Monday, August 29, 2011

Tuhan Ketika Ramadhan Sama Dengan Selepasnya

Esok atau lusa ummat Islam seluruh dunia bakal menyambut hari raya Aidilfitri, hari yang dianggap kemenangan buat mereka, menang menahan nafsu selama satu bulan dengan begitu berdisiplin.

Ramadhan berlalu.. Ada yang sedih jika ini merupakan ramadhan yang terakhir buat mereka...

Namun, kesedihan tersebut tidak sewajarnya diratapi,tetapi harus meninggalkannya dengan suatu tekad iaitu meneruskan semangat beribadat bulan ramadhan selepas ramadhan.

Sebenarnya dalam meneliti ayat yang berkaitan dengan ramadhan, kita akan dapati beberapa perkara yang menarik berkaitan ayat-ayat tersebut kita untuk bertadabbur dengannya.

Antaranya, empat daripada lima ayat tersebut diakhiri dengan perkataan لعل yang diterjemahkan sebagai moga-moga. Antaranya:-

Moga-moga kamu bertaqwa ( ayat 183 )

Moga-moga kamu bersyukur ( ayat 185 )

Moga-moga mereka memperoleh kebenaran ( ayat 186 )

Moga-moga mereka bertaqwa ( ayat 187 )


Setiap kalimah tersebut digunakan perkataanفعل المضارع menggambarkan ia berterusan. Ini membuktikan semua itu bukan setakat matlamat di bulan ramadhan bahkan seluruh waktu kehidupun muslim di bulan-bulan yang lain.

Taqwa- Seseorang itu tidak akan merasainya melainkan mengetahui segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya kemudian mentaatinya.

Syukur- Seseorang itu tidak dapat menghayatinya melainkan dengan iman kepada Allah sebenar-benar iman menyakini setiap yang diperolehi itu semuanya kurniaanNYA.

Rasyid – Petunjuk kebenaran ini tidak akan diperolehi melainkan mendalami ilmu dengan bersungguh-sungguh.

Maka, tangisan ramadhan tidak beerti dengan hanya kesedihan semata-mata..

Namun mestilah diteruskan semangat ramadhan…

Kerana Tuhan yang disembah ketika ramadhan adalah Tuhan yang sama selepas ramadhan.


Friday, August 26, 2011

Belajar ’Hikmah’ Dalam Menghukum.



Mereka yang mendalami bidang agama sangat memerlukan kesabaran. Sabar yang paling utama selain daripada belajar adalah sabar dalam MENGHUKUM.

Samada menghukum tentang perbuatan manusia..

Atau

Menghukum tentang sesuatu nas…

Fenomina yang berlaku kepada mereka yang belum matang menghadam ilmu adalah terlalu cepat menghukum. Mereka perlu menyedari menghukum adalah satu amanah, bukan semudah yang disangka.

Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah ataupun mengharamkan apa yang dihalalkannya adalah satu perkara yang besar. Jika sengaja dan berkepentingan boleh membawa kepada syirik. Jika jahil, dia perlu menanggung dosa orang yang mengikut fatwanya.

Begitu juga dalam hadith. Menthabitkan sesuatu hadith yang bukan daripada baginda s.a.w boleh membawa kepada mereka-reka hadith. Jika menolak apa yang betul-betul thabit daripada baginda s.a.w pula dianggap sebagai menolak sunnah, maka hukumnya kufur jika sengaja.

Inilah yang berlaku kepada mereka-mereka yang terlalu cepat terutamanya yang tersilap masuk pintu.

Ada yang nak menghukum namun masuk pintu hadith.

Ada yang nak tentukan hadith namun masuk pintu fiqh.

Jika ingin belajar tentang hukum dan fatwa masuklah ke kelas fiqh. Bidang ini tidak sekadar memfokuskan kepada nas Al-Quran dan As-sunnah, namun menitik beratkan cara berdalil dengan kedua-duanya dari sudut umum, khusus, dan bahasa. Hasilnya lahirlah kaedah-kaedah umum bagi membantu mengeluarkan hukum.

Seterusnya, jika sudah faham dalil, beberapa perkara perlu diambil kira sebelum mengeluarkan fatwa:-

1. Maslahat dan Uruf
Menghukum perlu melihat keadaan manusia samada mereka dalam keadaan dharurah, hajiyyat ( kesulitan ) ataupun keadaan biasa. Dharurah boleh mengubah hukum yang qatie, kesulitan pula dibolehkan rukhsah. Islam itu agama kemanusiaan. Begitu juga aspek uruf tidak boleh diabaikan dalam mengeluarkan hukum. Selain menjadi sumber fiqh, uruf juga boleh mengubah hukum.

2. Ma’lat dan Aulawiyyat
Ma’alat adalah kesan hukum. Boleh jadi hukum itu harus namun jika diaplikasikan mendatangkan mudharat, maka ia mesti dihalang. Begitu sebaliknya. Begitu juga aspek keutamaan ( aulawiyyat ). Ada perkara sudah wujud khilaf zaman berzaman, jika mengeluarkan fatwa sekalipun ia tidak akan mengubah keadaan. Umpamanya mengeluarkan fatwa berkaitan hukum talqin, tahlil dan bacaan yasin pada malam jumaat.

3. Waqi’ah
Aspek realiti sekeliling perlu diambil kira. Boleh jadi wujudnya sesuatu isu itu sebagai umpan kepentingan politik pihak-pihak tertentu. Contohnya isu kalimah Allah.

Manakala dalam menilai hadith pula perlu melihat beberapa aspek berkaitan sanadnya seperti:-

a.Hadith hassan yang tafarud ( satu jalan ) hendaklah dinilai terlebih dahulu. Umpamanya hadith larangan puasa pada hari sabtu.
b.Tidak wujud padanya illah seperti hadith menyapu stokin yang mempunyai illah yang tersembunyi.
c.Penilaian mestilah dari sudut sanad dan matan.
d.Hadith tersebut tidak munkar dan syaz ( bertentangan dengan riwayat yang lebih thiqah )seperti hadith berkaitan jamak ketika hujan yang bertentangan dengan riwayat lain.
e.Melihat kepada syawahid dan juga mutabaah pada hadith tersebut. Boleh jadi hadith yang dianggap dhaif itu mempunyai syawahid yang banyak.

Selain itu juga, amat penting memahami hadith dari sudut fiqh dan konteks yang betul seperti:-

a. Melihat bab hadith samada berkaitan hukum, akidah ataupun fadhail amal. Jika berkaitan fadhail amal,tidak perlu besar-besarkan kritikan apabila ia disandarkan dengan hadith dhaif.
b.Menghimpun beberapa hadith dan nas-nas lain yang berkaitan dalam bab yang satu. Contohnya hadith berkaitan larangan membina masjid di kubur.
c. Melihat kepada objektif ( Maqsid ) sesuatu hadith sebelum mengeluarkan hukum. Contoh hadith melabuhkan kain dibawah paras buku lali.
d. Memahami sunnah beserta maqasid dan asbab wurudnya.

Oleh yang demikian bukanlah menjadi kesalahan jika kita diam terlebih dahulu apabila ditimbulkan sesuatu isu dalam keadaan kita sendiri belum jelas dan faham. Begitu juga tidak menjadi kesalahan jika kita hanya bertaqlid dengan pendapat ulama beserta memahami hujjah-hujjah mereka.

Alangkah tawadu’nya jika kita menyebut hukum beserta ulama yang berfatwa tentangnya dan alangkah cermat jika kita menyebut hukum hadith beserta ulama yang mentakhrijkannya.


Thursday, August 25, 2011

Belajar Agama Berhak Mendapat Zakat Fi Sabilillah?



Tatkala isu serbuan kontroversi JAIS ke atas sebuah gereja baru-baru ini hangat diperkatakan, tempiasnya turut terkena kepada peranan agensi zakat. Ramai yang mendesak satu tranformasi terhadap pengurusan zakat. Ada dikalangan mereka yang memberi komentar agar pusat zakat diprofesionalkan agihannya serta dipermudahkan urusanya dan ada juga yang mencadangkan agihan diberi tauliah kepada NGO islam yang lebih mesra.

Semester lalu memandangkan tiada subjek MA yang diajar, saya memanfaatkan masa menyertai kelas fiqh ibadat dua, Dr Fathullah. Antara isi kandungan subjek ini adalah fiqh zakat.

Bab asnaf adalah yang paling menarik tumpuan.

Asnaf merujuk kepada saluran agihan zakat. Ia merupakan ½ daripada pengajian dan aplikasi zakat. Justeru itu, zakat tidak hanya dikenali sebagai ibadah, namun adalah satu sistem ekonomi dan kebajikan yang sempurna daripada Islam.

Apa yang membezakan islam dengan agama lain, agama ini meletakkan garis panduan yang jelas dalam membantu mengagihkan harta kepada mereka yang memerlukan. Segala harta yang dianggap pemiliknya kaya diperincikan oleh Syariat jenisnya, sifatnya, ciri-cirinya, tempohnya dan kadar yang perlu dikeluarkan. Objektifnya jelas agar zakat hanya dipungut daripada mereka yang benar-benar ‘lebih’ hartanya agar tidak dizalimi.

Tidak cukup sekadar itu, islam memperincikan lagi saluran-saluran agihan zakat yang dipungut. Bahkan disebut secara jelas dalam Al-Quran hanya terhad kepada 8 golongan sahaja. Mereka adalah Fakir, Miskin, Amil, Hamba, Orang yang berhutang, Ibnu Sabil, Muallaf, dan Fi sabilillah. Hikmahnya agar zakat dapat disumbangkan kepada mereka yang memerlukan sahaja dan tidak diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu.

Berbalik kepada isu baru-baru ini, antara agihan yang dipertikaikan oleh banyak pihak adalah fakir, miskin dan muallaf. Lebih menimbulkan kemarahan, agensi zakat dilihat seolah-olah melayan pemohon seperti peminta sedekah.

Saya lebih berminat untuk mengulas isu asnaf Fi sabilillah yang menjadi sumber pengajian dan sara hidup kepada penuntut-penuntut aliran agama dan bahasa arab terutama di luar negara.

Dr Fathullah dalam kuliahnya menyebut mereka yang mendapat bantuan zakat untuk menampung pengajian agama adalah dikalangan asnaf fakir ataupun miskin. Ini kerana mereka kehilangan sumber pendapatan disebabkan menghabiskan masa menuntut ilmu. Situasiny sama seperti orang tiada kemampuan untuk bekerja ataupun bekerja namun tidak mencukupi layak mendapat bantuan zakat daripada bahagian tersebut.

Sebenarnya jika kita merujuk perbahasan asnaf fi sabilillah pada kitab-kitab fiqh silam,para ulama hanya merujuk peruntukan itu kepada mereka yang berjihad pada jalan Allah berdasarkan nas-nas tertentu. Ada juga sebahagian kecil ulama menambah fi sabilillah juga turut membawa erti mereka yang mengerjakan haji ataupun umrah.

Di zaman moden ini, terdapat sebahagian ulama meluaskan maksud fi sabilillah kepada seluruh perkara yang membawa kepada kebaikan. Mereka ini memahami istilah tersebut dengan konteks bahasa semata-mata iaitu apa sahaja yang dijalan Allah. Maka segala perkara kebaikan diqiaskan seperti membina hospital, pusat anak yatim, asrama kanak-kanak miskin bahkan jamuan-jamuan di masjid semua diaggap layak memohon asnaf fi sabilillah.

Pendapat ini tidak dipersetujui oleh sebahagian besar ulama. Antaranya Dr Yusof Al-Qaradhawi yang mengganggap asnaf zakat fi sabilillah tidak harus diperluaskan. Jika tidak, baki 7 asnaf yang lain juga termasuk dalam erti fi sabilillah kerana semua itu adalah jalan kebaikan.

Walaubagaimanapun jihad yang tidak seharusnya disempitkan dengan hanya mata pedang. Berikut adalah beberapa keadaan yang dianggap fi sabilillah:-

1. Mengagihkan zakat tersebut kepada mereka yang berjuang membebaskan bumi-bumi ummat islam yang dijajah seperti Palestin, Afghanistan dan Iraq.
2. Menyalurkan bantuan kepada pusat-pusat pengajian islam yang mentarbiyyahkan minoriti ummat islam di negara majoriti kafir. Jihad ini adalah untuk mempertahankan akidah mereka daripada tekanan dan juga penyebaran agama-agama dan ideologi-ideologi yang bertentangan dengan islam.
3. Menyumbang kepada mereka yang mendalami agama demi mempertahankannya daripada serangan pemikiran bukan islam. Mereka ini bakal berjuang dengan merungkaikan kekeliruan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh islam, membetulkan salah faham terhadap agama islam dan mempertahankan ilmu-ilmu islam daripada hilang.

