Wednesday, January 27, 2010

Menyapu Stokin. Bolehkah? ( siri akhir )

Dalam perbahasan sebelum ini kita dapat melihat bahawa hadith berkaitan dengan menyapu stokin 'bermasalah' dan tidak begitu kuat untuk dijadikan hujjah.

Walaubagaimanapun, ianya disokong oleh perbuatan sebahagian sahabat.

Namun, timbul persoalan kepada kita bagaimanakah bentuk stokin itu?

Seperti masalah jamak ketika hujan, ulama mazhab juga meletakkan syarat-syarat tertentu pada stokin yang ingin disapu. Jumhur ulama ( Abu Hanifah, Mazhab Maliki dan Syafie ) meletakkan syarat umum seperti :-
1.Mestilah daripada kulit
2.Menutupi keseluruhan kaki.

Mazhab Syafie menambah 2 lagi syarat iaitu:-
1.Mestilah tebal hingga boleh berjalan dengannya tanpa koyak bagi jarak tertentu.
2.Menutupi buku lali.

Mazhab Hanbali pula menambah ketebalannya mestilah tidak menampakkan kaki dan juga boleh berjalan dengannya.

Kesimpulannya, ulama meletakkan syarat stokin seolah-olah mempunyai ciri-ciri yang sama dengan khuf.

Hampir semua ulama terdahulu tidak membenarkan menyapu stokin secara mutlak ( stokin yang nipis ), walaubagaimanapun sebahagian ulama pada zaman kini mengharuskannya atas alasan kemudahan dan mengelak kesempitan. Antaranya ketika berwudu’ di atas kapal terbang.

Seperti yang saya sebut tadi, pendapat yang paling selamat adalah tidak menyapu pada stokin ataupun menyapu pada stokin yang mempunyai ciri-ciri seperti khuf.

Apatah lagi jika tiada kesempitan.

Wallahu'alam..

Menyapu Stokin. Bolehkah? ( siri 1 )


Untuk perbahasan kedua, saya merasakan isu menyapu stokin juga sama pentingnya dengan isu jamak ketika hujan.

Kesimpulan yang ringkas juga saya sebut di sini, terdapat 3 pendapat ulama dalam masalah ini:-

1.Tidak harus menyapu stokin kerana hadith yang digunakan dhaif. Yang diharuskan adalah menyapu khuf.

2.Harus menyapu stokin yang mempunyai ciri-ciri seperti khuf seperti kalis air, tebal dan boleh berjalan dengannya dalam jarak tertentu tanpa koyak.

3.Harus menyapu stokin. Apa jua bentuk stokin tanpa syarat.

Pendapat pertama dan kedua lebih rajih dan selamat untuk diikuti.

Harus faham lebih selamat bukan beerti pendapat yang selain daripadanya bid’ah ataupun tidak sah selagi mana ada ulama yang berfatwa.

Ibadat terbina atas konsep berhati-hati ( ihtiyat ).

Sebelum itu kita lihat dahulu asal bagi anggota wudu’ seperti yang disebut dalam Al-Quran:-

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, Maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki
( Al-Maidah : 6 )

Maka timbul persoalan di sini jika suruhan asal mewajibkan membasuh kaki, maka adakah keharusan menyapu khuf dan stokin bertentangan dengan ayat ini? Ataupun ianya sebagai pengecualian?

Dalam isu menyapu khuf, Ijma ahli sunnah wal jamaah menyatakan keharusan menyapunya. Ini kerana dalilnya adalah bertaraf mutawatir ( kata Imam Nawawi lebih daripada 80 orang sahabat meriwayatkannya, Imam Ahmad : terdapat 40 hadith daripada sahabat )

Tidak hairanlah Mazhab Hanafi turut menerimanya walhal sebelum ini mereka menolak dalil keharusan menjamakkan solat ( samada musafir ataupun hujan ) kerana martabatnya hanya hadith ahad dan tidak cukup kuat untuk mengecualikan ayat al-Quran.

Sekarang kita kaji pula keadaan dalil keharusan menyapu stokin.

Secara umumnya terdapat 3 hadith yang diriwayatkan oleh sahabat bahawa Nabi s.a.w menyapu stokin. Mereka adalah :-

1. Mughirah


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berwudu’ dan menyapu stokin dan kasut ( na’lain )

( Hadith diriwayat oleh Abu Daud, Tirmizi, Nasaie’ Ibnu Majah, Imam Ahmad, Ibnu Hibban, Ibnu Khuzaimah, Tobarani, Baihaqi )

2. Abu Musa Al-Asya’ari

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berwudu’ dan menyapu stokin

( Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Tabarani )

Bilal

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menyapu khuf dan juga stokin

(Hadith ini diriwayat oleh Imam Tobarani dalam kitab mu’jamnya )

Selain itu juga terdapat riwayat bahawa sebahagian sahabat menyapu stokin antaranya: Ali Bin Abi Talib, Ibnu Mas’ud, Anas Bin Malik, Abu Amamah, Ibnu Umar dan Ibnu Abbas.

Penilaian terhadap dalil keharusan menyapu stokin.


1. Hadith Mughirah:-

Kata Imam Abu Daud : Abdul Rahman Bin Mahdi tidak meriwayatkan hadith ini kerana yang ma’ruf daripada riwayat Mughirah adalah menyapu khuf bukannya stoking.

Kata Imam Tarmizi : Hadith Hasan Sohih

Kata Imam Nasaie’ : Aku tidak mengetahui melainkan seorang sahaja tabien ( Aba Qais ) yang meriwayatkan hadith ini dan yang sahihnya daripada riwayat beliau ( Mughirah ) adalah menyapu khuf.

Imam Baihaqi : Hadith tersebut munkar dan didhaifkan oleh Sufyan al-Thauri, Abdul Rahman Bin Mahdi, Imam Ahmad Bin Hanbal dan Yahya Bin Ma’in

Imam Nawawi : Yang ma’rufnya daripada mughirah adalah menyapu khuf ( bukannya stokin ) dan kata-kata Imam Tarmizi ditolak kerana Jarah ( dhaif perawi ) lebih mendahului ta’dil ( adilnya perawi )

Kesimpulan:-
Mejoriti riwayat daripada Mughirah adalah Nabi s.a.w menyapu khuf. Hanya satu riwayat sahaja menyatakan menyapu stoking. Maka hadith tersebut syaz ( bertentangan dengan riwayat yang lebih thiqah daripadanya )

2. Hadith Abu Musa Al-Asya’ari

Kata Abu Daud : Hadith ini tidak muttasil ( bersambung ) dan tidak kuat.

Imam Ahmad, Yahya Bin Main, Imam Nasaie mendhaifkan perawi yang terdapat dalam hadith ini.

Kesimpulan : Hadith ini dhaif.

3.Hadith Bilal

Terdapat 14 riwayat daripada Bilal bahawa Nabi s.a.w menyapu khuf dan hanya satu riwayat sahaja yang menyatakan Nabi s.a.w menyapu stokin.

Bahkan hadith Nabi menyapu stokin diriwayatkan melalui jalan Ibn Abi Syaibah ( penulis kitab Musonif ), namun apabila kita merujuk kitab beliau sendiri ( Musonnif Ibn Abi Syaibah ) yang disebut adalah menyapu khuf bukannya stokin.

Kesimpulan : Hadith syaz dan wujudnya illah.

Bersambung...

Tuesday, January 26, 2010

Terserah..

Assalamualaikum...

Ana berpandangan apa yang abang Ifwat sebutkan dalam artikel kali ini tidak didasari oleh pengkajian yang mendalam.


Saya menulis artikel ini berdasarkan subjek pengajian ahadith ahkam dengan pensyarah Dr Muhammad Said Hawa. Antaranya perbahasan jamak ketika hujan. Kemudian apa yang beliau sebut saya merujuk kembali kitab-kitab hadith utama ( kutub sittah ).

Banyak juga kenyataan yang abang Ifwat nyatakan sebenarnya bercanggah dengan apa yang dinukilkan oleh para ulama.

Saya menyokong syarat-syarat ketat yang disyaratkan oleh ulama bukannya menjamak solat dengan hanya hujan renyai-renyai.

Ana minta abang Ifwat merujuk semula kitab-kitab muktabar seperti al-Majmu' fi Syarh al-Muhazhzhab, al-Iqna', al-Mughni fi Syarh al-Muhtaj, Mughni al-Muhtaj, al-Mudawwanah, Bidayah al-Mujtahid,al-Inshaf, al-Kafi, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, dan Fiqh al-Sunnah dan mengkaji kembali 'fatwa' yang abang Ifwat kemukakan di sini.


Apa fatwa saya? Saya hanya meminta mereka agar mengikuti syarat-syarat yang dinyatakan oleh ulama-ulama mazhab ( Maliki, Syafie, Hanbali ) tak pun mengikut mazhab Hanafi yang menafikan terus jamak ini.

Ana takut orang awam mengambil sikap terlalu mudah dengan berpada-pada dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh abang Ifwat sehingga terus menghukum orang-orang yang mengamalkan rukhshah ini sebagai tidak betul dan seumpamanya.


Saya lebih bimbang orang mempermudahkan solat dengan menjamak tanpa sebarang musyaqqah ( kesempitan ). Solat itu perkara pertama yang bakal dihisab. Saya sendiri pun tidak menyatakan mereka yang melakukan jamak tidak mengikut syarat itu bid’ah. Terpulang..

Saya sangat risau mereka yang mendakwa syarat mazhab itu tidak berdasarkan sunnah. Dan mendakwa mereka adalah pengamal sunnah yang sebenarnya iaitu menjamakkan solat dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Sebagai radd terhadap kenyataan abang Ifwat yang berbunyi: Hujan yang turun sangat lebat sehingga pakaian basah kuyup (iaitu antara syarat kalau ingin jamak), ana nukilkan daripada kitab al-Mudawwanah al-Kubra (sumbernya daripada laman web http://www.boukhary.net/fatawa/jame3matar.htm#_ftn9) yang bermaksud: dan dijamakkan antara maghrib dengan isyak walaupun tidak ada hujan, (iaitu) ketika/kalau ada selut (lumpur) dan gelap...

Lihat, ulama besar mazhab Maliki mengatakan meskipun tidak hujan! Kata-kata Imam Malik sendiri pun ada disebutkan dalam laman web tadi dengan nada yang sama. Kalau tidak hujan; hanya selut (mungkin maksudnya selut akibat hujan) pun tidak mengapa, apatah lagi kalau hujan, pada syita' pula.


Saya tidak menyebut itu syarat mazhab Maliki, saya menggabungkan syarat-syarat antara mazhab dan itu adalah pendapat mazhab syafie ( lihat mughni muhtaj, kifayatul akhyar, anwar masalik ).

Apa yang penting syarat itu menunjukkan musyaqqah ( kesempitan ).

Bukannya jamak ketika hujan renyai-renyai.

Dalil-dalil seperti kata-kata sahabat dan tabi'ien abang Ifwat tolak mentah-mentah kerana bagi abang Ifwat, semuanya bukan hujah sedangkan Imam Malik (dan imam-imam lain) mendalilkannya. Di sana ada banyak lagi dalil-dalil lain yang abang Ifwat belum temui lagi.


Mentah-mentah? Dalam berhujjah dengan perbuatan sahabat dan kata-kata tabien, jika tidak bertentangan dengan riwayat yang lebih sahih tidak mengapa. Namun, masalahnya ia bertentangan dengan Quran ( solat pada waktunya ) dan riwayat hadith sendiri ( umum hadith bercakap tentang solat pada waktunya ).

Apa bukti Imam Malek mendalilkan perbuatan Ibnu Umar itu diharuskan jamak ketika hujan secara mutlak? Bahkan yang jelas mereka ( imam-imam ) meletakkan syarat.

Ana ketemui dalil dalam kitab Minhaj al-Muslim oleh Syaikh Abu Bakr al-Jaza'iri, ada hadis yang dinyatakan pengarang: Rasulullah SAW menjamak (solat) antara maghrib dan isyak pada malam yg hujan(lailah mathierah) [dinyatakan pada nota kaki: diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, dan al-Muwaththa'...] Ini perbuatan Rasulullah (selawat dan salam Allah ke atas baginda) sendiri. Apa pula takwilnya?


Boleh nyatakan no hadith yanga terdapat dalam sahih bukhari, muslim dan muwatho? Saya sudah mengemukakan hadith-hadith yang terdapat dalam Bukhari, Muslim dan Muwatho.

Kitab Muwatho dalam bab jama’ antara 2 solat pada hadhir dan safar, terdapat 7 hadith, tiada satu pun yang menyebut lafaz yang sedemikian.

Kitab Sahih Muslim dalam bab jama’ antara 2 solat pada hadhir, terdapat 10 hadith tidak disebut lafaz yang sedemikian.

Kitab Sahih Bukhari dalam kitab taqsir tiada satupun lafaz yang sedemikian.

Saya terfikir beberapa kali untuk menjawab komen risalah. Saya jelaskan kepada semua terdapat 2 pilihan:-

1. Berhati-hati dengan tidak mengamalkan jamak ketika hujan jika tiada kesempitan.
2. Mengikut syarat yang ditetapkan oleh ulama.

Saya tidak meminta :-
1. Menyatakan orang yang jamak ketika hujan tanpa mengikut syarat ulama mazhab itu bid'ah dan solat mereka tidak sah.

Di sini lebih baik kita berihtiyat ( berhati-hati )

Kita tidak menolak rukhsoh jika didatangkan dengan dalil yang kuat dan juga benar-benar dalam keadaan kesempitan ( jama safar, berbuka puasa ketika safar dll )

Apa pun saya sangat gembira dengan Risalah kerana :-
1. Bahasa tegurannya berhemah. Terima kasih kerana memanggil saya ' abang'.
2. Teguran yang bersumberkan dalil.

Jika mampu bertemu saya sebelum saya pulang adalah lebih baik kita berdiskusi dengan penuh persaudaraan. Mungkin ruang di blog ini kurang sesuai.

Yang pasti, saya tidak mengamalkan jamak ketika hujan kerana bagi saya tiada kesimpitan dan tiada dalil yang kuat.

Wallahua'lam

Jamak Ketika Hujan : Antara 2 Pilihan ( Siri Akhir )



Selain daripada Hadith ibnu Abbas tadi ( siri 1 ), ada beberapa dalil petunjuk bahawa diharuskan jamak ketika hujan seperti:-

1.Dalam kitab muwato’, Imam Malek meriwayatkan bahawa Ibnu Umar ketika imam menjamakkan solat takala hujan, beliau turut bersama mereka.

2.Kata-kata daripada seorang tabien Abi Salamah Bin Abdul Rahman“ Antara sunnah pada hari hujan adalah menjamakkan antara solat magrib dan juga isyak “

Penilaian terhadap 2 dalil:-

1.Perbuatan Ibnu Umar merupakan perbuatan sahabat bukanlah hujjah.

2.Kata-kata Tabien juga bukanlah hujjah.

Bukanlah kita menolak hadith ibnu Abbas ( siri 1 ), perbuatan Ibnu Umar dan kata-kata Abi Salamah, namun yang menjadi masalahnya dalil tersebut bertentangan dengan dalil yang lebih kuat.

Terutamanya..

“Sesungguhnya solat adalah fardhu yang telah ditetapkan waktunya”. surah al-Nisaa : ayat 103.

Ayat yang jelas menyebut bahawa solat mestilah pada waktunya. Jika ada dalil yang mengkhususkannya mestilah datang dengan bentuk yang sahih dan sorih ( jelas ).

Bahkan dalam sahih Bukhari ada menyebut:-

Nafi' berkata bahwa Ibnu Umar pernah azan ketika shalat di waktu malam yang dingin dan berangin. Kemudian beliau mengatakan 'Alaa shollu fir rihaal' ( hendaklah kalian solat di rumah kalian ). Kemudian beliau mengatakan, "Dulu Rasulullah s.a.w memerintahkan mu'adzin ketika keadaan malam dingin dan hujan, untuk mengucapkan 'Alaa shollu fir rihaal' ( hendaklah kalian shalat di rumah kalian )”

Maka jelas kepada kita bahawa sunnahnya jika hujan adalah keringanan solat di rumah dan meninggalkan jemaah bukannya menjamakkan solat.

Kesimpulan yang jelas dalil berkenaan keharusan jamak ketika hujan adalah lemah, tidak jelas dan bertentangan dengan dalil yang menyatakan tidak perlu jamak.

Namun, mengapa wujud dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali?

Sebab itu dinyatakan dalam kesimpulan tadi ( siri 1 ), jika ingin jamak juga ketika hujan hendaklah mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan oleh mazhab:-

1.Hujan yang turun sangat lebat sehingga pakaian basah kuyup.

2.Jamak hanya dilakukan di masjid yang mana bagi mereka yang tinggal jauh dan sukar untuk datang kembali jika pulang.

3.Hujan yang turun hendaklah berterusan hingga selesai solat pertama.

4.Bagi mazhab Hanbali meletakkan syarat hanya pada solat waktu malam ( Magrib dan Isyak ) bukannya waktu siang kerana tiada kesukaran.

Itu semua adalah ijtihad ulama berdasarkan jamak mestilah dilakukan dalam keadaan kesempitan bukannya sekadar hujan renyai-renyai.

Bukankah islam itu mudah?

Benar, mudah namun bukan boleh dipermudahkan tanpa kesempitan dan mestilah bersandarkan dalil.

1.Kita menerima rukhsoh qasar dan jamak ketika musafir kerana terdapatnya dalil dan wujudnya kesempitan.

2.Kita menerima tayamun ketika ketiadaan air kerana wujudnya dalil.

3.Kita menerima sapu pada khuf kerana wujudnya dalil.

Dalam jamak ketika hujan apa kesempitannya? Bagaimanakah kekuatan dalilnya? Jelaskah perbuatan jamaknya?

Maka, ada 2 pilihan.
1.Tidak menjamakkan solat berdasarkan sunnah tersebut tidak kuat.

2.Boleh menjamakkan solat namun mengikut syarat ketat yang disebut oleh ulama mazhab.

Solat itu tiang agama..

Solat itu ibadat yang mula-mula dihisab..

Berhati-hatilah.

p/s : Alhamdulillah saya khirrij semester ini…

Jamak Ketika Hujan : Antara 2 pilihan ( siri 1 )



Lama sudah terdetik dalam hati ini untuk menulis berkenaan solat jamak ketika hujan. Sebelum saya masuk kepada perbahasan, artikel ini masih lagi santai bertujuan membuka minda. Bagi yang ingin mengkaji lebih dalam selamilah khazanah turath ulama kita pelbagai mazhab.

Saya mulakan dengan kesimpulan ringkas terlebih dahulu dalam masalah ini:-

1.Ada yang berpendapat tidak wujud apa yang dinamakan sebagai jamak ketika hujan. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi.

2.Ada yang berpendapat, dibolehkan jamak ketika hujan dengan syarat-syarat yang ketat. Ini adalah pendapat jumhur ulama mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.

3.Ada yang berpendapat boleh melakukan jamak ketika hujan tanpa syarat.

Pendapat yang ketiga sangat syaz walaupun masih dibawah ijtihad ulama tertentu. Bukanlah begitu mudah untuk menyatakan bid’ah kepada mereka yang berpegang dengan pendapat ini. Namun yang menjadi masalah apabila mereka berkata:-

“ Kami lebih mengamalkan sunnah”

“ Ulama-ulama yang meletakkan syarat hanya pendapat mereka, sunnah tidak menyatakan demikian”

" Islam itukan mudah"

Baiklah jika ingin mengkaji tentang dalil sunnah. Kita akan membincangkan bersama, adakah pendapat ini benar-benar kuat?

Secara jelas tidak wujud hadith yang sorih ataupun jelas bahawa diharuskan jamak ketika hujan. Yang ada hanyalah beberapa hadith berikut:-

Hadith riwayat Ibnu Abbas:-
“Rasulullah S.A.W telah melakukan jamak solat antara zohor dan asar, dan antara maghrib dan isyak di Madinah tidak kerana ketakutan dan tidak kerana hujan.

Ibnu Abbas ditanya: Apa yang dikehendaki dengan yang demikian itu (mengapa Rasulullah melakukannya)? Dia berkata: baginda mahu memberi kelapangan (mudah) kepada umatnya”.

Kefahaman hadith ini:-

Jika nabi s.a.w. jamak ketika tidak hujan, maka ketika hujan tentulah dibolehkan jamak. Kaedah istidlal ini dipanggil mafhum mukhalafah. Kefahaman sebaliknya terhadap nas.

Penilaian :-
1.Hadith ini direkodkan oleh Imam Muslim. Terdapat 3 hadith yang serupa lafaznya. 2 hadith berbunyi “ tidak kerana ketakutan dan tidak kerana musafir” dan 1 hadith berbunyi “ tidak kerana ketakutan dan tidak kerana hujan”. Ketiga-tiga hadith tersebut diriwayatkan oleh ibnu Abbas.

Maka tidak hairan lafaz yang berbunyi “hujan itu” syaz ( ganjil ) bertentangan dengan 2 riwayat yang tadi yang menyebut “ musafir”.

2.Dalam kaedah usul fiqh, kaedah pendalilan mafhum mukhalafah sangat lemah. Hadith tersebut tidak jelas hingga terpaksa ditafsirkan dengan mafhum mukhalafah ( kefahaman tersirat atau terbalik )

3.Hadith tersebut sangat mujmal ( tidak jelas ), perlukan penafsiran mengapakah Ibnu Abbas meriwayatkan lafaz tersebut. Apatah lagi bertentangan dengan banyak dalil yang lebih kuat dan jelas bahawa solat mestilah dilakukan pada waktunya :-

“Sesungguhnya solat adalah fardhu yang telah ditetapkan waktunya”. surah al-Nisaa : ayat 103.

Bersambung…

Thursday, January 21, 2010

Haram : Tidak Semudah Itu Menghukumnya

Fiqh merupakan ilmu yang akan menghukum perbuatan manusia. Samada perkara itu halal atau haram. Yang halal itu terbahagi kepada 4 iaitu wajib, sunat, harus dan juga makruh.

Manakala yang haram itu hanyalah haram.

Konsep syariah islam, kebiasaanya Al-Quran dan As-sunnah lebih banyak menyebut perkara haram. Ini menunjukkan selain daripada itu adalah tidak haram. Maka lahirlah konsep asal sesuatu perkara adalah harus.

Islam mengharamkan daging babi, mayat dan haiwan yang tidak disembelih. Maka yang halal sungguh tidak terhitung.

Islam hanya mengharamkan arak daripada beribu-ribu jenis minuman.

Islam cuma mengharamkan isteri orang, mereka yang mempunyai pertalian darah daripada meraka yang diharuskan berkahwin.

Inilah agama yang penuh nikmat dan sangat mudah untuk penganutnya.

Maka, berhati-hatilah menyebut haram. Kerana haram itu menghasilkan hukuman daripada Allah diakhirat. Bukan sebarangan sebutan.

Dalam perbahasan usul fiqh, pelajar akan didedahkan bahawa haram itu ada 2 bahagian.

1. Haram lizatih - haram disebabkan zat itu sendiri seperti memakan daging babi.

2. Haram lighairih - haram bukan disebabkan zat itu, namun unsur-unsur luar yang mempengaruhinya. Maka hukumnya dipengaruhi dengan persekitaran.

Filem jika ada unsur yang menjolok mata..

Musik jika liriknya bertentangan dengan adab islam..

Televisyen jika menontonya hingga lalai pada solat..

Duit hasil riba jika disalurkan untuk zakat..

Suara wanita jika penuh dengan lunak yang membawa kepada syahwat..

Maka, satu penelitian amat perlu bagi mereka yang ingin mengharamkan sesuatu. Jika haram lizatih, sudah tiada jalan keluar melainkan dhrurat. Untuk haram lighairih haramnya disebabkan persekitaran, jika persekitaranya berubah kepada halal, maka halallah hukumnya.

Bukan semudah yang disangka untuk mengharamkan sesuatu. Ianya memerlukan dalil yang sahih dan sorih ( jelas ).

Jika ada dalil yang sorih, namun tidak sahih ataupun yang sahih tapi tidak sorih tidak lagi layak untuk anda berkata..

" Haram"

Sumpahan Ilmu

Hari ini hari terakhir peperiksaan di Universiti Mu'tah. Saya datang menjenguk kuliah syariah, hajat di hati ingin bertemu dengan Dr Muhammad Said Hawa, namun apabila melihat beliau sibuk dihadapan komputer saya membatalkan hasrat tersebut.

Sudah 2 hari, peperiksaan saya selesai. Namun masih ada 2 keputusan yang belum diketahui. Insyallah, semoga tiada halangan untuk saya kembali ke tanah air bulan hadapan.

Apa yang anda dapat dalam tempoh sekitar 3 tahun lebih di sini?

Ada yang berpendapat sistem di Jordan banyak kebaikan dalam memaksa pelajar yang malas untuk belajar. Sistem yang padat dengan peperiksaan dan ketat dalam kehadiran pelajar ke kelas sangat bagus. Walaupun tidak terjun ke alam 'talaqi' kitab, namun sebenarnya ada ruang itu.

Di sini kita belajar sangat laju dan padat. Pensyarah hanya melontarkan persoalan tentang subjek, bergantung kepada pelajar samada ingin bersama durusiah ataupun terus menyelami sumber ilmu di luar sana.

Suasana kini berbeza dengan tahun-tahun saya mula datang ke sini.

Dahulu, selepas peperiksaan, pelajar akan ditanya lepas atau tidak? Jika mendapat markah sekitar 70 itu satu kebanggaan. Ada yang markah 80, 90, namun pelajar tersebut terlalu luar biasa.

Kini, sudah berubah. 80, 90 perkara biasa. Tiada lagi insan yang luar biasa melainkan usaha yang luar biasa.

Dr. Hammad Azzam, Dr Ali Zuqaili, Dr Rawasydah, Dr Faris menjadi pilihan. Pensyarah yang memberi markah 'pukul rata' dijauhi.

Dari sudut persatuan, kelas bantuan akademik sangat penuh. Sikap berkongsi nota, mengkaji soalan dan merujuk mereka yang lebih arif kini menjadi suasana di sini.

Jurang semakin dekat, siapa sahaja layak merasai kepuasan dan kejayaan ilmu. Alhamdulillah..

Tidak perlu lagi kita habiskan masa dengan isu-isu yang merugikan, daripada mengadakan forum ikhtilat, cinta, safar mar'ah, lebih baik kita menganjurkan seminar hadith, daurah matan, TDI dan pelbagai lagi.

Kita perlu kehadapan. Kita perlu sedar matlamat kita. Kita perlu sedar sekeliling kita.

Namun jangan lupa mereka yang ketinggalan. Biarlah kita seiring.

Ramai juga dikalangan sahabat yang berusaha sedaya upaya namun masih gagal mendapat apa yang dihajati. Inilah ujian kepada mereka. Tapi sekurang-kurangnya ujian itu mereka nampak untuk bersabar.

Bagi yang sentiasa diberi kejayaan, nampakkah mereka ujian tersebut untuk mereka bersyukur?

Sangat malang bagi pelajar yang cemerlang dalam bidang agama namun tidak menunjukkan contoh yang baik. Jika diikutkan bidang kita, mereka yang cemerlang sepatutnya mereka yang faqih, mereka yang tawadhu'.

Jangan sampai terbit kalam dikalangan kita.

" kamu rajin-rajin pun dapat markah lebih kurang je, cuba tengok dia tidak study pun tinggi"

Kalam yang penuh racun membunuh semangat rakan yang lain disebabkan kita.

Kita yang sepatutnya menjadi contoh kepada pelajar untuk cemerlang menjadi sebaliknya.

Dalam ilmu, jika ada sifat malu bagi yang ingin belajar dan sifat ego bagi yang telah terpelajar sangat malang.

Ego dan Malu..

Hilanglah keberkatan ilmu..

Sumpahan ilmu...

Saturday, January 9, 2010

Seruan Yang Indah

Mempelajari subjek syariah dengan lebih mendalam akan menjadikan kita lebih terbuka dalam menilai sesuatu isu. Tidak hairanlah ada beza antara mereka yang mempelajari syariah secara berguru ataupun tanpa guru.

" Ibnu Hazm antara ulama yang belajar tanpa guru, maka lihatlah kata-kata beliau terhadap ulama yang tidak sependapat dengan beliau" Kata Dr Syuesh.

Seorang protaz menulis dalam bukunya berkenaan tajuk Meninjau Semula Hukum Kenajisan Khinzir.

Antara petikannya:-

Sesuatu yang najis untuk dimakan tidaklah bererti najis secara keseluruhannya. Justeru pendapat yang menajiskan seluruh khinzir adalah pendapat yang tidak tepat. Ini kerana seandainya keseluruhan khinzir adalah najis, pasti Allah dan Rasul-Nya akan menetapkan sedemikian. Namun apabila Allah hanya mengkhususkannya kepada kenajisan khinzir dalam konteks pemakanan, bererti Allah sememangnya mengkehendaki pengkhususan tersebut. Tak perlu manusia bersikap lebih “bijak” daripada Allah dengan meluaskannya kepada keseluruhan khinzir.

Siapakah yang disindir lebih bijak itu kalau bukan ulama? Sebab hukum kenajisan babi disebut oleh ulama, bukannya orang bodoh.

Saya juga sempat menonton petikan video antara seorang tokoh kaum mudan dan seorang tokoh kaum tua dalam siri al-kuliyyah.

Secara kesimpulannya, masing-masing tidak menafikan keperluan keluar daripada mazhab. Yang membezakanya adalah gaya mengolah perkara tersebut. kata salah seorang daripada mereka.

" Kalau nak ikut mazhab Syafie, tunggu semua orang Hanafi, Maliki dan Hanbali pulanglah, baru boleh tawaf. Tunggu 3 bulanlah jawabnya"

Sambil diselangi dengan gelak ketawa. Tokoh seorang lagi pula menjawab.

" Saya tidak berani menyebut nama ulama sambil ketawa, jika ingin mengambil pendapat lain tiada masalah."

Seruan meninggalkan kefinatikan mazhab? Berlakukah di Malaysia hingga mencerca imam lain? Zaman kefinatikan mazhab yang muncul selepas kurun ke 4 hijrah menyebut bagaimana sikap finatik ini muncul dengar cerca mencerca mazhab, mereka-reka hadith palsu demi kepentingan mazhab, membatalkan solat mereka yang berjemaahkan berlainan mazhab.

Berlakukah itu di Malaysia, seorang menghina imam selain Syafie? Adakah kerana mereka membaca qunut kerana taqlid dengan mazhab Syafie dan mengamalkan tahlil kerana taqlid kepada ulama nusantara terus dilebal finatik mazhab?

Berapa banyak pengamalan masyarakat kita yang terkeluar daripada mazhab syafie? Namun masih dilebal sedemikian? Ataupun mereka perlu tahu setiap amalan mereka bukan daripada mazhab Syafie?

Kemudian seruan kembali kepada Al-Quran dan As-sunnah.

Sungguh cantik,siapa dikalangan ummat islam yang mahu menafikannya? Tinggalkan mazhab kembali kepada As-sunnah?

Maknanya mazhab itu bertentangan dengan sunnah?

Tinggalkan pendapat Syafie, kembali kepada sunnah?

Syafie berijtihad bertentang dengan sunnah?

Maka, kita meninggalkan kitab Iqna', Mughni Muhtaj yang didakwa sekadar pendapat ulama, kemudian kita beralih kepada terjemahan kitab sohih bukhari dan muslim.

Tidak dinafikan seruan kembali kepada sunnah suatu yang sangat penting, namun seruan itu bukan untuk orang kampung yang tidak tahu bahasa arab. Seruan itu untuk ahlinya iaitu ulama yang berijtihad.

Apapun, ilmu syariah sungguh unik. Anda tidak dituntut mempelajari isi kandungannya sahaja, namun yang paling besar daripada itu adalah bagaimana anda meneladani ulama-ulama kita.

Akhlak mereka, kejuhudan mereka, perjuangan mereka.

p/s : Masih tinggal 2 subjek.

Tuesday, January 5, 2010

Selangkah Lagi



Peperiksaan Akhir sudah pun bermula. Saya banyak menghabiskan waktu siang di Universiti. Jika bosan di perpustakaan akan beralih ke cafe Umawi menghirup nescafe panas. Teringat pula pada cafe Idari dahulu yang kini telah pun ditutup. Di Cafe Idarilah tumpuan pelajar Malaysia. Berborak, membincangkan isu semasa dan agama, Sungguh menyeronokkan sehingga saya menghimpun semuanya dalam karya cafe Idari. Himpunan artikel-artikel fiqh santai.

Hingga kini,saya telah menyiapkan bahan untuk cafe idari 2, namun masih dalam bentuk softcopy. Jika BPP berminat, bolehlah hubungi saya.

Kembali ke cafe umawi. Selepas itu, saya akan merayau-rayau di kuliyyah Syariah untuk bertemu dengan pensyarah. Membincangkan pelbagai isu dan masalah. Antara pensyarah kegemaran saya adalah Dr. Muhammad Said Hawa, Dr Mustofa Abu Zaid, dan Dr Hammad Azzam.

Satu petua yang saya ingin kongsi dengan rakan-rakan. Jika hati resah, berjumpalah pensyarah, pasti keresahan itu hilang walaupun kita tidak meluahkannya.

Teringat pesan rakan.

" Kata ulama, jika 3 hari tidak melihat ulama, hati boleh jadi gelap"

Hari demi hari sepatutnya mematangkan kita, melihat jalan keluar yang semakin hampir, dapat dibayangkan cabaran dan tugasan yang menanti di tanah air. Namun, masih ada selangkah lagi. Saya perlu melakukan yang terbaik untuk peperiksaan kali ini.

Dengan masa yang ada ini, saya sentiasa berhasrat untuk menyumbang apa yang terbaik buat pelajar agar semua mendapat manfaat. Seminar Hadith baru-baru ini memang menyeronokkan. Saya telah mencadangkan kepada BA beberapa lagi program yang mampu untuk diadakan dalam bentuk praktikal.

Kelas bantuan akademik yang telah selesai adalah kelas manahij muhadithin. Kini saya akan menumpukan kepada kelas muamalat maliah, firoq, hadith ahkam, fiqh ibadat 2, dan maqasid jika mampu.

Setiap malam pasti ada pelajar yang datang ke rumah untuk belajar ataupun berbincang. Mungkin menyedari waktu antara kita semakin singkat. Saya sentiasa alu-alukan.

Sebenarnya masih ramai pelajar lagi yang cemerlang yang mungkin anda sedari ataupun tidak. Rujuklah mereka. Syafiq Shafii ( fiqh @ muamalat ), Afiq ( hadith dan tafsir ), Arip ( nizom hukum, fiqh qada'), Amer presiden, Amer Dimasq, Azmudin dan Azmir. Di sebelah akhowat pula, Ain, Iffah, Aisyah, Fatimah Rafiq, Afifah Azzam dan ramai lagi.

Dulu saya pernah menyuarakan kebimbangan jika Ust Mahadi pulang, siapa yang akan mengajar kelas tafaquh, kelas akademik, dan menjawab permasalahan agama.

Namun, beliau berpesan kepada saya, sumber ilmu tidak akan terhenti. pasti ada pengantinya.

