Saturday, December 31, 2011

Hutang Lain Bayar Lain

Antara kelemahan yang paling jelas penggunaan matawang kertas ialah nilainya yang tidak tetap. Ia sentiasa berubah berdasarkan permintaan dan jual beli. Situasi ini juga berlaku kepada dinar dan dirham namun tidaklah terlalu ketara seperti matawang kertas moden pada hari ini.

Hal ini akan mendatangkan masalah bagi sesiapa yang berhutang dengan satu matawang dan melangsaikannya dengan matawang yang lain. Kemudian ketika tempoh pembayaran, nilai matawang tersebut telah pun berubah.

Contohnya, saya berhutang RM 3,800 dan diminta oleh penghutang agar membayarnya dengan matawang USD. Ketika meminjam nisbah antara kedua-duanya adalah RM 3.8 bersamaan USD 1. Jika diikutkan saya mesti membayarnya dengan nilai USD 1,000 nanti.

Namun beberapa tahun selepas itu apabila tiba waktu untuk melangsaikannya, nilai RM turun berbanding USD iaitu RM 3.4 bersamaan USD 1.

Sekiranya saya mengikut berdasarkan RM3,800 dahulu, saya terpaksa membayarnya lebih daripada USD1,000. Maka, ketika itu akan wujud unsur riba kerana membayar melebihi apa yang dipinjam.

Atau adakah saya perlu hanya membayar USD 1,000 yang nilainya hanya bersamaan dengan RM 3,400? Ini pasti akan memberi kemudharatan kepada penghutang kerana nilainya lebih rendah daripada apa yanbg saya pinjam dahulu.

Pendapat Fiqh Ringkas
Ada pihak mewajibkan kita membayar seperti mana mengikut nilai ketika waktu mula meminjam. Maknanya saya hanya perlu membayar dengan USD 1,000 walaupun nilainya kini tidak lagi bersamaan dengan RM 3,800 kesan turun naik matawang selepas itu.

Hujjahnya, jika saya membayar mengikut nilai semasa pasti berlaku perubahan dan lebihan yang membawa kepada riba.

Pihak yang kedua pula mewajibkan pembayaran mengikut nilai semasa. Maknanya saya perlu membayar lebih daripada USD 1,000 kerana nisbahnya kini adalah RM 3.4 bersamaan USD 1.

Hujjah mereka jika kita membayar mengikut asal, nilainya lebih rendah dan menyebabkan kezaliman kepada penghutang.

Kemudian ada pihak yang ketiga mencadangkan melihat kepada keadaan semasa. Jika nilai tidak begitu besar jurang perubahannya, maka hendaklah membayar mengikut nilai asal.

Jika perubahan yang besar berlaku hendaklah mengikut nilai semasa agar lebih adil.

Sebenarnya agak sukar untuk memilih pendapat yang paling tepat mengikut hukum syarie. Samada akan berlaku riba ataupun ketidakadilan.

Kesimpulannya, antara 2 pihak mestilah membuat persetujuan ketika mengadakan perjanjian samada ingin membayar berdasarkan nilai ketika meminjam ataupun mengikut nilai semasa.

Wallahu'alam

Moga memberi pencerahan buat rakan-rakan yang mengambil subjek muamalat maliah muasirah..

2 ulasan:

insan kerdil said...

Terima Kasih Ustaz..Mohon Doa juga dari ustaz untuk kami smua

Muhammad Shahrul Ifwat bin Ishak said...

bittaufiq...