Tuesday, April 12, 2011

Anak Perempuan Membawa Ke Syurga



Sebelum ini saya menulis berkenaan bagaimana seorang peniaga yang jujur dijanjikan syurga bahkan lebih istimewa lagi beliau akan bersama para anbiya, alim ulama dan syuhada. Kali ini, terdapat sebuah hadith yang menjanjikan syurga bagi mereka yang mempunyai anak perempuan.
Pelik?

“Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga”.

“Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka”.


Jika dilihat daripada hadith ini, apakah hikmahnya mendapat anak perempuan sehingga menjadi benteng daripada Ibu dan bapanya daripada api neraka berbanding anak lelaki. Walhal, jika dilihat anak lelaki lebih utama peranannya di masa akan datang kerana mereka lebih berpeluang menyumbang untuk islam, menabur bakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Anak perempuan? Jawapannya didikan dan layanan itulah melahirkan hikmah disebalik janji nabi s.a.w..

Seorang ayah yang mendidik anak perempuannya dengan baik sebenarnya melalui keadaan yang sukar dan memerlukan cara yang lebih berhemah berbanding anak lelaki. Golongan perempuan adalah lebih banyak dibebankan dengan hukum hakam agama seperti penjagaan aurat. Ini yang paling besar dan penting. Begitu juga ibadat, hal ehwal wanita apabila sampai umur balighnya.

Kemudian si ibu yang baik pula akan memastikan anak perempuannya itu akan sempurna apabila bergelar sebagai seorang isteri dari memenuhi keperluan suami, anak-anak dan keluarga. Ini semua mesti ditarbiyyahkan sebelum diserahkan kepada lelaki yang menjadi pemimpinnya kelak.

Apabila kesempurnaan ini dibentuk dan sudah bersedia perempuan itu dikahwinkan dengan seorang lelaki. Jika baik, pasanganya mudahlah tanggungjawabnya, jika sebaliknya ia adalah satu ujian buatnya. Wanita tersebut setelah bergelar isteri kini memegang title rabb al-bait iaitu Tuan Rumah. Perlu diingat walaupun lelaki merupakan ketua rumah, namun perempuan menjaganya.

Seorang isteri yang baik hasil daripada didikan yang baik akan melahirkan apa yang dinamakan baitul muslim, rumah orang muslim. Rumah itu akan dihiasi dengan akhlak dan tarbiyah agama sehingga menjadi sebuah syurga kepada suami dan anak-anak.

Maruah diri dan suami dijaga tatkala suami keluar mencari rezeki. Si isteri tidak akan keluar tanpa kebenaranya kerana rumah lebih memerlukannya berbanding di luar rumah. Keperluan mendidik anak-anak ini dengan ilmu dunia dan yang paling penting tarbiyyah akhirat. Seperti mana beliau mendapat daripada keluarganya, semua itu akan beliau warisi kepada anak-anaknya. Hasilnya anaknya juga jika peperempuan akan membentuk rumah muslim untuk generasi akan datang.

Inilah yang ditakuti oleh Atarturk. Ketika proses pembaratan yang ingin beliau jalankan di Turki demi merealisasikan cita-cita sekularnya, beliau menggalakkan wanita agar keluar rumah. Hasilnya, kerosakan yang berlaku lebih besar daripada kepentinganya.

Harus difahami, bukanlah islam melarang perempuan bekerja ataupun berbakti untuk masyarakat, namun keperluan yang paling utama bagi seorang perempuan, isteri dan ibu adalah membentuk rumah idaman muslim agar menjadi syurga kepada suami, bapa kepada anak dan anak-anak mereka. Ketika itu, barulah menyumbang untuk masyarakat.
Sabda Nabi s.a.w

“Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi adalah sangat sedikit sekali daripada golongan kamu yang dapat melakukan demikian."


Benarlah janji Nabi s.a.w. hikmahnya sangat besar mempunyai seorang anak perempuan sehingga membawa kepada syurga.

Merekalah yang akan membentuk masyarakat islam…

0 ulasan: