Tuesday, November 23, 2010

Sebelum Terbang Ke Jordan ( siri 2 )

Dalam tempoh ini ada juga peluang saya untuk memasuki jabatan kerajaan. Walaupun sudah selangkah di dalamnya, namun apa boleh buat.. Anda faham Terengganu macam mana kan?

Kami berbangga generasi sekolah rendah berjaya mengekalkan rekod 10 tahun berturut-turut dalam UPSR sebagai negeri terbaik.

Kami juga berbangga di negeri kami ramai alim ulama dan mereka yang hebat dalam pelbagai bidang.

Lebih membanggakan bumi kami kaya dengan hasilnya.

Namun, semua itu tiada makna dengan perangai ahli politik negeri ini yang sangat........

Kesimpulan mudah, jangan takut dan mengampu pada mereka! Jika orang alim diam, bila lagi kebenaran akan muncul.

15 Jun – 17 Nov
Ada beberapa tawaran mengajar untuk saya, namun saya memilih menjadi guru sementara di sebuah sekolah menengah agama kelolaan HALUAN. 3 bulan berada jauh dari rumah sebelum ini, saya merasakan bahasa arab saya semakin hilang. Kitab-kitab Tafsir, Fiqh dan Hadith semakin kabur untuk dibaca. Benarlah kata-kata Ulama, 3 perkara mesti dilakukan secara berterusan ; solat, bahasa dan bercakap supaya tidak hilang dan menjadi mudah.

Saya diberi peluang mengajar Nahu & Sorof untuk pelajar tingkatan 5 dan 3 serta subjek Balaghah untuk pelajar tingkatan 4. Di sekolah kami sangat unik, terdapat 5 orang guru lulusan Al-Azhar, seorang daripada UK dan beberapa orang daripada universiti tempatan. Peluang itu sangat bagus untuk saya bertutur dalam bahasa arab dan membincangkan isu-isu agama dan politik peringkat tertinggi.

Lebih dari itu mereka juga ber’fikrah’ dengan pelbagai aliran jemaah. Ada daripada NGO HALUAN, ISMA, PAS, fikrah Tajdid dan pelbagai lagi. Pelajar-pelajarnya pula ada yang luar biasa kemampuannya dan ada juga yang agak ketinggalan.

Dalam tempoh itu, saya sentiasa memikirkan bagaimana pengajian agama yang terbaik untuk generasi kita. Sistem pengajian agama yang ada sekarang terlalu rigid dengan meghafal semata-mata. Ini mungkin langkah ekspress bagi mengatasi kegagalan pelajar menguasai bahasa arab dengan cepat. Pembawakan ilmu agama juga kadang kala terlalu tinggi dan kitab-kitabnya yang agak kabur, begitu juga bahasa arab yang dipersembahkan dalam bentuk yang sukar untuk menarik minat pelajar.

Kita sepatutnya mengambil contoh bagaimana inisiatif pihak-pihak yang memperjuangkan penguasaan bahasa inggeris. Mereka memperkenalkannya dengan pelbagai method untuk menggalakkan masyarakat menguasainya berbanding dengan bahasa arab.

November
Dalam tempoh itu saya masih berhubung dengan pihak AFM.

Pengalaman yang sangat beharga apabila diberi peluang berinteraksi dengan saudara-saudara baru dalam porgram PERKIM. Terima kasih kepada sahabat Ustaz Jogi dan rakan-rakan AFM kerana memberi ruang kepada saya menghasilkan modul-modul untuk mereka.

Dua modul Kembara Mencari Tuhan dan Kristian pada pandangan islam di puji oleh pihak PERKIM dan juga peserta. Begitu perkongsian cerita daripada mereka menjadikan kita rasa amat bersyukur dalam dalam agama fitrah ini.

Sehingga saat ini..

Kita sentiasa melalui fasa perubahan dalam hidup. Namun kita tidak akan berubah melainkan jika kita ingin berubah. Semua ini menuntut manusia perlu faham mengapa mereka di dunia ini.

Inilah tanggungjawab mereka yang mendalami ilmu agama.

Kini hanya menanti detik untuk kembali ke Jordan. Misi 2006 ( jiazah ) sebelum ini masih ada yang belum dicapai. Moga-moga dengan penerbangan kali ini akan membuka ruang keberkatan dan ilmu seluas-luasnya di bumi Syam nanti

Kunu Ansorullah...

Wednesday, November 17, 2010

Sebelum Terbang Ke Jordan ( siri 1 )

”Ustaz, ni surat letak jawatan saya. Maaf, tidak dapat terus berada di sini lagi. Apa pun terima kasih atas tunjuk ajar selama ini”

” Tak mengapa, jika ada kawan yang ingin mengajar, ajak la datang sini”

Kurang dari 2 bulan lagi saya akan terbang kembali ke Jordan untuk pengajian M.A bersama isteri tersayang. Satu suasana baru yang saya sendiri dapat rasai betapa getirnya cabaran kali ini.