Saya lebih setuju dengan pendapat bantuan zakat kepada pelajar agama atas dasar fakir dan miskin. Ini bukanlah satu penghinaan namun satu keperluan hidup. Maka, ketika itu pusat zakat bolehlah menapis permohonan bagi mereka yang betul-betul memerlukan sahaja dan memberikan apa yang mencukupi bagi keperluan mereka untuk belajar.

Namun,jika ada yang ingin mempertahankan bahawa mereka yang belajar agama itu berhak mendapat bahagian fi sabilillah, saya tidak membantah jika penuntut tersebut bukan sekadar mengejar segulung sijil namun dengan tekad ingin mempertahankan agama islam apabila tamat pengajian nanti.

Saya faham pelajar agama tiada sumbangan lain seperti tajaan dan biasiswa namun janganlah duit yang kita perolehi itu melekakan kita, menjadikan kita tamak, dan digunakan pada tempat yang tidak sepatutnya.

Semua itu adalah amanah...

Tuesday, August 23, 2011

Air Mata dan Harapan Somalia


Agak lewat saya menulis berkenaan Somalia, sebuah negara yang diberi julukan tanduk Afrika sedang menghadapi kemarau dasyat. 12 ribu rakyatnya diancam kebuluran. Namun saya masih mencari maklumat tambahan tentang negara ini dari segi sejarah, politik dan keadaan semasa yang berlaku.

Bila disebut tentang Somalia apa yang kita tahu?

Negara yang rakyatnya kebuluran, cuaca yang panas, tanah yang kering kontang..

Ataupun bagi mereka yang membaca surat khabar, negara ini terkenal dengan ancaman kawasan perairan lautnya. Lanun-lanun yang ramai gagal dikawal, hatta kapal negara kita pun pernah menjadi mangsa. Bahkan, USA beserta barat berusaha untuk campur tangan meletakkan kapal-kapal perang mereka atas alasan melindungi kapal-kapal dunia daripada ancaman pengganas.

Ataupun filem Black Hawk down 10 tahun yang lalu berdasarkan kisah benar tentera Amarika dimalukan oleh pemberontak pimpinan Mohammad Farah Aidid. Helikopter-helikopter mereka di’lastik’ hingga jatuh dan tentera darat terkepung. Akhirnya datanglah bantuan daripada Malaysia yang menyaksikan 2 orang askar Malbatt ( Malaysian Battalion ) terkorban demi menyelamatkan tentera amarika. Malangnya, pengorbanan itu langsung tidak dirakamkan oleh filem tersebut.

Ancaman As-Shabab.
As-Shabab adalah kumpulan pemberontak yang menguasai beberapa tempat di selatan dan ibu kota Somalia. Kumpulan islam ini muncul suatu ketika dahulu demi menjaga keamanan negara daripada gangster-gangster dan kumpulan penculikan kanak-kanak. Kemucullan dan peranannya sama seperti kelahiran Taliban di Afghanistan suatu ketika dahulu

Seperti biasa USA pasti memberi gelaran ‘islamist terrorist’ dan dianggap sebagai rangkaian Al-Qaeda di bumi Somalia. Hingga kini kumpulan ini dianggap sebagai ancaman terbesar kepada kerajaan Somalia. Bagi mereka kerajaan kini adalah tali barut kepada barat.

Ancaman Kebuluran.
Bumi Afrika yang terkenal dengan kontang dan gersang ini mendatangkan kepanasan yang begitu dasyat buat Somalia pada tahun ini dan turut terkena tempiasnya kepada Sudan.

Cuaca yang panas menyebabkan tanaman yang diusahakan kontang. Begitu juga haiwan ternakan mati kebuluran. Manusia mungkin bertuah, ciptaan Allah yang paling bijak ini dikurniakan akal untuk terus survive meneruskan kehidupan ini.

Selain itu, tabiat hidup manusia secara bermasyarakat memberi sedikit harapan. Daripada masyarakat kampung hinggala ke masyarakat antarabangsa. Badan dunia terbesar UN telah pun menghantar bantuan kemanusiaan berupa makanan asasi dan ubat-ubatan menerusi agensinya.

Namun, terdapat juga manusia-manusia yang kejam dan hina mengaut keuntungan disebalik tangan-tangan harapan itu. Beg-beg bantuan makanan dilaporkan dilihat berada di kedai-kedai dan bukannya diagihkan secara percuma. Laknat bagi mereka yang bertanggungjawab.

Lawatan Erdogan
Pemimpin pertama dari negara ummat islam ini hadir bersama isteri dan legasi menteri-menterinya. Menariknya kehadiran Erdorgan begitu dialu-alu oleh pemimpin-pemimpin dan turut dihormati oleh pemberontak As-Shabab.

Tukri mengumumkan akan membina 12 buah hospital dan jalan raya menuju ke lapangan terbang.

Dalam ucapannya Erdorgan menyebut

“Barat tidak akan menolong negara ini, negara ummat islamlah yang menolong sesama negara ummat islam”

Saturday, August 20, 2011

Jahil Apa Yang Ingin Dihukumkan



Kebanyakan punca perbezaan hukum dikalangan ulama adalah disebabkan perbezaan memahami sesuatu nas samada ayat Al-Quran ataupun Sunnah Nabawiyah. Bermula daripada generasi sahabat, tabien, dan diwarisi kepada imam-imam mazhab, hal ini adalah suatu yang normal kerana setiap manusia mempunyai kefahaman yang berbeza apabila menilai sesuatu, apatah lagi dikalangan ulama adalah mereka yang hebat pemikirannya dan mahir dalam bahasa arab.

Walaubagaimanapun, ia hanya berlaku dalam masalah-masalah furu’ atau cabang yang tidak menjejaskan tunjang agama islam itu sendiri. Mungkin ini takdir Allah agar perbezaan yang berlaku adalah rahmat kepada ummat.

Namun, terdapat juga perbezaan dari sudut melihat masalah. Ini berlaku juga pada zaman silam, namun tidaklah begitu ketara. Yang paling banyak adalah pada zaman moden disebabkan muncul pelbagai perkara baru dalam kehidupan manusia. Dalam hal ini, para ulama mestilah tidak gopoh dalam mengeluarkan hukum. Mereka mestilah meneliti sesuatu perkara dengan sedalam-dalamnya dan tidak mencukupi hanya mengetahui ilmu syariah sahaja. Antaranya:-

1. Pilihanraya dalam negara demokrasi.
Ramai dikalangan penentang-penentang demokrasi berhujjahkan ia bertentangan dengan sistem islam yang disebut dalam Al-Quran iaitu Syura. Walhal, ayat berkaitan dengan syura hanyalah beberapa patah perkataan sahaja.

