
Allah s.b.t memberikan pengiktirafan yang tersendiri terhadap mereka yang belajar, mendalami dan akhirnya mahir dalam agama islam. Ini disebut dalam Al-Quran dan As-sunnah, terdapat beberapa gelaran yang diberikan terhadap golongan ini. Antaranya :- Ulama, Faqih, Ahli Zikr dan Ar-Rasikh fi ilmi.
Apa yang menarik dan lebih penting, gelaran-gelaran ini tidak hanya disebut sekadar nama semata-mata bahkan disertakan sekali dengan sifat-sifat dan tugasan yang mesti disempurnakan oleh mereka. Jika bertepatan dengan sifat tersebut maka tinggilah darjat mereka di sisi Allah dan sekaligus mendapat penghormatan daripada manusia.
Antaranya sifat-sifat dan tugasan tersebut:-
1. Ulama.
Terdapat dua nas yang penting disebut berkaitan dengan ulama iaitu:-
Firman Allah
"Sebenarnya mereka yang takut kepada Allah daripada kalangan hambaNya hanya Ulama’, sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun." (surah al-Fathir ayat 28)
Sabda baginda s.a.w.
“Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna” (Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
Ayat tersebut menunjukkan bahawa ulama disifatkan oleh Allah sebagai manusia yang paling bertaqwa kepadaNya iaitu takut dalam melakukan apa yang dilarang dan meninggalkan apa yang disuruh. Mereka juga akan bercakap hanya apa yang Allah perintahkan dan tidak menjual agama ini dengan nilai dunia. Ini kerana merekalah yang paling memahami ayat-ayat yang berkaitan dengan dosa pahala dan azab nikmat di akhirat berbanding orang biasa.
Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w pula mengiktiraf bahawa ulama itu adalah pewaris baginda s.a.w. Mereka digambarkan seolah-olah mewarisi ilmu baginda s.a.w. Dengan ilmu itu merekalah yang membimbing manusia agar menuju ke jalan diredhai Allah.
2. Faqih.
Firman Allah
“Dan tidaklah semua orang Islam itu wajib pergi berperang. Hendaklah segolongan dari mereka yang mendalami agama agar mereka dapat memberi peringatan terhadap kaum mereka apabila mereka pulang kelak, supaya mereka berjaga-jaga dari melakukan dosa” ( surah At-Taubah :122 )
Jihad merupakan salah satu kewajipan yang paling penting demi menegakkan dan mempertahankan agama islam dan ummatnya, sehinggakan apabila diseru kepada jihad wajib bagi yang berkemampuan menyahut seruannya.
Namun, dalam hal ini, Allah mengecualikan golongan yang ditugaskan mempelajari ilmu agama daripada menunaikan jihad. Betapa pentingnya kewujudan golongan faqih dalam sesebuah masyarakat. Tidak sekadar belajar sehingga menjadi seorang yang faham dalam agama, Allah menuntut agar ilmu yang dipelajari itu digunakan untuk memberi peringatan kepada ummat agar mereka tidak melakukan apa yang terlarang dalam agama.
Samada ulama dan faqih sifat dan tugasnya jelas kerana merekalah yang lebih mengetahui kebenaran. Namun, yang menjadi kekeliruannya bagaimanakah ingin mengenali mereka.
Cukupkah sekadar mendapat ijazah dalam bidang Fiqh ataupun usuludin?
Cukupkah apabila sudah bergelar ustaz di majlis agama?
Cukupkah apabila menjadi guru agama ataupun pensyarah?
Ataupun menyertai ulama muda yang sentiasa menyokong kerajaan?
Sehingga ke hari ini saya masih pedih dengan ustaz-ustaz yang berkata
“ Jangan pedulikan politik, nanti susah dapat kerja. Bukan senang dapat kerja sekarang”
“ Tak payah la sebut-sebut sangat, nanti susah kita. Kena tukarkan.. Anak bini sape nak jaga”
Benarlah satu athar diriwayatkan oleh seorang sahabat
“ Kefakiran itu boleh membawa kepada kekufuran”
Tatkala ulama-ulama sezaman dengan Imam Ahmad meminta beliau agar mengakui bahawa Al-Quran itu makhluk ( seperti pegangan pemerintah ketika itu ) maka terus ditempelak oleh beliau..
" Jika orang alim diam, bilakah kebenaran akan muncul"
2 ulasan:
It's very nice
Bagaimana jika seseorang itu menyakini sesebuah parti itu melebihi addin, sehinggakan orang yang tidak menyokongnya dianggap kafir? Kenapa para ulama tidak mengkaji hal ini? Kenapa ulama kepartian tidak sanggup mengubahnya atau takut kehilangan pengaruh atau ?? Masalah ini akan beterusan selagi ulama berkepartian.
Post a Comment