Lihatlah selepas itu, kita berjaya mengadakan kelas tafaquh bersama 3 orang pensyarah kuliah Syariah ( Dr. Syuesh, Prof Dr. Abdullah Fawwaz dan Dr. Qais )

Kemudian kelas akademik kita berkembang luas hingga dapat membentuk kumpulan tenaga pengajar. PUSKMA dan Wisma sentiasa penuh dengan kelas. Selain itu, program-program ilmiah kita lebih bertambah baik.

Kita berubah ke arah positif.

Langkah demi langkah.. Kita bermula dan berakhir..

Tapi langkah sentiasa kehadapan bukan ke belakang.

Doakan saya, Syaheed, Fudhail, Mizi, Fendi, Faiz, Fakhrudin, Amzari, Syafiq Murad, Zarin, Kak Syah, Kak Long, Atikah, Kak Cheng, dan Kak Dayah..

Saturday, January 2, 2010

Semoga Mendapat Teladan Ilmu

Ntah mengapa saya masih termenung mengingati seminar menyelami khazanah hadith nabawi semalam. Ada pelbagai perkara yang 'pelik'.

1. Program berjalan lancar, samaada dari sudut ketepatan masa, pengurusan majlis, pembahagian makanan, mengendalikan kumpulan LDK dan pelbagai lagi. Yang pasti hanya ada 2 orang AJK syabab semalam. Begitu ajaib, semuanya berjalan lancar. Sehinggakan kata Ust Hashim ( AJK )

" Ana sendiri tak tau yang AJK kami berdua sahaja. Semuanya lancar"

2. Kebetulan kunjungan sahabat saya dari Turki, Ahmed turut menyumbang 100 euro kepada PERMATA.

3. Kelihatan ramai daripada peserta sangat tekun dalam melaksanakan kerja-kerja takhrij dan menilai hadith. Saya sendiri memerhatikan sikap peserta.

Mungkin ini keberkatannya apabila kami begitu tekad untuk memperjuangkan kepentingan menilai sesuatu hadith. Tidak dapat dinafikan idea program ini muncul apabila saya melihat keadaan pelajar kita dalam kelas ulum hadith, manahij muhaddthin dan hadith ahkam begitu sukar untuk menguasainya. Tidak kira pelajar Usuludin ataupun Fiqh.

Puncanya kegagalan menguasai turath hadith. Maka, saya bersama Ust Fudhail merancang untuk program kali ini. Mungkin ramai yang tidak bahawa Fudhail begitu meminati hadith walaupun merupakan pelajar Fiqh. Ketika tahun satu, beliau sudah pun mengkhatamkan subjek ulum hadith, takhrij dan manahij muhadithin.

Kata Mizi, program ini menemukan kami berdua.

'Playmaker'

Mengingatkan kenangan saya bersama beliau di UIA, kami pernah mengendalikan satu lakonan pendek yang bertajuk 'kingdom of heavan'. Saya tau komitmen beliau jika diberi tugas yang menepati citarasanya.

Kata Fudhail dalam mesyuarat muhasabah, beliau begitu seronok dengan program ini setelah 2 tahun menyepi.

Berbalik kepada program. Saya memberi ruang kepada Ustazah Aisyah dan Ustazah Fatimah untuk membentangkan Ulum Hadith dan mereka begitu tekun dalam persedian sebelum program. Memang setiap kali program yang berbentuk sebegini, kita perlu memperkenalkan pelajar junior sebagai pelapis sama seperti Ust Azmir ketika membentangkan kertas kerja fiqh pada program pengenalan ilmu syariah.

Sekurang-kurangnya pelapis perlu dibentuk.

Ust Afiq pula semakin matang dalam pembentangan. Pengalaman mengajar dan membentangkan kertas kerja sebelum ini menjadikan keadaan beliau semakin baik. Hingga kini beliau mampu sekurang-kurangnya untuk menceriakan keadaan bersama gandingan beliau Ust Nik Farid ( Bucas ).

Fudhail pula, dengan malu-malu berjaya mengendalikan slot praktikal hadith dengan baik dan lancar. Ada peserta yang begitu gembira hingga tidak terkata padahal baru menjumpai seorang perawi hadith dalam kitab tahzib-tahzib.

Tiba giliran saya membentangkan tajuk fiqh dan hadith, penilaian dan teladan ilmu. Saya menggunakan peluang ini untuk menilai beberapa hadith dari sudut hukum seperti:-
1. Hadith berkenaan menjama' solat ketika hujan.
2. Hadith menyapu stokin.

Sebenarnya bukan sekadar praktikal ataupun teori yang kami harapkan bermanfaat kepada peserta. Saya dan Fudhail selalu berbincang.

" Fudat, boleh ke kita jadikan peserta meneladani kejuhudan dan amanah muhadhithin?"

Imam Bukhari menghabiskan hidup beliau dengan mengembara bertahun-tahun semata-mata untuk mengumpulkah hadith yang sahih.

Imam Muslim menulis satu persatu kata-kata sheikhnya hinggakan jika ada perbezaan pada lafaz haddhathana dan akhbarana pun ditulis walhal sama dari segi makna.

Imam Malik setelah menulis kitab muwatto mempersembahkan dihadapan ulama-ulama madinah.

Mengapa mereka melakukan semua ini? Apa faedahnya mereka terlalu bersemangat dan amanah sampai tahap sebegini?

Untuk ummah ini. Agar ummah sentiasa dekat dengan Rasulullah.