Mereka yang mendalami bidang agama sangat memerlukan kesabaran. Sabar yang paling utama selain daripada belajar adalah sabar dalam MENGHUKUM.
Samada menghukum tentang perbuatan manusia..
Atau
Menghukum tentang sesuatu nas…
Fenomina yang berlaku kepada mereka yang belum matang menghadam ilmu adalah terlalu cepat menghukum. Mereka perlu menyedari menghukum adalah satu amanah, bukan semudah yang disangka.
Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah ataupun mengharamkan apa yang dihalalkannya adalah satu perkara yang besar. Jika sengaja dan berkepentingan boleh membawa kepada syirik. Jika jahil, dia perlu menanggung dosa orang yang mengikut fatwanya.
Begitu juga dalam hadith. Menthabitkan sesuatu hadith yang bukan daripada baginda s.a.w boleh membawa kepada mereka-reka hadith. Jika menolak apa yang betul-betul thabit daripada baginda s.a.w pula dianggap sebagai menolak sunnah, maka hukumnya kufur jika sengaja.
Inilah yang berlaku kepada mereka-mereka yang terlalu cepat terutamanya yang tersilap masuk pintu.
Ada yang nak menghukum namun masuk pintu hadith.
Ada yang nak tentukan hadith namun masuk pintu fiqh.
Jika ingin belajar tentang hukum dan fatwa masuklah ke kelas fiqh. Bidang ini tidak sekadar memfokuskan kepada nas Al-Quran dan As-sunnah, namun menitik beratkan cara berdalil dengan kedua-duanya dari sudut umum, khusus, dan bahasa. Hasilnya lahirlah kaedah-kaedah umum bagi membantu mengeluarkan hukum.
Seterusnya, jika sudah faham dalil, beberapa perkara perlu diambil kira sebelum mengeluarkan fatwa:-
1. Maslahat dan Uruf
Menghukum perlu melihat keadaan manusia samada mereka dalam keadaan dharurah, hajiyyat ( kesulitan ) ataupun keadaan biasa. Dharurah boleh mengubah hukum yang qatie, kesulitan pula dibolehkan rukhsah. Islam itu agama kemanusiaan. Begitu juga aspek uruf tidak boleh diabaikan dalam mengeluarkan hukum. Selain menjadi sumber fiqh, uruf juga boleh mengubah hukum.
2. Ma’lat dan Aulawiyyat
Ma’alat adalah kesan hukum. Boleh jadi hukum itu harus namun jika diaplikasikan mendatangkan mudharat, maka ia mesti dihalang. Begitu sebaliknya. Begitu juga aspek keutamaan ( aulawiyyat ). Ada perkara sudah wujud khilaf zaman berzaman, jika mengeluarkan fatwa sekalipun ia tidak akan mengubah keadaan. Umpamanya mengeluarkan fatwa berkaitan hukum talqin, tahlil dan bacaan yasin pada malam jumaat.
3. Waqi’ah
Aspek realiti sekeliling perlu diambil kira. Boleh jadi wujudnya sesuatu isu itu sebagai umpan kepentingan politik pihak-pihak tertentu. Contohnya isu kalimah Allah.
Manakala dalam menilai hadith pula perlu melihat beberapa aspek berkaitan sanadnya seperti:-
a.Hadith hassan yang tafarud ( satu jalan ) hendaklah dinilai terlebih dahulu. Umpamanya hadith larangan puasa pada hari sabtu.
b.Tidak wujud padanya illah seperti hadith menyapu stokin yang mempunyai illah yang tersembunyi.
c.Penilaian mestilah dari sudut sanad dan matan.
d.Hadith tersebut tidak munkar dan syaz ( bertentangan dengan riwayat yang lebih thiqah )seperti hadith berkaitan jamak ketika hujan yang bertentangan dengan riwayat lain.
e.Melihat kepada syawahid dan juga mutabaah pada hadith tersebut. Boleh jadi hadith yang dianggap dhaif itu mempunyai syawahid yang banyak.
Selain itu juga, amat penting memahami hadith dari sudut fiqh dan konteks yang betul seperti:-
a. Melihat bab hadith samada berkaitan hukum, akidah ataupun fadhail amal. Jika berkaitan fadhail amal,tidak perlu besar-besarkan kritikan apabila ia disandarkan dengan hadith dhaif.
b.Menghimpun beberapa hadith dan nas-nas lain yang berkaitan dalam bab yang satu. Contohnya hadith berkaitan larangan membina masjid di kubur.
c. Melihat kepada objektif ( Maqsid ) sesuatu hadith sebelum mengeluarkan hukum. Contoh hadith melabuhkan kain dibawah paras buku lali.
d. Memahami sunnah beserta maqasid dan asbab wurudnya.
Oleh yang demikian bukanlah menjadi kesalahan jika kita diam terlebih dahulu apabila ditimbulkan sesuatu isu dalam keadaan kita sendiri belum jelas dan faham. Begitu juga tidak menjadi kesalahan jika kita hanya bertaqlid dengan pendapat ulama beserta memahami hujjah-hujjah mereka.
Alangkah tawadu’nya jika kita menyebut hukum beserta ulama yang berfatwa tentangnya dan alangkah cermat jika kita menyebut hukum hadith beserta ulama yang mentakhrijkannya.
0 ulasan:
Post a Comment