
“ Berapa yuran kamu? Bertahanlah, pelajar Jordan terkenal sebagai pelajar yang tidak merungut”
“ Tak mengapala”
Saya menutup perbualan bersama dengan salah seorang pegawai kerajaan apabila menyedari ada sesuatu yang tidak kena jika terus bercakap. Kenaikan zakat baru-baru ini kepada pelajar BA begitu rahmat buat mereka. Namun bagi pelajar MA, kami diminta bersabar. Walaupun begitu mengharapkan sedikit kenaikan demi memenuhi keperluan namun saya harus menyedari jangan sampai tahap mengemis.
Bercakap tentang tajaan ketika MA. Itulah soalan pertama yang disapa oleh rakan ketika tiba di Jordan untuk pengajian. Begitu juga begitu malu untuk bertanyakan tentang yuran kerana kebanyakan jawapan mereka..
“ Kerajaan yang bayar, ana cuma belajar je”
Teringat saya dengan kunjungan ketua setiausaha KPT, rata-rata dikalangan pelajar MA dan Phd menuntut tajaan yang lebih tinggi yang kini mereka ditaja tidak kurang daripada RM 2,500 sebulan. Manakala saya tidak sampai RM 600 sebulan, itu pun belum ditolak yuran lagi.
Sehinggalah kunjungan Ust Azahari, pelajar PHd di salah satu Universiti di tanah air benar-benar memberi pencerahan kepada saya. Selain itu,beliau merupakan lepasan Ijazah dan MA Morocco.
Beliau menasihati saya agar bersabar dan melihat ada hikmahnya belajar tanpa ditaja.
“ Itulah kebebasan buat kita, kebebasan yang paling besar dalam ilmu ini adalah menyatakan yang benar dan menghasilkan kajian yang benar-benar bermutu”
Saya menyedari hal ini. Menurut beliau ada dikalangan daripada pensyarah-pensyarah kita yang ditaja begitu tertekan untuk menghasilkan MA ataupun PHD dalam masa yang ditetapkan. Akhirnya muncullah hasil kajian yang cincai semata-mata memenuhi keperluan penaja sahaja.Baru-baru ini juga ada rakan MA yang dihantar oleh jabatan kerajaan diperuntukan hanya 2 tahun, jika tidak terpaksa membayar kembali seluruh tajaannya.
Jordan antara negara yang begitu menjaga kualitinya dalam melahirkan pelajar MA. Kami diwajibkan menghabiskan 8 subjek dengan setiap subjek mewajibkan tesis yang kemas dan peperiksaan yang sukar. Kadang kala sukar untuk menghabiskannya dalam masa 2 tahun.
Semua ini saya nyatakan bukan untuk memandang rendah mereka yang ditaja bahkan jauh di hati saya mengimpikannya. Namun saya menulis agar menyedarkan hati agar memahami hikmah disebalik semua ini.
Jangan berputus asa samada kita pelajar BA ataupun MA dalam bidang agama. Biasiswa Allah sentiasa terbuka untuk semua. Antara kandungan biasiswa ini.
1. Biasiswa hanya diberikan mengikut keperluan bukannya kehendak.
2. Setiap yang dikurniakan tidak semestinya berbentuk matawang namun segala
keperluan yang mendamaikan hati yang resah.
3. Biasiswa ini tidak mensyaratkan kita menghantar keputusan semesta, namun kedudukan iman kita. Adakah kita yakin dan merasai Allah itu Ar-Razzaq ataupun sekadar melihat perkataan itu dalam buku-buku akidah.
Ijazah Allah.
Saya juga masih ingat kisah diperlekehkan oleh ‘orang besar’ sebuah universiti di Malaysia apabila menyatakan keinginan jika ada peluang saya ingin berkhidmat di bawah universiti.
Namun jawapan yang diperolehi begitu pelik. Saya tidak menyangka ada orang akademik membantutkan semangat orang yang ingin menuntut ilmu diperingkat yang lebih tinggi lagi. Patutlah Universiti tersebut sentiasa kontroversi dan menjadi mainan orang politik.
Saya tidak begitu lapar untuk mengejar title dan gaji tenaga pengajar universiti. Saya hanya mempunyai minat untuk mengaplikasikan ilmu agama diperingkat yang lebih tinggi dalam masa yang sama memudahkannya untuk semua lapisan masyarakat.
Alhamdulillah, saya sentiasa ada ruang itu di Jordan ini. Memberi dan menerima, jika dahulu di Mu’tah kini mahasiswa Mafraq turut membuka ruang buat saya. Membimbing dan memahamkan mereka tentang pengajian. Walaupun tidak merasai nikmat gaji, cukuplah ganjaran Allah dan kepuasan diri buat semua ini.
Hari demi hari, adakalanya kita lupa hakikat kita sentiasa diperhatikan Allah bahawa hidup ini adalah ujian kepada masa depan di akhirat. Bukan kelayakan dan kekuasaan kita yang dinilai, namun amanah, tanggungjawab, amalan, sikap terhadap manusia dan agama.
Akhirnya marilah kita menyedari bahawa ijazah syariah yang sebenar hanya milik Allah. Dia yang memberi kemuliaan dengan memahamkan ilmu ini.
“ Sesipa yang Allah inginkan padanya kebaikan akan diberi kefahaman dalam agama” ( Hadith ).
Sebagai hasilnya kita dituntut setelah menjadi seorang yang faham dalam agama agar memberi peringatan apabila pulang nanti.
Dan tidaklah semua orang Islam itu wajib pergi berperang. Hendaklah segolongan dari mereka yang mendalami agama agar mereka dapat memberi peringatan terhadap kaum mereka apabila mereka pulang kelak, supaya mereka berjaga-jaga dari melakukan dosa( surah At-Taubah :122 )
Bukannya mereka pula yang diberi peringatan!