Thursday, July 1, 2010

Erti Sebuah Kritikan..


Email ini pernah dihantar kepada seorang sahabat junior Mu'tah. Terdapat sedikit penambahan. Semoga bermanfaat untuk mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah yang bakal bersidang.

Terkejut apabila melihat komen-komen yang terdapat pada blog........ Bahasanya, akhlaknya. Dalam alam siber ini, anda tidak perlu meminta mereka yang mengkritik itu menunjukkan wajahnya kerana itu mustahil berlaku. Mereka mungkin boleh bersembunyi dengan wajah tersebut dengan rasa selamat. Mereka boleh mencarut, memaki hamun dan pelbagai lagi.

Itulah bahayanya alam siber ini. Tidak kira blog, facebook dan pelbagai lagi.

Maka ketika itu, serahkan sahaja ini semua kepada Tuhan yang mengetahui apa yang tersembunyi dan yang zahir.

Lupakan mereka, namun renungkan seketika mengapa semua ini berlaku kepada kita. Mungkin ada petunjuk ke arah kebaikan.

Erti sebuah kritikan..
Semua orang boleh mengkritik namun bukan semua tahu cara mengkritik. Kritikan boleh melahirkan motivasi yang membina, namun jauh daripada realiti, suara itu mampu mengongcang persaudaraan.

Mari saya cerita dahulu apa yang berlaku pada kami, generasi 2006 ( Mizi, Syaheed, Fudhail, Abang Fahmi, dan Faiz )

Kami tiba di bumi Mu’tah pada zaman yang dikatakan baru pulih, namun bara-bara pepercahan masih masih lagi ada, cukup untuk membakarnya jika disimbah dengan minyak fitnah. Isunya menjemukan dan tidak langsung mendatangkan faedah namun realitinya sikap mereka yang membawa isu itu adalah puncanya.

Diam itu ada hikmahnya seperti yang disebut oleh Rasul s.a.w. Adalah lebih baik berhati-hati dalam berkata disamping memasang nekad untuk mengubah jika diberi peluang. Dan peluang itu pasti tiba. Ingat jika terkeluar kata-kata, bukan sahaja tidak mampu diundur namun boleh menjadikan segalanya musnah.

Menceritakan suasana mahasiswa ketika itu ( 2006 ), ada yang cuba terlalu cepat mengkritik, namun sayang, mengkritik tanpa misi, tanpa kekuatan, tanpa cukup fakta, dan yang lebih penting menembak peluru secara rambang yang akhirnya bukan sahaja tidak mampu mengubah keadaan namun memburukkan lagi.

Mungkin ada yang terkena namun lebih banyak yang tersasar.

Mereka ini tidak lama.

Saya menyendiri takala tahun pertama sebagai ahli PERMATA tanpa diberi ruang langsung untuk merasai pengalaman kepimpinan dan menggerakkan sesuatu untuk aktiviti persatuan, namun hikmahnya cukup mengajar saya mengenal erti ahli terlebih dahulu. Saya tahu ada suatu yang tidak kena pada kepimpinan dan persatuan, namun tidak terus saya menembaknya.

Berlatih menjadi ahli yang baik terlebih dahulu sebelum mengkritik pemimpin adalah lebih selamat.

Saya rapat dengan mereka yang memandu kepimpinan dan rapat juga dengan mereka yang anti dengannya. Itulah yang mengajar kita apa yang perlu kita lakukan dan kepada siapa kita berhadapan.

Akhirnya saya mendapat peluang itu. Saya layak mengkritik kerana semua program persatuan saya sertai hinggakan kritikan saya penuh dengan fakta. Saya layak mengkritik kerana saya telah bertemu dengan pimpinan secara tertutup terlebih dahulu dan yang penting saya layak mengkritik kerana saya menggunakan saluran yang betul iaitu pada mesyuarat agung ( 2006/2007 ).

Bukan saya seorang namun Abang Fahmi, Abang Mizi dan ramai lagi.

Sistem pilihanraya persatuan sangat dibagus dalam menaikkan mereka yang layak. Tiada lagi istilah pilih bulu. Namun dengan syarat anda harus kuat, anda juga harus memenangi hati mahasiswa lain.

Hasilnya, kami dipilih oleh mahasiswa yang menginginkan satu perubahan.

Alhamdulillah, saya terpilih setapak lagi sebagai pimpinan persatuan. Kami sudah melangkah lebih baik berbanding sekadar mengkritik. Kami tidak bersendirian. Abang Mizi, Syaheed, Fudhail, dan juga abang-abang senior lain seperti Mohammad Mohsen selaku penggerak utama, Ustaz Mahadi, Ustaz Hafizudin, Baihaqi, Kadir, dan ramai lagi bersama-sama untuk misi pembaharuan ini.

Kami mengkritik sesama kami dalam persatuan dan kadang kala kami juga menerima kritikan ahli. Itu lebih bermakna.

Zaman berlalu dan kadang-kadang kritikan fitnah juga akan terkena pada kita. Saya sendiri melalui zaman yang agak sedih dengan kepimpinan mahasiswa, namun itu tidak lama. Yang penting anda mesti kuat dan berhati-hati.

Blog saya juga pernah bising dan dianggap kontroversi apabila saya menulis isu-isu persatuan. Niat kita memang baik, namun langkah yang terburu-buru kadang-kadang sangat merugikan.

Saya menamatkan peranan saya sebagai ahli PERMATA yang baik, sebagai ketua biro akademik yang membawa perubahan, sebagai timbalan presiden yang sentiasa memberi komitmen yang tidak putus. Dan yang lebih saya puas berjaya membawa isu-isu mahasiswa Malaysia Mu'tah ke peringkat MPPM.

Hingga semester terakhir,saya masih mengendalikan kelas-kelas akademik, forum dan seminar ilmiah. Satu pengakhiran yang baik.

Akhirnya saya menyedari bukan setiap masa kita perlu mengkritik, Allah hanya mencipta satu mulut, sedangkan kita dikurniakan tangan, kaki, telinga, mata dan yang peling penting akal untuk memandu kita ke arah yang sepatutnya.

Kita tidak lama di sana , jangan rugikan diri, persatuan dan mereka yang sepatutnya anda dekati.

Sebab itulah nasihat saya kepada rakan-rakan kepimpinan di Mu’tah,

Saat yang paling sukar apabila kita merasakan diri kita sentiasa betul dan ketika itu tiada siapa lagi yang ingin menasihati kita.

Perpaduan itu menguatkan kita.
Teguran itu penawar kepada kita.
Pengalaman itu guru yang berharga untuk kita.

Selamat Bersidang.. Terima Kasih PERMATA dan rakan-rakan.

2 ulasan:

hasanhusaini said...

Pengkritik harus meneladani sikap jurulatih bola sepak yang begitu konstruktif dalam kritikannya. Juga harsu mensempadani kritikan penonton yang cukup skeptik dan pesimistik. Kritikan yang meruntuh, memecah dan membunuh. Terima kasih atas perkongsian nta yg cukup kaya dgn hikmah.

Muhammad Shahrul Ifwat bin Ishak said...

Jangan jadi macam jurulatih portugal sudah. huhu. Kesian Ronaldo. Perkongsian tadi takde bayaran pun ustaz ihsan.hehe