Wednesday, March 23, 2011

Tidak Buta Hati, Tidak Pekak dan Tidak Bisu.

Surah Al-Baqarah ayat ke 7 menceritakan perihal orang kafir.

“Allah mengunci hati mereka, pendengaran mereka dan penglihatan mereka”

Ketiga-tiga sifat ini digambarkan ciri-ciri orang kafir. Jika difahami dengan ayat sebelum itu ( ayat ke 6 ), mereka ini jika diberi nasihat, amaran dan peringatan sama sahaja jika tidak menyampaikan. Oleh kerana sifat-sifat ini disebut kepada orang kafir, maka keadaan orang mukmin mestilah sebaliknya. Hati mereka mestilah terbuka menerima apa sahaja, pendengaran mereka sentiasa menadah apa yang patut mereka dengar dan penglihatan mereka sentiasa memerhati. Jika tidak semua itu akan menjadi saksi dihadapan Allah.

1.Hati yang tidak tertutup.
Hati seperti yang digambarkan oleh Lukman Al-Hakim adalah daging yang paling baik dan boleh menjadi yang paling buruk. Hati yang baik adalah hati yang suci, menerima, bersabar dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu. Teguh dan yakin dengan apa yang disyariatkan agama walaupun pahit untuk dihadamkan, seperti kata Prof Dr Abdullah Badaranah:

“ Orang mukmin beriman kepada apa yang mereka nampak dan apa yang mereka tidak nampak”

2.Pendengaran dan penglihatan yang tidak tertutup.
Mendengar dan melihat adalah satu tuntutan Allah kepada orang mukmin. Mendengar kata-kata yang indah, baik, nasihat, peringatan dan teguran. Melihat pula dituntut memerhati tanda-tanda kehebatan Allah dan kelemahan diri sendiri. Inilah sifat orang beriman. Mendengar kata-kata dan mengikut yang baik.

Mulut pula?
Anggota ini paling berbahaya. Sebab itu Agama tidak menggalakkan agar digunakan seperti telinga dan mata melainkan berkata-kata yang baik-baik sahaja. Jika tidak diam itu adalah hikmah.

Lihatlah mereka yang sering bertutur.. Ahli politik, peguam, ustaz??..

Maka, kurangkanlah bercakap walaupun kita merasakan apabila bercakap kita hebat dan bebas namun sebenarnya kita umpama layang-layang yang putus talinya yang merasakan dirinya bebas bertebangan, namun sebenarnya hilang arah tuju.

Walaubagaimanapun, Jangan diam menyatakan kebenaran..

Sikap Kita Mahasiswa Islam.
Dalam forum akses pemikiran islam baru-baru ini di Mutah, saya menekankan kepada mahasiswa perlunya unsur hati dan akal diperkasakan untuk menjadi pelajar agama. Akal yang tajam akan melahirkan mahasiswa yang berjiwa mujtahid. Hati yang suci pula melahirkan mahasiswa muslim tidak taasub dalam menyebut apa yang benar. Setiap apa yang kita dengar dan lihat mesti diolah dengan kedua-dua mesin ini. Apa yang dinilai oleh akal baik, rasai dahulu dengan hati. Apa yang dirasakan oleh hati baik, nilai dulu dengan akal.

1. Isu Salaf Khalaf.
Isu rumah tangga orang agama yang tidak pernah berakhir. Sebabnya kita lebih bercakap daripada mendengar dan memerhati. Bercakap dengan penuh kebodohan dan ketaasuban. Semua ini merugikan.

“ Sheikh,anta tak pilih mana-mana? ni akidah ni. Boleh terkeluar daripada iman?”

Bagaimana ingin berbicara tentang memahami tangan Allah, sedangkan masyarakat sendiri ragu-ragu dengan kewujudan Allah.

2.Isu Politik
Ini isu yang sangat sensitif. Tanggungjawab kepada setiap masyarakat, lebih berat apa yang perlu ditanggung oleh orang agama. Kerajaan yang teruk dipilih oleh rakyat dan rakyat dididik oleh orang agama.

“ Ana tau anta sokong apa, tapi simpan dulu. Anta pakai smart2 pergi jumpa wakil-wakil rakyat BN rayu mintak kerja, sokong je apa yang dia cakap”

Ini adalah nasihat yang cukup bagus daripada seorang ustaz kepada seorang ustaz. Jika demikian negara kita akan terus ditimpa bala dengan ulama-ulama seperti ini.Harga yang sangat mahal yang ada pada ustaz bukanlah hartanya, pangkatnya tapi adalah lidahnya. Jika diikat apalah nilai seorang ustaz

Hari ini masyarakat kita semakin teruk. Kehinaan dan kehodohan mereka yang tidak bermoral dalam politik semakin jelas. Rakyat semakin muak dan tinggi kesedaran.Tugas kita hanya menyatakan kebenaran berdasarkan wahyu. Tugas seterusnya terserah kepada rakyat. Jika mereka memilih untuk menumbangkan kerajaan dengan pilihanraya, teruskan. Jika mereka memilih seperti yang berlaku di Tunisia dan Mesir, terpulang..

Yang penting bukalah hati, telinga dan mata terlebih dahulu…

0 ulasan: