Hari ini siaran berita antarabangsa melaporkan pejuang pembangkang Libya yakin dalam misi menawan ibu kota Tripoli sebelum ramadhan berakhir. Keyakinan itu berasaskan kejayaan mereka menawan Bandar Al-Heisha, Az-Zawiyah dan Gharyan. Ini menjadikan ibu kota pertahanan Gadafi dan tentera yang setia denganya betul-betul terancam.
Saat terdesak itu menyaksikan Gadafi sempat melancarkan peluru perpandu Scud yang mensasarkan beberapa tempat yang dikuasai oleh pembangkang, namun tiada kecederaan dilaporkan. Dengan ruang udara yang dikawal oleh pakatan NATO dibawah mandat PBB, Gadafi tiada jalan lain melainkan berhadapan secara terbuka dengan rakyatnya yang dianggap sebagai pemberontak.
Pembangkang yang menubuhkan NTC sebuah kerajaan peralihan beberapa hari lepas mengumumkan tidak akan berunding dengan Gadafi lagi. Ini bermakna ruang yang ada buat Gadafi hanyalah perang hingga akhir hayat ataupun jika menyerah beliau bakal menerima nasib seperti Ben Ali dan Mubarak. Ini yang menghantui beliau di saat tiada satu pun negara asing yang bersedia menawarkan suaka politik..
Gadafi mungkin tersilap langkah dalam menangani isu ini sejak dari awal lagi. Tatkala kebangkitan rakyat melanda negara-negara arab,terdapat pemimpin-pemimpin yang mengambil langkah berhati-hati meraikan kehendak rakyat mereka seperti Jordan, Algeria dan Morocco. Mubarak di Mesir dan Abdullah Salleh pula cuba meredakan keadaan dengan sedikit agresif pada awalnya, namun akhirnya tunduk juga dengan desakan rakyat dan tekanan antarabangsa.
Namun berbeza dengan Gadafi di Libya. Hari pertama penunjuk perasaan telah pun disajikan dengan serangan udara hingga meragut beratus-ratus nyawa. Pemimpin yang digelar malaun oleh Dr Yusof Al-Qaradhawi membuat percaturan ini dengan harapan kebangkitan rakyatnya mampu dilumpuhkan, Namun perancangan beliau silap, ramai menteri-menteri kanan, duta-duta berpaling tadah meninggalkan beliau, Mungkin mereka merasakan inilah masa yang paling sesuai untuk membebaskan diri daripada diktaktor itu. Para peserta demonstrasi pula bertukar menjadi pemberontak bersenjata yang akhirnya membentuk kerajaan sementara di Bagenzi.
Kerajaan NTC ini mendapat restu daripada kuasa-kuasa besar dunia dan negara-negara arab. Tiada siapa lagi yang waras akalnya ingin bersekongkol dengan pemerintah selama 40 tahun itu. Tenteranya di arah membunuh, merogol dan penembak-penembak curi merata tempat menembak sesiapa sahaja. Betapa murahnya nyawa rakyat Libya bagi Gadafi dan orang yang setia dengannya,Inilah yang menambahkan lagi nekad pejuang-pejuang pembangkang Libya. Kini, mereka bukan setakat berjuang untuk pembaharuan negara, namun menuntut bela atas nyawa-nyawa yang syahid.
Nasib Gadafi juga turut dikongsi sama oleh rakan beliau senegara beliau dari Syria, Basyar Assad. Tentera Syria boleh berbangga dengan rekod pembunuhan mereka melebihi angka 2,000. Yang terbaru, kem pelarian Palestin di Latakia menjadi sasaran tentera laut dan darat Basyar. Semua negara seakan-akan kecewa untuk berunding lagi. Setelah kegagalan barat yang sememangnya dingin dengan Damascus, Pakatan negara-negara dunia ketiga,dan negara-negara arab juga gagal. Bahkan, rakan sejawatan beliau dari Istanbul, Erdogan yang pernah menyatakan hubungan beliau dengan Basyar adalah seperti saudara kini dilihat berputus asa untuk menggunakan diplomasi.
Namun apa yang membezakan antara kedua-dua negara ini adalah bangsa arab Syria yang terkenal dengan perwatakan lemah lembut mereka dikalangan bangsa arab masih tidak mengangkat senjata lagi. Selain itu, Syria mendapat sokongan dua kuasa besar dunia iaitu Russia dan China sama seperti Amerika yang melindungi Israel. Paling menguntungkan pemerintah Syiah Alawin ini mendapat sokongan daripada saudara semazhab beliau di Iran. Bahkan ada maklumat yang diperolehi,, tentera Iran sudah pun memenuhi bumi Syam itu.
Semua ummat islam seluruh dunia begitu sedih terhadap apa yang menimpa saudara mereka di kedua-dua negara ini. Jika sebelum ini negara-negara ummat islam diratah musuh-musuh bukan islam, Syria dan Libya pula mereka dilanyak oleh pemimpin seakidah sendiri.
Di Jordan, kebanyakan masjid ketika solat witir membaca qunut nazilah mendoakan agar Allah memberi balasan kepada mereka menumpahkan darah ummat islam dengan sewenang-wenangnya. Nama ummat islam Libya dan Syria disebut dalam doa selain daripada Iraq, Afganistan dan Palestin, betapa perihatinnya ummat islam terhadap bencana yang berlaku ke atas saudara mereka.
Ayuh, jangan sia-siakan doa ramadhan kita..
Allahummansuri mustad'afin fi Libya wa Suria..
Allahu Akbar..
0 ulasan:
Post a Comment