Tuesday, March 29, 2011

Qaradhawi Lebih Layak Berfatwa Tentang Demonstrasi


Senario politik hari ini sememangnya memerlukan seluruh ummat mengambil perhatian terhadapnya. Menyertai parti politik, berjuang, menyumbang harta, berdakwah mengikut kemampuan. Samada memilih jalan berjemaah ataupun jalan individu ( tanpa menyerang jemaah ). Samada ingin berterus terang ataupun berkias-kias. Semuanya bermatlamat yang satu untuk member rahmat kepada seluruh alam, muslim, bukan muslim, haiwan, bumi dan alam sekitar. Itulah islam.

Peranan ulama lebih istimewa dalam hal ini. Apabila mereka berkata tentang politik, mereka akan mengaitkan dengan syurga dan dosa. Itulah islam. Peranan ini mungkin tidak akan berkesan jika dibawa oleh ahli politik bukan agamawan. Jika ulama berkata itu adalah satu perjuangan, maka satu saham akhirat yang besar untuk mereka. Namun, jika sengaja berkata yang batil itu benar, mereka adalah seburuk-buruk golongan.
Lihatlah bagaimana suara Al-Qaradhawi menaikkan semangat masyarakat arab amnya dan mesir khasnya. Fatwa, seruan dan doa beliau cukup member kesan.

Antaranya fatwa beliau tentang berdemonstrasi. Fatwa ini dibukukan pada tahun 2009 menerusi siri fatawa musirah beliau yang sudah menjangkau jilid ke 4. Dalam persoalan politik beliau menyebut beberapa perkara. Antaranya hukum berdemonstrasi.
Kesimpulan beliau tentang demonstrasi adalah seperti berikut:-

Demonstrasi adalah bentuk tolong menolong antara satu sama lain. Konsepnya mudah, jika seorang ingin bersuara kepada pihak berkuasa, kadang kala atau kebanyakkannya tidak akan didengari. Maka, apabila ramai yang berkumpul menuntut hak yang sama, suaranya pasti didengari dan tuntutan mereka lebih kuat. Inilah yang dikatakan tolong menolong dalam perkara kebaikan ( surah maidah ayat : 2 )

Bagi mereka yang meminta dalil daripada Al-Quran ataupun sunnah, harus difahami bahawa demonstrasi adalah perkara berkaitan adat dan muamalat. Kaedah asal bagi adat dan muamalat adalah harus selagi tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya,berlainan dengan ibadat. Ini semua sudah mencukupi tanpa perlu mencari dalil keharusannya.

Hujjah yang menyatakan bahawa demonstrasi adalah konsep yang ditiru daripada barat langsung tiada kaitan dengan pengharamannya. Ini kerana bukan semua yang diambil daripada bukan islam ataupun barat itu salah. Ini terbukti sejak zaman Rasulullah s.a.w sendiri menerima cadangan Salman Al-Farisi untuk menggali parit mengelilingi kota Madinah ketika perang. Begitu juga baginda mengambil idea cop mohor daripada raja-raja ketika itu. Para khalifah pengganti baginda juga melakukan pelbagai pembaruan yang ditiru daripada dunia luar. Apa yang penting hadith nabi s.a.w ( Hikmah kebijaksanaan itu barang tercicir milik orang mukmin, dimana sahaja ia menjumpainya ada hak kepadanya ).

Selagi tiada kaitan dengan akidah ataupun syariat, semua itu tiada kesalahan untuk mengikutnya bahkan banyak perkara di zaman moden ini mengambil cara daripada negara barat seperti bidang pendidikan, politik dan ekonomi.

Syeikh Yusof AL-Qaradhawi juga menyatakan keharusan berdemonstrasi ini terbina atas dua perkara iaitu maslahat dan juga wasilah hukum maqsid. Maslahat merujuk kepada kepentingan dan hukum maqsid merujuk kepada cara yang digunakan untuk mencapai matlamat agama. Sebagai contoh berdemonstrasi menentang kezaliman. Menentang kezaliman itu adalah tujuaannya dan demonstrasi itu adalah caranya.

Sebagai penutup, beliau menyatakan sebuah peristiwa di zaman baginda setelah pengislaman Umar bin Khattab dan Hamzah bin Abdul Muttalib. Baginda memerintahkan kaum Muslimin keluar dan berjalan membentuk dua barisan menuju Ka'bah. Satu barisan dipimpin oleh Umar ibn al-Khattab dan yang satu lagi dipimpin oleh Hamzah ibnu Abdul Muthalib. Dengan diiringi laungan takbir dan kalimah suci La ilaha illallah, kaum Muslimin berjalan mengelilingi Ka'bah. Rasulullah sendiri berada di dalam kelompok tersebut memberi arahan.

Sebenarnya fatwa yang muncul pada 2009 itu masih belum populor dikalangan kebanyakan lagi kerana ramai yang berpegang demonstrasi itu adalah bentuk penentangan ataupun pemberontakan kepada pemerintah terutamanya dikalangan mereka yang ultra salafi. Mereka lupa bahawa menegakkan kalimah hak dihadapan pemerintah adalah sebaik-baik jihad.

Syeikh Al-Qaradhawi layak bercakap tentang hal ini bukan hanya ketinggian ilmu beliau sahaja. Bahkan beliau pernah aktif dalam haraki dan politik dengan menyertai jemaah IM, dipenjarakan oleh penjara ISA Mesir dan dibuang negeri. Beliau lebih layak bercakap tentang perjuangan dan hak rakyat berbanding ulama-ulama yang tinggal di istana pemerintah sambil mengipas mereka.

Wednesday, March 23, 2011

Tidak Buta Hati, Tidak Pekak dan Tidak Bisu.

Surah Al-Baqarah ayat ke 7 menceritakan perihal orang kafir.

“Allah mengunci hati mereka, pendengaran mereka dan penglihatan mereka”

Ketiga-tiga sifat ini digambarkan ciri-ciri orang kafir. Jika difahami dengan ayat sebelum itu ( ayat ke 6 ), mereka ini jika diberi nasihat, amaran dan peringatan sama sahaja jika tidak menyampaikan. Oleh kerana sifat-sifat ini disebut kepada orang kafir, maka keadaan orang mukmin mestilah sebaliknya. Hati mereka mestilah terbuka menerima apa sahaja, pendengaran mereka sentiasa menadah apa yang patut mereka dengar dan penglihatan mereka sentiasa memerhati. Jika tidak semua itu akan menjadi saksi dihadapan Allah.

1.Hati yang tidak tertutup.
Hati seperti yang digambarkan oleh Lukman Al-Hakim adalah daging yang paling baik dan boleh menjadi yang paling buruk. Hati yang baik adalah hati yang suci, menerima, bersabar dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu. Teguh dan yakin dengan apa yang disyariatkan agama walaupun pahit untuk dihadamkan, seperti kata Prof Dr Abdullah Badaranah:

“ Orang mukmin beriman kepada apa yang mereka nampak dan apa yang mereka tidak nampak”

2.Pendengaran dan penglihatan yang tidak tertutup.
Mendengar dan melihat adalah satu tuntutan Allah kepada orang mukmin. Mendengar kata-kata yang indah, baik, nasihat, peringatan dan teguran. Melihat pula dituntut memerhati tanda-tanda kehebatan Allah dan kelemahan diri sendiri. Inilah sifat orang beriman. Mendengar kata-kata dan mengikut yang baik.

Mulut pula?
Anggota ini paling berbahaya. Sebab itu Agama tidak menggalakkan agar digunakan seperti telinga dan mata melainkan berkata-kata yang baik-baik sahaja. Jika tidak diam itu adalah hikmah.

Lihatlah mereka yang sering bertutur.. Ahli politik, peguam, ustaz??..

Maka, kurangkanlah bercakap walaupun kita merasakan apabila bercakap kita hebat dan bebas namun sebenarnya kita umpama layang-layang yang putus talinya yang merasakan dirinya bebas bertebangan, namun sebenarnya hilang arah tuju.

Walaubagaimanapun, Jangan diam menyatakan kebenaran..

Sikap Kita Mahasiswa Islam.
Dalam forum akses pemikiran islam baru-baru ini di Mutah, saya menekankan kepada mahasiswa perlunya unsur hati dan akal diperkasakan untuk menjadi pelajar agama. Akal yang tajam akan melahirkan mahasiswa yang berjiwa mujtahid. Hati yang suci pula melahirkan mahasiswa muslim tidak taasub dalam menyebut apa yang benar. Setiap apa yang kita dengar dan lihat mesti diolah dengan kedua-dua mesin ini. Apa yang dinilai oleh akal baik, rasai dahulu dengan hati. Apa yang dirasakan oleh hati baik, nilai dulu dengan akal.

1. Isu Salaf Khalaf.
Isu rumah tangga orang agama yang tidak pernah berakhir. Sebabnya kita lebih bercakap daripada mendengar dan memerhati. Bercakap dengan penuh kebodohan dan ketaasuban. Semua ini merugikan.

“ Sheikh,anta tak pilih mana-mana? ni akidah ni. Boleh terkeluar daripada iman?”

Bagaimana ingin berbicara tentang memahami tangan Allah, sedangkan masyarakat sendiri ragu-ragu dengan kewujudan Allah.

2.Isu Politik
Ini isu yang sangat sensitif. Tanggungjawab kepada setiap masyarakat, lebih berat apa yang perlu ditanggung oleh orang agama. Kerajaan yang teruk dipilih oleh rakyat dan rakyat dididik oleh orang agama.

“ Ana tau anta sokong apa, tapi simpan dulu. Anta pakai smart2 pergi jumpa wakil-wakil rakyat BN rayu mintak kerja, sokong je apa yang dia cakap”

Ini adalah nasihat yang cukup bagus daripada seorang ustaz kepada seorang ustaz. Jika demikian negara kita akan terus ditimpa bala dengan ulama-ulama seperti ini.Harga yang sangat mahal yang ada pada ustaz bukanlah hartanya, pangkatnya tapi adalah lidahnya. Jika diikat apalah nilai seorang ustaz

Hari ini masyarakat kita semakin teruk. Kehinaan dan kehodohan mereka yang tidak bermoral dalam politik semakin jelas. Rakyat semakin muak dan tinggi kesedaran.Tugas kita hanya menyatakan kebenaran berdasarkan wahyu. Tugas seterusnya terserah kepada rakyat. Jika mereka memilih untuk menumbangkan kerajaan dengan pilihanraya, teruskan. Jika mereka memilih seperti yang berlaku di Tunisia dan Mesir, terpulang..

Yang penting bukalah hati, telinga dan mata terlebih dahulu…

Wednesday, March 16, 2011

Pilihan MA @ Pilihan Hidup?

Sehingga saat ini ntah berapa ramai yang bertanya kepada saya mengapa menyambung M.A di Universiti Al-Alibayt. Bagi orang yang tidak mengetahui tentang Jordan, mereka hanya merasakan semua universiti di Jordan adalah sama. Setiap kali orang bertanya saya akan memberi jawapan yang berbeza akan hal ini.

Sebelum berakhir ijazah saya di Universiti Mu’tah, saya mengunjugi beberapa universiti sekitar seperti Al-AliBayt, WISE, Yarmouk dan Urduniah. Begitu juga saya melayari blog-blog sahabat-sahabat yang menyambung MA di UM, UKM dan UIA. Tidak kira sehebat mana pun Universiti itu, faktor yang paling mempengaruhi adalah yuran dan kemampuan kewangan saya.

Saya mendapat maklumat Universiti di Malaysia sesuai untuk pengajian MA disebabkan lebih praktikal dengan suasana dan realiti di Malaysia. Apatah lagi MA lebih berorientasikan kajian. Ada yang berpendapat era MA bukanlah untuk mencari input lagi namun untuk menghasilkan output yang telah kita telaah sewaktu BA. Dengan medium kebanyakan universiti bahasa melayu dan kelonggaran untuk hanya melakukan tesis yang mengambil masa selama satu tahun, ini adalah satu kelebihan, menjimatkan dan berpeluang untuk menumpukan kepada perkara lain umpamanya bekerja.

Dari sudut penilaian sektor perkhidmatan awam, saya dimaklumkan tiada perbezaan antara tangga gaji dan pangkat antara MA dan BA. Yang dinilai hanya BA walaupun MA memberi sedikit kelebihan. Begitu juga penerimaan untuk melanjutkan PHD, universiti di Malaysia tidak begitu membezakan mana-mana MA.

Tanah arab pula,situasinya berbeza. Inilah masa pelajar dikatakan bakal menghadapi pengajian yang sebenar. Markah lulus yang lebih tinggi, waktu kelas yang panjang dan bentuk pengajian yang betul-betul memerlukan disiplin ilmu. Di Jordan, tiada pelajar yang mampu mendapatkannya kurang daripada 2 tahun. Di Mesir pula saya mendapat makluman sekurang-kurangnya 4 tahun. Yang pasti, untuk memilih MA di tanah arab, bagi pelajar Melayu, bahasa arab mesti kukuh dan asas-asas ilmu syariah mesti dihadamkan betul-betul. Satu lagi, anda hanya mempunyai masa belajar, tiada masa untuk perkara lain.

Nilai ilmu dan bahasa adalah satu kelebihan jika memilih tanah arab.

Saya tetap melihat faktor kewangan sebagai keutamaan. Program tajaan MA untuk universiti di Malaysia yang diumumkan dalam mini bajet oleh PM hanya bertahan 1tahun dan saya terlepas untuk semua itu. Saat kepulangan saya di Malaysia di saat kemelesetan ekonomi. Semua dibekukan.

Cuma pilihan yang ada dari sudut kewangan jika memilih tanah arab, jumlah zakat yang diperolehi agak tinggi, walaupun hanya sekadar membayar yuran satu semester setiap tahun. Yang saya maksudkan di sini adalah Jordan. Untuk ke Universiti of Jordan dan Yarmouk, amat jauh dengan jumlah tersebut. Yang tinggal hanyalah university Mutah dan Al-Alibayt. Atas perasaan ingin mencuba haluan baru,saya memilih Al-Alibayt, alhamdullah, pensyarah-pensyarah syariah di sini lebih ramai untuk saya rujuk.

Pada Disember yang lalu, KPT memperkenalkan program brain15 untuk bantuan kewangan bagi sesiapa yang ingin melanjutkan pengajian di Malaysia, namun sudah terlambat buat saya. Faiza azamta fatawakkal alaallah.

Saya ingin kongsikan lagi satu faktor yang sangat penting. Dalam kita mencari apa yang dihajati kita juga melalui perubahan dalam hidup ini samada ia besar ataupun kecil ia tetap faktor yang perlu diambil kira. Adakalanya kita hidup bersendirian dan adakalanya kita hidup sebagai pemimpin. Ketika memimpin hidup kita bukan lagi untuk kita semata-mata namun turut kepada yang dipimpin.

Maksud saya perkahwinan.. Saya melalui saat itu, ia adalah satu tempoh yang betul-betul mengubah diri. Saya memerlukan suasana yang berdikari jauh daripada keluarga dan faktor itulah yang memutuskan saya hanya ada peluang di luar negara.

