tidak dinafikan Yahudi atau Israel sangat berkuasa sekarang. Mereka mendapat perlindungan daripada Abang Long Amerika. Dengan kecerdikan dan kelicikan, walaupun demgan populasi yang kecil, mereka mampu mengubah dan mengucar kacirkan suasana dunia samada dari sudut politik dan ekonomi.

Namun jangan lupa mereka juga adalah makhluk ciptakan Allah. Mereka adalah manusia yang mempunyai kelemahan. Jika mereka merancang, Allah juga yang menentukan. Sehebat mana pun perancangan, mereka bukan Tuhan untuk menjadikan segalanya berjaya.

Mereka juga manusia yang diciptakan akal dan tabiat yang berbeza-beza yang tidak mungkin akan sentiasa bersatu dalam semua keadaan. Mereka sendiri berpecah di tanah haram tersebut. Ada yang bangkit menentang kerajaan dan ada yang meninggalkan negara zionis itu.

Begitu juga kehebatan ketenteraan, akhirnya dimalukan oleh HAMAS dan Hizbullah. Dalam ekonomi, negara mereka juga mengalami kemelesetan ekonomi semenjak intifadha Palestin hingga kini yang akhirnya membawa kepada kebangkitan golongan muda menentang kerajaan sama seperti negara arab.

Tatkala perang Lubnan Israel meletus pada tahun 2006, ada dikalangan mereka yang mendakwa itu semua adalah perancangan licik Yahudi yang berpakat dengan Syiah, maka adalah HARAM menyokong dan menyumbang bantuan kepada rakyat Lubnan. Itu semua adalah lakonan.

Hebatnya skrip mereka.. Seolah-olah mereka adalah Tuhan..

Saya tidak tahu mengapa dan apa untungnya ummat islam mempunyai pemikiran seperti ini.

Lihatlah bagaimana baginda s.a.w bertaamul dengan Yahudi di Madinah. Bukan baginda tidak tahu perancangan mereka. Namun, baginda s.a.w melayan dengan zahir. Yang selebihnya terserah kepada Allah. Akhirnya Allah membuka jalan dengan membawa kepada kemenangan ummat islam terhadap mereka. Ini disebut dalam surah Al-Hasyr.

Dia lah Yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli Kitab - dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. kamu (Wahai umat Islam) tidak menyangka Bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya Yang ramai dan pertahanannya Yang kuat), dan mereka pula menyangka Bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah Yang tidak terlintas Dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke Dalam hati mereka, (Lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka Dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang Yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) Wahai orang-orang Yang berakal fikiran serta celik mata hatinya. ( Al-Hasr : 2 )

Hadith-hadith akhir zaman.
Begitu juga salah faham yang melanda ummat islam terhadap kefahaman hadith-hadith peristiwa akhir zaman. Antaranya akhir zaman digambarkan dengan keadaan ummat islam seperti buih, amanah dan pemerintahan diberikan kepada orang yang khianat, ilmu ditarik balik dengan kematian ulama, maksiat berleluasa dan Islam dilihat sebagai satu yang asing dikalangan ummatnya.

Akhirnya ummat islam ‘tunduk’ dengan Yahudi. Malang yang menimpa ummat islam itu dilihat semuanya perancangan Yahudi seolah-olah ummat islam tidak mampu melawan mereka. Akhirnya mereka hanya menunggu sahaja ketibaan Imam Mahdi. Ntah tiba atau tidak.

Mereka lupa bahawa di sana terdapat hadith-hadith yang mendatangkan berita gembira pada ummat islam di akhir zaman. Antaranya:-
1.Pembukaan Roma setelah Konstantinople ( Istanbul ).
2.Kemenangan ummat islam dipelusuk dunia.
3.Kekuasaan ummat kembali kepada pemerintah yang adil.

Maka, kefahaman terhadap hadith akhir zaman harus difahami bahawa seteruk mana keadaan dan cabaran yang menimpa ummat islam ia mestilah diUBAH oleh mereka sendiri. Jika mereka berusaha mereka akan mencapai kemenangan yang besar seperti yang dijanjikan oleh baginda s.a.w.

Ummat islam diperintah oleh pemerintah yang zalim berdekad-dekad, mereka yang perlu mengubahnya!

Ummat islam dikalahkan oleh Israel, mereka yang perlu bangkit melawan bukannya membuang masa dengan spekulasi-spekulasi kosong.

Sebenarnya kita sudah kalah dari sudut psikologi sebelum berjuang dan mengubah..

Saturday, October 22, 2011

Dilemma Konflik Arab : Bukan Sekadar Demonstrasi



Lama juga saya tidak menulis tentang perkembangan politik dan konflik di timur tengah. Hingga saat ini Ben Ali ( Tunisia ) telah pun dijatuhi hukuman penjara, Mubarak ( Mesir ) masih dikandang pesalah, dan yang terbaru dan mungkin sedikit menghibakan hati kemanusiaan kita, Gaddafi yang berjaya dijejaki kemudian diseret, dipukul, merayu agar tidak dibunuh akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir.

Saya yakin, perkembangan ini turut memberi kesan kepada pemerintah-pemerintah yang lain terutamanya Abdullah Saleh di Yaman dan Basyar Assad di Syria. Semakin mereka menggunakan kekerasan, semakin besar apa yang perlu mereka tanggung kelak.

Sehingga hari ini sukar untuk memperkatakan apa yang berlaku di sana apatah lagi untuk menghukum siapa yang betul dan siapa yang bersalah, tindakan siapa yang betul dan cara siapa yang salah.

Ataupun kita perlu pergi kepada persoalan yang sering juga ditimbulkan. Adakah ia adalah satu kebangkitan mulia arab menentang kezaliman pemerintah dan menegakkan hak-hak mereka?

Atau adakah ia satu muslihat perancangan barat dan musuh islam yang mencari ruang untuk mengekspolitasikan keadaan di negara-negara tersebut demi kepentingan mereka? Al-Makruf dunia islam memang di’kaya’kan Allah dengan hasil bumi.

