Monday, April 18, 2011

Ulama Mengubah Masyarakat.



Ulama adalah ejen perubahan paling berpengaruh dalam membentuk masyarakat. Daripada sebesar-besar fatwa seorang mufti hinggalah kepada tazkirah seorang ustaz yang di sebuah surau yang kecil. Mereka yang bergelar agamawan ini begitu memberi kesan kepada masyarakat. Walaubagaimanapun adakalanya para agamawan tersilap langkah membantutkan peranan ini. Ada yang terlalu terburu-buru, ada yang terlalu konservatif dan ada yang gagal membaca arus perubahan.

Antara Ustaz Azhar Idrus dan Prof Madya Dr Asri.
Membandingkan keseluruhan antara mereka berdua mungkin tidak tepat kerana lapangannya berbeza, namun ada contoh yang ingin dikaitkan adalah bagaimana cara antara mereka mengubah masyarakat. Samada pemikiran, amalan dan kehidupan masyarakat.

DR MAZA muncul pada tahun 2004 bersama mereka yang memperjuangkan tajdid. Ketika itu, ulama-ulama haraki PAS kurang menonjol akibat kekalahan parti tersebut pada PRU 2004. Beliau muncul dengan slogan memperbaharui minda dan ingin mengembalikan amalan masyarakat kepada islam yang telin. Usaha beliau lebih memfokuskan kepada serangan pemikiran seperti islam liberal dan Pluralism, walaubagaimanapun isu-isu khilafiyah dalam masyarakat seperti amalan membaca yasin, tahlil, taqlid buta mazhab syafie dan salah faham konsep bid’ah hasanah turut dikritik. Pengaruh beliau besar terutamanya anak-anak muda di IPT yang beralih angin daripada perjuangan haraki, muncullah istilah Asriesm. Lebih berani lagi, DR MAZA turut menyalahkan golongan agamawan dan juga jemaah islam ketika itu atas kegagalan mereka membentuk pemikiran masyarakat. Beliau juga dilihat lebih mesra dengan kerajaan.

Ustaz Azhar juga muncul pada saat yang sama namun mungkin lebih tertumpu di negeri pantai timur. Beliau memilih menyerang sikap dan amalan-amalan yang jauh menyimpang daripada islam dalam masyarakat. Mas kahwin yang tinggi, adat bersanding, isu aurat, hiburan yang melampau dan kelalaian ibu bapa dalam memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Beliau mengambil pendekatan dengan menggunakan bahasa yang kasar, agar humor dan memberi contoh yang benar-benar realiti dalam masyarakat. Walaupun bergelar pendakwah bebas beliau tidak mengambil pendekatan bertembung dengan jemaah islam. Bahkan adakalanya beliau menzahirkan sokongan terbuka dan yang menariknya beliau turut menjadi tumpuan golongan muda. Beliau menjadi ikon bagi kelab pemotoran ARC. Di maklumkan juga, ketika jambori ARC,beliau menyampaikan kuliah khas kepada mat-mat motor ini.

Antara kedua-duanya, pendekatan Ustaz Azhar lebih diterima masyarakat. Isu yang diperjuangkan beliau jauh lebih penting dan memberi kesan yang lebih baik daripada isu-isu DR MAZA. Begitu juga beliau lebih kenal siapa kawan dan siapa lawan. Maksud saya bukan isu berkaitan dengan akademik, tapi kemasyarakatan.

Namun, itu adalah DR MAZA yang dulu. Menurut rakan saya, DR MAZA sendiri sebenarnya mungkin akan menarik balik segala kata-katanya dahulu. Ada benarnya, ketika tahun 2008 perhimpunan BERSIH menuntut pilihanraya yang adil, beliau menyalahkan pihak penganjur dan menganggap demonstrasi lebih membawa kemudharatan, namun kini beliau sendiri yang memilih untuk menyokong demontrasi-demonstrasi yang menuntut hak rakyat diseluruh dunia. Begitu juga sikap beliau dengan PAS, pernah suatu ketika dahulu beliau memerli bentuk negara islam yang ingin diperjuangkan oleh pembangkang, namun kini lebih mesra kepada parti ini sehingga banyak isu dikupas memihak kepada jemaah ini.

Kedua-duanya menjadi tumpuan pada masyarakat.

Apa pun, mereka yang bergelar agamawan dan ulama harus sedar, masyarakat memerlukan suntikan mereka untuk bangkit. Adakalanya sangat penting kepada para ulama melihat arus perdana dan realiti yang sebenar dalam kehidupan masyarakat dan negara. Sama penting dengan apa yang ditelaahkan oleh mereka ketika belajar dahulu..

Fiqh Al-Aulawiyat
Fiqh ini dipelopori oleh ulama terkenal Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi. Seruannya mudah agar para agamawan yang bercakap tentang islam, isu semasa ataupun hukum hakam perlu menyedari kepentingan sesuatu perkara untuk diolah. Ada perkara yang penting perlu disentuh seperti isu politik dan kemasyarakatan berbanding isu fadhail amal dan isu khilafiyah.

Untuk mengaplikasikan fiqh ini, tidak cukup sekadar pencapaian akademik, bahkan memerlukan para agamawan mengkaji dan turun sendiri ke dalam masyarakat agar memahami apa yang paling penting yang perlu diubah ataupun disumbangkan kepada mereka.

Fiqh Ma alat
Fiqh maalat membicarakan kepentingan para agamawan melihat kepada kesan yang terhasil daripada tindakan mereka. Dalam mengeluarkan hukum sebagai contoh, ada perkara yang harus namun jika dilaksanakan akan memberi kesan mudharat yang lebih besar, maka ketika itu ia perlu ditangguhkan. Begitu juga ada perkara yang mengandungi sedikit mudharat namun jika dilaksanakan akan memberi manfaat yang jauh lebih besar. Ketika ini, ia wajar diteruskan.

Kedua-dua unsur Fiqh Al-Aulawiyat dan Ma alat perlu dikaji dan dinilai oleh agamawan termasuk ulama-ulama. Dengan penilaian ini, mereka akan lebih tahu isu apakah yang perlu mereka hadamkan untuk masyarakat. Begitu juga samada ingin berjuang secara individu ataupun jemaah. Semua ini mempunyai kelebihan dan kelemahan.

Apa pun, ulamalah yang paling berpengaruh dalam mengubah masyarakat. Apabila masyarakat berubah kerajaan pun turut berubah..

0 ulasan: