
Semalam ada yang bertanya tentang hukum pemberian zakat seorang ayah kepada anaknya yang menuntut ilmu agama. Adakah sah zakat tersebut ataupun ia hanya akan dianggap sebagai sedekah biasa.
Jika pembayaran zakat dibuat oleh si ayah melalui majlis agama, kemudian diagihkan dan akhirnya sampai kepada anaknya yang layak kerana fakir atau miskin, ia tidak menjadi khilaf antara ulama berkenaan sahnya pembayaran dan agihan tersebut.
Walaubagaimanapun, jika pembayaran zakat tersebut tanpa melalui majlis agama ataupun amil yang dilantik, terdapat beberapa perincian hukum daripada ulama.
Sebelum itu, perkara pertama yang perlu difahami adalah ciri-ciri golongan yang berhak mendapat zakat seperti yang disebut dalam Al-Quran secara jelas dalam Surah At-Taubah ayat 60:-
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang FAKIR, dan orang-orang MISKIN, dan AMIL-AMIL Yang mengurusnya, dan orang-orang MUALLAF Yang dijinakkan hatinya, dan untuk HAMBA-HAMBA Yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang Yang BERHUTANG, dan untuk (dibelanjakan pada) JALAN ALLAH, dan orang-orang musafir yang TERPUTUS Dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Jelas disini, zakat mesti disalurkan kepada mereka yang memenuhi sifat-sifat tersebut. Namun masih perlu disaring dengan syarat-syarat yang khusus, antaranya hubungan antara pemberi zakat dan penerimanya ( dalam isu ini ayah dan anak ).
Secara umumnya kebanyakan ulama silam dan kontemporari termasuk Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi dalam kitab fiqh zakatnya melarang pembayaran zakat seorang ayah kepada anaknya ataupun anak kepada ayahnya. Bahkan, Ibnu Munzir menukilkan bahawa ijmak ahli ilmi berpegang dengan pendapat ini.
Ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya:-
1.Anak-anak adalah dibawah tanggungan bapa yang diwajibkan ke atasnya ( bapa ) nafkah.
2.Jika membayar zakat ia seolah-olah kembali kepada diri sendiri kerana duit tersebut digunakan sebagai nafkah buat anak-anaknya.
Berkenaan dengan hadith Ma’an bin Yazid yang diriwayatkan dalam sahih Bukhari
“Ayahku Yazid, mengeluarkan beberapa dinar untuk sedekah kepada ahli-ahli di masjid ( untuk diagihkan ). Kemudian Aku datang ke masjid tersebut dan mengambil sedekah daripada mereka, lalu Ayahku berkata, ‘Demi Allah, aku tidak bermaksud memberikannya kepadamu’. Maka aku mengadukannya kepada Rasulullah s.a.w, lalu beliau bersabda, “Bagimu apa yang telah kamu niatkan wahai Yazid, dan bagimu apa yang telah kamu ambil wahai Ma’an!”
Kebanyakan ulama merujuk hadith ini adalah sedekah sunat bukannya zakat.
Walaubagaimanapun, hukum larangan pembayaran zakat ini terbina atas dua sebab iaitu:-
1.Anak tersebut masih dibawah tanggungan.
2.Zakat dibayar atas dasar fakir dan miskin.
Jika pembayaran dibuat atas sebab lain seperti Ibnu Sabil ( orang yang terputus bekalan dalam perjalanan seperti kehilangan wang atau kehabisan ), atau Al-Gharimin ( orang yang berhutang ) maka ini diharuskan oleh ulama.
Begitu juga jika anak tersebut tidak lagi menjadi tanggungan ayahnya seperti anak yang telah berkahwin. Ketika itu anak tersebut dianggap sebagai orang asing dan layak menerima zakat. Ini adalah pendapat Ulama Syafie, dan Ulama mazhab Maliki dan Ibnu Taimiyyah
Berkenaan dengan pelajar agama, mereka ini adalah tergolong daripada asnaf fakir dan miskin pada kebanyakan pendapat ulama dan ada juga sebahagian kecil ulama menyatakan mereka adalah daripada golongan fi sabilillah.
Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi dalam Fatawa Muasirah jilid ke 3 menyebut hal ini secara jelas bahawa tidak dibenarkan pembayaran zakat daripada ayah kepada anaknya yang sudah berumah tangga dan mempunyai pekerjaan sampingan namun masih memerlukan bantuan bagi tujuan pengajian islam. Jika memerlukan bantuan daripada ayahnya yang kaya maka hendaklah atas dasar sedekah biasa ataupun hadiah.
Pendapat saya, adalah lebih baik tidak dibayar atas sebab zakat, namun bayarlah atas dasar nafkah, hadiah ataupun sedekah biasa.
Wallahu’alam
1 ulasan:
Tube Air" which is visible in several small Asics Tiger circles on the midsole of the shoe, "Total Air" which is basically just another word for full Air Max cushioning, "Tuned Air," Hogan Shoes which is a system of individual pods supposedly "tuned" to different areas of the foot. Air in the early 1990s which was visible through the bottom of the shoe (although smaller portions of Air units are visible through the bottom of many Air Max models) and another type of Air cushioning is the low profile and very responsive "Zoom Air." Franklin Marshall Sale The symbols of air cushioning is the 1993 model, which the first to have the fully visible heel Air unit that was visible in the back as well as on the sides.
Post a Comment