Sebab itulah menilainya bukan sekadar menerima bulat-bulat apa yang dilaporkan oleh Al-Jazeera, BBC dan CNN. Jika si fasiq yang membawa berita pun diperintahkan oleh Allah agar disiasat apatah lagi kuffar.

Sebabnya jelas agar kita tidak tersilap untuk menghukum.

Adakah rakyat yang silap kerana mengambil langkah keluar beramai-ramai mendesak pemerintah mereka agar turun?

Atau pemimpin yang silap atas tindakan mereka yang terburu-buru menangani kebangkitan rakyat?

Atau kedua-duanya yang gagal menyedari wujudnya pihak ketiga yang sentiasa menanti kehancuran daulah mereka.

Sekebal-kebal mana pun diktator, mereka akan runtuh juga dengan kuasa rakyat.

Seteguh mana pun rakyat di saat keluar menggulingkan pemerintah mereka, ia belum tentu menjamin keteguhan negara selepas itu.

Ia bukan sekadar mengeluarkan hukum berkaitan demonstrasi. Ia lebih daripada itu.

Mungkin ini yang dirasakan oleh para sahabat tatkala fitnah melanda mereka.

Saidina Muawiyyah r.a. di Syam enggan membai’ah Saidina Ali sebagai khalifah selagi pembunuh khalifah sebelum ini tidak ditangkap dan didakwa. Membiarkan mereka bebas ibarat bersekongkol dengan kezaliman.

Saidina Ali k.w di Madinah pula dalam dilemma. Bagaimana ingin mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat yang termasuk dikalangan orang yang membai’ah beliau sendiri. Apatah lagi dalam keadaan politik yang tidak stabil, khalifah mesti menghitung sifir mudharat mana yang lebih teruk kesannya.

Tiba-tiba datang sepasukan tentera dari Mekah dipimpin oleh Ummu Mukminin Saidatina Aisyah dan disokong oleh beberapa orang sahabat menuju ke Madinah bagi menjalankan kewajipan amar ma’ruf nahi mungkar mengheret mereka yang terlibat dengan pembunuhan Saidina Uthman. Tindakan bersendirian setelah melihat khalifah buntu.

Berlakulah dua peperangan antara tiga pihak atas dasar mempertahankan prinsip masing-masing. Bukan orang biasa yang terlibat dan terbunuh. Dikalangan mereka adalah sahabat.

Di samping itu ada sahabat yang keliru dengan apa yang berlaku lantas mengambil pendirian untuk menjauhkan diri daripada fitnah yang melanda politik negara. Mereka hanya berserah kepada Allah.

Sehingga ke hari ini, apabila menyentuh bab ini, ulama-ulama semuanya bertawaqquf.. Tidak menghukum siapa yang benar dan siapa yang salah.

Dalam keadaan sekarang, siapa yang tidak mengimpikan keamanan, keadilan dan ketelusan di negara-negara masing. Jika dengan keluar beramai-ramai sahaja caranya, ia adalah satu peluang buat rakyat menjatuhkan regim-regim mereka yang bertahun-tahun bahkan ada yang mencapai berpuluh-puluh tahun melayan mereka sebagai hamba dan binatang
.
Namun, kita juga merasa bimbang mata-mata yang sedang menanti untuk meratah negara-negara tersebut.

Mustahil USA, Britain, Perancis dan negara barat ‘ikhlas’ membantu rakyat di negara ummat islam.

Mustahil Israel hanya berdiam diri dengan apa yang berlaku disekelilingnya.

Kita semua dalam dilemma dan keliru..

Moga Allah berikan petunjuk.. Amin

Monday, October 17, 2011

Islam Tidak Menunggu Penyelamatnya


Beratus-ratus tahun ummat Yahudi menunggu utusan yang dijanjikan sebagai pemimpin merangkap penyelamat agama dan bangsa mereka. Ummat yang diberi kemuliaan oleh Allah s.b.t dengan sebahagian besar daripada nabi-nabi adalah dikalangan mereka ini masih menunggu Nabi yang terakhir.

Perangai buruk bangsa ini, jika rasul yang diutuskan itu tidak memenuhi ‘selera’ mereka, pasti akan didustakan bahkan dan ada yang dibunuh. Apabila Allah mengutuskan Nabi Isa a.s setelah begitu lama mereka dijajah dan ditindas oleh pemerintah Rom, mereka pula yang mendustakan, memfitnah dan menghasut pemerintah agar membunuh baginda a.s.

Setelah itu mereka menanti lagi. Ada dikalangan mereka yang sanggup berhijrah beribu-ribu batu merentasi padang pasir ke Yathrib ( madinah ) setelah mendapat pengkhabaran nabi terakhir bakal muncul di sana. Namun akhirnya kecewa apabila nabi tersebut dari kalangan bangsa Arab lantas mendustakan bahkan pernah cuba membunuh baginda s.a.w.

Hingga hari ini mereka menanti penyelamat yang dikenali sebagai Messiah itu yang dikatakan bakal menjadi pemimpin mereka di akhir zaman.

Lain pula agama kristian, kedatangan Jesus disambut sebagai penyelamat kepada manusia. Jesus datang membawa ajaran kasih sayang Tuhan kepada mereka. Pada mulanya beliau dianggap sebagai Rasul, namun setelah ketiadaanya, muncullah bid’ah yang paling besar dalam agama ini. Jesus dianggap sebagai anak Tuhan yang datang ke bumi untuk menebus dosa manusia. Menurut versi mereka lagi, Jesus mengorbankan diri dengan merelakan dirinya disalib.

Seperti Agama Yahudi, agama penganut kristian juga menunggu kehadiran Jesus buat kali kedua untuk memimpin mereka. Jesus dikatakan akan turun kembali ke bumi dengan memerangi Yahudi serta membawa misi keamanan kepada masyarakat dunia.

