Saturday, July 3, 2010

Fatwa Terakhir



11 Febuari, 10 pagi.

“ Ifwat, hari ini hari khamis terakhir kita di Jordan”. Kata Tarmizi selepas bergambar bersama di pintu pagar janubi ( selatan ) Universiti Mu’tah.

Kami ( Saya, Mizi dan Hashim ) melangkah dengan masuk ke Universiti Mu’tah dengan cuaca yang begitu redup. Seredup hati kami. Suasana begitu lengang, mungkin kerana minggu add and drop. Sambil memandang kiri dan kanan wajah tersenyum mengingat kembali nostalgia yang pernah terpahat dalam memori ini.

Kami tiba di Kuliah Syariah namun sedikit hampa kerana kebanyakkan bilik pensyarah berkunci rapat. Hanya Dr Ali Zuqaili ( Timbalan Dekan ) dan juga Dr Hammad Azzam ( Bekas Ketua Jabatan Fiqh ) sahaja yang berada di kuliah keramat itu.

Kedua-dua pensyarah ini sering saya rujuk ketika tahun tiga, cuma pada tahun empat saya lebih kerap bertemu dengan Dr Mohammad Said Hawa dan juga Dr Mustofa Abu Ziyad.

“ Mizi, hang jangan main-main, Dr Ali tu bekas mufti, ilmu dia tak ternilai” takala itu kami terserempak dengan beliau.

“ Aku tidak pernah nampak orang Malaysia sebesar ini di Kuliah Syariah” Gelak Dr Ali.
“ Saya daripada kuliah Adab” Jawab Mizi dengan gaya tangannya.

Kami menghabiskan masa bertanya beberapa soalan. Antaranya cara solat ketika dalam kapal terbang, maklumlah, kami bakal bermusafir tidak lama lagi.

“ Sebenarnya solat kena dilakukan dalam keadaan berdiri, dalam masalah ini sebaiknya solatlah jama’ sebelum menaiki kapal terbang, itu lebih baik”



Tiba-tiba..

“ Aku berijtihad kita boleh solat dengan keadaan kita duduk. Aku pun seorang mujtahid”

Dr Ali tergelak, belum pernah lagi saya melihat beliau ketawa sedemikian. Sambil menarik tangan Mizi ke bilik Dr Hammad Azzam.

“ Hammad, dia mendakwa dia seorang mujtahid” kedua-dua pensyarah itu ketawa.

Saya merasakan jika Mizi seorang pelajar Syariah pasti beliau akan lulus dengan cemerlang dengan waktu yang minima. Walaubagaimanapun, beliau telah berjaya keluar daripada medan ini.

Sepanjang 3 tahun saya bersama beliau, cabaran yang beliau hadapi bukan calang-calang dalam menuntut ilmu dan memberi sumbangan kepada mahasiswa. Hasilnya, sekarang beliau sudah bergelar pembantu pensyarah.

Kami singgah di bilik Dr Hammad Azzam. Mizi bertanya beberapa soalan berkenaan dengan hukum pertukaran wang kertas dan masalah riba.

Saya pula mengambil kesempatan ini bertanya beliau berkenaan hukum mendownload sesuatu daripada internet samada lagu, buku, artikel. Adakah dianggap sebagai mengambil hak orang secara batil seperti masalah cetak rompak.



Menurut Dr Hammad Azzam, jika sudah dipaparkan di alam internet secara terbuka yang boleh dimuat turun oleh pengguna, maka sudah tentu tidak terikat dengan hak cipta. Jika tidak, pasti mereka akan meletak syarat-syarat tertentu seperti memasukkan no kad kredit, membeli no kata laluan ataupun lain-lain.

Meletakkan sesuatu secara terbuka dalam internet, semua memahami adalah mustahil untuk menjadikannya sebagai hak cipta terpelihara.

Mungkin jawapan beliau secara bersahaja untuk tempoh yang singkat. Saya mengetahui ada dikalangan sahabat yang tidak bersetuju menulis tentang hal ini. Apa pun kajilah dengan baik serta niatlah dengan penuh ikhlas.

Itulah ilmu terakhir yang sempat saya cedok daripada mereka yang bergelar ulama di bumi syuhada Mu’tah.

Ulama Salafi, Wahabi, Syafie, Hanafi, Muhadith, Kontemporari, Haraki, Kerajaan…

Semuanya saya cedok tanpa prejudis, adakalanya ditapis terlebih dahulu, bukan kerana merasakan kita lebih bijak daripada mereka, namun kerana ilmu ini ada amanah dan tanggungjawabnya untuk disebarkan kepada masyarakat nanti.

Seorang pelajar syariah yang cemerlang bukan hanya di atas sijil, bukan hanya kepetahan bercakap arab dan bukan hanya memahami segala yang diajar oleh pensyarah.

Namun, mampu untuk menterjemahkan segala yang dipelajarinya dalam bentuk realiti, dan yang lebih penting sikap dan akhlak yang terkesan daripada semua itu. Mengapa saya berkata demikian,lihatlah apa yang berlaku terhadap hasil didikan urdun di Malaysia. Bukan bercakap terhadap mereka yang muaddalnya cukup makan, namun terhadap mereka yang sudah bergelar master, phd, pegawai agama yang sering menjadi tumpuan masyarakat.

Banggakah anda dengan mereka?

Bertahun-tahun, berbulan-bulan, berminggu-minggu, berjam-jam, berminit-minit, hinggalah tiba saat-saat akhir melangkah keluar daripada institusi yang cukup hebat ini kami berkata..

“ Terima kasih Universiti Mu’tah. Moga masa yang dihabiskan tidak sia-sia”

Suka duka, cabaran, impian, harapan semuanya di sana beribu-ribu batu dari pandangan mata, namun begitu dekat di hati kami.

Mungkin bukan fatwa yang terakhir….

0 ulasan: