Tuesday, April 26, 2011

Makmal Qias : Eksperimen Ulama Terhadap Hukum



Memperlajari subjek Qias pada semester ini cukup memberi manfaat kepada saya dari sudut pemikiran dan ilmu. Sepanjang satu fasal, kami dibimbing oleh Prof Dr Abdullah Badaranah ( Timbalan Dekan Kuliah Syariah ). Rakan-rakan kelas kami dari kalangan pelajar Algeria cukup menjadikan kelas ini begitu advance sehingga tidak terkejar kami pelajar Malaysia. Setiap kali kelas, pelajar diwajib menghadirkan bersama assignment ringkas berkenaan tajuk yang akan dipelajari. Rujukannya pula mesti sekurang-kurangnya 4 buah kitab. Bagi saya dan rakan-rakan Melayu, ia tugasan yang agak membebankan, namun sangat bermanfaat.

Berbanding kelas di peringkat Ijazah, pensyarah akan mengingatkan tajuk minggu lepas dan akan terus memulakan kelas dengan tajuk baru. Kali ini, setiap kali kelas, soalan yang akan ditanya “apa yang kamu bawa hari ini?”

Berkenaan dengan subjek Qias, kami mempelajari subjek ini dengan begitu teliti. Berikut adalah perjalanan kelas kami:-

Peringkat 1: Pengenalan ta’rif Qias berdasarkan Ulama Usuliyyin ( pakar dalam bidang usul ) dan tidak lupa juga pendapat ulama fiqh mazhab. Secara kesimpulannya Qias itu menyamakan perkara yang tiada hukum dengan perkara yang disebut hukumnya dalam nas ( Al-Quran dan As-sunnah ). Ketika itu kita akan mengeluarkan hukum terhadap perkara baru tadi berdasarkan hukum yang sama disebut dalam nas. Semua ini disyaratkan mesti mempunyai persamaan ciri-ciri antara kedua-duanya.

Timbul persoalan : Adakah hukum yang diqias itu hasil daripada usaha mujtahid ( sebelum ini tiada hukum ), ataupun hukumnya telah ada, namun hanya menunggu masa mujtahid itu mendedahkanya?

Peringkat 2 : Kami mempelajari hujjah Qias. Adakah Qias merupakan sumber hukum ataupun tidak? Terlalu banyak bentuk pegangan ulama terhadap qias, namun kesimpulannya, ada yang mengakui Qias itu salah satu cara mengeluarkan hukum dan ada pihak yang menentang penggunaan Qias. Yang paling terkenal adalah Ibnu Hazm Az-Zohiriah dan juga Imam As-Syaukani.

Timbul persoalan : Jika tidak menjatuhkan hukum dnegan cara Qias ( menyamakan hukum apabila ada persamaan ciri ), Bagimanakah metodologi Ibnu Hazm mengeluarkan hukum terhadap perkara yang baru yang tiada pada zaman Nabi s.a.w? Yang jelas sumber nas terhad berbanding masalah yang muncul.

Peringkat 3 : Peringkat ini dimulakan dengan meneliti syarat-syarat untuk melakukan qias. Menjatuhkan hukum dalam sesuatu perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran dan As-sunnah memerlukan penelitian yang tepat. Ia berkaitan halal dan haram, hak Allah semata-mata. Maka, jangan mepermudahkannya tanpa menilai dari semua sudut. Yang paling penting adalah mengetahui ciri-ciri ataupun illah pada sesuatu hukum itu dahulu sebelum menyamakannya dengan perkara baru.

Peringkat 4 : Menurut pensyarah, ini adalah tahap yang paling penting dalam pengajian kami, iaitu mencari illah ataupun sebab bagi sesuatu hukum. Ketika inilah kesukaran yang dihadapi oleh mujtahid, adakah hukum itu disebabkan ini ataupun disebabkan itu. Boleh jadi sesuatu hukum itu mempunyai lebih daripada satu sebab. Boleh jadi juga hukum itu berdasarkan sesuatu sebab yang seakan-akan sesuai namun tidak menepati objektif syariah.

Hasilnya ulama menggariskan beberapa ujian terhadap sesuatu hukum itu untuk mengeluarkan illah ataupun sebabnya. Antaranya berdasarkan nas, ima’, ijma’, takhrij manat, tahqiq manat dan tanqih manat.

Alhamdulillah kelas ini banyak mengubah persepsi saya terhadap bidang fiqh ini sendiri. Jika dahulu, walaupun pengkhususan dalam bidang fiqh namun saya lebih cenderung kepada methodologi ahli hadith dalam mengeluarkan hukum. Mungkin ketika itu saya merasakan hanya dengan cara mengetahui kekuatan hadith sahaja menentukan sesuatu hukum itu tepat atau tidak.

Rupa-rupanya ahli usul dalam bidang fiqh sendiri mempunyai kaedah yang begitu menarik dan hebat. Mereka mengumpul semua nas dan hukum-hakam kemudian menilainya dengan begitu teliti untuk mengeluarkan maksud yang tersirat padanya. Tugas menguji hukum ini sangat sukar dan memerlukan keluasan pengetahuan terhadap pendapat ulama’, pemahaman bahasa yang tinggi dan kajian yang terperinci berdasarkan kesesuaiannya dengan kepentingan manusia.

Kini baru saya tahu..
1.Mengapa ulama meletakkan illah pengharaman arak adalah mabuk dan bukannya berdasarkan alkohol.
2.Illah membolehkan jamak adalah kerana musyaqqah adalah kurang tepat samada ketika musafir ataupun hujan.
3.Nasab anak adalah disebabkan akad nikah bukannya ujian DNA. Banyak sebab dan hikmah yang tersirat mengapa ulama melakukan sedemikian.
4.Adalah lebih sesuai kita menyatakan semua hukum yang disyariatkan Allah mempunyai sebab-sebab yang tersendiri. Namun bergantung kepada kemampuan kita untuk membongkarnya.

Akhir sekali saya menasihati rakan-rakan yang mempelajari ilmu syariah pada peringkat BA, apabila anda menyambung diperingkat MA ia lebih khusus, maka sangat penting mempunyai sikap keterbukaan.

Masuk kelas usul, fikir cara usul bukannya cara ahli hadith, masuk kelas muamalat atau ekonomi fikir cara orang ekonomi bukannya ahli ibadat. Ketika itu barulah ada manfaatnya..

Harap dapat keputusan yang terbaik pada semester ini..

Wednesday, April 20, 2011

Sebaik-baik Lelaki..



Terdapat sebuah hadith yang menarik untuk diteliti dan diambil pengajarannya.
Hadith yang berbunyi :

( Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya )

Hadith yang lebih ditujukan kepada kaum adam ini yang tidak begitu diambil berat oleh mereka. Mungkin merasakan sudah cukup perkahwinan itu dengan memberi makan, minum, tempat tinggal dan menanggung zuriat, kemudian meneruskan kehidupan seperti biasa.
Antara sebelum kahwin?ketika kahwin? Dan selepas kahwin? Bagaimanakah sikap lelaki terhadap perempuan?

Seorang pakar motivasi telah memberitahu bahawa ‘cinta’ semata-mata hanya boleh bertahan sekitar 4 hingga 5 tahun sahaja. Kemudian keinginan terhadap pasangan mula luntur. Itu yang paling lama. Perlu diambil perhatian bagi mereka yang bercinta sebelum kahwin kerana tempoh itu terus berjalan. Sesuatu patut dilakukan?

Maka, inilah hikmah hadith tersebut..

Sebelum memahami hadith ini, lihat dahulu satu ayat yang sangat penting dan merupakan sebab utama mengapa Allah menjadikan kepada seseorang itu pasangannya.

"Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. "(Ar-Ruum:21)

Perkahwinan yang dikehendaki oleh Allah adalah satu kehidupan yang membawa kepada kebahagiaan. Mahar, wali, saksi itu semua adalah syarat semata-mata bukannya penerus kepada matlamat. Ia hanya tempoh yang singkat. Bakinya,si suami dan isterilah yang menjadi penerus kepada semua ini. Sebahagian daripada kebahagiaan adalah cinta, namun cinta sesama manusia semata-mata bukanlah suatu yang kekal.

Inilah hikmah yang paling besar pada hadith ini iaitu menjanjikan ganjaran dari sudut akhirat kepada mereka yang sentiasa bersungguh-sungguh berbuat baik kepada pasangannya. Kesungguhan itulah yang menyuburkan cinta walaupun tanpa disedari ataupun tidak seperti cinta diawal-awal dahulu.

Usaha ini menjadikan diri lelaki sebaik-baik manusia. Bahkan pengiktirafan ini adalah daripada Rasulullah.

Tidak cukup sekadar itu, banyak kesimpulan daripada hadith-hadith tentang semua perkara yang membawa kepada hubungan yang baik antara suami isteri dikurniakan pahala hatta di bilik tidur sekali pun. Ini mengejutkan sahabat-sahabat Nabi s.a.w.

“Bagaimana ya Rasulullah jika ini pun diberi dengan pahala sedakah?”

Perumpamaan yang mudah diberikan kepada Nabi s.a.w

“ Jika mereka mendatangi yang haram akan mendapat dosa, maka mendatangi yang halal akan mendatangkan pahala”

Maka, segala yang dilarang sebelum kahwin bukan setakat dihalalkan bahkan diberi pahala yang begitu besar dan digalakkan.

Antara hikmah yang lain, islam mengajar meng’islah’kan manusia bermula daripada sekecil-kecil perkara. Bermula daripada memperbaiki diri sendiri, kemudian membentuk keluarga yang sempurna dan hasilnya secara automatik masyarakat dan negara akan menjadi baik.

Semuanya bermula daripada keluarga

Dan keluarga itu bermula daripada layanan terbaik seorang suami kepada isteri.

*Berusaha keras memberi keselesaan dan ketenangan kepada isteri sangat memerlukan

Monday, April 18, 2011

Ulama Mengubah Masyarakat.



Ulama adalah ejen perubahan paling berpengaruh dalam membentuk masyarakat. Daripada sebesar-besar fatwa seorang mufti hinggalah kepada tazkirah seorang ustaz yang di sebuah surau yang kecil. Mereka yang bergelar agamawan ini begitu memberi kesan kepada masyarakat. Walaubagaimanapun adakalanya para agamawan tersilap langkah membantutkan peranan ini. Ada yang terlalu terburu-buru, ada yang terlalu konservatif dan ada yang gagal membaca arus perubahan.

Antara Ustaz Azhar Idrus dan Prof Madya Dr Asri.
Membandingkan keseluruhan antara mereka berdua mungkin tidak tepat kerana lapangannya berbeza, namun ada contoh yang ingin dikaitkan adalah bagaimana cara antara mereka mengubah masyarakat. Samada pemikiran, amalan dan kehidupan masyarakat.

DR MAZA muncul pada tahun 2004 bersama mereka yang memperjuangkan tajdid. Ketika itu, ulama-ulama haraki PAS kurang menonjol akibat kekalahan parti tersebut pada PRU 2004. Beliau muncul dengan slogan memperbaharui minda dan ingin mengembalikan amalan masyarakat kepada islam yang telin. Usaha beliau lebih memfokuskan kepada serangan pemikiran seperti islam liberal dan Pluralism, walaubagaimanapun isu-isu khilafiyah dalam masyarakat seperti amalan membaca yasin, tahlil, taqlid buta mazhab syafie dan salah faham konsep bid’ah hasanah turut dikritik. Pengaruh beliau besar terutamanya anak-anak muda di IPT yang beralih angin daripada perjuangan haraki, muncullah istilah Asriesm. Lebih berani lagi, DR MAZA turut menyalahkan golongan agamawan dan juga jemaah islam ketika itu atas kegagalan mereka membentuk pemikiran masyarakat. Beliau juga dilihat lebih mesra dengan kerajaan.

