Sunday, September 12, 2010

Peduli Politik

Kini, Malaysia menuju ke arah sistem dua parti besar dalam pilihanraya seperti yang diamalkan pada negara-negara maju. Yang pasti, tiada parti yang mampu memerintah bersendirian. Samada parti melayu, parti islam, parti demokrasi ataupun apa sahaja.

Ini kerana reka bentuk negara ini mustahil untuk memihak kepada satu parti. Melayu ada yang sentimen kepada bangsanya dan ada yang tidak kisah kepada bangsa asalkan agama didaulatkan. Ada juga melayu yang bersifat liberal. Begitu juga bangsa cina, India dan lain-lain. Semua ini diterjemahkan dalam bentuk parti yang pelbagai ideologi perjuangan.

Jadi setiap parti perlu mempunyai gabungan yang tersendiri. Barisan Nasional nampaknya lebih terkehadapan dalam hal ini. Gabungan mereka sudah kuat sejak ditubuhkan. Hingga kini hanya ada dua parti sahaja yang keluar ( PAS dan SNAP ). Berbanding 13 parti yang masih setia.

Pembangkang pula melalui liku-liku perjalanan mereka dengan keadaan yang berbeza-beza. Sesekali mereka bergabung sesekali mereka bersendirian. Ini semua kerana prinsip. DAP keras dengan pendirian demokratik sosialisnya. PAS pula teguh dengan negara islamnya. Maka, wujudlah pakatan ataupun gabungan yang bermusim. Antaranya Harakah Keadilan Rakyat ( 1986 ), Angkatan Perpaduan Ummah ( 1990-1996 ) dan Barisan Alternatif ( 1999-2004 ). Namun semuanya tidak tahan lama. Antara faktornya mungkin tidak diselaraskan pakatan tersebut seperti Barisan Nasional yang mempunyai organisasi dan didaftarkan.

Jika demikian pakatan rakyat yang muncul dan dalam proses pendaftaran ini perlu diperjelaskan bentuk gabungan kali ini terutamanya dalam memilih ketua pakatan ini.
Datuk Zaid Ibrahim yang diamanahkan untuk menyelaraskan pakatan ini berpendapat ketuanya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala spiritual leadernya adalah Nik Aziz.

Satu bentuk kepimpinan yang lain daripada yang lain ( 2 orang pemimpin ). Namun,sebenarnya inilah bentuk kepimpinan parti-parti pembangkang.

Rujuklah kepada organisasi DAP, jawatan ‘atasan’nya terlalu banyak. Ada penasihat seumur hidup, Pengerusi DAP Nasional, Ketua Parlimen DAP. Tapi yang sering mengeluarkan kenyataan adalah penasihatnya. Kalau ada pun kenyataan daripada pengerusinya seolah-olah tidak berapa laku.

Sama juga dengan PKR. Wujud satu ketua yang lebih ‘ketua’ daripada presiden iaitu Ketua Umum. Berdasarkan maklumat, jawatan itu diwujudkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dalam tempoh larangan aktif berpolitik. Hingga kini walaupun tempoh itu sudah berakhir, beliau lebih selesa dengan jawatan ‘baru’ itu.

PAS pula selepas berlakunya revolusi kepimpinan Ulama pada 1980 telah mewujudkan satu kuasa baru iaitu majlis syura. Sebuah majlis yang lebih tinggi daripada jawatankuasa hariannya. Majlis yang dikatakan melindungi dasar-dasar parti itu diketuai oleh Mursyidul Am. Kesannya seolah-olah muncul dua pemimpin. Bahkan pernah dibangkitkan dalam muktamar PAS, siapakah yang lebih berkuasa Presiden ataupun Mursyidul Am.

Jika kuasa tertinggi parti pun belum jelas, bagaimanakah kuasa tertinggi pakatan rakyat jika dibentuk?

Saya boleh bayangkan BN tanpa Najib, mereka yang naik sama sahaja.

Namun, cuba anda bayangkan PKR tanpa Anwar. DAP tanpa Lim Kit Siang ( bagi orang cina ) dan PAS tanpa Nik Aziz?

Maka, tidak dinafikan parti pembangkang lebih bergantung kepada kekuatan individu.

Secara jangka panjangnya Guan Eng mampu untuk menjadi penganti bapanya dan membawa DAP ke arah lebih baik. Manakala PAS pula masih ramai lagi ulama-ulama dan tokoh-tokohnya Cuma tiada yang setanding dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Sukar untuk dicari ganti bukan sahaja PAS, bahkan kerajaan negeri Kelantan. PKR pula, tiada siapa yang mampu memberi jaminan parti ini boleh kekal tanpa Anwar. Kerana beliaulah ideologi parti, kekuatan parti dan ketua parti.

Parti hanyalah cara untuk mencapai kekuasaan. Pemimpin boleh bertukar ganti. Namun, negara dan agama perlu dipelihara.

Penyelesaiannya, semua orang kena ambil peduli politik kita!!

p/s : Orang agama yang paling teruk ( di Malaysia ) tidak ingin memikir, bercakap ataupun sekurang-kurangnya mempunyai perasaan tentang politik negera.

0 ulasan: