Tatkala isu serbuan kontroversi JAIS ke atas sebuah gereja baru-baru ini hangat diperkatakan, tempiasnya turut terkena kepada peranan agensi zakat. Ramai yang mendesak satu tranformasi terhadap pengurusan zakat. Ada dikalangan mereka yang memberi komentar agar pusat zakat diprofesionalkan agihannya serta dipermudahkan urusanya dan ada juga yang mencadangkan agihan diberi tauliah kepada NGO islam yang lebih mesra.
Semester lalu memandangkan tiada subjek MA yang diajar, saya memanfaatkan masa menyertai kelas fiqh ibadat dua, Dr Fathullah. Antara isi kandungan subjek ini adalah fiqh zakat.
Bab asnaf adalah yang paling menarik tumpuan.
Asnaf merujuk kepada saluran agihan zakat. Ia merupakan ½ daripada pengajian dan aplikasi zakat. Justeru itu, zakat tidak hanya dikenali sebagai ibadah, namun adalah satu sistem ekonomi dan kebajikan yang sempurna daripada Islam.
Apa yang membezakan islam dengan agama lain, agama ini meletakkan garis panduan yang jelas dalam membantu mengagihkan harta kepada mereka yang memerlukan. Segala harta yang dianggap pemiliknya kaya diperincikan oleh Syariat jenisnya, sifatnya, ciri-cirinya, tempohnya dan kadar yang perlu dikeluarkan. Objektifnya jelas agar zakat hanya dipungut daripada mereka yang benar-benar ‘lebih’ hartanya agar tidak dizalimi.
Tidak cukup sekadar itu, islam memperincikan lagi saluran-saluran agihan zakat yang dipungut. Bahkan disebut secara jelas dalam Al-Quran hanya terhad kepada 8 golongan sahaja. Mereka adalah Fakir, Miskin, Amil, Hamba, Orang yang berhutang, Ibnu Sabil, Muallaf, dan Fi sabilillah. Hikmahnya agar zakat dapat disumbangkan kepada mereka yang memerlukan sahaja dan tidak diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu.
Berbalik kepada isu baru-baru ini, antara agihan yang dipertikaikan oleh banyak pihak adalah fakir, miskin dan muallaf. Lebih menimbulkan kemarahan, agensi zakat dilihat seolah-olah melayan pemohon seperti peminta sedekah.
Saya lebih berminat untuk mengulas isu asnaf Fi sabilillah yang menjadi sumber pengajian dan sara hidup kepada penuntut-penuntut aliran agama dan bahasa arab terutama di luar negara.
Dr Fathullah dalam kuliahnya menyebut mereka yang mendapat bantuan zakat untuk menampung pengajian agama adalah dikalangan asnaf fakir ataupun miskin. Ini kerana mereka kehilangan sumber pendapatan disebabkan menghabiskan masa menuntut ilmu. Situasiny sama seperti orang tiada kemampuan untuk bekerja ataupun bekerja namun tidak mencukupi layak mendapat bantuan zakat daripada bahagian tersebut.
Sebenarnya jika kita merujuk perbahasan asnaf fi sabilillah pada kitab-kitab fiqh silam,para ulama hanya merujuk peruntukan itu kepada mereka yang berjihad pada jalan Allah berdasarkan nas-nas tertentu. Ada juga sebahagian kecil ulama menambah fi sabilillah juga turut membawa erti mereka yang mengerjakan haji ataupun umrah.
Di zaman moden ini, terdapat sebahagian ulama meluaskan maksud fi sabilillah kepada seluruh perkara yang membawa kepada kebaikan. Mereka ini memahami istilah tersebut dengan konteks bahasa semata-mata iaitu apa sahaja yang dijalan Allah. Maka segala perkara kebaikan diqiaskan seperti membina hospital, pusat anak yatim, asrama kanak-kanak miskin bahkan jamuan-jamuan di masjid semua diaggap layak memohon asnaf fi sabilillah.
Pendapat ini tidak dipersetujui oleh sebahagian besar ulama. Antaranya Dr Yusof Al-Qaradhawi yang mengganggap asnaf zakat fi sabilillah tidak harus diperluaskan. Jika tidak, baki 7 asnaf yang lain juga termasuk dalam erti fi sabilillah kerana semua itu adalah jalan kebaikan.
Walaubagaimanapun jihad yang tidak seharusnya disempitkan dengan hanya mata pedang. Berikut adalah beberapa keadaan yang dianggap fi sabilillah:-
1. Mengagihkan zakat tersebut kepada mereka yang berjuang membebaskan bumi-bumi ummat islam yang dijajah seperti Palestin, Afghanistan dan Iraq.
2. Menyalurkan bantuan kepada pusat-pusat pengajian islam yang mentarbiyyahkan minoriti ummat islam di negara majoriti kafir. Jihad ini adalah untuk mempertahankan akidah mereka daripada tekanan dan juga penyebaran agama-agama dan ideologi-ideologi yang bertentangan dengan islam.
3. Menyumbang kepada mereka yang mendalami agama demi mempertahankannya daripada serangan pemikiran bukan islam. Mereka ini bakal berjuang dengan merungkaikan kekeliruan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh islam, membetulkan salah faham terhadap agama islam dan mempertahankan ilmu-ilmu islam daripada hilang.
Saya lebih setuju dengan pendapat bantuan zakat kepada pelajar agama atas dasar fakir dan miskin. Ini bukanlah satu penghinaan namun satu keperluan hidup. Maka, ketika itu pusat zakat bolehlah menapis permohonan bagi mereka yang betul-betul memerlukan sahaja dan memberikan apa yang mencukupi bagi keperluan mereka untuk belajar.
Namun,jika ada yang ingin mempertahankan bahawa mereka yang belajar agama itu berhak mendapat bahagian fi sabilillah, saya tidak membantah jika penuntut tersebut bukan sekadar mengejar segulung sijil namun dengan tekad ingin mempertahankan agama islam apabila tamat pengajian nanti.
Saya faham pelajar agama tiada sumbangan lain seperti tajaan dan biasiswa namun janganlah duit yang kita perolehi itu melekakan kita, menjadikan kita tamak, dan digunakan pada tempat yang tidak sepatutnya.
Semua itu adalah amanah...
4 ulasan:
Seeloknya bahagian fisabilillah tu diberi kpd anak muda yang kurang berkemampuan. lbh kurang mcm biasiswa. sebab ramai rasanya yang x dpt sambung belajar kerana masalah kewangan
Tak kisah, tapi yang penting orang yang mendapatnya mestilah fi sabilillah betul
syukron,...ana n shabt pun bkal sambung blaja di jordan atas agihan duit zakat majlis agama...mknenye kne betul2 amanah dan bila balik berjuang untuk islam pulak...
Ahlan wa sahlan.. Datang jordan Uni mana? betul, belajar b'sungguh2, bkn susah pn.hehe
Post a Comment