
Seawal pagi lagi saya menatap siaran Al-Jazeera TV semata-mata ingin menonton liputan BERSIH 0.2, namun sedikit hampa, berita seawal 6 pagi itu hanya memaparkan KL lengang dengan beberapa visual polis sedang berkawal.
Teringat saya pada BERSIH 2007. Saat itu saya tidak mempedulikan tentang politik tanah air rentetan kejatuhan pembangkang sejak 2004 yang lalu. Namun,secara kebetulan menonton Al-Jazeera, liputannya begitu menarik perhatian saya akan momentum politik tanah air. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemuramah menyatakan kekesalan dan keyakinan kebangkitan politik pembangkang. Dalam masa yang sama seluruh dunia menyaksikan betapa rendahnya tahap profesional seorang menteri Malaysia dalam memberi respon soalan wartawan.
Al-Jazeera Agenda Kafir.
Sehari sebelum itu, saya menerima kunjungan beberapa sahabat-sahabat junior di sini.
" Ustaz, ada orang kata kita jangan tengok Al-Jazeera dan Malaysiakini adalah agenda kafir"
" Habis tu nak baca Utusan Malaysia sahaja?"
Saya sangat khuatir apabila ada dikalangan kita cuba menyuntik sikap menilai yang salah kepada pelajar-pelajar kita iaitu menghukum tanpa melihat terlebih dahulu. Akhirnya lahirlah ustaz-ustaz yang jahil tentang musuh mereka yang sebenar.
Menerima dan percaya adalah dua cara yang berlainan. Al-Jazeera dan Malaysiakini mendapat tumpuan daripada semua kerana maklumat yang disampaikan tidak berpihak kepada mana-mana pihak selain beritanya sentiasa dikemaskini. Sebagai muslim, method kita menerima berita adalah dengan cara " menyelidik" :-
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujuraat 49:6)
Bukan semua berita daripada sumber yang tidak diyakini itu kita tolak mentah-mentah, namun jika berita itu awal-awal lagi menampakkan kebodohan, batu api, tiada moral, pastinya awal-awal lagi sukar untuk diterima walaupun yang menyampaikannya adalah seorang muslim.
Berkenaan dengan Kafir, Al-Quran menyebut mereka ada dua golongan : Menentang islam dan ada yang tidak memusuhi islam. Yang menentang, kita fahamkan mereka dahulu, kemudian barulah berkeras. Yang tidak memusuhi pula kita dituntut berlaku adil. Seterusnya kita menghukum mereka secara zahir, ada pun perancangan jahat mereka Allah lebih mengetahui dan akan menjaga agamanya..
Namun yang pasti munafiq itu tetap satu matlamat iaitu menghancurkan islam. Kafir begitu jelas kepada kita identitinya, namun munafiq adalah dari kalangan muslim termasuk melayu.
Ada apa 9 julai.
Rupa-rupanya saat itu BERSIH tenggelam dengan berita seluruh dunia yang lain terutamanya yang melibatkan negara islam. Antaranya:-
1. Perpecahan Sudan.
Kemerdekaan Sudan selatan daripada Sudan menjadikannya bukan lagi negara terbesar di bumi Africa. Setelah 20 tahun mengharungi perang saudara antara kerajaan utara yang majoritinya Arab Muslim dan selatannya yang terdiri daripada pemberontak Kristian, ia berakhir dengan pemisahan wilayah selatan itu daripada kerajaan islam.
Situasinya hampir sama dengan kemerdekaan Timur Timor daripada Indonesia beberapa tahun yang lalu. Peperangan antara kedua-dua pihak melangkaui batas kemanusiaan hingga menyaksikan ICJ mengeluarkan waran tangkap kepada Presiden Sudan Omar Basyhir.
Berita ini disambut dengan kesedihan oleh ummat islam kerana wilayah kristian yang merdeka itu menyimpan kira-kira 80% sumber minyak Sudan. Namun, salah siapa?
2. Revolusi Syria dan Libya.
Pihak pembangkang Syria berpakat untuk tidak menyertai dialog kebangsaan tajaan pemerintah. Hingga kini angka korban di bumi Syam itu mencecah ribuan. Wartawan dihalang daripada membuat liputan, hanya video-video telefon bimbit sahaja menjadi bahan tontonan masyarakat dunia ke atas apa yang berlaku di sana.
Basyar Asad dan konco-konconya Syiah Alawin memang benar-benar menjajah bumi barakah itu. Kini rakyat bangkit dan meneruskan perjuangan menuntut reformasi pemerintahan. Sudah berpuluh-puluh ribu ahli politik dan ulama yang syahid dan hilang sejak pemerintahan singa itu, negara yang dikenali silent kingdom itu kini bergegar. Berbanding dengan Libya yang dikenakan tindakan oleh Majlis Keselamatan PBB, nampaknya usaha tersebut sukar di Syria kerana mendapat sokongan daripada Rusia dan China. Kesudahannya apa yang berlaku di Syria, Allah sahaja yang tahu.
Situasi yang berbeza di Libya, saat-saat ini, Gadafi masih cuba meniupkan semangat kepada rakyatnya agar menyokong beliau. Dengan seruan jihad menentang kuffar, Gadafi begitu terdesak dengan pemberontak yang diisytiharkan pemerintah yang sah oleh dunia hanya beberapa km sahaja daripada Tripoli.
Dunia oh dunia.. Apa yang berlaku? Kadang kal kita keliru apa yang berlaku, adakah semuanya ada kaitan antara satu sama lain?
Sehingga saat ini saya percaya:-
1. Muslim itu ada yang amanah dan khianat. Yang amanah itu muslim yang mukmin dan yang khianat itu munafiq walaupun menggunakan nama muslim. Bersatu dengan mereka tidak akan menjadikan agama kita kuat bahkan melemahkannya.
2. Islam menjadi lemah bukan kerana agenda kuffar, namun kerana ummat islam sendiri yang tidak berpegang dengan prinsipnya dan tidak beramal dengan kandungannya. Ada pun kuffar, hebat bagaimana sekali pun mereka tidak akan mampu memadamkan cahaya Allah.
" Mereka (musuh-musuh Allah) berusaha untuk memadam cahaya Allah(Deen Allah) dengan mulut-mulut mereka (diayah-diayah mereka) dan Allah tidak rela kecuali menyempurnakan cahaya Islam walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”
(AtTaubah, 9:32; As-Sof, 61:8)
Seperti kata Saidina Umar..
"Aku lebih takut pada dosa-dosa kamu daripada musuh-musuhmu. Kerana apabila kamu melakukan dosa, Allah tidak lagi akan menolong kamu. Maka terbiarlah kamu pada musuh-musuhmu"
0 ulasan:
Post a Comment