Tuesday, July 26, 2011

Coretan Ilmiah Soifi Di Mafraq

Soifi ini, saya tiada kuliah rasmi di Universiti. Dalam keadaan cuaca yang sangat panas dan isteri yang sarat,ia sedikit kelebihan buat kami. Walaubagaimanapun, saya tetap ke Universiti menghadiri kuliah-kuliah pelajar BA dan kadang kala singgah sebentar ke perpustakaan. Masakan tidak, kami pelajar MA terpaksa membayar USD 100 setiap semester atas alasan penggunaan sumber ilmu. Maka, ia mesti dimanfaatkan terutamanya internet.

Antara kelas yang paling kerap saya sertai adalah kelas fiqh ibadat 2 oleh Dr Fathullah. Subjek yang membincangkan tentang zakat, puasa dan haji ini benar-benar mendatangkan manfaat buat saya. Kalau dahulu cabaran yang dihadapi oleh saya sebagai pelajar Mu'tah adalah terpaksa belajar kebanyakan fiqh dalam mazhab Hanafi, kini berpeluang melapik kembali dengan mazhab Syafie.

Namun itu bukan isunya, dengan penguasaan bahasa arab yang lebih baik daripada beberapa tahun yang lalu, ia sangat membantu dalam menambah dan memperdalamkan pemahaman kita, bahkan membetulkan salah faham terhadap ilmu yang dipelajari beberapa tahun yang lalu. Justeru itu, saya menasihati rakan-rakan yang berada di tahun akhir supaya mengambil peluang menyertai ( mustami' ) kembali kelas-kelas tahun-tahun awal kita dahulu.

Saya Dan Akademik.
Di saat ini juga saya mengambil peluang untuk menyumbang kepada perkembangan akademik dan ilmiah di sini. Kursus intensif dan kelas bagi subjek Madkhal ila dirasat syariat adalah keutamaan bagi saya. Subjek ini adalah kunci segala-galanya kepada pelajar syariah samada usuludin ataupun fiqh. Sambutan pelajar tahun satu sangat menggalakkan. Apa yang mengejutkan saya, isi kandungan subjek tersebut juga jauh lebih advance daripada apa yang saya belajar dahulu.

Apabila meneliti subjek-subjek di sini, saya mendapati subjek berkaitan dengan pengenalan dan asas-asas syariah dan islam itu sendiri sangat banyak. Jika ditelaah dengan bersungguh-sungguh, Al-Bayt mampu melahirkan pelajar syariah yang cemerlang dan terbuka pemikirannya.

Kelas Fiqh Hadith & Halal Haram.
Kesempatan ini juga saya membimbing kelas fiqh hadith anjuran Exco Akademik dan Intelektual. Fiqh hadith yang berasaskan kitab Bulughul Maram cuba saya jadikan satu pencerahan kepada perbandingan mazhab dan dalam masa yang sama merentasi ilmu fiqh dengan lebih cepat dan intensif.

Matlamat saya adalah keterbukaan dan melihat syariah dengan gambaran keseluruhan agar menanam sikap ingin tahu yang lebih bersemangat dikalangan pelajar. Keterbukaan ini bukan mengajar kita untuk bebas dalam berijtihad ataupun mengeluarkan hukum namun bersikap kritis dalam menuntut ilmu.

Kitab yang kedua pula adalah kitab Halal Haram Fi Islam karya Dr Yusof Al-Qaradhawi. Saya melalui diskusi selama 2 tahun suatu ketika dahulu di bawah bimbingan Dr Syuesh Mahamid berkenaan kitab ini. Antara sebab kitab ini menjadi pilihan adalah sebagai persediaan dan asas-asas dalam memahami kaedah halal haram dalam agama dan juga isu-isu halal dan haram dalam kehidupan manusia. Ia jarang diperoleh secara direct di Universiti, namun apabila pulang inilah yang bakal ditanya oelh masyarakat.

Dalam masa yang sama saya menyedari wujudnya aliran yang berbeza di sini. Bahkan saya pun terkena tempias samaada dilebal salafi dan juga dalam masa yang sama dilebal anti salafi.

Kepada rakan yang risau saya akan menyebarkan fikrah salafi, jangan risau saya lebih dahulu belajar tentang hal ini. Begitu juga sebaliknya yang mengganggap saya cuba menyokong apa yang dianggap bertentangan dengan sunnah,jangan risau saya dikalangan pelajar fiqh yang mendalami sunnah.