Syiah Imamiyyah pula, salah satu mazhab akidah dalam Islam turut mempunyai dotrin yang tersendiri dalam menanti kehadiran penyelamat. Mereka beriman bahawa 12 Imam-imam mereka melalui keturunan Saidina Hussin adalah maksum daripada dosa sama seperti Nabi. Kebanyakan daripada mereka ditindas bahkan dibunuh oleh pemerintah Umawiyyah ketika itu hinggalah Imam yang ke 12, Imam Mahdi turut diburu dan bersembunyi ditempat yang tidak diketahui.

Syiah percaya bahawa beliau akan muncul diakhir zaman memimpin mereka dan menegakkan keadilan serta menghukum mereka yang menzalimi keluarga baginda s.a.w.

Mengapa semua memerlukan penyelamat?
Yahudi, Kristian dan Syiah percaya penyelamat ini akan datang sebagai pemimpin mereka menguasai dunia dan menewaskan musuh-musuh agama. Selain itu, penyelamat ini akan menyempurnakan saki baki agama mereka. Umum mengetahui kitab-kitab suci agama yahudi dan kristian terlalu banyak versi sehingga diragui oleh mereka sendiri. Mereka memerlukan kitab baru yang bakal didatangkan bersama dengan penyelamat mereka.

Syiah pula percaya bahawa Al-Quran yang ada sekarang hanyalah 1/3. Baki 2/3 yang dikenali sebagai mushaf Fatimah ada dalam simpanan Imam mereka yang terakhir itu.

Bagaimana pula dengan Islam aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah?
Kita yakin Islam telah sempurna dengan dua sumber yang sentiasa menjadi panduan tertinggi agar ummah tidak sesat iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Allah berjanji bahawa Al-Quran termasuk kandungan, susunan, ayat bahkan bentuk tulisan kekal asli seperti mana di zaman Rasulullah s.a.w. Sunnah pula walaupun ia tidak disebut oleh Allah secara langsung, namun usaha dan kejuhudan ulama zaman berzaman menjadikan sumber kedua islam ini turut terpelihara.

Dengan kedua-dua sumber agama ini yang terpelihara serta kelahiran ulama yang silih berganti menjadikan agama kita tidak memerlukan penyelamat untuk menyempurnakanya.

Penyelamat Yang Memimpin Kemenangan Islam.
Begitu juga dalam perjuangan menegakkan islam, mereka sendiri yang perlu berkorban dan berjihad. Berkenaan dengan kedatangan Imam Mahdi, ada dikalangan ulama yang menolak hadith berkaitan dengannya. Selain daripada kedudukan hadith tersebut, ulama risau kefahaman yang salah terhadapnya menjadikan ummat islam malas berjuang atas alasan
‘Imam Mahdi belum tiba lagi, maka tiada kemenangan’
Sirah Nabawiyah jelas memberi petunjuk kejayaan baginda s.a.w menegakkan islam selama 23 tahun bukanlah melalui keajaiban. Ia melalui sunatullah dan aturan alam untuk berjaya. Matlamat, perancangan, usaha, kesabaran, kebijaksanaan, jatuh bangun, itulah yang mewarnai perjuangan baginda.

Baginda s.a.w dicemuh dan dihina tatkala mula-mula mengajak penduduk Mekah kepada Islam. 13 tahun berlalu dengan pengikut terdiri daripada golongan miskin, dhaif dan hamba..

Tatkala mencuba haluan baru berdakwah di Taif, tiada seorang pun yang berminat bahkan menhujani kedatangan baginda s.a.w dengan batu.

Diburu, terpaksa melalui jalan yang jauh, serta bersembunyi di dalam gua selama beberapa hari ketika ingin berhijrah ke Madinah

Dikalahkan dalam perang Uhud setelah beberapa tahun mencapai kemenangan dalam Perang Badar. 2 batang gigi baginda patah.

Membangunkan daulah Islam di Madinah dengan sikap berhati-hati terhadap Yahudi dan Munafiq yang sentiasa mengintai peluang mengkhianati baginda s.a.w.

Saat hidup dan mati tatkala berhadapan dengan Barisan Nasionalis Arab yang berhasrat men’ganyang’ Madinah. Mujur kebijaksanaan tentera muslimin memasang strategi bertahan dengan lingkaran parit melemahkan semangat musuh.

Itulah liku-liku perjuangan baginda s.a.w dalam menegakkan kalimah Allah di bumi ini. Tidak seperti Nabi-nabi lain yang dikurniakan dengan pelbagai mukjizat dalam mengajak manusia kepada Allah serta menewaskan musuh-musuhNYA, baginda s.a.w melalui perjuangan yang tidak ‘ajaib’.

Hikmahnya jelas bahawa jika ummat baginda s.a.w inginkan kemenangan dan kedaulatan islam, proses yang sama mesti dilalui sama seperti baginda s.a.w.
Ia tidak hadir dengan keajaiban atau kedatangan penyelamat.
Ummat islamlah penyelamat agama mereka.

*Kedatangan Imam Mahdi bukanlah merupakan salah satu akidah qatie’ yang yang boleh menjejaskan iman ummat islam jika tidak percaya kepadanya.

Saturday, October 15, 2011

Jom Belajar Fiqh



Alhamdulillah, minggu lepas selesai sudah diskusi fiqh secara berkelompok yang disertai oleh Aizuddin, Izzi, Muin, Ammar, Harith dan kadang kala dihadiri oleh Ustaz Hafiz Dasar, Ustaz Auni dan Ustaz Amer Huzaifah. Berikut adalah antara aktiviti kami.

Hari pertama ( ahad )
Diskusi dimulakan dengan membincangkan 3 perkara asas iaitu:-

1.Mengapa memilih bidang fiqh?

2.Apakah lapangan bidang fiqh?

3.Keperluan yang perlu ada sebagai persedian mendalami bidang fiqh?

Hari pertama diakhiri dengan tugasan setiap peserta mesti bertanyakan sekurang-kurangnya 2 soalan kepada mana-mana pensyarah kuliah syariah. Soalan adalah bebas namun mesti berkaitan dengan hukum-hakam.