Kadang-kadang kita merasakan tiada pilihan..
Ataupun sebenarnya kita tersilap, pilihan itu adalah satu peluang..

Itulah hidup.. kita telah merasai apa kita dapat pada waktu silam untuk kita manfaatkan pada saat ini demi merancang sesuatu di masa hadapan.

Salam Mafraq..

Monday, March 14, 2011

Peniaga Masuk Syurga?

“ Macam mana sampai boleh 11 dinar dengan 4 hidangan je?”

“ Yang ni 3 JD, 3JD, 2JD .. hmm Ok, 10 JD je” kata casher sambil menyimpan resit tanpa menunjukkan kepada kami lagi.

Ketika itu kami merasakan begitu tertipu. Sepatutnya jika apa yang disebut tadi mestilah harganya 9JD. Hati begitu berbelah bagi. Jika membiarkan sahaja terasa pula hak diambil walaupun 1JD, Jika ingin menuntut hanya 1JD semata-mata.

“ Takpela, jika dia tidak sengaja, kita halalkan, jika dia sengaja terserah kepada Allah”

Sebelum itu, saya singgah di kedai telefon bimbit.

“Berapa kamu jual henset ni?”

“85 JD, saya hanya untung 3 JD je”

Untuk semester ini, saya mengambil subjek fiqh perbandingan muamalat maliah ( isu-isu kewangan ). Jika sebelum ini dilevel ijazah, saya telah mempelajari subjek fiqh muamalat dan muamalat maliah muasirah ( isu-isu kewangan moden ). Semuanya berkaitan dengan jual beli, sewa, gadai, pinjaman, riba, bank, insurans dan lain-lain lagi urusniaga manusia zaman berzaman.

Sememangnya kajian hukum hakam dalam muamalat maliah tidak akan berakhir. Ia berkembang dengan begitu pesat seperti mana pesatnya kehidupan manusia dan fiqh mesti laju untuk menyelamatkan mereka agar tidak jatuh ke lembah haram.

Namun, untuk pengajian MA kali ini ada sedikit kelainan. Kami tidak disajikan dengan fiqh muamalat dari sudut halal, haram, sah ataupun batal bagi sesuatu urusan kewangan. Prof Dr Rakan Dughmi memilih beberapa tajuk untuk kami kaji antaranya ihtikar ( monopoli ). Kelas beliau penuh dengan falsafah kewangan dan kehidupan. Muamalat kewangan antara manusia bukan sekadar fiqh halal, haram, sah dan batal, namun lebih luas daripada itu.

Unsur akhlak, hak masyarakat, kepentingan negara mesti diambil kira. Inilah muamalat berasaskan syariah iaitu meliputi akidah, hukum-hakam dan juga akhlak, bukan sekadar muamalat yang berkisarkan fiqh semata-mata.
Berbalik kepada cerita awal tadi.

Nabi pernah menyebut bahawa 9/10 daripada rezeki adalah daripada perniagaan.

Benar..

Ada sebuah hadith lagi yang menarik.

“Peniaga yang jujur akan bersama-sama nabi, siddiqin dan golongan mati syahid.”

Wah, hanya menjadi seorang peniaga yang jujur boleh bersama Nabi, para ulama dan golongan syahid?

Nabi menghadapi rintangan yang hebat untuk menyebarkan agama Allah. Ada yang dicaci, dicela dan dibunuh semata-mata tugas ini.

Siddiqin golongan ulama dan pendakwah menghabiskan seluruh waktu mengkaji ilmu-ilmu Allah demi membimbing manusia agar di jalan yang benar.

Golongan syahid pula mengorbankan nyawa untuk agama ini sentiasa tertinggi.
Manakala peniaga?

Susah ke menjadi peniaga yang bercakap benar? Memang susah! Tersangat susah!
Susah ke menjadi peniaga yang jujur dengan pembeli. Memang susah! Tersangat susah!

Itulah janji Nabi…