
Kebangkitan rakyat yang berlaku di dunia Arab dan Islam kini merebak dan terus merebak. Revolusi ini jauh lebih bernilai daripada revolusi Arab menghalau pemerintahan Turki Uthmaniyah daripada bumi mereka pada awal kurun ke 18. Jika ketika itu mereka berjuang atas nama bangsa arab, era ini menyaksikan perjuangan mereka berpaksikan tuntutan keadilan, kebebasan bersuara, dan menolak kezaliman yang dimonopoli oleh pemerintah kuku besi.
Di Syria, pemerintah Bashar Assad mungkin boleh menarik nafas lega seketika apabila revolusi tersebut seakan-akan tidak menjadi setelah ia meletup serentak di Mesir, Libya, Algeria dan Jordan. Dimasq, ibu kota Syria lengang pada saat itu walaupun dilaman-laman sosial berlakunya kempen untuk mengadakan rapat umum di kota tertua di dunia itu.
Namun siapa sangka api kebangkitan itu menyala dari selatan dan terus marak ke ibu kota. Dengan kematian yang mencecah puluhan orang, revolusi ini begitu mengejutkan ramai pihak kerana siapa yang tidak kenal, The Silent Kingdom ini cukup keras terhadap mereka yang mengkritik kerajaan. Lebih mengejutkan lagi, patung ‘singa’ di dar’a, Syria diruntuhkan sama seperti patung Saddam Husin.
Syria sebenarnya ada ciri-cirinya yang tersendiri. Bumi ini subur dalam melahirkan ulama-ulama hasil doa Nabi s.a.w dan keberkatan para anbiya yang lain sebelum ini. Kota Dimasq merakamkan bagaimana kecintaan rakyat kepada ulama dan ilmu.
Walaubagaimanpun, di situ ada nur, di situ juga ada taghut. Pemerintah parti Baath yang mendiktatorkan Syria adalah beragama alawin yang merupakan kelompok terpesong daripada mazhab Syiah. Undang-undang darurat yang diperkenalkan membenarkan menahan sesiapa sahaja yang dirasakan bersalah tanpa bicara. Rakyat hidup ketakutan, kezaliman berleluasa. Siapa yang ke Syria tanpa melihat rasuah adalah suatu yang pelik. Detik 1982 menyaksikan 15 hingga 40 ribu mati di Hama, Syria setelah Ikhwan Muslim cuba menggerakkan suara rakyat menentang pemerintah. Mungkin kesan daripada itu, rakyat sangat fobia untuk melakukan sesuatu. Apatah lagi era sekarang menyaksikan pengganti ayah singa itu lebih bertoleransi.
Namun kini ia meletup lagi..
Seperti biasa Ulama terkenal dunia yang menjadi paksi kepada golongan haraki, golongan pembaharuan dan golongan daie, Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi meniupkan semangat golongan-golongan yang bangkit menentang pemerintah yang zalim. Bagi beliau tiada ketaatan bagi pemerintah yang zalim.
Kematian semakin meningkat. Syeikh Yusof Al-Qaradhawi bangkit bersuara hingga ‘tertegur’ ulama-ulama Syria agar bangkit bersama rakyat mereka. Sebelum ini, Mufti Syria menyatakan kata-kata beliau mengundang kepada fitnah yang lebih besar.
Syeikh Ramadhan Buti pula mempertikaikan mengapakah Qaradhawi tidak menegur sendiri Presiden Asad ketika beliau menemuinya beberapa tahun yang lalu, sambil menambah pemerintah kini sudah banyak mendengar tuntutan rakyat. Mengapa memilih jalan yang lebih mendatangkan mudharat?
Saya memahami keadaan Al-Qaradhawi di Qatar berbeza dengan Buti di Syria.
Qatar merupakan negara arab yang jauh kehadapan dari sudut keterbukaan. Pemerintahnya walaupun masih beraja mengalu-alukan ulama-ulama dan aktivis-aktivis yang dihalau dari negara arab bermuqim di sana. Bukti keterbukaan Qatar boleh dilihat apabila membenarkan stesen Al-Jazeera yang terkenal dengan kelantangan mengkritik diktator arab beroperasi di sana.
Berbanding Syria, negara satu parti ala sosialis ini, sesiapa yang disyaki menyertai Ikhwan Muslim bakal menghadapi hukuman mati. Undang-undang darurat masih dilaksanakan dengan menahan mereka tanpa bicara. Mata-mata kerajaan berkeliaran. Semua hidup ketakutan. Sudah berpuluh-puluh ribu nyawa diragut atas nama musuh politik, begitu juga mereka yang hilang dan diusir daripada Syria.
Inilah masa sesuai untuk kebangkitan rakyat. Bashar Asad mungkin tidak sekejam ayahnya, atau mungkin faktor dunia sedang memerhati, tersilap langkah akan menjadi seperti Libya. Walaubagaimanapun, kebangkitan ini perlu untuk rakyat menikmati keadilan, ketelusan dan keberkatan daripada pemerintah yang baik apabila digandingkan dengan alim ulama.
Syeikh Buti apabila menyebut pemerintah sudah banyak berubah dengan mendengar nasihat daripada ulama dan tuntutan ramai mungkin merasakan ada cara lain yang lebih sesuai. Beliau adalah ahli ijtihad dan lebih mengetahui situasi di Syam berbanding Qaradhawi di Teluk.
Mengingatkan sejarah pergeseran antara beliau ( Buti ) dan Syeikh Al-Bani menyaksikan kesannya merebak keseluruh dunia ilmuan Islam. Isunya salafi, mazhab.. tidak langsung merahmatkan ummah daripada khilaf itu. Bukan salah khilaf namun ketasuban pengikut antara kedua-duanya.
Kini beberapa forum dan laman web meletakkan tajuk Al-Qaradhawi menyalakan api ke atas ulama Syria.
Jika ini berlaku, kebangkitan rakyat akan beralih kepada krisis antara ulama ini, maka pemerintah yang zalim akan mendapat untung. Namun, saya rasa ini mungkin tidak berlaku jika tidak diapi-apikan atau melihat isu lain yang lebih besar ataupun semua rakyat melihat peluang untuk mentajdidkan negara mereka.
Seperti kejayaan pemerintah UMNO Malaysia Berjaya melagakan antara ulama dan reformis Islam dengan isu nama Allah.
( Saya mengalukan sebarang pembetulan untuk artikel ini kecuali ayat yang terakhir itu )
( Saya mengalukan sebarang pembetulan atas maklumat artikel ini kecuali ayat yang terakhir itu )
0 ulasan:
Post a Comment