Hari kedua ( selasa )
Diskusi hari kedua menyentuh perkara berikut:-

1.Hakikat hukum. Apakah erti dan kesan apabila seseorang itu bercakap tentang hukum?

2.Bagaimana ingin membina hukum daripada dalil dan kaitan antara kedua-duanya.

3.Keperluan mengkaji dan menilai kefahaman ulama terhadap sesuatu dalil.

Setelah itu, kami turut berdiskusi hasil soalan-soalan yang sempat ditanya kepada pensyarah. Untuk hari yang seterusnya kami bercadang untuk berkenalan dengan kitab-kitab fiqh di maktabah Quraisy.

Hari ketiga ( khamis )
Perancangan terpaksa diubah disebabkan kekangan masa. Kami meneruskan diskusi seperti biasa di Café Ghazali. Antara persoalan yang dibincangkan:-

1.Memahami perbezaan pendapat dikalangan ulama dan cara berinteraksi denganya.

2.Konsep aplikasi hukum, merujuk kepada keperluan seseorang itu menilai kesan,
situasi dan keadaan sebelum mengeluarkan hukum.

Untuk mengantikan slot kitab, saya memberikan kepada peserta sulur galur kitab mazhab Syafie yang dihasilkan oleh Ustaz Mahadi Bin Mohammad.

Dalam tempoh 30 minit dan 3 hari. Saya tidak pasti kesannya terhadap peserta secara detail, namun saya seronok melihat pengalaman pelajar berinteraksi dengan pensyarah. Ada yang pensyarah tersalah faham soalan, ada yang menjawab dengan begitu syadid hingga mengelirukan peserta, ada juga yang enggan menjawab dan menyuruh agar merujuk pensyarah lain.

Itu semua adalah perkara biasa. Yang penting kita perlu menyedari bahawa antara HORMAT kepada pensyarah dan MENILAI pendapat mereka adalah dua perkara yang berbeza. Sikap yang paling buruk adalah di saat mendapat jawapan daripada pensyarah yang lain daripada selera kita, terus mengulasnya hingga melupakan adab menuntut ilmu. Lebih parah lagi apabila melebel pensyarah dengan lebel-lebel tertentu.

Sebab itulah, solusinya kita perlu merujuk kepada ramai pensyarah agar:-

1.Mendapat gambaran yang lebih jelas terhadap sesuatu hukum.

2.Memahami bagaimana pensyarah melihat sesuatu masalah fiqh dari konteks yang berbeza.

3.Mampu memilih pendapat yang sesuai jika ada orang lain pula yang bertanyakan kepada kita perkara yang sama.

4.Mengelak daripada taksub atau sikap tidak beradab kepada pensyarah-pensyarah tertentu.

Sedikit coretan pengalaman belajar fiqh.
Alhamdulillah, lencongan saya ke Mu’tah ada hikmahnya. Sekitar tahun 2005,2006 dan 2007, universiti tersebut dilimpahi dengan ulama-ulama yang hebat. Begitu juga persekitaran pelajarnya. Saya berpuas hati hasil kalana saya selama 3 tahun 4 bulan di sana.

Apa yang saya dapat coretkan untuk panduan pelajar fiqh diperingkat BA adalah seperti berikut:-

1.Matlamat belajar fiqh mestilah TEPAT dan JELAS. Adalah tidak mencukupi jika matlamat hanya sekadar belajar agama. Ia mesti diperincikan lagi untuk apa dan bagaimana. Dengan JELASnya MATLAMAT, perjalanan kita makin PANTAS menghiraukan suasana sekeliling dan kita akan menjadi KUAT apabila berhadapan dengan kesulitan dalam menuntut ilmu.

2.Tidak dapat tidak mesti memulakan dan menguasai ILMU-ILMU ASAS fiqh. Antaranya ilmu madkhal, usul hadith, usul fiqh, ulum Quran dan tidak lupa juga bahasa arab. Mengabaikannya akan memberi KESAN yang besar apabila mempelajari subjek fiqh nanti.

3.Fiqh adalah kefahaman terhasil daripada AKAL yang merupakan keunikan ciptaan Allah buat manusia. Maka, sikap yang perlu ada pada pelajar fiqh adalah MENERIMA perbezaan pendapat dengan penuh BERADAB dan MENGHORMATI mereka samada daripada golongan mazhab empat yang berbeza, kelompok salafi ataupun tradisional.

Apabila selesai membetulkan MATLAMAT, SIKAP dan menguasai ILMU-ILMU ASAS. Pelajar perlu menyedari bahawa bidang ini adalah mengkaji semua perbuatan manusia dari sudut hukum. Maka, mereka mesti mencari, bertanya dan berlatih menjawab soalan fiqh. Tempoh 3-4 tahun terlalu suntuk. Mustahil hanya bergantung kepada universiti.

Apa yang saya lakukan tatkala tahun 2 di Uni.Mu’tah, selain daripada berusaha menguasai subjek pengajian, saya berusaha juga mendisiplinkan diri bertanya hampir setiap hari hukum hakam dengan pensyarah.

Ingin saya yang kerdil ini menasihati rakan-rakan seperjuangan dalam menunut ilmu fiqh bahawa:-

1. HUKUM itu hak milik Allah secara mutlak. Jika menyebutnya kepada orang yang bertanya dalam keadaan jahil kesan daripada sikap kita diwaktu belajar, kita menanggung DOSA tidak amanah kepada ilmu dan DOSA orang yang mengamalkannya.

2. Mustahil bagi pelajar fiqh merasa selesa dengan KEJAHILAN diri. Merasa jahil itu adalah sepatutnya ketika belajar agar terus menerus mencari ilmu. Namun jahil setelah belajar tatkala ingin menyumbang kepada masyarakat bakal mengundang bencana kepada diri.

Walaupun bidang fiqh diceburi oleh ramai orang, saya percaya hanya Allah sahaja yang memilih hamba-hambanya yang FAQIH.. yang faham DALAM agama.

Barang sesiapa yang Allah inginkan kepadanya kebaikan akan difahamkannya dalam agama ( hadith )

Disamping usaha jangan lupa doa...

Jom sertai group fiqh..

Wednesday, October 12, 2011

Sifir PERUBAHAN...



Husam adalah mahasiswa tahun satu salah sebuah universit di Mesir. Beliau adalah seorang anak muda yang berpegang teguh dengan tuntutan agama.

Hari pertama Husam di universiti, setelah selesai kelas, beliau mencari surau atau masjid di universiti tersebut. Alangkah terkejutnya, setelah bertanyakan kepada mereka di sana, semuanya kepelikan dan tidak mengetahui jika Universiti tersebut mempunyai sebuah masjid. Akhirnya, seorang tukang kebun telah membawa beliau ke sebuah bilik bawah tanah yang kecil dan agak sedikit kotor.

“ Ini sahaja surau yang disediakan oleh pentadbiran”

“ Macam mana saya ingin solat dalam bilik yang kotor dan kecil sebegini. Jika solat pun pasti tidak dapat dilakukan secara berjemaah”

Husam menolak, beliau berjalan hingga ke dataran lapang di tengah-tengah Universiti. Apabila masuk waktu zohor, beliau melaungkan azan. Semua orang yang lalu lalang kepelikan. Ada yang melihat dengan keadaan terbeliak mata, ada berbisik-bisik mengumpat dan tidak kurang juga ada yang menyindir.

Setelah selesai azan, beliau menunggu beberapa minit, mengharapkan mungkin ada dikalangan mereka akan menyertai sama bersolat. Namun ia penantian itu benar-benar hampa. Akhirnya Husam solat bersendirian.

Hampir seminggu Husam melakukan perkara yang sama berseorangan. Namun, ejekan, sindiran dan kepelikan dari kalangan mereka yang lalu lalang semakin berkurangan. Akhirnya, datang tukang kebun menyertai beliau.

Hari berlalu, minggu berlalu, semakin lama semakin ramai yang menyertai. Ia tidak lagi menjadi suatu yang asing.

Hinggalah sampai kepada pengetahuan pihak pentadbiran lantas memanggil Husam.

“Kami telah menyediakan surau, mengapa kamu solat di tengah-tengah dataran universiti”


“ Bagaimana kami boleh solat dalam stor yang kecil dan kotor itu?”

“ Solat adalah tiang agama, azan pula adalah syiarnya agar semua manusia kembali mengingati Allah dalam kesibukan mengejar urusan dunia apatah lagi disebuah universiti di negara islam”

Akhirnya setelah didesak, pihak Universiti membina sebuah masjid baru yang lebih besar dan yang paling penting suara azan berkumandang di institusi tersebut menandakan syiar islam masih lagi kedengaran.

Kisah tersebut tersebar ke universiti dan kolej-kolej lain yang akhirnya membawa kepada tuntutan perkara yang sama hinggalah wujud rumah Allah di tempat pengajian masing-masing.

Kisah ini diceritakan oleh seorang penceramah dalam program agama channel Iqra’ TV.

Pengajaran:-
1.PERUBAHAN memerlukan gabungan IDEA yang terbit dari akal, KEINGINAN yang terpahat di hati, dan yang paling penting USAHA PERBUATAN.

2.PERUBAHAN tidak akan datang mengejut tanpa bermula daripada langkah yang satu dan USAHA yang KECIL.

3.PERUBAHAN juga mustahil terjadi tanpa USAHA yang BERTERUSAN.

4.PERUBAHAN pasti melalui saat KRITIKAN, SINDIRAN dan KEPELIKAN bagi mereka di sekeliling. Hanya mereka yang MALU bertempat sahaja yang mampu melakukannya.

Akhirnya perubahan menghasilkan suasana atau apa yang dinamakan BI’AH. Ia terbina daripada kesedaran di lubuk hati manusia bukannya paksaan.

Sebab itu ada beza antara PROGRAM Ilmiah dan BI’AH ilmiah

Manusia tidak bergerak dengan AKAL yang tahu namun dengan HATI yang sedar

Saturday, October 8, 2011

Setahun Berlalu Dengan Penuh Erti



9 Oktober, genap setahun saya dan isteri melalui detik yang bersejarah dalam hidup kami. Menempuh satu fasa hidup yang penting buat seluruh manusia demi memenuhi fitrah kejadian yang ditetapkan oleh Yang Esa.

Ikatan yang telah setahun berlalu dengan kebahagian.

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Menceritakan tentang perjalanan kami, ia bermula di Pusat Matrikulasi UIA. Detik Febuari 2006, kami berkenalan dan akhirnya cinta bertaut di hati.

Namun terpaksa berjauhan tatkala saya memilih untuk merantau menimba ilmu di bumi Syam. Perkiraan saya, ia lebih cepat untuk menamatkan pengajian berbanding kuliah undang-undang di UIA. Apa yang lebih penting juga, mereka yang bercinta sebelum kahwin memerlukan kekuatan untuk membina batasan agar tidak terjerumus ke lembah maksiat. Harapan saya saat itu, biarlah kami jauh di mata walaupun sukar untuk jauh di hati.

Saya berusaha setakat yang mampu. Pada tahun 2008 saya pulang dengan niat menyatakan hasrat kepada kedua-dua keluarga. Walaupun mustahil menyakinkan diri sendiri dan keluarga untuk mendirikan rumah tangga di saat itu, namun cukuplah mereka mengetahui niat dan perancangan kami. Yang selebihnya moga Allah permudahkan.

Awal tahun 2010 berakhirlah kelana saya di bumi Jordan selama 3 tahun 4 bulan. 1 Mei sebagai tarikh pertunangan dengan 5 bulan sebagai persiapan terakhir.

Akhirnya detik 9 oktober berlalu jua.. Membina gerbang perkahwinan..

Isteriku..
Seperti yang disebut oleh baginda s.a.w. perempuan itu dinikahi dengan empat sebab.
Kecantikan.. Kekayaan.. Keturunan.. dan Agama.. Maka pilihlah agama..

