Thursday, December 15, 2011

Moga-moga Tergolong Dikalangan Mereka Yang Ikhlas.


“ Muhammad, tahniah, apa nama anak kamu?” Abu Umar (rakan sekelas saya ) menelefon saya beberapa minit sebelum waktu maghrib.

“ Mukhlis”

“ Hmm.. Nama tu bagus, tapi. Bla..bla..bla.. “

Saya kurang faham dengan kata-kata beliau, namun ia sudah membuatkan hati tidak tenang hingga terbawa-bawa ke mimpi. Namun, masih lagi ada sekitar 3 hari sebelum nama anak saya didaftarkan.

Semua orang sudah memanggil saya dengan gelaran Abu Mukhlis.

“ Dr, apa pendapat kamu tentang nama anak saya Mukhlis?” Saya menelefon Dr Ali Sumairan

“ Jika ada peluang untuk mengubahnya maka ubahlah kerana apa sahaja nama-nama berbentuk sifat yang baik seperti berjaya ( aflah ), untung ( rabih ), pandai ( zaki ), baik ( tayyib ), mulia ( kareem ) lebih elok dielakkan. Namakan anak kamu dengan nama-nama sahabat atau dengan nama-nama hamba Allah”

Saya makin gelisah.

“ Apa pendapat kamu Sheikh Ahmad” aju saya kepada bilal masjid Umar ( bilal di sini bukan seperti di Malaysia, mereka merupakan graduan syariah dan mahir juga dalam hukum hakam serta menjadi rujukan orang kampung )

“ Setakat aku tahu, ia nama yang baik. Jika kamu ingin aku tanya sheikh-sheikh ( ustaz ) yang lagi hebat, aku boleh tanyakan agar hati kamu lebih tenang”
Sehari selepas itu

“ Abu Mukhlis, sebenarnya kalam mereka yang berkata demikian adalah kurang tepat. Aku dah tanya ramai sheikh, mereka semuanya menyatakan tiada masalah”.

Tidak cukup dengan itu, saya bertanya ( melalui FB ) dengan dua bekas pensyarah saya di Mu’tah dahulu yang saya kagumi, Prof Dr Syuesh Mahamid dan Dr Muhammad Said Hawwa.

“ Mengapa dilarang pula? Bukankah ia adalah sebahagian daripada mereka-mereka yang ikhlas pada agama Allah?” Ujur Dr Syuesh yang kini mengajar di Arab Saudi.

“ Tidak menjadi masalah, asalkan kamu mendoakan dia agar menjadi orang-orang yang ikhlas” Jawab Dr Muhammad Said Hawwa.

Begitu juga dengan guru dan pembimbing saya, Ustaz Mahadi Mohammad juga menyatakan tidak pernah mendengar tentang hal ini.

Sebagai pelajar Syariah saya perlu juga merujuk sumber-sumber ilmi, akhirnya saya bertemu dengan hadith dan pendapat ulama.

Hadith Muslim yang bermaksud
"Rasulullah saw. melarang kami memberi nama anak kami dengan nama Aflah, Rabaah, Yasaar, dan Naafi'," ( Muslim 2136 ).

Sesetengah ulama merangkumkan nama-nama tersebut dengan seluruh nama yang mempunyai makna sifat yang baik ( kata Dr Ali Sumairan ).

Antara sebab larangan tersebut juga dinyatakan dalam hadith yang berikutnya

“Janganlah engkau menamai anakmu dengan nama Yasar, Rabah, Najih, dan Aflah. Sebab jika kamu bertanya apakah dia ada di sana? Dan kebetulan ia memang tidak di sana maka akan dijawab, 'Tidak ada.” ( Muslim : 2137 ).

Hadith seterusnya menjadi bukti bahawa larangan tersebut hanya bertaraf makruh

“Nabi saw.pernah ingin melarang nama Ya'la, Barakah, Aflah, Yasar, Naafi', dan yang semisalnya. Namun aku lihat setelah itu beliau diam saja tidak mengatakan apapun tentang hal itu hingga akhirnya beliau wafat dan tidak mengatakan apapun. Kemudian Umar pun ingin melarang nama-nama tersebut tetapi ia juga tidak melakukannya," ( Muslim 2137).

Sebahagian ulama secara kesimpulannya menyatakan maksud larangan tersebut agar tidak menimbulkan kata-kata yang kurang enak seperti.

“ Aflah ( orang yang berjaya ) ada tak di rumah?”. Jika jawapannya tiada seolah-olah tiada kejayaan di rumah tersebut.

Begitu juga apabila nama yang disifatkan itu berlawanan dengan tingkah laku si empunya badannya, agar tidak terus dicela atau dipermain-mainkan.

“ Ni bukannya Najih ( berjaya ) tapi rasib ( gagal )”

Melihat kepada semua hadith, perbincangan ulama silam serta pandangan pensyarah-pensyarah saya memilih untuk meletakkan nama Mukhlis atas dasar moga-moga menjadi doa kepada dirinya sendiri.

Setelah berkahwin, saya banyak belajar dan tertarik dengan sikap isteri saya. Antaranya beliau sentiasa menekankan keikhlasan dalam melakukan sesuatu. Beliau juga sering menenangkan saya dengan perkataan ‘ikhlas’ jika kami dalam kesulitan.

Ikhlas yang paling besar dan hanya pada yang satu.. Ikhlas kerana Allah..

Dalam kita mengajar sesuatu cita-cita yang tinggi..

Dalam kita menyumbang kepada masyarakat..

Dalam kita berkhidmat..

Dalam kita belajar untuk mencapai kejayaan..

Jika gagal atau sebalik hasilnya bagaimana?

Ikhlaslah yang menjadi pengubat jiwa, penenang hati dan yang paling penting menjamin ganjaran daripada NYA di akhirat kelak walaupun di dunia kita ‘gagal’..

Tidak hairanlah dalam kitab Riyadus Solihin ( Imam Nawawi ), Kitab yang dianggap kedua selepas Al-Quran perlu dibaca oleh ummat islam setiap hari memulakan bab yang pertama dengan ‘bab ikhlas’ sebelum meneruskan kepada bab-bab yang lain.

Kerana ikhlas itu penentu iman kita..

Membezakan kita dengan orang bukan beriman..

Moga-moga tergolong dikalangan orang-orang yang ikhlas..

Moga-moga dirimu menyedari ia nama yang baik, janganlah cemarkannya.

Amin..

1 comments:

nur azimah said...

assalamualaikum..
pertama kali ziarah blog saudara..
anak sulung ye?? alhamdulillah..
moga menjadi penyenang ibu bapa..
amin..

banyak perkongsian saya dapat di malam tahun baru :)