Ini juga bermakna tempoh saya di Malaysia selepas tamat pengajian ijazah tidak sampai satu tahun iaitu sejak pulang pada 15 Feb 2010. Namun, dalam tempoh itu, alhamdulillah Allah memberi ruang kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab saya sebagai Ustaz, Daie, Murabbi.. disamping memberi pengalaman untuk saya belajar tentang realiti masyarakat. Di sini, saya coretkan sesuatu untuk tantapan umum sepanjang berada di Malaysia.

14 Feb & 15 Feb
Penerbangan pulang kali ini begitu bertuah kerana kebetulan Ustaz Hasrizal juga menaiki penerbangan yang sama.Siapa yang tidak kenal dengan pendakwah siber dan realiti ini. Transit di Kuwait selama 9 jam memberi banyak perkongsian ilmu dan pengalaman dengan beliau. Terlalu banyak nasihat, cerita dan pesanan beliau cuma apa yang dapat saya simpulkan.

" Pengalaman dan kesusahan pada permulaan menjadikan kita hebat suatu hari"


16 Feb – 1 Mac.
Sebelum memikirkan kerjaya, saya menghabiskan masa di perpustakaan negeri untuk menyiapkan manuskrip tambahan Kembara Mencari Tuhan seperti yang diminta oleh penerbit Alaf 21. Isi penambahannya berkaitan pluralism agak sukar untuk diolah dalam bentuk yang mudah difahami.

Melayari laman pluralism, christianity, athiest kadangkala merisaukan pegangan kita apakah jalan islam ini benar dan selamat. Namun, ilham dan hidayah dari Allah akan sentiasa menyusul bagi mereka yang ingin mencari kebenaran.

Dari dulu sampai sekarang saya tetap yakin dan sentiasa memilih bahawa

" Agama terbina dan mesti berpaksikan dengan hujjah akal dan wahyu"

3 Mac- 15 April
Peluang pertama hadir apabila Ustaz Shahzihan menghubungi saya memaklumkan agar segera hadir ke MRSM Kuala Klawang bagi mengajar subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

Mengimbau kembali ketika di sekolah dahulu ( 2002 ) apabila memperolehi keputusan 9A dalam PMR hati begitu teringin untuk merasai suasana belajar di MRSM. Namun tidak kesampaian atas 'halangan' keluarga. Walaubagaimanapun hikmah yang paling besar, Allah gantikan dengan kedudukan yang lebih baik daripada menjadi pelajar kepada pendidik. Daripada menerima kepada memberi..

Saya menjadi guru kepada pelajar-pelajar cemerlang dan juga pelajar non Muslim.

Selama 2 bulan saya menggunakan kesempatan untuk menghuraikan tajuk mengapa kita sebagai muslim. Dengan method perbandingan agama dan menggunakan logik akal pendekatan saya tepat kerana mereka adalah dikalangan pelajar yang tinggi IQnya.

Kenangan yang paling manis di sana,apabila beberapa pelajar non muslim memohon ingin masuk ke kelas saya dan sempat juga kami mengadakan ’usrah’ bersama.

Saya mengharap dan mengimpikan kita dapat bertemu kembali sebelum terbang ke Jordan.

17 April – 1 Jun
Saya mula berjinak-jinak untuk menjadi seorang trainer dan motivator. Pengalaman di MRSM telah memberi ilham untuk saya hasilkan satu modul ” Apa Erti Saya Sebagai Muslim” ( bukan buku Dr Fathi Yakan ). Modul ini berkisarkan apa istimewanya Islam, bagaimanakah ingin menjadi muslim sejati dan apa tanggungjawab kita terhadap Islam.

Saya yakin, kita perlu menggantikan Islam warisan kepada Islam pilihan untuk generasi baru. Mereka perlu tahu mengapa mereka masuk Islam. Mereka juga perlu meyakini bahawa Islam yang terbaik samada dari sudut agama dan cara hidup. Lebih daripada itu, Islam di Malaysia perlu hebat kerana Islam itu sendiri bukannya Melayu yang menganutnya.

Sebenarnya menjadi penceramah dan motivator agak sukar kerana:-
1. Level pemikiran pelajar yang berbeza. Jika menggunkan pendekatan yang tinggi menyebabkan peserta yang rendah IQnya bosan dan jika menggunakan pendekatan yang rendah menyebabkan peserta yang cerdik kurang berminat.
2. Slot ceramah mestilah menarik daripada awal hingga akhir. Tiada lagi istilah” saya masih baru lagi ni”

Terima kasih yang tidak terhingga kepada mentor saya ustaz Mohammmad dan Ustaz Said kerana banyak berkongi pengalaman dalam bidang ini. Saya berharap agar kita akan sentiasa bersama dalam pentas yang sama..

( bersambung )