Yang perlu kita risau adalah sikap dan kesedaran pelajar kita.

Don’t Grow Old – Grow Up!

Sunday, July 17, 2011

Dunia Pada 9 Julai.



Seawal pagi lagi saya menatap siaran Al-Jazeera TV semata-mata ingin menonton liputan BERSIH 0.2, namun sedikit hampa, berita seawal 6 pagi itu hanya memaparkan KL lengang dengan beberapa visual polis sedang berkawal.

Teringat saya pada BERSIH 2007. Saat itu saya tidak mempedulikan tentang politik tanah air rentetan kejatuhan pembangkang sejak 2004 yang lalu. Namun,secara kebetulan menonton Al-Jazeera, liputannya begitu menarik perhatian saya akan momentum politik tanah air. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemuramah menyatakan kekesalan dan keyakinan kebangkitan politik pembangkang. Dalam masa yang sama seluruh dunia menyaksikan betapa rendahnya tahap profesional seorang menteri Malaysia dalam memberi respon soalan wartawan.

Al-Jazeera Agenda Kafir.
Sehari sebelum itu, saya menerima kunjungan beberapa sahabat-sahabat junior di sini.

" Ustaz, ada orang kata kita jangan tengok Al-Jazeera dan Malaysiakini adalah agenda kafir"

" Habis tu nak baca Utusan Malaysia sahaja?"

Saya sangat khuatir apabila ada dikalangan kita cuba menyuntik sikap menilai yang salah kepada pelajar-pelajar kita iaitu menghukum tanpa melihat terlebih dahulu. Akhirnya lahirlah ustaz-ustaz yang jahil tentang musuh mereka yang sebenar.

Menerima dan percaya adalah dua cara yang berlainan. Al-Jazeera dan Malaysiakini mendapat tumpuan daripada semua kerana maklumat yang disampaikan tidak berpihak kepada mana-mana pihak selain beritanya sentiasa dikemaskini. Sebagai muslim, method kita menerima berita adalah dengan cara " menyelidik" :-

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujuraat 49:6)


Bukan semua berita daripada sumber yang tidak diyakini itu kita tolak mentah-mentah, namun jika berita itu awal-awal lagi menampakkan kebodohan, batu api, tiada moral, pastinya awal-awal lagi sukar untuk diterima walaupun yang menyampaikannya adalah seorang muslim.

Berkenaan dengan Kafir, Al-Quran menyebut mereka ada dua golongan : Menentang islam dan ada yang tidak memusuhi islam. Yang menentang, kita fahamkan mereka dahulu, kemudian barulah berkeras. Yang tidak memusuhi pula kita dituntut berlaku adil. Seterusnya kita menghukum mereka secara zahir, ada pun perancangan jahat mereka Allah lebih mengetahui dan akan menjaga agamanya..

Namun yang pasti munafiq itu tetap satu matlamat iaitu menghancurkan islam. Kafir begitu jelas kepada kita identitinya, namun munafiq adalah dari kalangan muslim termasuk melayu.

Ada apa 9 julai.
Rupa-rupanya saat itu BERSIH tenggelam dengan berita seluruh dunia yang lain terutamanya yang melibatkan negara islam. Antaranya:-

1. Perpecahan Sudan.
Kemerdekaan Sudan selatan daripada Sudan menjadikannya bukan lagi negara terbesar di bumi Africa. Setelah 20 tahun mengharungi perang saudara antara kerajaan utara yang majoritinya Arab Muslim dan selatannya yang terdiri daripada pemberontak Kristian, ia berakhir dengan pemisahan wilayah selatan itu daripada kerajaan islam.

Situasinya hampir sama dengan kemerdekaan Timur Timor daripada Indonesia beberapa tahun yang lalu. Peperangan antara kedua-dua pihak melangkaui batas kemanusiaan hingga menyaksikan ICJ mengeluarkan waran tangkap kepada Presiden Sudan Omar Basyhir.
Berita ini disambut dengan kesedihan oleh ummat islam kerana wilayah kristian yang merdeka itu menyimpan kira-kira 80% sumber minyak Sudan. Namun, salah siapa?

2. Revolusi Syria dan Libya.
Pihak pembangkang Syria berpakat untuk tidak menyertai dialog kebangsaan tajaan pemerintah. Hingga kini angka korban di bumi Syam itu mencecah ribuan. Wartawan dihalang daripada membuat liputan, hanya video-video telefon bimbit sahaja menjadi bahan tontonan masyarakat dunia ke atas apa yang berlaku di sana.

Basyar Asad dan konco-konconya Syiah Alawin memang benar-benar menjajah bumi barakah itu. Kini rakyat bangkit dan meneruskan perjuangan menuntut reformasi pemerintahan. Sudah berpuluh-puluh ribu ahli politik dan ulama yang syahid dan hilang sejak pemerintahan singa itu, negara yang dikenali silent kingdom itu kini bergegar. Berbanding dengan Libya yang dikenakan tindakan oleh Majlis Keselamatan PBB, nampaknya usaha tersebut sukar di Syria kerana mendapat sokongan daripada Rusia dan China. Kesudahannya apa yang berlaku di Syria, Allah sahaja yang tahu.

Situasi yang berbeza di Libya, saat-saat ini, Gadafi masih cuba meniupkan semangat kepada rakyatnya agar menyokong beliau. Dengan seruan jihad menentang kuffar, Gadafi begitu terdesak dengan pemberontak yang diisytiharkan pemerintah yang sah oleh dunia hanya beberapa km sahaja daripada Tripoli.

Dunia oh dunia.. Apa yang berlaku? Kadang kal kita keliru apa yang berlaku, adakah semuanya ada kaitan antara satu sama lain?

Sehingga saat ini saya percaya:-

1. Muslim itu ada yang amanah dan khianat. Yang amanah itu muslim yang mukmin dan yang khianat itu munafiq walaupun menggunakan nama muslim. Bersatu dengan mereka tidak akan menjadikan agama kita kuat bahkan melemahkannya.

2. Islam menjadi lemah bukan kerana agenda kuffar, namun kerana ummat islam sendiri yang tidak berpegang dengan prinsipnya dan tidak beramal dengan kandungannya. Ada pun kuffar, hebat bagaimana sekali pun mereka tidak akan mampu memadamkan cahaya Allah.

" Mereka (musuh-musuh Allah) berusaha untuk memadam cahaya Allah(Deen Allah) dengan mulut-mulut mereka (diayah-diayah mereka) dan Allah tidak rela kecuali menyempurnakan cahaya Islam walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”
(AtTaubah, 9:32; As-Sof, 61:8)

Seperti kata Saidina Umar..

"Aku lebih takut pada dosa-dosa kamu daripada musuh-musuhmu. Kerana apabila kamu melakukan dosa, Allah tidak lagi akan menolong kamu. Maka terbiarlah kamu pada musuh-musuhmu"

Thursday, July 14, 2011

BERSIH : “ What You See Is What You Get”



Isu BERSIH dilihat dengan pelbagai perspektif berdasarkan latarbelakang masyarakat yang berbeza. Ada yang akal mengatasi emosi dan ada yang emosi mengatasi akal dalam menilai isu ini. Ada juga yang melihat isu ini dari sudut perlembagaan dan hak asasi, ada juga melihat dari sudut rasicm dan terdapat juga mereka yang menjadikan agama sebagai penentu keharusannya. Itu semua yang membezakan penilaian antara kita.

“What you see is what you get”

Hukum Demonstrasi
Dalam mengeluarkan sesuatu hukum dua perkara yang perlu dinilai adalah hukum dan perkara yang ingin dihukumkan. Walaupun mendatangkan seribu dalil dalam menghukum sesuatu, namun jika apa yang ingin kita hukum itu tidak diketahui bentuknya, kita masih lagi jahil.

Dalam menghukum demonstrasi ada dua kelompok dikalangan ahli agama. Terdapat satu golongan yang memahami agama dengan literal terus mengharamkannya atas alasan memerangi pemerintah. Seterusnya mereka mendatangkan segala hadith yang berkaitan dengan hukum menentang pemerintah dengan kefahaman secara tersurat semata-mata.

Jika demikian bagaimanakah pula dengan hadith-hadith yang menyebut bahawa jihad yang paling besar adalah berkata benar dihadapan pemerintah dan hadith yang menyeru ummat Islam mencegah kemungkaran samada dengan tangan, lidah ataupun hati. Bukankah ada pertentangan antara kedua-dua kelompok hadith ini?

Saya melihat demonstrasi adalah satu cara untuk bersuara dan boleh jadi ia membawa tujuan amar ma’ruf nahi mungkar. Yang membezakannya adalah suara itu secara berkelompok. Jika seseorang itu bersuara secara individu mungkin tidak dilayan oleh pemerintah, namun jika 10 ribu orang bersuara mungkin ada kesannya.

Saya tidak nampak demonstrasi itu adalah menentang pemerintah seperti apa yang disebut dalam kitab-kitab ulama terdahulu. Ia juga bukanlah bughah ( pemberontak ) bukan juga khawarij ( kelompok yang memerangi kerajaan ). Mereka hanya kelompok yang ingin mengadu kepada YDP Agung selaku pemerintah tertinggi negara agar meminta kerajaan menambahbaikkan system pilihanraya negara. Ini demi masa depan negara.
Itu yang saya lihat maka itu yang saya dapat nilaikan..

Ambiga Sebagai Ketua.
Serangan kedua adalah terhadap Datuk Ambiga sendiri yang merupakan peguam kepada Lina Joy. Dikalangan mereka juga ada yang menimbulkan isu bahawa kita memberi wala’ ( taat setia ) ataupun berketuakan dengan seorang yang kafir.

Saya pula melihat BERSIH hanyalah sebuah gabungan sementara antara 62 NGO. BERSIH hanyalah satu bentuk saluran penyatuan NGO-NGO agar tindakan ini diselaraskan. Ketuanya hanya bertaraf pengurus yang boleh ditukar ganti, sebelum ini pun pengurusi BERSIH adalah dikalangan Melayu. Kita hanya menggunakan khidmat beliau bukannya berwala’kan beliau.

Saya juga mendapat satu maklumat terbaru bahawa Ambiga adalah wakil hak asasi manusia di PBB maka belia mendapat perhatian yang lebih luas dan kerajaan perlu berhati-hati dalam mengambil tindakan yang keras. Jika yang mengetuainya adalah dikalangan pimpinan pembangkang, pasti akan dilanyak oleh kerajaan ataupun dieksploitasikan isunya oleh media-media.

Hadith juga menyebut.
“Hikmah itu barang tercicir kepunyaan ummat Islam”.

Maka di sini saya lebih melihat kita yang mempergunakan Ambiga bukannya dia yang mempergunakan kita.

BERSIH dan Masa Depan.
Mereka juga mendatangkan dari sudut kemudharatan kepada negara dari segi ekonomi dan politik. Dalam Islam samada mudharat dan maslahat ada pertimbangannya. Jika maslahat lebih besar mengatasi mudharat maka didahulukan maslahat.

Maslahat di sini adalah mewujudkan sistem yang adil dan telus kepada rakyat untuk bebas memilih kerajaan mereka di masa akan datang. Sehingga kini cara menukar dengan pilihan raya agak sukar kerana pilihanrayanya agak tidak ‘bersih’ bagi majoriti pihak. Ini adalah masa depan negara, bukannya kepentingan parti-parti tertentu.

Bahkan apa yang dikatakan mudharat itu jika dilihat dengan rasional adalah provokasi bukan daripada BERSIH. Penutupan kedai-kedai dan lalu lintas adalah daripada arahan pemerintah. Jika diikutkan tentatif BERSIH hanya memerlukan 2-4 jam sahaja.

Masyarakat Membentuk Politik.
Prof Dr Abdul Aziz Bari, pakar perlembagaan mengutarakan kepentingan isu ini pada sudut perlembagaan. Ambiga selaku bekas majlis peguam menggerakkannya dengan pengalaman beliau dalam undang-undang. A Samad Said pula meniupkan semangat dengan gaya bahasa dan sastera beliau. Dr Asri dan Ustaz Zaharuddin bersama group ulama dan daei’ telah pun menghuraikan keharusannya dari sudut agama.

Ini membuktikan semua rakyat kita mengambil berat tentang politik negara demi masa depan untuk generasi akan datang bukan kepentingan politik semata-mata. Jika mereka tidak menyokong BN bukan kerana mereka ahli mana-mana parti pembangkang, namun kerana hak mereka yang ingin dijaga oleh kerajaan yang baik. Jika suatu hari nanti PR menang dan gagal menunaikan amanah, mereka juga akan menghadapi nasib yang sama.

Isu BERSIH..

“ What you see is what you get”

Saya tengok seperti itu, maka itu yang saya dapat dan saya sokong..