Ustaz Azhar juga muncul pada saat yang sama namun mungkin lebih tertumpu di negeri pantai timur. Beliau memilih menyerang sikap dan amalan-amalan yang jauh menyimpang daripada islam dalam masyarakat. Mas kahwin yang tinggi, adat bersanding, isu aurat, hiburan yang melampau dan kelalaian ibu bapa dalam memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Beliau mengambil pendekatan dengan menggunakan bahasa yang kasar, agar humor dan memberi contoh yang benar-benar realiti dalam masyarakat. Walaupun bergelar pendakwah bebas beliau tidak mengambil pendekatan bertembung dengan jemaah islam. Bahkan adakalanya beliau menzahirkan sokongan terbuka dan yang menariknya beliau turut menjadi tumpuan golongan muda. Beliau menjadi ikon bagi kelab pemotoran ARC. Di maklumkan juga, ketika jambori ARC,beliau menyampaikan kuliah khas kepada mat-mat motor ini.

Antara kedua-duanya, pendekatan Ustaz Azhar lebih diterima masyarakat. Isu yang diperjuangkan beliau jauh lebih penting dan memberi kesan yang lebih baik daripada isu-isu DR MAZA. Begitu juga beliau lebih kenal siapa kawan dan siapa lawan. Maksud saya bukan isu berkaitan dengan akademik, tapi kemasyarakatan.

Namun, itu adalah DR MAZA yang dulu. Menurut rakan saya, DR MAZA sendiri sebenarnya mungkin akan menarik balik segala kata-katanya dahulu. Ada benarnya, ketika tahun 2008 perhimpunan BERSIH menuntut pilihanraya yang adil, beliau menyalahkan pihak penganjur dan menganggap demonstrasi lebih membawa kemudharatan, namun kini beliau sendiri yang memilih untuk menyokong demontrasi-demonstrasi yang menuntut hak rakyat diseluruh dunia. Begitu juga sikap beliau dengan PAS, pernah suatu ketika dahulu beliau memerli bentuk negara islam yang ingin diperjuangkan oleh pembangkang, namun kini lebih mesra kepada parti ini sehingga banyak isu dikupas memihak kepada jemaah ini.

Kedua-duanya menjadi tumpuan pada masyarakat.

Apa pun, mereka yang bergelar agamawan dan ulama harus sedar, masyarakat memerlukan suntikan mereka untuk bangkit. Adakalanya sangat penting kepada para ulama melihat arus perdana dan realiti yang sebenar dalam kehidupan masyarakat dan negara. Sama penting dengan apa yang ditelaahkan oleh mereka ketika belajar dahulu..

Fiqh Al-Aulawiyat
Fiqh ini dipelopori oleh ulama terkenal Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi. Seruannya mudah agar para agamawan yang bercakap tentang islam, isu semasa ataupun hukum hakam perlu menyedari kepentingan sesuatu perkara untuk diolah. Ada perkara yang penting perlu disentuh seperti isu politik dan kemasyarakatan berbanding isu fadhail amal dan isu khilafiyah.

Untuk mengaplikasikan fiqh ini, tidak cukup sekadar pencapaian akademik, bahkan memerlukan para agamawan mengkaji dan turun sendiri ke dalam masyarakat agar memahami apa yang paling penting yang perlu diubah ataupun disumbangkan kepada mereka.

Fiqh Ma alat
Fiqh maalat membicarakan kepentingan para agamawan melihat kepada kesan yang terhasil daripada tindakan mereka. Dalam mengeluarkan hukum sebagai contoh, ada perkara yang harus namun jika dilaksanakan akan memberi kesan mudharat yang lebih besar, maka ketika itu ia perlu ditangguhkan. Begitu juga ada perkara yang mengandungi sedikit mudharat namun jika dilaksanakan akan memberi manfaat yang jauh lebih besar. Ketika ini, ia wajar diteruskan.

Kedua-dua unsur Fiqh Al-Aulawiyat dan Ma alat perlu dikaji dan dinilai oleh agamawan termasuk ulama-ulama. Dengan penilaian ini, mereka akan lebih tahu isu apakah yang perlu mereka hadamkan untuk masyarakat. Begitu juga samada ingin berjuang secara individu ataupun jemaah. Semua ini mempunyai kelebihan dan kelemahan.

Apa pun, ulamalah yang paling berpengaruh dalam mengubah masyarakat. Apabila masyarakat berubah kerajaan pun turut berubah..

Tuesday, April 12, 2011

Anak Perempuan Membawa Ke Syurga



Sebelum ini saya menulis berkenaan bagaimana seorang peniaga yang jujur dijanjikan syurga bahkan lebih istimewa lagi beliau akan bersama para anbiya, alim ulama dan syuhada. Kali ini, terdapat sebuah hadith yang menjanjikan syurga bagi mereka yang mempunyai anak perempuan.
Pelik?

“Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga”.

“Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka”.


Jika dilihat daripada hadith ini, apakah hikmahnya mendapat anak perempuan sehingga menjadi benteng daripada Ibu dan bapanya daripada api neraka berbanding anak lelaki. Walhal, jika dilihat anak lelaki lebih utama peranannya di masa akan datang kerana mereka lebih berpeluang menyumbang untuk islam, menabur bakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Anak perempuan? Jawapannya didikan dan layanan itulah melahirkan hikmah disebalik janji nabi s.a.w..

Seorang ayah yang mendidik anak perempuannya dengan baik sebenarnya melalui keadaan yang sukar dan memerlukan cara yang lebih berhemah berbanding anak lelaki. Golongan perempuan adalah lebih banyak dibebankan dengan hukum hakam agama seperti penjagaan aurat. Ini yang paling besar dan penting. Begitu juga ibadat, hal ehwal wanita apabila sampai umur balighnya.

Kemudian si ibu yang baik pula akan memastikan anak perempuannya itu akan sempurna apabila bergelar sebagai seorang isteri dari memenuhi keperluan suami, anak-anak dan keluarga. Ini semua mesti ditarbiyyahkan sebelum diserahkan kepada lelaki yang menjadi pemimpinnya kelak.

Apabila kesempurnaan ini dibentuk dan sudah bersedia perempuan itu dikahwinkan dengan seorang lelaki. Jika baik, pasanganya mudahlah tanggungjawabnya, jika sebaliknya ia adalah satu ujian buatnya. Wanita tersebut setelah bergelar isteri kini memegang title rabb al-bait iaitu Tuan Rumah. Perlu diingat walaupun lelaki merupakan ketua rumah, namun perempuan menjaganya.

Seorang isteri yang baik hasil daripada didikan yang baik akan melahirkan apa yang dinamakan baitul muslim, rumah orang muslim. Rumah itu akan dihiasi dengan akhlak dan tarbiyah agama sehingga menjadi sebuah syurga kepada suami dan anak-anak.

Maruah diri dan suami dijaga tatkala suami keluar mencari rezeki. Si isteri tidak akan keluar tanpa kebenaranya kerana rumah lebih memerlukannya berbanding di luar rumah. Keperluan mendidik anak-anak ini dengan ilmu dunia dan yang paling penting tarbiyyah akhirat. Seperti mana beliau mendapat daripada keluarganya, semua itu akan beliau warisi kepada anak-anaknya. Hasilnya anaknya juga jika peperempuan akan membentuk rumah muslim untuk generasi akan datang.

Inilah yang ditakuti oleh Atarturk. Ketika proses pembaratan yang ingin beliau jalankan di Turki demi merealisasikan cita-cita sekularnya, beliau menggalakkan wanita agar keluar rumah. Hasilnya, kerosakan yang berlaku lebih besar daripada kepentinganya.

Harus difahami, bukanlah islam melarang perempuan bekerja ataupun berbakti untuk masyarakat, namun keperluan yang paling utama bagi seorang perempuan, isteri dan ibu adalah membentuk rumah idaman muslim agar menjadi syurga kepada suami, bapa kepada anak dan anak-anak mereka. Ketika itu, barulah menyumbang untuk masyarakat.
Sabda Nabi s.a.w

“Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi adalah sangat sedikit sekali daripada golongan kamu yang dapat melakukan demikian."


Benarlah janji Nabi s.a.w. hikmahnya sangat besar mempunyai seorang anak perempuan sehingga membawa kepada syurga.

Merekalah yang akan membentuk masyarakat islam…

Monday, April 11, 2011

Apabila Qaradhawi Bertembung Dengan Ulama Syam



Kebangkitan rakyat yang berlaku di dunia Arab dan Islam kini merebak dan terus merebak. Revolusi ini jauh lebih bernilai daripada revolusi Arab menghalau pemerintahan Turki Uthmaniyah daripada bumi mereka pada awal kurun ke 18. Jika ketika itu mereka berjuang atas nama bangsa arab, era ini menyaksikan perjuangan mereka berpaksikan tuntutan keadilan, kebebasan bersuara, dan menolak kezaliman yang dimonopoli oleh pemerintah kuku besi.

Di Syria, pemerintah Bashar Assad mungkin boleh menarik nafas lega seketika apabila revolusi tersebut seakan-akan tidak menjadi setelah ia meletup serentak di Mesir, Libya, Algeria dan Jordan. Dimasq, ibu kota Syria lengang pada saat itu walaupun dilaman-laman sosial berlakunya kempen untuk mengadakan rapat umum di kota tertua di dunia itu.

Namun siapa sangka api kebangkitan itu menyala dari selatan dan terus marak ke ibu kota. Dengan kematian yang mencecah puluhan orang, revolusi ini begitu mengejutkan ramai pihak kerana siapa yang tidak kenal, The Silent Kingdom ini cukup keras terhadap mereka yang mengkritik kerajaan. Lebih mengejutkan lagi, patung ‘singa’ di dar’a, Syria diruntuhkan sama seperti patung Saddam Husin.

Syria sebenarnya ada ciri-cirinya yang tersendiri. Bumi ini subur dalam melahirkan ulama-ulama hasil doa Nabi s.a.w dan keberkatan para anbiya yang lain sebelum ini. Kota Dimasq merakamkan bagaimana kecintaan rakyat kepada ulama dan ilmu.

Walaubagaimanpun, di situ ada nur, di situ juga ada taghut. Pemerintah parti Baath yang mendiktatorkan Syria adalah beragama alawin yang merupakan kelompok terpesong daripada mazhab Syiah. Undang-undang darurat yang diperkenalkan membenarkan menahan sesiapa sahaja yang dirasakan bersalah tanpa bicara. Rakyat hidup ketakutan, kezaliman berleluasa. Siapa yang ke Syria tanpa melihat rasuah adalah suatu yang pelik. Detik 1982 menyaksikan 15 hingga 40 ribu mati di Hama, Syria setelah Ikhwan Muslim cuba menggerakkan suara rakyat menentang pemerintah. Mungkin kesan daripada itu, rakyat sangat fobia untuk melakukan sesuatu. Apatah lagi era sekarang menyaksikan pengganti ayah singa itu lebih bertoleransi.

Namun kini ia meletup lagi..

Seperti biasa Ulama terkenal dunia yang menjadi paksi kepada golongan haraki, golongan pembaharuan dan golongan daie, Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi meniupkan semangat golongan-golongan yang bangkit menentang pemerintah yang zalim. Bagi beliau tiada ketaatan bagi pemerintah yang zalim.

Kematian semakin meningkat. Syeikh Yusof Al-Qaradhawi bangkit bersuara hingga ‘tertegur’ ulama-ulama Syria agar bangkit bersama rakyat mereka. Sebelum ini, Mufti Syria menyatakan kata-kata beliau mengundang kepada fitnah yang lebih besar.

Syeikh Ramadhan Buti pula mempertikaikan mengapakah Qaradhawi tidak menegur sendiri Presiden Asad ketika beliau menemuinya beberapa tahun yang lalu, sambil menambah pemerintah kini sudah banyak mendengar tuntutan rakyat. Mengapa memilih jalan yang lebih mendatangkan mudharat?

Saya memahami keadaan Al-Qaradhawi di Qatar berbeza dengan Buti di Syria.
Qatar merupakan negara arab yang jauh kehadapan dari sudut keterbukaan. Pemerintahnya walaupun masih beraja mengalu-alukan ulama-ulama dan aktivis-aktivis yang dihalau dari negara arab bermuqim di sana. Bukti keterbukaan Qatar boleh dilihat apabila membenarkan stesen Al-Jazeera yang terkenal dengan kelantangan mengkritik diktator arab beroperasi di sana.

Berbanding Syria, negara satu parti ala sosialis ini, sesiapa yang disyaki menyertai Ikhwan Muslim bakal menghadapi hukuman mati. Undang-undang darurat masih dilaksanakan dengan menahan mereka tanpa bicara. Mata-mata kerajaan berkeliaran. Semua hidup ketakutan. Sudah berpuluh-puluh ribu nyawa diragut atas nama musuh politik, begitu juga mereka yang hilang dan diusir daripada Syria.

Inilah masa sesuai untuk kebangkitan rakyat. Bashar Asad mungkin tidak sekejam ayahnya, atau mungkin faktor dunia sedang memerhati, tersilap langkah akan menjadi seperti Libya. Walaubagaimanapun, kebangkitan ini perlu untuk rakyat menikmati keadilan, ketelusan dan keberkatan daripada pemerintah yang baik apabila digandingkan dengan alim ulama.

Syeikh Buti apabila menyebut pemerintah sudah banyak berubah dengan mendengar nasihat daripada ulama dan tuntutan ramai mungkin merasakan ada cara lain yang lebih sesuai. Beliau adalah ahli ijtihad dan lebih mengetahui situasi di Syam berbanding Qaradhawi di Teluk.

Mengingatkan sejarah pergeseran antara beliau ( Buti ) dan Syeikh Al-Bani menyaksikan kesannya merebak keseluruh dunia ilmuan Islam. Isunya salafi, mazhab.. tidak langsung merahmatkan ummah daripada khilaf itu. Bukan salah khilaf namun ketasuban pengikut antara kedua-duanya.

Kini beberapa forum dan laman web meletakkan tajuk Al-Qaradhawi menyalakan api ke atas ulama Syria.

Jika ini berlaku, kebangkitan rakyat akan beralih kepada krisis antara ulama ini, maka pemerintah yang zalim akan mendapat untung. Namun, saya rasa ini mungkin tidak berlaku jika tidak diapi-apikan atau melihat isu lain yang lebih besar ataupun semua rakyat melihat peluang untuk mentajdidkan negara mereka.

Seperti kejayaan pemerintah UMNO Malaysia Berjaya melagakan antara ulama dan reformis Islam dengan isu nama Allah.

( Saya mengalukan sebarang pembetulan untuk artikel ini kecuali ayat yang terakhir itu )

( Saya mengalukan sebarang pembetulan atas maklumat artikel ini kecuali ayat yang terakhir itu )

Sunday, April 3, 2011

Persediaan Menghadapi Kiamat.



