Saturday, August 20, 2011

Jahil Apa Yang Ingin Dihukumkan



Kebanyakan punca perbezaan hukum dikalangan ulama adalah disebabkan perbezaan memahami sesuatu nas samada ayat Al-Quran ataupun Sunnah Nabawiyah. Bermula daripada generasi sahabat, tabien, dan diwarisi kepada imam-imam mazhab, hal ini adalah suatu yang normal kerana setiap manusia mempunyai kefahaman yang berbeza apabila menilai sesuatu, apatah lagi dikalangan ulama adalah mereka yang hebat pemikirannya dan mahir dalam bahasa arab.

Walaubagaimanapun, ia hanya berlaku dalam masalah-masalah furu’ atau cabang yang tidak menjejaskan tunjang agama islam itu sendiri. Mungkin ini takdir Allah agar perbezaan yang berlaku adalah rahmat kepada ummat.

Namun, terdapat juga perbezaan dari sudut melihat masalah. Ini berlaku juga pada zaman silam, namun tidaklah begitu ketara. Yang paling banyak adalah pada zaman moden disebabkan muncul pelbagai perkara baru dalam kehidupan manusia. Dalam hal ini, para ulama mestilah tidak gopoh dalam mengeluarkan hukum. Mereka mestilah meneliti sesuatu perkara dengan sedalam-dalamnya dan tidak mencukupi hanya mengetahui ilmu syariah sahaja. Antaranya:-

1. Pilihanraya dalam negara demokrasi.
Ramai dikalangan penentang-penentang demokrasi berhujjahkan ia bertentangan dengan sistem islam yang disebut dalam Al-Quran iaitu Syura. Walhal, ayat berkaitan dengan syura hanyalah beberapa patah perkataan sahaja.

Mereka gagal memahami bahawa syura itu adalah matlamat dan prinsip islam iaitu agar segala urusan diputuskan secara bersama samada memilih pemimpin ataupun memutuskan sesuatu perkara. Bagaimana sistem dan caranya terbuka berdasarkan kesesuaian seperti Saidina Umar melantik Ahli Halli Wal Akad yang sesuai dengan zaman tersebut. Jika sistem pilihanraya dianggap paling telus dan adil dalam memilih pemimpin di zaman moden ini, maka tiada masalah untuk diaplikasikan.

2. Mati Otak ( brain death )
Dikalangan ulama ada yang berhujjah bahawa orang yang mati otak itu tidak boleh dianggap mati lagi. Antara dalilnya kisah ashabul kahfi yang mana mereka ditidurkan selama beratus tahun akhirnya dihidupkan kembali. Sedangkan para pakar perubatan menyifatkan apabila otak sudah tidak berfungsi mustahil boleh menyedarkan kembali pesakit.

3. Demonstrasi dan Bughah
Demonstrasi dilihat sebagai sama seperti pemberontakan atas alasan kedua-duanya menentang pemerintah. Mereka gagal melihat perbezaan yang besar antara peserta demonstrasi dan pemberontak adalah mereka mengangkat senjata yang boleh mengancam negara. Demonstrasi pula adalah perkara normal wujud dalam negara yang mengamalkan demokrasi dan menjunjung kebebasan bersuara rakyatnya.

4. Ahli Silap mata dan Sihir

Seni silap mata menggunakan segala ketangkasan dan teknik-teknik untuk mengelirukan pandangan penonton. Matlamatnya adalah untuk menghiburkan mereka. Berbeza dengan sihir yang mempelajari ilmu hitam ataupun amalan yang bertentangan dengan agama dan bertujuan memudharatkan orang lain. Ia adalah 2 perkara yang berbeza.

5. Rokok
Ada dikalangan ulama yang masih lagi ingin mempertahankan hukum rokok berdasarkan hujjah-hujjah ulama silam bahawa perbuatan itu makruh atas alasan menyebabkan mulut berbau dan kesannya menyebabkan orang lain tidak selesa.

Itu adalah rokok di zaman silam yang hanya diperbuat daripada daun tembakau. Zaman kini, para doktor mendedahkan terdapat beratus-ratus bahan kimia yang terdapat dalamnya. Ia bukan sahaja memudharatkan nyawa orang yang menghisapnya, bahkan orang disekeliling.

6. Musik.
Musik termasuk lirik lagu, nyanyian dan segala alatan yang mengeluarkan bunyi lunak diharamkan oleh sebahagian ulama. Menghukumnya secara mutlak maka seluruh alat yang boleh mengeluarkan bunyi yang teratur dan lunak semuanya diharamkan. Telefon bimbit, iklan TV, hatta alat penggera kereta dan sebagainya. Bagaimanakah manusia hidup tanpanya?

Walaupun seseorang itu mahir dalam memahami nas-nas dan segala bentuk pendalian yang wujud dalam kitab-kitab ilmu-ilmu syariah untuk mengeluarkan hukum, mereka masih dianggap jahil selagi tidak memahami keadaan sebenar perkara yang ingin dihukum.

Oleh yang demikian, para ulama memerlukan professional ataupun pakar dalam bidang masing-masing bagi membantu kefahaman mereka untuk mengeluarkan hukum.

Doktor lebih mengetahui kadar mudharat dalam rokok, begitu juga mereka lebih mengetahui keadaan pesakit yang mati otak. Pakar ekonomi di bank lebih mengetahui bentuk-bentuk transaksi moden dan mereka yang mendalami bidang sejarah dan sains politik mengetahui hakikat demokrasi dan realiti politik bagi sesebuah negara. Tidak hairanlah muktamar-muktamar fiqh sedunia turut menjemput mereka yang pakar dalam bidang tertentu dalam membantu ijtihad ulama.

Tanpa penelitian yang khusus dalam isu-isu yang ingin dihukumkan boleh mendedahkan lagi kedangkalan orang agama. Seperti kata Dr Abdul Rahman Kailani ( Pensyarah Syariah Universiti Jordan )

“ Seorang ulama menjadi bahan ketawa orang ramai apabila mengeluarkan fatwa supaya mickey mouse dibunuh berdasarkan hadith keharusan membunuh tikus”





0 ulasan: