Jika dahulu, saat pulang ke Mu’tah dari Amman ataupun ke Amman dari Mu’tah menaiki coaster, saya pasti termenung merenung landasan kereta api usang sepanjang pekan Qatranah. Sambil membelek duit JD1 yang berlatarbelakangkan ‘great arab revolt’, saya cuba membayangkan keadaan landasan itu di saat nyawa-nyawa terakhir khilafah Uthmaniyyah.
Seratus tahun yang lalu, idea pembinaan landasan tersebut adalah cetusan daripada khalifah Turki yang ‘terakhir’, Sultan Abdul Hamid 2. Dengan harapan hubungan antara Ibu kota khalifah, Istanbul dapat didekatkan dengan kota suci Mekah demi kemudahhan jemaah haji. Ini cerita bagaimana ia dibina,semua menyebut tentang hal yang sama, samada Turki ataupun Arab.
Namun mengapa ia gagal, ada versi yang berbeza. Teringat saat mempelajari subjek tarbiyyah wataniyyah, subjek kenegaraan Jordan yang mencatatkan pembentukan negara ini. Saat itu, dikalangan pelajar dan pensyarah meluahkan pendapat masing-masing tentang keadaan Turki Uthmaniyyah pada akhir kurun ke 18. Menurut mereka, masyarakat arab menyanjungi Sultan Abdul Hamid 2 lebih daripada bangsa Turki sendiri. Landasan kereta api itu disokong penuh oleh mereka.
Walaubagaimanapun bangsa arab percaya setelah Sultan Abdul hamid 2 digulingkan, ketika itu sudah tidak wujud lagi khilafah islamiyyah. Yang ada hanyalah sultan boneka. Saat itu, Uthmaniyyah dibawah pengaruh gerakan Turki muda tidak lagi berminat membangunkan daulah islam, namun lebih ke arah semangat nasionalis Turki. Bangsa arab ditindas, dikalangan mereka dipaksa menjadi tentera Uthmaniyyah dalam persiapan kemungkinan meletusnya perang dunia.
Arab tetap arab, semangat asabiyyah bangsa ini sejak dahulu memang kuat, Cuma kehadiran islam menukarkan asabiyyah itu berteraskan agama. Awal kurun ke 19 itu menyaksikan kuasa-kuasa imperialis barat berusaha meluaskan pengaruh mereka ke atas tanah ummat islam. Politik dunia ketika itu benar-benar tegang. Ketika itu, Turki memilih untuk bersama dengan pakatan tengah Jerman-Hungry.
Untuk melemahkan Turki Uthmaniyyah yang sememangnya sudah bergelar orang sakit eropah, barat menghantar agennya laurance agar menghasut bangsa arab menentang penguasaan Uthmaniyyah di bumi mereka. Revolusi yang bermula di Aqabah Jordan itu berjaya mengusir gabenor dan tentera Turki dari wilayah mereka. Landasan kereta api yang dalam pembinaan itu dimusnahkan oleh pemberontak-pemberontak arab demi menyekat kemaraan tentera Turki.
Itu cerita dulu
Hari ini saat saya menyempurnakan pengajian MA di Universiti Al-Alibayt, Mafraq, landasan tersebut benar-benar berada dibelakang rumah. Setiap kali ingin ke kelas, ke pasar atau ke rumah rakan-rakan yang lain, saya terpaksa ‘melintas’ landasan tersebut. Ia sungguh panjang sejauh mata memandang. Waktu malam, ia menjadi tempat lepak arab-arab Mesir.
Beberapa hari lepas Al-Jazeera melaporkan Kerajaan Turki dengan kerjasama kerajaan Syria, Jordan dan Arab Saudi merancang untuk membangunkan kembali landasan sejauh 2,241 km itu. Selain bertujuan sebagai kemudahan untuk para haji negara-negara tersebut, ia bakal membangunkan ekonomi kawasan sekitar terutamanya negara Jordan.
Rancangan ini mungkin memerlukan masa memandangkan kebangkitan arab masih berterusan di Syria dan di Jordan, kerajaan masih lagi berhati-hati dengan protes rakyat. Walaubagaimanapun, semua rakyat arab mengalu-alukan cadangan tersebut apatah lagi ia daripada Turki.
Era Edorgan benar-benar menghidupkan kembali Neo Ottoman ditengah-tengah krisis negara-negara sekeliling. Dalam negara-negara yang lebih selesa dengan konsep nasionalis ataupun kebangsaan, mewujudkan kembali daulah khilafah bukanlah satu kemestian.
Apa yang penting, jika Turki dapat mewujud dan memimpin blog negara islam dan arab, itu sudah memadai menaikkan kembali izzah islam..
0 ulasan:
Post a Comment