Monday, August 15, 2011

Hukum : Antara Illah dan Hikmah Yang Mesti Difahami



Antara perkara yang mesti diketahui oleh mereka yang mendalami ilmu syariah adalah mengenal pasti apa yang tersirat pada sesuatu hukum. Secara umumnya, majoriti besar ataupun hampir ijma’ dikalangan ulama meyakini bahawa setiap hukum hakam mempanyai maksud yang tersirat. Perkara yang tersirat itu terdiri daripada dua perkara:-
1. Illah
2. Hikmah.

Hikmah merupakan tujuan pengsyariatan hukum yang bermatlamatkan menjaga kepentingan manusia dan menolak kemudharatan. Hikmah tidak mempunyai ciri-ciri yang khusus ataupun terhad kepada satu sahaja. Semua orang boleh mencarinya dalam segala perkara yang dihalal dan diharamkan oleh Allah.

Antaranya larangan arak, makan khinzir, riba, judi, membunuh, mencuri. Semua orang yang waras akalnya mampu mengetahui kesan buruk yang ada pada setiap larangan tersebut. Jika ada manfaat sekali pun, ia tidak mampu menghalang mudharat lebih yang wujud padanya. Begitu juga perkara yang diharuskan seperti perkahwinan, jual beli, politik dan hubungan sesama manusia.

Manakala illah pula ada satu sifat yang mempunyai ciri-ciri khusus yang ada pada sesuatu hukum. Sifat tersebut merupakan sebab mengapa hukum itu disyariatkan.Hilangnya sifat maka hilanglah hukum.

Walaubagaimanapun, illah disyaratkan dengan syarat-syarat tertentu dan hanya dikalangan mujtahid sahaja yang layak menentukannya . Contoh illah mabuk adalah penyebab kepada pengharaman arak, sifat matawang adalah illah bagi hukum-hakam riba, jarak musafir adalah illah bagi keharusan jamak dan qasar dalam solat.
Antara syarat-syarat illah adalah seperti berikut.

1. Zahir.
Sesuatu illah itu mestilah zahir yang mampu dilihat oleh semua manusia dengan pancaindera mereka.

Antaranya akad ijab dan qabul merupakan illah bagi sahnya jual beli. Tidak tepat jika mengiktibarkan redho merupakan illah kerana ia adalah perkara batin dalam hati manusia yang tidak boleh dilihat.

Begitu juga akad nikah adalah illah bagi menentukan nasab seorang anak itu kepada ayah dan ibunya. Bukannya DNA kerana perkara itu tidak mampu dilihat dengan pancaindera manusia. Sebab itulah anak penzina tidak boleh di’bin’kan kepada pelakunya.

2. Bertepatan dengan Maqasid Syariah.
Maqasid syariah adalah tujuan asal syariat iaitu untuk menjaga kepentingan agama, nyawa, akal, maruah dan harta manusia. Dalam hal ini illah mestilah bertepatan dengan maqasid syariah.

Sebagai contoh mabuk adalah illah bagi pengharaman arak, ia bertepatan dengan maqasid syariah demi menjaga akal manusia. Adalah tidak tepat jika kita nyatakan illah pengharaman arak adalah bahan alkohol ataupun jenis buah-buahan yang diproses

3. Mundhabit ( Mampu diukur )
Ciri-ciri sesuatu itu mestilah boleh diukur, dan tidak berbeza-beza dikalangan manusia jika diaplikasikan ke atas mereka.

Sebagai contoh illah bagi membolehkan seseorang itu boleh menqasarkan solatnya adalah jarak musafir. Tidak sesuai jika kita katakan bahawa kesulitan ( musyaqqah )adalah illah bagi keharusan qasar kerana setiap orang adalah berbeza-beza kesulitannya. Orang muda dan tua, orang yang bermusafir dengan kapal terbang dan jalan kaki, kesulitan mereka adalah berbeza-beza.

Mengapa perlu mengetahui illah dan hikmah pada sesuatu hukum?
1. Aplikasi yang tepat bagi sesuatu hukum berdasarkan dalilnya.
Menghukum dengan memetik mana-mana dalil bukanlah suatu yang sukar. Inilah yang berlaku dikalangan mereka yang ada kepentingan tertentu. Tidak kira samada mendatangkan dengan 10 dalil sekali pun, jika illahnya tidak tepat, ia tidak akan membawa kepada hukum tersebut kerana untuk menghukum kita perlu mengetahui adakah wujud persamaan sifat yang ada pada nas dengan sifat yang ada pada perkara yang ingin dihukumkan.

Umpamanya menghukum orang yang bermain silap mata itu sebagai sihir ( hukum mereka yang mengamalkan sihir boleh dibunuh ), menghukum makruh rokok pada waktu kini seperti rokok pada sebelum kurun ke 18 ( bahan yang berbeza ), Begitu juga menghukum minyak wangi yang ada alkohol sama dengan hukum arak.

2. Perlaksanaan qias.
Tanpa mengetahui illah kadang kala kita tidak menghukum sesuatu perkara dengan hukum yang sebenar atas alasan nama yang berbeza. Ini adalah satu kesilapan, bahkan membawa kemudharatan kepada agama dan manusia. Umpamanya menghalalkan bir atas sebab ia bukan bernama arak. Tidak mengiktibar duit kertas atas alasan duit hanyalah dinar dan dirham dan menyempitkan zakat hanya kepada emas dan perak.

0 ulasan em “Hukum : Antara Illah dan Hikmah Yang Mesti Difahami”

 

Bayu Timur Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger