
Sekitar tahun 2006, saya masih ingat tulisan pensyarah saya, Ustaz Maszlee Malik ( kini sudah Dr ) yang bertajuk ‘Ummah Centric’. Tulisan yang beniatkan ingin membuang tabiat taksub jemaah dan menuntut perjuangan ke arah ummah walaupun berlainan jemaah menimbulkan pelbagai polimek. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan Ustaz Nasarudin Tantawi antara mereka yang paling cepat memberi respon dengan tulisan yang begitu keras mengkritik.
Jemaah.. Satu istilah ini ditujukan kepada organisasi yang dilihat mempunyai nama ataupun ciri-ciri islam. Samada parti PAS ataupun yang bertaraf NGO seperti IKRAM, ABIM, JIM, ISMA, HALUAN dan lain-lain.
Ketika di Jordan, saya memanfaatkan peluang aktif dalam persatuan. Banyak pengalaman dan faedah yang saya pelajari terutama dari aspek pengurusan masa, diri dan yang paling penting menguruskan manusia. Ia tidak mampu didapati di kelas pengajian sahaja. Namun apa yang paling jelas, melakukan kerja secara jemaah dan berorganisasi jauh lebih baik, menjimatkan, seronok dan yang paling penting ia lebih berkesan daripada individu.
Saya pulang dengan semangat ingin memanfaatkan pengalaman tersebut untuk kebaikan mana-mana organisasi ataupun jemaah islam. Namun, apabila tiba di tanah air realitinya jauh berbeza daripada persatuan pelajar di Jordan. Ia bukan sekadar pengurusan ataupun soft skill, ia menuntut sikap ketahanan diri yang sangat tinggi. Dalam jemaah yang dianggotai oleh pelbagai latarbelakang ahli ia memerlukan kesabaran yang tinggi jika ingin aktif.
Itu belum termasuk lagi tekanan-tekanan daripada luar. Al-ma’ruf menyertai dan aktif dengan jemaah islam dalam politik pasti menanggung risiko daripada pemerintah walaupun sekadar melakukan kerja-kerja amal. Begitu juga dengan tanggungjawab dengan kerjaya, akademik dan keluarga, banyak yang perlu dikorbankan.
Seterusnya menyertai jemaah menuntut ahli mengetahui dan menjaga adab-adabnya. Yang paling besar adalah ketaatan kepada pemimpin dan keputusan majoriti. Umpamanya dalam satu isu apabila pemimpin dan majoriti memilih satu pendirian, maka ahli perlu taat dengan pendirian tersebut, walaupun pada ‘ijtihad’ nya merasakan pendapat lain yang lebih tepat. Ramai yang menyangka itu adalah taqlid buta dan ta’sub. Ia adalah tuduhan yang tersasar jauh menampakkan kejahilan pada orang yang berkata demikian.
Yang kedua adalah menjaga amanah dan rahsia jemaah. Maka tidak hairanlah jemaah-jemaah tidak membenarkan ahlinya menganggotai jemaah lain, melainkan PAS apa yang maklumat yang saya perolehi jemaah tersebut memberi kelonggaran kepada mana-mana ahlinya menyertai NGO-NGO yang tidak menentangnya.
Itulah cabarannya. Saya yang dalam fatrah menuntut ilmu dan jauh diperantauan ini masih lagi belum bersedia untuk aktif dalam mana-mana jemaah. Jika ada ruang, insyallah saya bersedia menyumbang demi ummah dan islam.
Sebenarnya wujud dikalangan ulama yang tidak menggalakan para ilmuan agama menyertai parti ataupun mana-mana jemaah terutamanya dalam lapangan politik. Ini sangat penting dalam menjamin suara ulama sentiasa tidak terikat selain menjadikan ulama sebagai rujukan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai ideologi dan aliran politik dan pemikiran. Maka, mereka perlu dilihat sebagai golongan yang ‘suci’ dan bebas.
Namun apabila suasana menuntut ulama turut serta dalam perjuangan samada dalam politik ataupun masyarakat jika mereka menyahutnya ia lebih mulia dan berkesan. Saya masih ingat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pernah memetik kata-kata MB Kelantan dalam forum Ulama : Politik atau dakwah.
“ Dari dulu lagi berpuluh-puluh tahun saya berceramah tentang judi namun masih ramai lagi yang berjudi. Apabila saya menjadi MB, hanya dengan sepucuk surat sahaja mampu untuk menutup premis-premis judi”
Berjemaah memang suatu yang dituntut lagi-lagi jika bermatlamat menegakkan agama dan ummah. Ayat Al-Quran jelas menyebut
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh ( As-Soff : 4 )
Bahkan sunnah perjuangan para anbiya yang diceritakan dalam Al-Quran mereka semua tidak bergerak secara bersendirian. Begitu juga sirah junjungan baginda s.a.w. Bahkan dalam syariah islam, banyak ibadat dan tuntutan agama digalakkan secara berjemaah seperti solat, berbuka puasa, dan bermusafir.
Bukanlah ingin mengkritik mereka yang ingin memilih jalan untuk bersikap berkecuali terutama dalam dakwah dan politik, bahkan mereka juga ada kelebihan tersendiri selagi mana tidak menjadikan kedudukan tersebut sebagai alat menghalalkan kezaliman.
Sebenarnya saya sangat terkilan dengan mereka-mereka yang merasa bangga tidak menyertai atau tidak menyokong mana-mana jemaah sambil memperlekeh orang yang berjuang dengan landasan tersebut.
Kemudian dengan bangga mendakwa merekalah yang paling benar dan mengajak orang bersama mereka. Sebenarnya secara tidak sedar mereka sedang membentuk satu jemaah lagi iaitu ‘jemaah yang anti jemaah’.
Sedarlah, mereka yang berjuang dengan jemaah itu menghadapi cabaran dan ujian yang pelbagai. Perjuangan mereka lebih realiti. Jika jemaah mereka silap dalam membuat keputusan, itu masih lagi dalam lingkungan ijtihad demi mencari kebenaran, jika salah masih lagi mendapat pahala.
Setakat menjadi lalang… Itu bukan tiket untuk mendakwa berada di pihak yang benar..