Dan saya mengikuti panduan Rasulullah s.a.w. ini berdasarkan zahir dari segi pakaian, akhlak dan pergaulan. Yang penting juga adalah persetujuan keluarga saya.. Selebihnya moga Allah membuka istikharah buat hati saya.

Alhamdulillah, saya rasai nikmatnya memilih isteri kerana agama.

Cabaran dan Masa Depan.
15 Januari 2011, saya datang kembali ke Jordan bersama isteri tersayang. Kembara ilmu yang lebih tinggi kali ini benar-benar satu cabaran dan ujian buat kami.

Dengan isteri yang berusaha membiasakan diri dengan pengajian dan suasana hidup, ia benar-benar satu ujian buat dirinya dan saya berusaha untuk sentiasa mendampinginya.

Alhamdulillah, saat ini Allah s.b.t mengurniakan kepada kami rezeki. Hanya berbaki dua bulan sebelum menyambutnya. Moga menjadi kurratu a’yun buat kami.

Hari berlalu.. Usia perkahwinan bertambah, ia perlu sentiasa dibina dan dijaga.

Seperti kata Ustaz Hasrizal.

Dalam perkahwinan tiada cinta.
Ia seperti sebuah kotak yang kosong.
Cinta hanya ada dalam diri manusia.
Maka manusialah yang mengisi kotak perkahwinan itu dengan cinta.
Apabila manusia mula berhenti mengisi kotak perkahwinan itu dengan cinta, ia kembali menjadi sebuah kotak yang kosong.

Hukum perubahan, antara kebahagian dan kesengsaraan sentiasa Allah letakkan pada firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [Al-Ra'd 13: 11]

Perkahwinan, medan memberi.

Banyak mengambil kurang memberi, perkahwinan kembali menjadi kotak kosong, sebuah penjara!

HAPPY ANNIVERSARY!

Thursday, October 6, 2011

Fiqh Itu Ada Usulnya, Hukum Itu Ada Hikmahnya


Alhamdulillah, pengajian semester ini sudah pun memasuki minggu ketiga. Kami pelajar MA mula dilambakkan dengan tugasan-tugasan baru oleh pensyarah. Ia benar-benar memerlukan perancangan yang teliti dalam menguruskan masa samada ke kelas, mengulangkaji, menyiapkan bahas dan mengendalikan kelas tafaquh untuk pelajar-pelajar Malaysia di sini.

Untuk semester ini, subjek yang dianggap paling sukar diperingkat MA, Usul Fiqh Dalalah antara subjek yang mejadi pilihan saya ( terpaksa ). Seperti yang saya coretkan sebelum ini subjek ini dikatakan sukar kerana terdapat pelbagai istilah yang memerlukan penelitian. Selain daripada itu silibusnya yang banyak, memahami perbezaan pendapat dikalangan ulama yang terlalu kritis dalam membincangkan sesuatu isu memerlukan kesabaran yang tinggi.

Usul Fiqh sebenarnya adalah satu lapangan lain daripada fiqh walaupun kedua-duanya mempunyai kaitan. Seperti fiqh, usul fiqh juga mempunyai penulisan dan mazhab tersendiri cuma ia agak lewat muncul berbanding fiqh, tafsir dan hadith.

Isu yang timbul, terdapat dikalangan mereka yang merasakan ilmu usul fiqh adalah suatu yang tidak begitu penting. Ilmu ini dianggap sebagai perbahasan kosong yang dipengaruhi oleh ilmu kalam. Menurut mereka juga ilmu ini tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w dan sahabat.

Sebenarnya ini semua adalah tanggapan yang salah. Ilmu usul fiqh telah pun wujud semenjak ayat pertama berkaitan hukum-hakam diwahyu, cuma golongan salaful salih ( kurun awal islam ) tidak berhajat kepada penulisan dan penyusunan ilmu ini kerana semuanya telah dihadamkan dalam diri mereka. Bukti kehebatan mereka dalam ilmu usul:-

1.Ibnu Abbas yang mengeluarkan fatwa iddah bagi isteri yang hamil yang kematian suami adalah melahiran anak berdasarkan kaedah nasakh dan mansukh apabila ayat iddah hamil datang lewat daripada ayat iddah 4 bulan 10 hari.
2.Saidina Ali yang membina ijtihad beliau bagi menaikkan jumlah sebatan orang yang minum arak daripada 40 kepada 80 berdasarkan dengan kaedah saad azarai’ iaitu mencegah mafsadah yang lebih besar.

Mustahil dikalangan sahabat ada yang menjadi mufti, qadhi dan faqih tidak mempunyai kaedah dalam mengeluarkan hukum.

Ilmu ini juga bukanlah satu perbicangan kosong. Ilmu kalam yang merupakan ilmu yang mengajar method berfikir dan berhujjah dengan betul bagi menundukkan mereka yang cuba menimbulkan keraguan terhadap sumber-sumber perundangan islam. Umpamanya golongan yang cuba menimbulkan keraguan terhadap hadith ahad sebagai sumber hukum dan mempertikaikan ijmak dalam islam.

Namun apa yang penting ilmu usul fiqh adalah ibu segala usul dalam agama. Umpamanya ilmu usul hadith juga lahir daripada ilmu ini, begitu juga dengan usul tafsir. Dalam memahami ayat-ayat dan hadith-hadith yang berkaitan dengan hukum hakam, usul fiqh la yang menyediakan panduan bagi semua ini.

Kata Dr Hammad Abdul Hamid
“Tidak kira anda ada 1000 dalil sekalipun namun jika tidak tahu cara berdalil dengan betul maka ia tidak akan memberi manfaat”

Kelas Maqasid Syariah
Bagi subjek maqasid pula, kami dibimbing oleh Dekan Ma'had Islam Alami yang baru, Prof Dr Ali Soleh Sumairan. Teringat saya gaya penyampaian beliau sama seperti Prof Dr Sweish Mahamid, bekas pensyarah Un. Mu'tah.

Maqasid adalah satu ilmu yang membincangkan matlamat yang tersirat disebalik hukum hakam syariah. Muqadimmahnya, seluruh ulama bersepakat bahawa syariat yang ditetapkan oleh Allah ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Setiap yang halal mendatangkan manfaat begitu juga yang haram sebenarnya mendatangkan mudharat.

Ini mesti diyakini oleh seluruh mukmin walaupun ada sebahagian hukum kita belum menemui hikmahnya.

Dari segi kaitan maqasid dengan ilmu fiqh, ilmu ini memberi panduan kepada ulama jika berhadapan dengan nas-nas yang bertentangan antara satu sama lain. Ini kerana dengan maqasid, mujtahid akan mengetahui mengapakah sesuatu perkara itu dilarang. Umpamanya, mengapakah nabi melarang meletak harga syiling bagi barangan di pasar suatu ketika dahulu?

Dengan ilmu ini juga kita mampu memilih pendapat-pendapat yang selari dengan kepentingan manusia. Matlamat islam adalah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia. Selain itu, islam juga memperjuangkan kemudahan buat manusia dalam mengamalkan ajarannya.

Jangan pelik jika tersalah memilih pendapat fiqh, islam boleh dilihat agama yang zalim.

Umpamanya membenarkan tindakan pemerintah merampas hak rakyat..

Walaupun anda mendakwa berhujjah dengan hadith yang sahih…

Monday, October 3, 2011

Cerita Yang Baik Tentang Mereka Ataupun Diam Sahaja



Sejarah kurun ke 4 hijrah dianggap sebagai era kejumudan perkembangan ilmu-ilmu fiqh islami selepas melalui fatrah kegemilangannya abad sebelum itu. Zaman tersebut menyaksikan ulama mengeluarkan fatwa agar pintu ijtihad ditutup serta mewajibkan kepada seluruh ummat islam agar berpegang kepada empat mazhab sahaja.

Kesannya ta’sub mazhab semakin subur, tuduh-menuduh dan pemalsuan hadith berlaku demi mengagung-agungkan imam-imam masing dan demi memenangkan pendapat-pendapat mereka. Yang paling ketara, saat itu terdapat 4 mimbar yang mewakil 4 mazhab di hadapan ka’bah. Setiap orang akan solat pada dinding mazhab masing-masing.

Akhirnya muncul Ibnu Taimiyyah dengan seruan kembali kepada akidah golongan salafu salih ( kurun-kurun awal islam ) dan pengamalan agama berdasarkan Al-Quran dan As-sunnah merentasi pendapat-pendapat mazhab. Di zaman tersebut, pengajian akidah terkesan dengan ilmu kalam dan perbahasan mantik berdasarkan manhaj Asya’ierah dan Maturidi. Beliau cuba membawa ummat islam agar berpegang seperti akidah generasi terdahulu yang lebih selamat.

Begitu juga pengamalan ibadat yang samakin lama semakin jauh dengan apa yang ditetapkan oleh baginda. Telah berlaku tokok tambah yang dianggap sebagai bid’ah. Seterusnya beliau menyeru keterbukaan dalam mazhab dan mengkritik taqlid buta yang diamalkan oleh ulama.

Beliau dianggap sebagai pencetus pembaharuan dan kebangkitan dalam ilmu islam terutamanya fiqh sehingga digelar sheikhul islam.

Itu tafsiran bagi satu pihak.

Pihak yang lagi berpendapat bahawa zaman tersebut bukannya zaman kejumudan namun ia adalah zaman penyusunan ilmu-ilmu fiqh dan pendapat-pendapat imam-imam mazhab. Umum mengetahui zaman sebelum itu terlalu ramai mujtahid dan pendapat-pendapat mereka berselerak tanpa di susun.
Maka, ulama-ulama di zaman ini mengambil inisiatif menyusun kembali ilmu-ilmu ataupun khazanah-khazanah imam mazhab. Mereka juga mendakwa pintu ijtihad tidak ditutup namun demi menghalang mereka yang bukan ahlinya menyertai sama dalam berijtihad.

Bagi mereka, tiada nilai langsung pembaharuan ibnu Taimiyyah bahkan mengkritik beliau kerana mencetus aliran baru dalam akidah dan fiqh islam.

Usahkan memanggil gelaran Sheikhul Islam bahkan dituduh pula sebagai golongan mujsimmah ( menjisimkan Allah dengan manusia ).

Cerita Mohammad Bin Abdul Wahab.
Saat tenatnya Khilafah Uthmaniyyah, wilayah-wilayah islam tidak diuruskan dengan baik termasuklah Mekah dan Madinah. Kedua-dua tanah suci itu menyaksikan pelbagai perbuatan khurafat dan bid’ah dilakukan oleh ummat islam.

Muncul Muhammad Bin Abdul Wahab yang terkesan dengan akidah Ibnu Taimiyyah bekerjasama dengan putera Saud melancarkan pembasmian khurafat tersebut. Beliau lebih bernasib baik daripada Ibnu Taimiyyah kerana mempunyai sokongan ketenteraan dan politik untuk menuntut pembaharuan di kota suci ummat islam. Akhirnya kota tersebut bebas daripada amalan-amalan yang mencemarkan kesucian islam sehinggalah pada hari ini.

Pihak yang satu lagi mendakwa beliau bukanlah seorang pejuang namun adalah dikalangan golongan yang melampau dan menggunakan pendekatan yang keras serta tidak berhikmah.

Mereka tidak menghargai jasa tersebut bahkan memanggilnya dengan gelaran Wahabi.

Inilah juga salah satu faktor mengapa saya meninggalkan kuliah undang-undang Ahmad Ibrahim UIA semata-mata ingin mencari jawapan bagi isu ini. Saya bosan dengan ‘ustaz-ustaz’ yang bersifat melebal jauh daripada keadilan dan keterbukaan ilmu. Samada yang ta’sub dengan wahabi ataupun yang mengkafirkan wahabi.

Saya perlu berdikari dan mencari jawapan sendiri…

Akhirnya Jordan memberikan pencerahan.