Wednesday, July 6, 2011

Jika Orang Alim Diam, Bilakah Kebenaran Akan Muncul



Allah s.b.t memberikan pengiktirafan yang tersendiri terhadap mereka yang belajar, mendalami dan akhirnya mahir dalam agama islam. Ini disebut dalam Al-Quran dan As-sunnah, terdapat beberapa gelaran yang diberikan terhadap golongan ini. Antaranya :- Ulama, Faqih, Ahli Zikr dan Ar-Rasikh fi ilmi.

Apa yang menarik dan lebih penting, gelaran-gelaran ini tidak hanya disebut sekadar nama semata-mata bahkan disertakan sekali dengan sifat-sifat dan tugasan yang mesti disempurnakan oleh mereka. Jika bertepatan dengan sifat tersebut maka tinggilah darjat mereka di sisi Allah dan sekaligus mendapat penghormatan daripada manusia.
Antaranya sifat-sifat dan tugasan tersebut:-

1. Ulama.
Terdapat dua nas yang penting disebut berkaitan dengan ulama iaitu:-

Firman Allah
"Sebenarnya mereka yang takut kepada Allah daripada kalangan hambaNya hanya Ulama’, sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun." (surah al-Fathir ayat 28)
Sabda baginda s.a.w.
“Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna” (Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Ayat tersebut menunjukkan bahawa ulama disifatkan oleh Allah sebagai manusia yang paling bertaqwa kepadaNya iaitu takut dalam melakukan apa yang dilarang dan meninggalkan apa yang disuruh. Mereka juga akan bercakap hanya apa yang Allah perintahkan dan tidak menjual agama ini dengan nilai dunia. Ini kerana merekalah yang paling memahami ayat-ayat yang berkaitan dengan dosa pahala dan azab nikmat di akhirat berbanding orang biasa.

Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w pula mengiktiraf bahawa ulama itu adalah pewaris baginda s.a.w. Mereka digambarkan seolah-olah mewarisi ilmu baginda s.a.w. Dengan ilmu itu merekalah yang membimbing manusia agar menuju ke jalan diredhai Allah.

2. Faqih.
Firman Allah
“Dan tidaklah semua orang Islam itu wajib pergi berperang. Hendaklah segolongan dari mereka yang mendalami agama agar mereka dapat memberi peringatan terhadap kaum mereka apabila mereka pulang kelak, supaya mereka berjaga-jaga dari melakukan dosa” ( surah At-Taubah :122 )

Jihad merupakan salah satu kewajipan yang paling penting demi menegakkan dan mempertahankan agama islam dan ummatnya, sehinggakan apabila diseru kepada jihad wajib bagi yang berkemampuan menyahut seruannya.

Namun, dalam hal ini, Allah mengecualikan golongan yang ditugaskan mempelajari ilmu agama daripada menunaikan jihad. Betapa pentingnya kewujudan golongan faqih dalam sesebuah masyarakat. Tidak sekadar belajar sehingga menjadi seorang yang faham dalam agama, Allah menuntut agar ilmu yang dipelajari itu digunakan untuk memberi peringatan kepada ummat agar mereka tidak melakukan apa yang terlarang dalam agama.

Samada ulama dan faqih sifat dan tugasnya jelas kerana merekalah yang lebih mengetahui kebenaran. Namun, yang menjadi kekeliruannya bagaimanakah ingin mengenali mereka.

Cukupkah sekadar mendapat ijazah dalam bidang Fiqh ataupun usuludin?

Cukupkah apabila sudah bergelar ustaz di majlis agama?

Cukupkah apabila menjadi guru agama ataupun pensyarah?

Ataupun menyertai ulama muda yang sentiasa menyokong kerajaan?

Sehingga ke hari ini saya masih pedih dengan ustaz-ustaz yang berkata

“ Jangan pedulikan politik, nanti susah dapat kerja. Bukan senang dapat kerja sekarang”

“ Tak payah la sebut-sebut sangat, nanti susah kita. Kena tukarkan.. Anak bini sape nak jaga”

Benarlah satu athar diriwayatkan oleh seorang sahabat
“ Kefakiran itu boleh membawa kepada kekufuran”

Tatkala ulama-ulama sezaman dengan Imam Ahmad meminta beliau agar mengakui bahawa Al-Quran itu makhluk ( seperti pegangan pemerintah ketika itu ) maka terus ditempelak oleh beliau..

" Jika orang alim diam, bilakah kebenaran akan muncul"