Wednesday, December 22, 2010

Tuhan Mesti Adil Atau Maha Adil

Setiap agama pasti mengangkat Tuhan mereka pada sifat yang paling tinggi, paling kuat, paling kaya, paling berkuasa, paling baik dan paling adil. Sifat-sifat ini bagi menunjukkan bahawa Tuhan itu sangat sempurna manakala manusia sangat lemah. Ini juga bermakna manusia akan mengharapkan kekayaan, kekuasaan, kebaikan dan keadilan daripada tuhan bukannya manusia.

Berkenaan dengan sifat adil. Apakah yang dimaksudkan dengan Tuhan bersifat adil? Adil dalam menghukum? Adil dalam mengurniakan sesuatu?

Tuhan Kristian yang Adil
Penganut kristian percaya bahawa Tuhan terdiri daripada tiga unsur. Tuhan Bapa yang mencipta dan mentadbir alam ini. Tuhan Anak yang bernama Jesus merupakan Tuhan yang muncul dalam bentuk manusia dan yang terakhir adalah Tuhan Roh Suci yang menjadi penghubung antara Tuhan Bapa di Syurga dan Tuhan Anak di Dunia. Hakikatnya ketiga-tiga Tuhan itu adalah satu namun muncul dalam watak yang berbeza. Inilah konsep Trinity yang sangat sukar dijelaskan hatta oleh 'ulama' kristian sendiri.

Penganut Kristian meyakini bahawa Tuhan bersifat dengan kasih sayang dan keadilan. Buktinya Tuhan Bapa menciptakan alam ini kerana sifat kasih sayang beliau. Setelah Adam, manusia yang pertama dicipta melanggar larangan Tuhan dengan memakan buah larangan ketika berada di syurga, beliau mesti menerima hukuman atas kesalahan yang serius itu.

Sememangnya Tuhan sangat sayang kepada manusia, namun apakan daya, Tuhan mesti bersifat adil. Setiap kesalahan mesti dihukum. Adam melakukan kesalahan yang sangat besar. Kesalahan itu kemudian diwarisi oleh keturunan beliau sehinggalah terlalu banyak dosa yang tersebar. Manusia semakin berdosa dengan Tuhan.

Namun oleh kerana Tuhan sangat adil, semua kesalahan mesti dibalas atau dihukum.
Walaubagaimanapun tiada nilai yang mampu ditebus untuk semua ini. Kesalahan manusia terlalu berat dan diwarisi ntah berapa banyak keturunan.

Akhirnya muncullah Jesus, anak Tuhan yang datang ke bumi ini untuk menyebarkan kasih sayang Tuhan bapa kepada manusia. Walaubagaimanapun misi beliau yang paling besar adalah berkorban nyawa semata-mata untuk menebus dosa manusia. Nyawa Tuhan yang tinggi nilainya layak untuk membebaskan semua dosa yang membelenggu manusia.

Akhirnya Jesus mati disalib. Nyawa beliau yang suci itu ditebus dengan segala dosa manusia.

Itulah kisah keadilan Tuhan bapa dan pengorbanan Tuhan anak yang begitu menyayat hati.

Allah Mesti Adil Dalam Menghukum
Dalam sejarah islam terdapat beberapa mazhab yang lahir akibat perbezaan pendapat dalam bab akidah. Antaranya mazhab Muktazilah. Dalam memahami sifat keadilan Allah, kita agak berbeza dengan mereka.

Bagi Muktazilah, Allah mesti adil dalam menghukum. Setiap manusia yang melakukan dosa mesti dibalas dengan neraka. Setiap manusia yang melakukan kebaikan mesti diberi ganjaran pahala. Inilah sifat adil Tuhan.

Maka, muktazilah menolak mereka yang melakukan dosa besar masuk syurga bahkan mereka akan kekal di neraka selama-lamanya jika tidak sempat bertaubat. Begitu juga mereka menolak syafaat orang-orang yang dipilih oleh Allah untuk dikurniakan kepada orang lain.

Umpamanya hadith yang menceritakan orang yang syahid, orang yang menghafal Al-Quran dan orang yang alim mampu memberi syafaat serta menarik orang lain masuk ke syurga.

Ini ditentang oleh Muktazilah. Mereka yang jahat jika tidak bertaubat di dunia pasti tidak akan ada ruang kemaafan langsung hatta daripada Allah sendiri! Allah mesti menghukum mereka.

Tuhan Maha Adil, Maha Penyayang
Ummat islam yang mengikut fahaman ahli sunnah wal jamaah meyakini bahawa Tuhan itu adil dalam menghukum. Walaubagaimanapun, Allah berhak melakukan apa sahaja yang beliau inginkan termasuk mengampunkan sesiapa sahaja yang dikehendaki.