Abad ini, kurun ini ataupun tahun ini, ramalan kepada tarikh berlakunya kiamat semakin diperincikan. Daripada golongan agamawan, saintis, dan orang awam, semuanya membicarakan teori bagaimanakah dunia ini akan berakhir. Muncullah filem 2012 yang berpaksikan teori-teori dan ramalan. Namun, filem itu berakhir dengan keadaan bumi akan kembali pulih seperti biasa. Bukannya hancur ataupun kiamat.

Islam cukup jelas dalam hal ini. Beriman kepada hari kiamat adalah satu kewajipan jika ingin menjadi penganutnya. Kita juga meyakini betapa dasyatnya kiamat seperti yang disebut dalam beberapa surah Al-Quran. Jauh lebih dasyat daripada apa yang digambarkan oleh saintis dan filem-filem barat.
Begitu tanda-tandanya. Ada yang sudah berlaku dan pasti bakal berlaku. Yang tidak pasti, bilakah tariknya. Itu hanya pemilik alam ini sahaja yang mengetahuinya.
Tanda-tanda kiamat.

Secara umumnya apa yang dimaklumkan oleh hadith-hadith berkenaan tanda-tanda kiamat terbahagi kepada dua iaitu keadaan bumi dan keadaan manusia. Bumi digambarkan mengalami bencana yang teruk dan fenomina yang pelik. Ini diakui oleh saintis sendiri.

Walaubagaimanapun apa yang membezakan islam dengan yang lain. Keadaan manusia juga menunjukkan hampirnya detik-detik kiamat. Terlalu banyak hadith untuk disebut, namun cukuplah disimpulkan manusia akhir zaman rosak akhlaknya, fitnah melanda dikalangan mereka,zina berleluasa, halal haram dicampur adukkan dan ulama di’mati’kan. Kebatilan mendahului kebenaran.

Kemuncaknya muncullah dajjal dan yakju’ makju’.

Cukup menggerunkan, kiamat pasti berlaku, tanda-tandanya juga ada yang sudah muncul dan pasti bakinya akan menjelma. Cuma apakah sikap kita dalam menghadapi kiamat ataupun tanda-tanda kiamat ini. Ber’uzlah’ ditengah-tengah hutan, lari ke planet lain ataupun doa agar cepat mati?

“Jika hari kiamat telah tegak – sedangkan pada tangan seseorang diantara kamu itu ada benih – jika dia mampu untuk menanamnya sebelum berlaku kiamat itu, maka tanamlah.” Riwayat Ahmad

Hadith ini menunjukkan bahawa kiamat bukanlah suatu keadaan yang kita perlu putus asa. Baginda s.a.w menyuruh agar terus menyemai benih walhal apakah nilainya dalam keadaan kiamat sudah hampir.

Dapat disimpulkan, jika urusan keduniaan dituntut agar kita terus berusaha, apatah lagi dalam urusan agama.

Keadaan masyarakat yang teruk, akhlak yang runtuh, kejahatan berleluasa, munculnya datuk T bukanlah membantutkan usaha kita, bahkan ini adalah satu peluang kepada kita untuk melipatgandakan pahala dalam meneruskan dakwah dan perjuangan islam.
Bahkan terdapat juga hadith-hadith yang menyebut akhir zaman adalah kemenangan dan kejayaan islam dan ummatnya. Ini semua masih belum berlaku dan pasti berlaku kerana itu adalah janji Nabi s.a.w.

Jika kiamat berlaku, itu memang kepercayaan kita. Tanda-tanda dan keadaanya sudah kita imani, bukan lagi membuang masa untuk mempercayai itu dan ini.

Tugas kita adalah terus berjuang demi islam dalam urusan dunia ataupun akhirat. Jika kita sempat, kita akan melihat kemenangan islam

Sekian.