Mereka gagal memahami bahawa syura itu adalah matlamat dan prinsip islam iaitu agar segala urusan diputuskan secara bersama samada memilih pemimpin ataupun memutuskan sesuatu perkara. Bagaimana sistem dan caranya terbuka berdasarkan kesesuaian seperti Saidina Umar melantik Ahli Halli Wal Akad yang sesuai dengan zaman tersebut. Jika sistem pilihanraya dianggap paling telus dan adil dalam memilih pemimpin di zaman moden ini, maka tiada masalah untuk diaplikasikan.

2. Mati Otak ( brain death )
Dikalangan ulama ada yang berhujjah bahawa orang yang mati otak itu tidak boleh dianggap mati lagi. Antara dalilnya kisah ashabul kahfi yang mana mereka ditidurkan selama beratus tahun akhirnya dihidupkan kembali. Sedangkan para pakar perubatan menyifatkan apabila otak sudah tidak berfungsi mustahil boleh menyedarkan kembali pesakit.

3. Demonstrasi dan Bughah
Demonstrasi dilihat sebagai sama seperti pemberontakan atas alasan kedua-duanya menentang pemerintah. Mereka gagal melihat perbezaan yang besar antara peserta demonstrasi dan pemberontak adalah mereka mengangkat senjata yang boleh mengancam negara. Demonstrasi pula adalah perkara normal wujud dalam negara yang mengamalkan demokrasi dan menjunjung kebebasan bersuara rakyatnya.

4. Ahli Silap mata dan Sihir

Seni silap mata menggunakan segala ketangkasan dan teknik-teknik untuk mengelirukan pandangan penonton. Matlamatnya adalah untuk menghiburkan mereka. Berbeza dengan sihir yang mempelajari ilmu hitam ataupun amalan yang bertentangan dengan agama dan bertujuan memudharatkan orang lain. Ia adalah 2 perkara yang berbeza.

5. Rokok
Ada dikalangan ulama yang masih lagi ingin mempertahankan hukum rokok berdasarkan hujjah-hujjah ulama silam bahawa perbuatan itu makruh atas alasan menyebabkan mulut berbau dan kesannya menyebabkan orang lain tidak selesa.

Itu adalah rokok di zaman silam yang hanya diperbuat daripada daun tembakau. Zaman kini, para doktor mendedahkan terdapat beratus-ratus bahan kimia yang terdapat dalamnya. Ia bukan sahaja memudharatkan nyawa orang yang menghisapnya, bahkan orang disekeliling.

6. Musik.
Musik termasuk lirik lagu, nyanyian dan segala alatan yang mengeluarkan bunyi lunak diharamkan oleh sebahagian ulama. Menghukumnya secara mutlak maka seluruh alat yang boleh mengeluarkan bunyi yang teratur dan lunak semuanya diharamkan. Telefon bimbit, iklan TV, hatta alat penggera kereta dan sebagainya. Bagaimanakah manusia hidup tanpanya?

Walaupun seseorang itu mahir dalam memahami nas-nas dan segala bentuk pendalian yang wujud dalam kitab-kitab ilmu-ilmu syariah untuk mengeluarkan hukum, mereka masih dianggap jahil selagi tidak memahami keadaan sebenar perkara yang ingin dihukum.

Oleh yang demikian, para ulama memerlukan professional ataupun pakar dalam bidang masing-masing bagi membantu kefahaman mereka untuk mengeluarkan hukum.

Doktor lebih mengetahui kadar mudharat dalam rokok, begitu juga mereka lebih mengetahui keadaan pesakit yang mati otak. Pakar ekonomi di bank lebih mengetahui bentuk-bentuk transaksi moden dan mereka yang mendalami bidang sejarah dan sains politik mengetahui hakikat demokrasi dan realiti politik bagi sesebuah negara. Tidak hairanlah muktamar-muktamar fiqh sedunia turut menjemput mereka yang pakar dalam bidang tertentu dalam membantu ijtihad ulama.

Tanpa penelitian yang khusus dalam isu-isu yang ingin dihukumkan boleh mendedahkan lagi kedangkalan orang agama. Seperti kata Dr Abdul Rahman Kailani ( Pensyarah Syariah Universiti Jordan )

“ Seorang ulama menjadi bahan ketawa orang ramai apabila mengeluarkan fatwa supaya mickey mouse dibunuh berdasarkan hadith keharusan membunuh tikus”





Wednesday, August 17, 2011

Doa Ramadhan Untuk Rakyat Syria dan Libya.



Hari ini siaran berita antarabangsa melaporkan pejuang pembangkang Libya yakin dalam misi menawan ibu kota Tripoli sebelum ramadhan berakhir. Keyakinan itu berasaskan kejayaan mereka menawan Bandar Al-Heisha, Az-Zawiyah dan Gharyan. Ini menjadikan ibu kota pertahanan Gadafi dan tentera yang setia denganya betul-betul terancam.

Saat terdesak itu menyaksikan Gadafi sempat melancarkan peluru perpandu Scud yang mensasarkan beberapa tempat yang dikuasai oleh pembangkang, namun tiada kecederaan dilaporkan. Dengan ruang udara yang dikawal oleh pakatan NATO dibawah mandat PBB, Gadafi tiada jalan lain melainkan berhadapan secara terbuka dengan rakyatnya yang dianggap sebagai pemberontak.

Pembangkang yang menubuhkan NTC sebuah kerajaan peralihan beberapa hari lepas mengumumkan tidak akan berunding dengan Gadafi lagi. Ini bermakna ruang yang ada buat Gadafi hanyalah perang hingga akhir hayat ataupun jika menyerah beliau bakal menerima nasib seperti Ben Ali dan Mubarak. Ini yang menghantui beliau di saat tiada satu pun negara asing yang bersedia menawarkan suaka politik..

Gadafi mungkin tersilap langkah dalam menangani isu ini sejak dari awal lagi. Tatkala kebangkitan rakyat melanda negara-negara arab,terdapat pemimpin-pemimpin yang mengambil langkah berhati-hati meraikan kehendak rakyat mereka seperti Jordan, Algeria dan Morocco. Mubarak di Mesir dan Abdullah Salleh pula cuba meredakan keadaan dengan sedikit agresif pada awalnya, namun akhirnya tunduk juga dengan desakan rakyat dan tekanan antarabangsa.

Namun berbeza dengan Gadafi di Libya. Hari pertama penunjuk perasaan telah pun disajikan dengan serangan udara hingga meragut beratus-ratus nyawa. Pemimpin yang digelar malaun oleh Dr Yusof Al-Qaradhawi membuat percaturan ini dengan harapan kebangkitan rakyatnya mampu dilumpuhkan, Namun perancangan beliau silap, ramai menteri-menteri kanan, duta-duta berpaling tadah meninggalkan beliau, Mungkin mereka merasakan inilah masa yang paling sesuai untuk membebaskan diri daripada diktaktor itu. Para peserta demonstrasi pula bertukar menjadi pemberontak bersenjata yang akhirnya membentuk kerajaan sementara di Bagenzi.

Kerajaan NTC ini mendapat restu daripada kuasa-kuasa besar dunia dan negara-negara arab. Tiada siapa lagi yang waras akalnya ingin bersekongkol dengan pemerintah selama 40 tahun itu. Tenteranya di arah membunuh, merogol dan penembak-penembak curi merata tempat menembak sesiapa sahaja. Betapa murahnya nyawa rakyat Libya bagi Gadafi dan orang yang setia dengannya,Inilah yang menambahkan lagi nekad pejuang-pejuang pembangkang Libya. Kini, mereka bukan setakat berjuang untuk pembaharuan negara, namun menuntut bela atas nyawa-nyawa yang syahid.

Nasib Gadafi juga turut dikongsi sama oleh rakan beliau senegara beliau dari Syria, Basyar Assad. Tentera Syria boleh berbangga dengan rekod pembunuhan mereka melebihi angka 2,000. Yang terbaru, kem pelarian Palestin di Latakia menjadi sasaran tentera laut dan darat Basyar. Semua negara seakan-akan kecewa untuk berunding lagi. Setelah kegagalan barat yang sememangnya dingin dengan Damascus, Pakatan negara-negara dunia ketiga,dan negara-negara arab juga gagal. Bahkan, rakan sejawatan beliau dari Istanbul, Erdogan yang pernah menyatakan hubungan beliau dengan Basyar adalah seperti saudara kini dilihat berputus asa untuk menggunakan diplomasi.

Namun apa yang membezakan antara kedua-dua negara ini adalah bangsa arab Syria yang terkenal dengan perwatakan lemah lembut mereka dikalangan bangsa arab masih tidak mengangkat senjata lagi. Selain itu, Syria mendapat sokongan dua kuasa besar dunia iaitu Russia dan China sama seperti Amerika yang melindungi Israel. Paling menguntungkan pemerintah Syiah Alawin ini mendapat sokongan daripada saudara semazhab beliau di Iran. Bahkan ada maklumat yang diperolehi,, tentera Iran sudah pun memenuhi bumi Syam itu.

Semua ummat islam seluruh dunia begitu sedih terhadap apa yang menimpa saudara mereka di kedua-dua negara ini. Jika sebelum ini negara-negara ummat islam diratah musuh-musuh bukan islam, Syria dan Libya pula mereka dilanyak oleh pemimpin seakidah sendiri.

Di Jordan, kebanyakan masjid ketika solat witir membaca qunut nazilah mendoakan agar Allah memberi balasan kepada mereka menumpahkan darah ummat islam dengan sewenang-wenangnya. Nama ummat islam Libya dan Syria disebut dalam doa selain daripada Iraq, Afganistan dan Palestin, betapa perihatinnya ummat islam terhadap bencana yang berlaku ke atas saudara mereka.

Ayuh, jangan sia-siakan doa ramadhan kita..

Allahummansuri mustad'afin fi Libya wa Suria..

Allahu Akbar..

Monday, August 15, 2011

Hukum : Antara Illah dan Hikmah Yang Mesti Difahami



Antara perkara yang mesti diketahui oleh mereka yang mendalami ilmu syariah adalah mengenal pasti apa yang tersirat pada sesuatu hukum. Secara umumnya, majoriti besar ataupun hampir ijma’ dikalangan ulama meyakini bahawa setiap hukum hakam mempanyai maksud yang tersirat. Perkara yang tersirat itu terdiri daripada dua perkara:-
1. Illah
2. Hikmah.

Hikmah merupakan tujuan pengsyariatan hukum yang bermatlamatkan menjaga kepentingan manusia dan menolak kemudharatan. Hikmah tidak mempunyai ciri-ciri yang khusus ataupun terhad kepada satu sahaja. Semua orang boleh mencarinya dalam segala perkara yang dihalal dan diharamkan oleh Allah.

Antaranya larangan arak, makan khinzir, riba, judi, membunuh, mencuri. Semua orang yang waras akalnya mampu mengetahui kesan buruk yang ada pada setiap larangan tersebut. Jika ada manfaat sekali pun, ia tidak mampu menghalang mudharat lebih yang wujud padanya. Begitu juga perkara yang diharuskan seperti perkahwinan, jual beli, politik dan hubungan sesama manusia.

Manakala illah pula ada satu sifat yang mempunyai ciri-ciri khusus yang ada pada sesuatu hukum. Sifat tersebut merupakan sebab mengapa hukum itu disyariatkan.Hilangnya sifat maka hilanglah hukum.

Walaubagaimanapun, illah disyaratkan dengan syarat-syarat tertentu dan hanya dikalangan mujtahid sahaja yang layak menentukannya . Contoh illah mabuk adalah penyebab kepada pengharaman arak, sifat matawang adalah illah bagi hukum-hakam riba, jarak musafir adalah illah bagi keharusan jamak dan qasar dalam solat.
Antara syarat-syarat illah adalah seperti berikut.

1. Zahir.
Sesuatu illah itu mestilah zahir yang mampu dilihat oleh semua manusia dengan pancaindera mereka.

Antaranya akad ijab dan qabul merupakan illah bagi sahnya jual beli. Tidak tepat jika mengiktibarkan redho merupakan illah kerana ia adalah perkara batin dalam hati manusia yang tidak boleh dilihat.

Begitu juga akad nikah adalah illah bagi menentukan nasab seorang anak itu kepada ayah dan ibunya. Bukannya DNA kerana perkara itu tidak mampu dilihat dengan pancaindera manusia. Sebab itulah anak penzina tidak boleh di’bin’kan kepada pelakunya.

2. Bertepatan dengan Maqasid Syariah.
Maqasid syariah adalah tujuan asal syariat iaitu untuk menjaga kepentingan agama, nyawa, akal, maruah dan harta manusia. Dalam hal ini illah mestilah bertepatan dengan maqasid syariah.

Sebagai contoh mabuk adalah illah bagi pengharaman arak, ia bertepatan dengan maqasid syariah demi menjaga akal manusia. Adalah tidak tepat jika kita nyatakan illah pengharaman arak adalah bahan alkohol ataupun jenis buah-buahan yang diproses

3. Mundhabit ( Mampu diukur )
Ciri-ciri sesuatu itu mestilah boleh diukur, dan tidak berbeza-beza dikalangan manusia jika diaplikasikan ke atas mereka.

Sebagai contoh illah bagi membolehkan seseorang itu boleh menqasarkan solatnya adalah jarak musafir. Tidak sesuai jika kita katakan bahawa kesulitan ( musyaqqah )adalah illah bagi keharusan qasar kerana setiap orang adalah berbeza-beza kesulitannya. Orang muda dan tua, orang yang bermusafir dengan kapal terbang dan jalan kaki, kesulitan mereka adalah berbeza-beza.

Mengapa perlu mengetahui illah dan hikmah pada sesuatu hukum?
1. Aplikasi yang tepat bagi sesuatu hukum berdasarkan dalilnya.
Menghukum dengan memetik mana-mana dalil bukanlah suatu yang sukar. Inilah yang berlaku dikalangan mereka yang ada kepentingan tertentu. Tidak kira samada mendatangkan dengan 10 dalil sekali pun, jika illahnya tidak tepat, ia tidak akan membawa kepada hukum tersebut kerana untuk menghukum kita perlu mengetahui adakah wujud persamaan sifat yang ada pada nas dengan sifat yang ada pada perkara yang ingin dihukumkan.

Umpamanya menghukum orang yang bermain silap mata itu sebagai sihir ( hukum mereka yang mengamalkan sihir boleh dibunuh ), menghukum makruh rokok pada waktu kini seperti rokok pada sebelum kurun ke 18 ( bahan yang berbeza ), Begitu juga menghukum minyak wangi yang ada alkohol sama dengan hukum arak.

2. Perlaksanaan qias.
Tanpa mengetahui illah kadang kala kita tidak menghukum sesuatu perkara dengan hukum yang sebenar atas alasan nama yang berbeza. Ini adalah satu kesilapan, bahkan membawa kemudharatan kepada agama dan manusia. Umpamanya menghalalkan bir atas sebab ia bukan bernama arak. Tidak mengiktibar duit kertas atas alasan duit hanyalah dinar dan dirham dan menyempitkan zakat hanya kepada emas dan perak.

Friday, August 12, 2011

Cerita Landasan Kereta Api Arab Turki




Jika dahulu, saat pulang ke Mu’tah dari Amman ataupun ke Amman dari Mu’tah menaiki coaster, saya pasti termenung merenung landasan kereta api usang sepanjang pekan Qatranah. Sambil membelek duit JD1 yang berlatarbelakangkan ‘great arab revolt’, saya cuba membayangkan keadaan landasan itu di saat nyawa-nyawa terakhir khilafah Uthmaniyyah.

Seratus tahun yang lalu, idea pembinaan landasan tersebut adalah cetusan daripada khalifah Turki yang ‘terakhir’, Sultan Abdul Hamid 2. Dengan harapan hubungan antara Ibu kota khalifah, Istanbul dapat didekatkan dengan kota suci Mekah demi kemudahhan jemaah haji. Ini cerita bagaimana ia dibina,semua menyebut tentang hal yang sama, samada Turki ataupun Arab.

Namun mengapa ia gagal, ada versi yang berbeza. Teringat saat mempelajari subjek tarbiyyah wataniyyah, subjek kenegaraan Jordan yang mencatatkan pembentukan negara ini. Saat itu, dikalangan pelajar dan pensyarah meluahkan pendapat masing-masing tentang keadaan Turki Uthmaniyyah pada akhir kurun ke 18. Menurut mereka, masyarakat arab menyanjungi Sultan Abdul Hamid 2 lebih daripada bangsa Turki sendiri. Landasan kereta api itu disokong penuh oleh mereka.

Walaubagaimanapun bangsa arab percaya setelah Sultan Abdul hamid 2 digulingkan, ketika itu sudah tidak wujud lagi khilafah islamiyyah. Yang ada hanyalah sultan boneka. Saat itu, Uthmaniyyah dibawah pengaruh gerakan Turki muda tidak lagi berminat membangunkan daulah islam, namun lebih ke arah semangat nasionalis Turki. Bangsa arab ditindas, dikalangan mereka dipaksa menjadi tentera Uthmaniyyah dalam persiapan kemungkinan meletusnya perang dunia.

Arab tetap arab, semangat asabiyyah bangsa ini sejak dahulu memang kuat, Cuma kehadiran islam menukarkan asabiyyah itu berteraskan agama. Awal kurun ke 19 itu menyaksikan kuasa-kuasa imperialis barat berusaha meluaskan pengaruh mereka ke atas tanah ummat islam. Politik dunia ketika itu benar-benar tegang. Ketika itu, Turki memilih untuk bersama dengan pakatan tengah Jerman-Hungry.

Untuk melemahkan Turki Uthmaniyyah yang sememangnya sudah bergelar orang sakit eropah, barat menghantar agennya laurance agar menghasut bangsa arab menentang penguasaan Uthmaniyyah di bumi mereka. Revolusi yang bermula di Aqabah Jordan itu berjaya mengusir gabenor dan tentera Turki dari wilayah mereka. Landasan kereta api yang dalam pembinaan itu dimusnahkan oleh pemberontak-pemberontak arab demi menyekat kemaraan tentera Turki.

Itu cerita dulu

Hari ini saat saya menyempurnakan pengajian MA di Universiti Al-Alibayt, Mafraq, landasan tersebut benar-benar berada dibelakang rumah. Setiap kali ingin ke kelas, ke pasar atau ke rumah rakan-rakan yang lain, saya terpaksa ‘melintas’ landasan tersebut. Ia sungguh panjang sejauh mata memandang. Waktu malam, ia menjadi tempat lepak arab-arab Mesir.

Beberapa hari lepas Al-Jazeera melaporkan Kerajaan Turki dengan kerjasama kerajaan Syria, Jordan dan Arab Saudi merancang untuk membangunkan kembali landasan sejauh 2,241 km itu. Selain bertujuan sebagai kemudahan untuk para haji negara-negara tersebut, ia bakal membangunkan ekonomi kawasan sekitar terutamanya negara Jordan.
Rancangan ini mungkin memerlukan masa memandangkan kebangkitan arab masih berterusan di Syria dan di Jordan, kerajaan masih lagi berhati-hati dengan protes rakyat. Walaubagaimanapun, semua rakyat arab mengalu-alukan cadangan tersebut apatah lagi ia daripada Turki.