Begitu juga Allah berhak memberi kepada orang-orang tertentu syafaat yang mampu menyelamatkan orang lain kelak di akhirat.

Berkenaan dengan keadilan Tuhan dalam menghukum, ini termasuk dalam perkara akhirat yang tidak diketahui oleh manusia. Keadilan itu memang manusia tahu, namun bagaimana Allah berlaku adil, itu semua tiada siapa yang mengetahui. Ataupun bahasa yang paling layak, itu hak Allah, tidak perlu manusia ingin menyibuk, apa yang penting manusia mesti berusaha mendapatkan rahmat dan kasih sayang Allah.

Sebenarnya, walaupun Allah bersifat adil, namun dalam masa yang sama Allah bersifat maha pengampun dan maha memberi rahmat. Keampunan Allah melebihi kemarahanNYA.

Banyak ayat-ayat Al-Quran dan Hadith menceritakan bagaimana setiap amalan kebaikan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda, bahkan jika kita berniat ingin melakukan kebaikan terus mendapat pahala. Ini berbeza dengan dosa dan kesalahan, tidak ada satu pun ayat dan hadith yang menyebut dosa kita akan digandakan. Bahkan jika kita berniat jahat tanpa melakukannya tidak akan ditulis dosa.

Adakah Allah tidak adil?

Bahkan Allah maha pemurah, pengasih, pengampun dan 96 lagi sifat-sifat kesempurnaan yang lain..

Wednesday, December 15, 2010

Menceritakan Keseluruhan Agama


Buku Indahnya Hidup Bersyariat karya ulama’ terkenal Dato’ Ismail Kamus dan Pensyarah Pusat Matrikulasi UIA Ustaz Mohd Azrul Azlen Abd Hamid mungkin merupakan buku agama yang paling laris pada saat ini di Malaysia. Dikalangan mereka ada yang menjadikannya sebagai modul pendidikan sekeluarga, modul untuk usrah, bahan pengajian am, rujukan dan paling kurang sebagai hadiah buat teman-teman.

Inilah transformasi yang diperkenalkan oleh penerbit telaga biru Antaranya memasukkan gambar-gambar untuk memudahkan praktikal, isi kandungannya yang bewarna-warni dan didatangkan juga dalam bentuk grafik yang menarik seperti carta, peta minda dan juga jadual.

Namun apa yang lebih mengkagumkan saya adalah pembaharuan yang dipersembahkan oleh kedua-dua penulis ini.

Menyatukan semua bahagian dalam agama iaitu akidah, feqah ( hukum-hakam ) dan akhlak. Lebih daripada itu, turut disertakan jenis-jenis doa dan zikir. Begitu juga amalan seharian dan amalan tahunan berdasarkan bulan-bulan islam.

Kebiasaannya buku-buku ataupun kelas-kelas pengajian pastinya akan memfokuskan satu bahagian sahaja. Ada buku berkenaan hukum-hakam hanya membicarakan feqah pelbagai mazhab yang memeningkan. Namun pembaca terpinga-pinga setelah membacanya apa kaitan dengan akidah? Akhirnya islam difahami secara terjuzu’-juzu'.

Sukar untuk menterjemahnya menjadi satu.. Namun itulah yang diperlukan oleh masyarakat. Mereka ingin memahami islam dengan cara yang mudah dan sekaligus menarik minat mereka mendalami dan mengamalkannya. Inilah kesukaran yang perlu dipermudahkan oleh kita, orang agama.

Tok guru akidah bersusah payah menerangkan Allah itu wujud...
Ustaz mengajar feqah bertahun-tahun masih belum keluar daripada bab taharah..

Berbicara apakah yang mempercepatkan masyarakat memahami islam dari sudut akidah, feqah ( hukum-hakam ) dan akhlak? Lebih daripada itu kita inginkan apa yang mereka faham semua itu adalah islam yang satu. Iaitu yang diajar oleh baginda dalam masa 23 tahun.

Tahniah sekali lagi kepada kedua-dua ustaz tersebut atas karya yang terbaik menjadi rujukan masyarakat kita.

Buku Halal dan Haram
Jika dalam kerangka masyarakat Malaysia yang beramal dengan satu mazhab dan tahap pengetahuan mereka yang jahil masih sukar menghasilkan satu rujukan kepada semua, bagaimana pula situasi yang dihadapi oleh Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi?

Suatu ketika Universiti Al-Azhar telah meminta beliau menghasilkan satu karya yang ringkas dan padat menjelaskan persoalan halal dan haram dalam islam. Karya yang boleh berfungsi sebagai rujukan ummat islam di Eropah, Arab, India, China, Afrika dan seluruh ummat islam di dunia ini.

Dua kesukaran yang dihadapi oleh beliau:-
1. Menulis satu buku yang membicarakan persoalan halal dan haram dalam kehidupan manusia yang sebelum ini tidak pernah ditulis oleh ulama silam. Bahkan jika ulama terdahulu menulis pasti dalam bentuk kitab yang berjilid-jilid.

2. Menghasilkan satu rujukan yang boleh digunakan oleh seluruh ummat islam yang terdiri daripada pelbagai mazhab dan pemikiran. Yang terdiri daripada pelbagai tahap pemikiran ilmu.

Akhirnya dengan menggunakan manhaj dakwah dan fiqh dalam bentuk mudah dan sederhana disamping mengelak berbicara perbezaan yang ketara antara mazhab, beliau berjaya menghasilkan satu karya yang agung dalam dunia islam abad ini iaitu Halal dan Haram dalam islam. Buku ini diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan dicetak dengan berpuluh-puluh kali cetakan.

Namun, buku tersebut masih lagi terdapat kekurangan seperti yang disebut oleh beliau sendiri iaitu tidak membicarakan soal akidah dan akhlak.

Menerangkan tentang agama secara sekaligus? Mungkin malaikat Jibril lebih arif

Dari Umar radhiallahuanhu juga dia berkata : Ketika kami duduk-duduk disisi Rasulullah saw suatu hari tiba-tiba datanglah seorang laki-laki yang mengenakan baju yang sangat putih dan berambut sangat hitam, tidak tampak padanya bekas-bekas perjalanan jauh dan tidak ada seorangpun diantara kami yang mengenalnya. Hingga kemudian dia duduk di hadapan Nabi saw lalu menempelkan kedua lututnya kepada kepada lututnya (Rasulullah saw) seraya berkata: “ Ya Muhammad, beritahukan aku tentang Islam ?”, maka bersabdalah Rasulullah saw: “ Islam adalah engkau bersaksi bahwa tidak ada ilah (tuhan yang disembah) selain Allah, dan bahwa Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan shalat, menunaikan zakat, puasa Ramadhan dan pergi haji jika mampu “, kemudian dia berkata: “ anda benar “. Kami semua heran, dia yang bertanya dia pula yang membenarkan. Kemudian dia bertanya lagi: “ Beritahukan aku tentang Iman “. Lalu beliau bersabda: “ Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhir dan engkau beriman kepada takdir yang baik maupun yang buruk “, kemudian dia berkata: “ anda benar“. Kemudian dia berkata lagi: “ Beritahukan aku tentang ihsan “. Lalu beliau bersabda: “ Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya, jika engkau tidak melihatnya maka Dia melihat engkau” . Kemudian dia berkata: “ Beritahukan aku tentang hari kiamat (kapan kejadiannya)”. Beliau bersabda: “ Yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya “. Dia berkata: “ Beritahukan aku tentang tanda-tandanya “, beliau bersabda: “ Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat seorang bertelanjang kaki dan dada, miskin dan penggembala domba, (kemudian) berlomba-lomba meninggikan bangunannya “, kemudian orang itu berlalu dan aku berdiam sebentar. Kemudian beliau (Rasulullah saw) bertanya: “ Tahukah engkau siapa yang bertanya?”. aku berkata: “ Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui “. Baginda saw bersabda: “ Dia adalah Jibril yang datang kepada kalian (bermaksud) mengajarkan agama kalian “. (Riwayat Muslim)

Wednesday, December 8, 2010

Salah Faham Hadith Taat Kepada Pemerintah.

Situasi yang berlaku di Eropah ketika zaman gelap menyaksikan ahli agama bekerjasama dengan pemerintah demi mengekalkan pengaruh mereka. Yang menjadi mangsa rakyat kelas bawahan yang miskin dan terus ditindas. Apabila rakyat mula ingin memberontak maka pendeta memainkan peranan mengeluarkan hukum dilarang memberontak bahkan kena bersabar.

Hingga muncul ideologi Komunis yang menentang ajaran karut ini. Kata-kata agung pengasas ideologi ini, Karl Mark bahawa Agama candu masyarakat mesti dihapuskan agar hak rakyat dikembalikan.

Islam juga menghadapi masalah yang sama. Setelah kewafatan baginda s.a.w, islam menikmati zaman pemerintahan yang tidak pernah wujud di dunia ketika itu. Pemimpin Ar-rasyidin yang mengamalkan pemerintahan yang adil, telus dan berkebajikan. Pemerintah boleh ditegur bukan sekadar kata-kata bahkan dengan pedang jika menyeleweng dari ajaran islam!

Zaman yang berlangsung sekitar 40 tahun itu berakhir apabila sistem pemerintah mengikut rentak zaman tersebut iaitu monarki yang diamalkan oelh empayar-empayar besar. Ijtihad saidina Muawiyah untuk menukarkan sistem khalifah berdasarkan syura kepada warisan mungkin ada benarnya apabila melihat perpecahan ummah yang dasyat memerlukan pemerintah yang kuat dan tegas. Namun penyelesaian yang singkat itu lebih mendatangkan keburukan jangka panjang. Lahirlah selepas zaman itu pemerintah-pemerintah yang zalim, mengutamakan kekayaan dan menidas kepada rakyat.

Adakah pemerintah ini bersendirian? Sudah tentu tidak. Mereka memerlukan suara suci daripada pewaris-pewaris anbiya’ untuk menenangkan rakyat agar tidak bangkit menentang. Maka, setiap zaman setiap khalifah yang zalim pasti bersama mereka seorang yang berjubah suci lagi suci kata-katanya.

Beberapa hadith digunakan untuk tujuan ini agar rakyat tidak memberontak. Hadith yang menegah memerangi pemerintah islam. Maka, Mereka yang menentang disifatkan sebagai bughah.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang direkodkan dalam sahih bukhari yang berbunyi.

” Kami telah datang kepada Anas bin malik dan mengadu tentang Al-Hajjaj ( pemerintah yang keras ) kemudian Anas berkata. Sabar!! Sesungguhnya tidak datang kepada kamu satu waktu yang melainkan selepas itu lebih buruk daripadanya”

Tersenyum pemerintah yang zalim jika mengetahui hadith ini. Mereka bebas melakukan apa sahaja yang penting nama mereka islam. Ulama-ulama pun dengan bangganya berhujjahkan ijma’ seperti yang disebut oleh seorang ulama yang berjanggut kuning di Malaysia.

” Mana boleh menentang pemerintah islam, mereka kan ummat islam. Carilah dalam kitab mana pun mana ada ulama menyatakan boleh menentang pemerintah!”

Dalam mamahami hadith-hadith berkaitan dengan ketaatan kita seharusnya menelitinya dengan kefahaman yang tersirat. Faktor keadaan juga mempengaruhi kefahaman tersebut. Umpamanya hadith Anas tadi. Harus diteliti beberapa perkara.

1. Perkataan sabar dalam hadith tersebut adalah bukannya disandarkan kepada baginda s.a.w. namun adalah pendapat Anas sendiri.
2. Suruhan Anas bahawa bersabar bukanlah bermaksud redho dengan kezaliman, namun melihat kepada keperluan pada waktu tersebut.
3. Bagi mereka yang tidak mampu mengalahkan kezaliman, cara yang terbaik adalah bersabar seperti mana Rasulullah s.a.w bersabar selama 13 tahun menghadapi musyrikin mekah.

Sebab itulah ulama menggariskan jika menghapuskan satu kemungkaran boleh mendatangkan kemudharatan yang lebih besar maka wajib kepada kita supaya bersabar sehinggalah tiba waktu yang sesuai.

Inilah yang berlaku ketika pemerintahan khalifah yang terdahulu. Jika ada dikalangan mereka yang memberontak dan khalifah tumbang, pasti musuh-musuh islam akan menguasai negara. Maka mudharatnya lebih besar.

Realiti 2008.
Perubahan zaman, tempat dan keadaan akan mempengaruhi kefahaman terhadap sesuatu nas samada Al-Quran dan Hadith. Negara yang mengamalkan demokrasi jauh berbeza sistem pemerintahan dengan sistem khalifah yang silam.

Malaysia umpamanya mempunyai ketua negara dan ketua kerajaan. Ketua kerajaan iaitu perdana menteri menikmati kuasa eksekutif yang luas selagi mendapat sokongan parlimen. Namun, Perdana menteri boleh disingkirkan melalui undi tidak percaya dalam parlimen dan juga pilihanraya umum.

Yang dipertuan Agong selaku ketua negara, hak-hak Melayu dan agama islam tidak akan boleh diubah walaupun siapa sahaja perdana menteri dan parti yang memerintah. Jadi samada Yang dipertuan Agong ataupun perdana menteri, mereka bukanlah ditempat khalifah seperti yang ditulis dalam kitab-kitab fiqh.

Jadi apa kaitan menentang ataupun menyingkirkan PM dengan cara pilihanraya ataupun undi tidak percaya dengan bughah?

Sudah lama rakyat menunggu agar pemerintah yang menggunakan ISA, menaikkan harga barang, merompak harta rakyat dan mengkhianati amanah bumiputera ini dihukum. Namun mereka tiada peluang sejak tahun 1955. Hinggalah 2008 menyaksikan satu kuasa alternatif dilihat sudah bersedia menggantikan parti tersebut.

Terus mara ke Putrajaya..

Jangan takut..