Di Universiti Mu’tah, saya menuntut dengan pensyarah-pensyarah yang pelbagai latar belakangnya. Ada yang Salafi, ada Asya’eri. Ada yang Hanafi, ada yang Syafie. Ada yang Kontemporari, ada yang Turathi. Ada yang Haraki ( pro gerakan islam ) dan ada yang pro kerajaan. Semuanya ditagih ilmu dan hikmah tanpa mempedulikan latarbelakang mereka.

Lama-kelamaan, saya menyedari suatu keadaan yang berbeza. Ada pensyarah yang anti Salafi Wahabi tetapi menyokong ijtihad Ibnu Taimiyyah. Ada yang melihat akidah tauhid ( uluhiyyah, rububiyyah dan asma’ wa siffat ) adalah suatu yang sesuai untuk dipelajari namun tidak menyokong gerakan Wahabi di Saudi. Ada yang bercakap melangkaui mazhab namun tidak membid’ahkan orang lain.

Akhirnya saya faham apa yang berlaku ditanah air dikalangan mereka yang mendalami agama dalam mengupas isu ini adalah masalah sikap dan akhlak bukannya kebenaran ilmu. Daripada kedua-dua pihak, keta’suban antara mereka begitu tebal. Adab dan Akhlak khilaf dilanggar begitu sahaja. Tokoh-tokoh yang sudah lama meninggal dunia dijarah tanpa rasa bersalah. Namun bukan semua...

Terima kasih kepada Ustaz Khairul yang mencadangkan kepada saya kitab sejarah Mazahib Islami Imam Abu Zuhrah. Ia benar-benar memberi pencerahan kepada saya. Benarlah, mereka yang buta sejarah tidak layak bercakap. Semua sejarah termasuk dengan sejarah mazhab dan aliran dalam islam.

Hari masih ada lagi kedengaran ‘dia salafi’, ‘dia wahabi’, ataupun ‘dia melakukan bid’ah’ dalam keadaan ingin menyakitkan antara satu sama lain. Kalam yang mendedahkan lagi kedangkalan mereka yang bercakap disamping lunturnya akhlak. Mereka mengulangi kembali sejarah yang tidak patut diulang....

Ceritalah yang elok tentang mereka, jika tidak tahu baik diam..

p/s : Dituduh salafi hanya kerana berkawan dengan A. A pula dikatakan salafi hanya kerana menyebut pendapat selain daripada Syafie... Bakal ustaz Oh bakal ustaz..

Sunday, October 2, 2011

Pencerahan Hukum Menyapu Stokin



Semalam saya ditanya oleh seorang sahabat berkenaan hukum menyapu stokin sebagai ganti membasuh kaki ketika mengambil wudu’. Adakah keharusan ini wujud ataupun ia mesti berasaskan syarat-syarat dan keadaan-keadaan tertentu.

Yang pertama, sebelum melihat hukum yang berbentuk rukhsah, seharusnya kita perlu mengetahui hukum ASAL bagi masalah tersebut serta DALILnya.

Yang kedua, perkara yang dianggap rukhsah yang mengecualikan hukum asal juga perlu dinilai dari sudut kedudukan DALILnya. Ini kerana rukhsah juga daripada syariat Allah yang mesti bersandarkan kepada dalil, bukannya kepentingan kita semata-mata.

Hukum wudu’ bersandarkan kepada ayat 6 daripada surah Al-Maidah:

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, Maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki ( Al-Maidah : 6 )

Ayat ini menunjukkan tatacara mengambil wudu’ dengan jelas dari sudut anggota dan perbuatan. Ia bersumberkan daripada nas Al-Quran yang Qat’ie. Jika ingin mendatangkan hukum yang mengecualikan ayat tersebut mestilah disandarkan dengan dalil yang kuat dan jelas.

Maka tidak hairanlah dalam isu hukum menyapu KHUF, ia disepakati oleh semua ulama sebagai rukhsah mengecualikan daripada membasuh kaki kerana dalilnya berdasarkan hadith mutawatir yang sama tinggi darjatnya dengan Al-Quran.

Manakalah hadith berkenaan perbuatan Nabi s.a.w menyapu stokin, saya lebih cenderung kepada penilaian majoriti ulama bahawa ia bertaraf dhaif.

Secara terperinci berkaitan kedhaifan hadith tersebut, boleh merujuk tulisan saya sebelum ini :

Hukum menyapu stokin ( siri 1 )

Terdapat juga riwayat daripada perbuatan sahabat yang menyapu stokin, namun persoalan timbul bagaimanakah bentuk stokin tersebut. Oleh sebab itu, majoriti ulama meletakkan syarat-syarat tertentu agar stokin itu ciri-cirinya sama seperti KHUF. Ini juga saya perincikan tulisan saya sebelum ini.

Hukum menyapu stokin ( siri 2 )

Akhir sekali, dari sudut hukum berdasarkan tulisan ulama, terdapat 3 pendapat dalam masalah ini:-

1.Tidak harus menyapu stokin kerana kesemua hadithnya bertaraf dhaif.

2.Harus menyapu stokin yang mempunyai ciri-ciri seperti KHUF seperti kalis air, menutupi keseluruhan kaki, tebal dan boleh berjalan dengannya dalam jarak tertentu tanpa koyak. Ini adalah pendapat jumhur ulama empat mazhab.

3.Harus menyapu stokin secara mutlak termasuk stokin kain yang dipakai oleh kebiasaan orang pada hari ini.

Kesimpulan : -

1. Adalah lebih selamat jika kita tidak mengamalkan menyapu stokin kain yang dipakai seperti kebiasaan sebagai ganti membasuh kaki ketika berwudu’. Hampir semua ulama silam tidak membenarkan menyapu stokin secara mutlak.

2. Dalam keadaan tertentu yang menyulitkan, ada sebahagian ulama pada zaman kini mengharuskannya. Antaranya ketika berwudu’ di atas kapal terbang ataupun berada diluar rumah dalam cuaca yang begitu sejuk.

Anda mengetahui iman dan kesulitan anda

فاتقوا الله ماستطعتم

Wallahu'alam..