Monday, May 9, 2011

Tutup Sahaja Makmal Qias



Dalam menjalankan eksperimen terhadap hukum, ulama menyedari bahawa hak menghukum hanyalah milik Allah dan Rasulnya sahaja. Mereka menyedari tugas mereka hanyalah menyampaikan apa yang telah diwariskan oleh Baginda s.a.w sahaja.

Namun, masalah yang dihadapi, wahyu Allah sudah pun ter’putus’ dengan kewafatan baginda s.a.w. samada Al-Quran ataupun hadith. Dalam masa yang sama zaman semakin berubah, perkara baru banyak yang muncul. Semua itu memerlukan hukum agar manusia tidak terjebak dalam perkara yang haram.

Maka ketika inilah ulama menjalan kajian terhadap seluruh wahyu samada daripada Al-Quran dan sunnah yang melibatkan perkara hukum hakam. Ulama sangat memerlukan panduan daripada semua itu demi menyelamatkan manusia.

Perkara pertama yang dikaji adakah setiap hukum itu mempunyai maksud tersirat dan tujuan tertentu? Maka, apa yang penting adalah maksud yang tersirat dan apa yang disebut dalam hukum itu hanyalah contoh.

Umpamanya apabila Allah melarang arak kerana boleh memabukkan yang akan membawa kepada kemudharatan. Maka, yang dikehendaki oleh agama adalah mengharamkan segala yang memabukkan bukan hanya arak sahaja.

Ketika ini, ulama tidak menjatuhkan hukum baru, namun hanyalah menyebut apa yang telah ditetapkan oleh Allah bahawa arak itu diharamkan kerana mabuk. Tidak perlu Al-Quran menyebut setiap satu minuman yang memabukkan, cukup sekadar menjelaskan mengapa ia diharamkan.

Di sinilah bermulanya eksperimen ulama, mengetahui apa yang tersirat pada sesuatu hukum. Mengapakah ia dihalalkan? Atau diharamkan?

Bagaimanakah caranya? Tidak dapat elakkan akal mesti terlibat dalam memikirkannya. Ini kerana Allah sendiri tidak menyebut sebabnya secara jelas.

Masalah yang timbul adakah akal itu mampu mencari maksud yang tersirat pada mana-mana hukum? Dan benarkah hukum terbina atasnya?

Umpamanya bila kita menyebut haramnya arak adalah kerana mabuk, maka jika tidak mabuk adakah dihalalkan? Inilah yang ditentang oleh sebahagian ulama yang tidak bersetuju dengan kewujudan makmal qias ini. Bagi mereka eksperimen terhadap hukum adalah sesuatu yang tidak perlu.

Akal manusia tidak mampu mentafsirkan tujuan sesuatu hukum. Yang layak dan yang mengetahui hanyalah Allah sahaja. Jika DIA tidak menyebutnya maka apakah perlu manusia memandai-mandai menetapkannya?

Kemudian mereka berhujjah lagi. Akal tidak mampu membuat kesimpulan terhadap hukum kerana keterbatasannya termasuk mencari tujuan dan matlamat hukum. Cuba lihat beberapa contoh:-

1. Wudu’ dan tayammun mempunyai tujuan yang sama iaitu bersuci untuk menunaikan solat. Apabila dilihat sifat air dan tanah sangat jauh berbeza. Akal tahu air itu menyucikan dan tanah itu mengotorkan, sepatutnya berbeza namun Allah menjadikannya sama.
2. Orang yang menuduh sesorang itu berzina akan dikenakan qazaf sebanyak 80 sebatan, namun orang yang menuduh sesorang itu kafir tidak dihukum dengan sedemikian berat walhal tuduhan murtad lebih besar daripada tuduhan zina. Akal gagal memahaminya?
3. Begitu juga mengapa Allah melebihkan bulan ramadahan daripada bulan-bulan yang lain, mengapa melebihkan Mekah daripada tempat-tempat lain, hal ini tidak mampu difikirkan.

Maka, kumpulan ini menentang sekeras-kerasnya makmal qias yang diadakan oleh sebahagian besar ulama. Eksperimen terhadap hukum adalah sesuatu yang tidak patut dijalankan. Jika gagal mencari tujuan dan sifat hukum maka mustahil boleh menjalankan eksperimen yang seterusnya iaitu qias.