Era Edorgan benar-benar menghidupkan kembali Neo Ottoman ditengah-tengah krisis negara-negara sekeliling. Dalam negara-negara yang lebih selesa dengan konsep nasionalis ataupun kebangsaan, mewujudkan kembali daulah khilafah bukanlah satu kemestian.

Apa yang penting, jika Turki dapat mewujud dan memimpin blog negara islam dan arab, itu sudah memadai menaikkan kembali izzah islam..

Thursday, August 11, 2011

Antara Parlimen UK dan Malaysia : Jangan Berkiblatkan Barat?




Semalam Ketua Polis Negara membuat kenyataan dengan bangganya PDRM sebenarnya telah mengambil tindakan yang tepat dalam menangani perhimpunan haram BERSIH. Menurut beliau lagi, jika dibiarkan pasti negara akan huru hara sepeti kota London sekarang ini.

Era teknologi dan kemajuan dalam komunikasi secara tidak langsung memecahkan monopoli media arus perdana kerajaan yang terdiri daripada surat khabar dan TV. Kini, media alternatif lebih menjadi pilihan, bukan kerana pembaca dikalangan penyokong pembangkang, namun ramai yang muak dengan media arus perdana yang terus menerus me’maksum’kan kerajaan.

Media alternatif pula selain daripada cepat liputannya dan turut dilihat tidak menyebelahi mana-mana pihak. Dalam masa yang sama turut merekodkan pandangan ahli akademik, penganalisis politik, NGO.. Ini menjadikan mereka yang tidak masak dalam mengeluarkan kenyataan bakal menjadi bahan ketawa oleh masyarakat. Inilah yang berlaku pada menteri-menteri, ketua Polis, SPR, SPRM, ahli parlimen bebas, NGO rasis dan tidak terkecuali ahil parlimen pembangkang.

Bukan itu yang ingin diulas.

4 bulan yang lalu, saya berbincang panjang dengan isteri perlukah membeli televisyen dengan pekej pemancar terbuka. Lama juga kami berfikir memikirkan pro dan kontranya. Bagi saya dengan pemancar terbuka di bumi Jordan ini, peluang untuk menonton Al-Jazeera, BBC, CNN, secara live begitu terhidang tanpa perlu membayar bil bulanan seperti ASTRO.

Bagi isteri pula, kewujudan channel arab dan islam membantu mengukuhkan bahasa arab beliau. Umpamanya channel Iqra’ dan hayatona. Selian itu kami berpeluang menonton ceramah ulama-ulama terkenal seperti Dr Yusof Al-Qaradhawi, Dr Ali Jumuat, Dr Said ramadhan Buti yang sering muncul dalam rangkaian-rangkaian islam ini. Sekali sekala menonton siaran-siaran Syiah, Hizbullah serta salafi pun ada.

Bukan itu juga yang ingin diulas.



Hari ini selepas pulang daripada solat zohor, saya memetik TV al-jazeera, kebetulan rangkaian itu menyiarkan siaran langsung parlimen UK. PM Britan, David Camaron memanggil sidang tergempar membincangkan isu rusuhan yang melanda kota London itu sejak 4 hari itu. Sidang secara langsung itu ditonton oleh seluruh dunia.
Ini kali pertama saya menonton sidang parlimen negara barat secara langsung. Bangunan parlimen yang dibina sejak kurun ke 12 merupakan identiti demokrasi di pulau ini. Dewannya yang kecil dengan ahli parlimen yang duduk begitu rapat hinggakan tidak memerlukan mikrofon bagi setiap ahli untuk berucap.

Apa yang menarik adalah sikap dan tingkah laku ahli parlimen mereka samada kerajaan ataupun pembangkang. Dalam keadaan yang berasak-asak dalam dewan yang kecil itu, perjalanan sesi soal jawab berlangsung dengan teratur. Bayangkan dalam satu jam, kira-kira 40 soalan yang ditanya dan dijawab. Setelah PM memberi respon, begitu ramai yang bangun, namun speaker hanya menyebut satu nama, yang lain pasti akan duduk.
Tidak perlu memanggil YB, semuanya begitu menghormati dewan. Setiap ahli yang bertanya pasti menggunakan peluang ini mengutarakan soalan yang penting dan idea yang bernas tanpa perlu mendatangkan provokasi melambatkan masa dan pelbagai lagi kerja-kerja yang menjatuhkan taraf mereka sebagai ‘YB’. Setiap kali persoalan terhadap kerajaan, sekali sekala kedengaran daripada ahli-ahli parlimen lain laungan “ Yeah”.

Berbalik kepada parlimen Malaysia, institusi tertinggi negara ini bakal berpindah ke bangunan barunya di Putrajaya yang menelan belanja berjuta-juta. Tiada sebab yang konkrit dengan pemindahan itu apatah lagi dewan yang ada sekarang begitu besar dengan setiap ahli parlimen mempunyai meja, mikrofon dan kemudahan mengakses maklumat dengan laptop.

Namun, benarlah kata bekas PM, kemudahan kita bertaraf dunia pertama namun pemikiran kelas dunia ketiga. Tidak perlu menunding dengan membuat contoh sikap vandalism pelajar sekolah, dongakla kepada sikap ahli parlimen kita sendiri.

Orang yang paling berisiko untuk mendapat penyakit jantung adalah speaker apabila membuat arahan. Mengawal ahli parlimen dalam dewan rakyat jauh lebih sukar daripada pelajar tadika walaupun mereka memakai title YB. Jika speaker memberi peluang kepada salah seorang,pasti yang lain bising. Mengungkit macam budak-budak berebut gula-gula.

Tatkala sesi soal jawab, jarang peluang itu digunakan untuk menyoal dengan ikhlas, namun sebagai satu provokasi dan mengganggu ucapan. Baik dipihak parti pemerintah, pembangkang, MP lompat sama sahaja.Meja yang besar itu dimanfaatkan untuk menepuk sekuat-kuatnya, setiap kali ada ahli parlimen yang berucap, maka ada sahaja suara-suara sumbang yang bising mengganggu macam parlimen beruk.

Yang paling menarik tentang parlimen Malaysia, PM bersama menteri-menterinya boleh dibilang berapa kali kehadiran mereka. Semua ini menyebabkan semua berang sama ada dikalangan pembangkang ataupun parti pemerintah sendiri.

Malaysia oh Malaysia…

Itu tak tengok kisah di DUN kelantan ada YB terajang orang dan DUN Perak Speaker diculik dan dihumban dalam bilik gara-gara ingin merebut jubah speaker.

Bukan niat untuk sentiasa berkiblatkan barat. Benar, budaya dan keadaan mereka bukan semuanya sesuai untuk kita yang mempunyai identiti yang tersendiri. Samada ingin menyebut itu adalah identiti islam, melayu ataupun timur, siapa yang bangga?

Bosan dengan politik tanah air sendiri…

Tuesday, August 9, 2011

Revolusi 8 bulan : Isreal Turut Bergolak.. Kredit Untuk Turki..



“ Bukan negara Arab je korupsi, di sini pun sama” kata seorang rakyat Israel yang menyertai demonstrasi di Tel Aviv.

Ramai yang tidak menyedari bahawa Israel juga berlaku protes senyap dikalangan rakyatnya terutama generasi muda sudah muak dengan kerajaan. Isunya sama seperti negara-negara serantau iaitu rasuah, ketidakadilan dan monopoli ekonomi oleh golongan tertentu hingga membawa kepada kemelesetan ekonomi dan pengganguran.

Seramai 250 ribu orang rakyat Israel yang rata-ratanya terdiri dariapda golongan muda berarak dijalanan. Sepanduk-sepanduk bahasa Hebrew diangkat. Khemah-khemah juga didiri menjadikan suasananya sama seperti medan tahrir di Mesir baru-baru ini.
Kebangkitan ini bagaikan virus yang berjangkit daripada Tunisia merebak ke Mesir, Yaman, Jordan, Morocco, Bahrain, Algeria, Syria dan akhirnya hinggap juga di negara yang dianggap haram ini oleh ummat arab.

Sejak 8 bulan revolusi arab 2 melanda timur tengah kita dapat lihat perkembangan beberapa negara.

Jordan.
Raja Abdullah mungkin boleh menarik nafas lega kerana keadaan di Jordan tidak seteruk negara-negara serantau. Langkah bijak baginda adalah terus menukar kerajaan, meraikan pendapat pemimpin pembangkang terutamanya pemimpin Ikhwanul Muslimin dan dalam masa yang sama mengukuhkan pengaruh dan imej baginda di mata rakyat, hinggakan yang dipersalah adalah kerajaan bukannya istana.

Mesir.
Setelah yaumul ghadab selama 18 hari di medan tahrir membawa kepada jatuhnya regim Mubarak, rakyat mesir kembali ke medan tahrir kali kedua mendesak kerajaan peralihan agar mempercepatkan reformasi dan mengheret mereka yang bersalah ke muka pengadilan. Malang buat Mubarak dan koncu-koncunya yang gagal melarikan diri ke luar negara, akhirnya diseret ke mahkamah. Perbicaraan itu berlangsung secara live itu mendapat liputan seluruh dunia yang menantikan kemunculan Mubarak sejak digulingkan.

Dalam masa yang sama, Ikhwanul Muslimin mengambil kesempatan setelah 50 tahun bersabar sebagai gerakan bawah tanah akhirnya melancarkan Parti Kebebasan dan Keadilan yang menjadi saluran rasmi mereka menjelang pilihanraya nanti. Sikap yang bijak dan sederhana yang ditunjukkan oleh Ikhwan dilihat oleh pemerhati mampu meraih sokongan besar nanti.

Yaman.
Keputusan terbaru, Presiden Abdullah Salleh yang memutuskan untuk tidak kembali ke Yaman mungkin memberi keredaan sementara di negara arab paling miskin itu.

Morocco.
Pemerintah beraja di negara ini akhirnya akur dengan desakan rakyat telah membuat reformasi dalam pemerintahan negara. Institusi raja yang dahulunya berkuasa mutlak kini terpaksa berada dibawah parlimen dan kuasa rakyat.

Bahrain.
Hari ini menyaksikan pemimpin pembangkang Syiah dibebaskan semenjak rusuhan baru-baru ini turut meredakan keadaan. Bahrain agak lain daripada revolusi arab yang lain kerana para perusuhnya adalah dikalangan penuduk majoriti Syiah.

Tunisia
Negara yang paling awal pencetus revolusi arab ini sehingga saat ini masih dibawah kerajaan peralihan. Bekas Presiden dan first ladynya kini dijatuhkan hukuman penjara selama 35 tahun.

Libya
Tidak seperti negara-negara arab lain, kebangkitan di Libya bertukar menjadi perang saudara antara pemberontak dan tentera yang setia dengan Gaddafi. Pemberontak dengan bantuan tentera udara NATO semakin lama, semakin hampir dengan ibu kota. Desas-desus kuat bertiup Gadafi yang telah pun kehilangan dua orang anak dalam proses rundingan mencari suaka politik.

Syria
Akhir sekali Syria,negara yang masih lagi huru hara menyaksikan korban meningkat hingga 2 ribu orang. Di saat ini kepimpinan Basyar Asad ditekankan oleh masyarakat dunia dengan barat cuba menggunakan tindakan majlis keselamatan PBB sebagai penyelesaian tentera, namun diancam ’veto’ oleh China dan Russia manakala Arab Saudi, Bahrian dan Kuwait memanggil kembali duta mereka.

Apa yang dilihat..
1. Para diktaktor ada yang masih meneruskan sisa-sisa cengkaman mereka seperti Gaddafi ( Libya ) dan Basyar ( Syria )kerana risau akan mendapat nasib seperti Mubarak ( Mesir ) dan Ben Ali ( Tunisia ) manakala Abdullah Salleh ( Yaman ) juga tidak berani untuk pulang ke tanah airnya sendiri.
2. Para pemimpin arab yang mengambil pendekatan sederhana dan mengubah mengikut kehendak rakyatnya terselamat seperti Raja Jordan, pemerintah Bahrain dan Morocco.

Kredit untuk Turki
Tatkala jiran sekeliling bermasalah,negara arab dengan revolusinya dan eropah timur dengan krisis ekonominya, Turki langsung tidak terkena tempiasnya. Erdogan dan AKP mencatatkan sejarah dengan kejayaan kali ketiga menang dalam pilihanraya baru-baru ini membawa Turki jauh kehadapan.

Turki yang kini diiktiraf sebagai negara ke 16 kuasa ekonomi dunia memainkan peranannya dalam kestabilan di rantau ini. Sejak isu Gaza hingga ke revolusi Arab ia benar-benar menjadikan Turki lebih menonjol peranannya berbanding dengan kuasa barat.

Jika 100 tahun yang lalu revolusi arab dengan bangganya mengangkat diktator-diktator mereka menentang Turki Uthmaniyyah, kini revolusi kedua menyaksikan rakyat mereka menggulingkan keturunan regim-regim ini. Jauh pada harapan mereka agar bumi arab menjadi seperti Turki.