
Berkongsi pengalaman bersama Ustaz Khusairi sungguh bermakna walaupun pertemuan kami tidak begitu lama. Beliau salah seorang daripada mereka yang memilih islam dengan mencari bukannya mewarisi. Beliau berasal daripada keluarga Iban di Sarawak. Pada umur 8 tahun beliau telah pun dihantar ke sekolah katolik demi mendalami ilmu kristian.
Menurut beliau lagi, ketika mempelajari agama kristian, perkara yang diutamakan adalah bagaimana berhujjah dengan orang islam. Sejak itu juga mereka disemai benih kebencian terhadap islam.
“ Ana sudah berdebat beberapa kali dengan ustaz-ustaz muslim, kali pertama ketika usia 18 tahun, namun semuanya kalah”
Sebenarnya kisah beliau memeluk islam juga menarik, namun mungkin pada entry lain saya ceritakan.
Cuma setelah mendengar kisah beliau, saya terfikir beberapa perkara yang berkaitan dengan keadaan pelajar sekolah agama kita samada diperingkat sekolah, kolej ataupun universiti.
Kisah 2003
Saya memilih aliran agama pada tahun 2003. Ketika itu saya berpindah ke sebuah sekolah agama kerajaan negeri yang menawarkan Sijil Tinggi Agama. Perasan begitu teruja apabila melihat kitab-kitab yang dibekalkan bukan sahaja sukar difahami bahasanya, namun tulisannya begitu kabur. Ada beberapa orang guru yang diimport dari Mesir.
Apa yang saya ingin ceritakan persekitaran ilmu pelajar agama begitu sukar dalam membantu minat dan akademik mereka. Yang dikejar adalah penguasaan bahasa arab dan agama disamping yang dikendong iaitu akademik. Namun kedua-duanya tak terkejar dan tercicir.
Belajar Mantiq untuk mahir dalam berhujjah akidah..
Belajar Balaghah untuk menghayati keindahan bahasa Al-Quran..
Belajar Nahu untuk faham bahasa arab..
Namun.. Kesannya, berapa kerat sahaja yang meneruskan bidang ini. Ataupun berapa peratus sahaja yang terhasil daripada tarbiyyah ini.
Pelajar-pelajar cuba dimomokkan dengan kisah-kisah begitu sukarnya ulama dahulu mempelajari sesuatu ilmu. Masalahnya, subjek ataupun aliran agama pada waktu ini perlu bersaing dengan aliran lain untuk terus menambat hati pelajar, namun keadaan adalah sebaliknya.
Kisah 2010
Saya kembali ke tanah air sebagai pendidik sementara. Sekolah pertama saya adalah sebuah sekolah sains bertaraf elit. Pelajarnya walaupun dikatakan jahil dan kurang tarbiyah agama namun mempunyai IQ yang cerdas. Keberanian untuk bertanya dan mengeluarkan pendapat begitu mengkagumkan saya.
Sungguh seronok mengajar mereka memahami islam dan menghayatinya dengan diskusi-diskusi dan pertanyaan. Dengan menggunakan method perbandingan agama dan isu-isu salah faham bukan islam terhadap islam, suasana kelas begitu aktif. Walaupun mereka tidak belajar mantiq, mereka boleh berhujjah dengan akal dalam isu ketuhanan dengan baik. Semua dikalangan mereka adalah pelajar tingkatan 2.
Namun ketika saya beralih ke sebuah sekolah agama, saya ditugaskan mengajar subjek balaghah dan nahu. Saya mencuba method sebelum ini dengan persoalan-persoalan ketuhanan. Namun mereka begitu lesu untuk berfikir tentangnya walhal mereka lebih senior daripada sekolah sebelum ini apatah lagi dikatakan mereka ini cukup makanan tarbiyyahnya.
Akhirnya, saya mengambil pendekatan untuk tidak lagi bercakap tentang semua ini, dan hanya menumpukan kepada bahasa arab dalam bentuk akademik semata-mata. Namun lebih mengejutkan lagi...
Bagaimana ingin belajar ilmu nahu, balaghah sedangkan vocab perkataan bahasa arab boleh dibilang dengan jari?
Apa yang mereka belajar sebelum ini selama bertahun-tahun?
Apa yang mereka hafal?
Namun, saya rasa persoalan yang lebih utama, mengapa mereka datang ke sekolah agama?
Saya juga mempunyai kisah tersendiri dalam memilih bidang agama. Ketika di sekolah walaupun dihidang dengan lautan ilmu, namun begitu sukar untuk menelannya kerana kita hanya diajar menghafal semata-mata. Kita belajar agama kerana agama memelihara kita. Agama yang menyediakan rezeki kepada kita. Agama yang membahagiakan kita walaupun kita susah.
Benar.. Namun..
Saya datang ke UIA hanya 1jam kelas kami diuji apakah bukti agama islam ini benar? AL-Quran itu kata-kata Allah? Semua itu memberi azam kepada kami untuk mendalami agama kerana ingin membela agama.
Kami tidak peduli susah yang penting kami perlu cuba menjawab kekeliruan itu dengan apa cara sekali pun. Logik, dalil, fakta.. semua itu dihafal dan difahami atas rasa tanggungjawab menjaga agama.
Sebab itulah apabila mendengar kisah ustaz Khusri, method pengajian pelajar kristian adalah mempertahankan agama mereka jauh lebih baik daripada kita. Manakala kita di sekolah agama kekeyangan dan mengantuk melihat ilmu islam yang sungguh hebat namun tidak menjadikan pelajar rasa bertanggungjawab memelihara agama.
Surah As-sof, ayat14 yang berbunyi:-
"Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah"
Benar,agama akan melindungi kita, tapi kita juga perlu melindungi agama
