Dua hari lepas, saya ke bank Muamalat. Selepas ini saya perlu ke pejabat Yayasan Terengganu. Cuaca sangat panas, jalan raya sesak, parking pun susah. Masa semakin suntuk
Tiba-tiba
“ Abang, saya…”
“ Maaf, saya nak cepat..”
Tanpa mempedulikan saya masuk terus ke dalam bank supaya tidak terlewat. Setelah mengisi borang dan menunggu giliran, tiba-tiba saya teringat peristiwa tadi. Saya mula terbayang sesuatu kerana saya sempat melihat ditangan orang meminta derma tadi perkataan ‘tahfiz’.
Saya keluar dan memandang kiri dan kanan, namun sudah tiada. Perasaan begitu menyesal. Selepas selesai urusan di Bank, saya keluar mencari. Hampir setiap jalan saya lalui, namun beliau sudah tiada.
Keresahan saya berlarutan sehinggalah saya meluahkan kepada seorang sahabat.
“ Ala, itu pun susah, jangan risaulah. Lagi pun orang sekarang memang suka ambil kesempatan. Kita sendiri belum tau betul ke dia minta sumbangan untuk tahfiz. Nanti derma lah kat surau untuk majlis berbuka puasa”
Jawapan itu mengingatkan saya kepada satu cerita.
Kisahnya, suatu ketika dahulu seorang suami isteri hidup dalam kebahagian. Mereka bukanlah orang yang senang dan bukan juga orang yang susah.Setiap kali mendapat hasil bulanan mereka akan membahagikan kepada 3 bahagian.
1 bahagian untuk perbelanjaan mereka.
1 bahagian untuk perbelanjaan anak-anak mereka.
1 bahagian untuk derma.
Dengan suka hati si suami begitu semangat untuk menderma. Tiba di tengah jalan, muncul seoarang perempuan dalam keadaan penat meminta-minta. Tanpa berlengah si suami terus menderma dan pulang dengan suka hati.
Keesokan hari terdengar berita bahawa orang lain memperkatakan tentangnya kerana menderma kepada seorang pelacur.
Beliau sungguh sedih dan menceritakan kepada isterinya, kemudian beliau nekad untuk menggunakan 1bahagian lagi untuk menderma.
Beliau berjalan ke pasar dan menemui seorang tua yang berpakaian bertampal-tampal. Tanpa berlengah si suami ini terus menderma dan pulang dengan hati yang gembira.
Namun keesokkan harinya heboh di pasar orang mengutuknya kerana menderma kepada seorang yang kaya dan bakhil.
Beliau sungguh sedih dan menceritakan kepada isterinya. Beliau risau amalannnya tidak diterima Allah. Kini tinggal satu bahagian lagi untuk perbelanjaan anak-anak mereka. Dengan hati yang berat beliau tekad untuk menderma lagi.
Tiba ditengah jalan beliau terlihat seorang yang mundar mandir dan keletihan. Melihat kepada lelaki itu, si suami membayangkan mungkin beliau dalam kesusahan dan terus menderma.
Walaubagaimanapun ke esokan harinya kecoh di pasar bahawa ada seorang yang sangat bodoh menderma kepada seorang pencuri.
Si suami ini sungguh sedih kerana segala amalannya seolah-olah ber’masalah’. Kini beliau tidak lagi mempunyai wang untuk keluarga gara-gara menderma kepada mereka yang tidak sepatutnya.
Akhirnya, dalam perjalanan pulang ke rumah beliau terserempak dengan seorang yang baik rupa parasnya. Orang itu memberikan kepadanya satu uncang emas.
Beliau terkejut dan takut.
“ Jangan risau, aku adalah malaikat yang ditugaskan untuk membalas kebaikan yang telah anda lakukan?”
“ Kebaikan apa? Saya telah menderma kepada seorang pelacur, seorang yang kaya lagi bakhil dan seorang pencuri”
Benar, namun setelah itu si pelacur itu berdoa.
“ Ya Allah, aku keluar melakukan kerja yang terkutuk, namun engkau masih lagi mengasihani dan memberi rezeki kepada aku. Mulai sekarang aku ingin bertaubat”.
Si bakhil pula berkata.
“ Ya Allah, dalam keadaan aku yang kaya dan bakhil ini engkau masih memberi kurnia. Mulai sekarang aku akan menderma harta-harta aku”
Si Pencuri berkata
“ Ya Allah, dalam keadaan aku keluar melakukan kerja yang dilarang engkau masih lagi memberi kurnia kepada aku. Mulai sekarang aku ingin meninggalkan perbuatan ini”
Saya sendiri tidak pasti cerita ini dari mana, namun pengajarannya sangat tepat. Persoalan yang perlu kita tanya. Untuk apa kita menderma?
Jika kita menderma kerana ingin menyumbang kepada benar-benar diyakini orang yang meminta itu susah, niat itu betul namun samalah dengan orang bukan islam yang menderma.
Namun, jika kita menderma kepada Allah, kita akan mendapat balasan yang tiada bandingannya.
Bukan tugas kita untuk memastikan semua orang kita derma itu adalah benar-benar memerlukan sehingga kita begitu berhati-hati. Ini semua adalah bisikan syaitan untuk kita menangguh usaha baik kita dan akhirnya terus tidak menderma.
Ayuh menderma lah seperti harta yang terakhir sebelum kita mati..
0 ulasan:
Post a Comment