Sehingga saat ini ntah berapa ramai yang bertanya kepada saya mengapa menyambung M.A di Universiti Al-Alibayt. Bagi orang yang tidak mengetahui tentang Jordan, mereka hanya merasakan semua universiti di Jordan adalah sama. Setiap kali orang bertanya saya akan memberi jawapan yang berbeza akan hal ini.
Sebelum berakhir ijazah saya di Universiti Mu’tah, saya mengunjugi beberapa universiti sekitar seperti Al-AliBayt, WISE, Yarmouk dan Urduniah. Begitu juga saya melayari blog-blog sahabat-sahabat yang menyambung MA di UM, UKM dan UIA. Tidak kira sehebat mana pun Universiti itu, faktor yang paling mempengaruhi adalah yuran dan kemampuan kewangan saya.
Saya mendapat maklumat Universiti di Malaysia sesuai untuk pengajian MA disebabkan lebih praktikal dengan suasana dan realiti di Malaysia. Apatah lagi MA lebih berorientasikan kajian. Ada yang berpendapat era MA bukanlah untuk mencari input lagi namun untuk menghasilkan output yang telah kita telaah sewaktu BA. Dengan medium kebanyakan universiti bahasa melayu dan kelonggaran untuk hanya melakukan tesis yang mengambil masa selama satu tahun, ini adalah satu kelebihan, menjimatkan dan berpeluang untuk menumpukan kepada perkara lain umpamanya bekerja.
Dari sudut penilaian sektor perkhidmatan awam, saya dimaklumkan tiada perbezaan antara tangga gaji dan pangkat antara MA dan BA. Yang dinilai hanya BA walaupun MA memberi sedikit kelebihan. Begitu juga penerimaan untuk melanjutkan PHD, universiti di Malaysia tidak begitu membezakan mana-mana MA.
Tanah arab pula,situasinya berbeza. Inilah masa pelajar dikatakan bakal menghadapi pengajian yang sebenar. Markah lulus yang lebih tinggi, waktu kelas yang panjang dan bentuk pengajian yang betul-betul memerlukan disiplin ilmu. Di Jordan, tiada pelajar yang mampu mendapatkannya kurang daripada 2 tahun. Di Mesir pula saya mendapat makluman sekurang-kurangnya 4 tahun. Yang pasti, untuk memilih MA di tanah arab, bagi pelajar Melayu, bahasa arab mesti kukuh dan asas-asas ilmu syariah mesti dihadamkan betul-betul. Satu lagi, anda hanya mempunyai masa belajar, tiada masa untuk perkara lain.
Nilai ilmu dan bahasa adalah satu kelebihan jika memilih tanah arab.
Saya tetap melihat faktor kewangan sebagai keutamaan. Program tajaan MA untuk universiti di Malaysia yang diumumkan dalam mini bajet oleh PM hanya bertahan 1tahun dan saya terlepas untuk semua itu. Saat kepulangan saya di Malaysia di saat kemelesetan ekonomi. Semua dibekukan.
Cuma pilihan yang ada dari sudut kewangan jika memilih tanah arab, jumlah zakat yang diperolehi agak tinggi, walaupun hanya sekadar membayar yuran satu semester setiap tahun. Yang saya maksudkan di sini adalah Jordan. Untuk ke Universiti of Jordan dan Yarmouk, amat jauh dengan jumlah tersebut. Yang tinggal hanyalah university Mutah dan Al-Alibayt. Atas perasaan ingin mencuba haluan baru,saya memilih Al-Alibayt, alhamdullah, pensyarah-pensyarah syariah di sini lebih ramai untuk saya rujuk.
Pada Disember yang lalu, KPT memperkenalkan program brain15 untuk bantuan kewangan bagi sesiapa yang ingin melanjutkan pengajian di Malaysia, namun sudah terlambat buat saya. Faiza azamta fatawakkal alaallah.
Saya ingin kongsikan lagi satu faktor yang sangat penting. Dalam kita mencari apa yang dihajati kita juga melalui perubahan dalam hidup ini samada ia besar ataupun kecil ia tetap faktor yang perlu diambil kira. Adakalanya kita hidup bersendirian dan adakalanya kita hidup sebagai pemimpin. Ketika memimpin hidup kita bukan lagi untuk kita semata-mata namun turut kepada yang dipimpin.
Maksud saya perkahwinan.. Saya melalui saat itu, ia adalah satu tempoh yang betul-betul mengubah diri. Saya memerlukan suasana yang berdikari jauh daripada keluarga dan faktor itulah yang memutuskan saya hanya ada peluang di luar negara.
Kadang-kadang kita merasakan tiada pilihan..
Ataupun sebenarnya kita tersilap, pilihan itu adalah satu peluang..
Itulah hidup.. kita telah merasai apa kita dapat pada waktu silam untuk kita manfaatkan pada saat ini demi merancang sesuatu di masa hadapan.
Salam Mafraq..
2 ulasan:
Sedar,Pilih,Hijrah...aku datang melawat Jordan dengan mak ayah aku. dari 26 Mac-8April.Kita jumpa di Jordan
ok mat, nanti kita jumpa. aku free je
Post a Comment