Mempelajari pengajian fiqh perbandingan mazhab antara kemestian kepada pelajar pengajian syariah. Bukanlah satu nilai tambahan namun adalah kini adalah satu kewajipan.
Era kebangkitan fiqh menyaksikan fiqh perlu dilihat dari perseptif perbandingan. Samada menilai pendapat 4 mazhab ataupun menjangkau kepada mazhab-mazhab lain seperti tobari, hassan basri, muktazilah, syiah, zohiri dan pelbagai lagi.
Sebagaimana mempelajari lain-lain bidang, pembelajaran fiqh perbandingan mazhab ada disiplin ilmunya yang tersendiri. Jika tidak mengikutinya akan berlakulah:-
1.Perasaan ta’sub kepada mazhab.
2.Hilang rasa hormat dan adab kepada ulama-ulama mazhab.
Pengajian fiqh perbandingan perlulah dimulakan dengan mendalami sejarah perkembangan mazhab. Buku yang dicadangkan adalah:-
1.Sejarah Perkembangan Mazhab Prof Dr Abu Zuhrah.
2.Pengenalan kepada ilmu syariah islamiyah Dr Abdul Karim Zaidan.
3.Fiqh Islami dan dalil-dalilnya Dr Wahbah Zuhaily.
Dalam membaca sejarah perkembangan mazhab seharusnya pelajar-pelajar menilai beberapa aspek penting. Antaranya:-
1.Biografi pendidikan imam-imam mazhab.
2.Kaitan antara imam-imam.
3.Sebab imam-imam mengasaskan aliran pemikiran mereka.
4.Adakah imam-imam sendiri yang mengasaskan mazhab mereka sendiri ataupun mazhab diasaskan oleh anak-anak murid mereka.
Perkara-perkara tersebut sangat penting agar kita dapat memahami mazhab adalah suatu khazanah ilmu dan kewujudannya amat penting buat ummat islam, bukannya bukti pepercahan ummat islam.
Seterusnya pelajar perlu menguasai perbezaan antara mazhab melalui kaedah usul, ini penting kerana perbezaan pada usul lah yang membawa kepada perbezaan furu’. Umpamanya bagaimana penerimaan sesuatu mazhab terhadap hadith yang bertaraf ahad, dan juga bagaimanakah konsep pendalilan dalam sesuatu hukum.
Akhir sekali, barulah memasuki bidang fiqh yang begitu luas bermula daripada ibadat, muamalat, jinayat, kehakiman dan lain-lain lagi. Bidang ini sangat luas dan penting untuk diterokai dan diadaptasi kesesuaiannya dengan masyarakat.
Jika mempelajari fiqh perbandingan mazhab, anda seharusnya memahami:-
1.Bukan semua perkara perlu diubah semata-mata mendapati mazhab lain lebih kuat dalilnya, bahkan sangat perlu melihat kepada uruf dan maslahat masyarakat. Boleh jadi pendapat yang marjuh itu lebih baik dikekalkan.
2.Walaupun kita berhujjah bahawa meninggalkan mazhab kerana berpegang kepada hadith dan pendapat golongan sahabat yang lebih dekat dengan rasulullah, namun jangan lupa imam mazhab juga lebih dekat dengan mereka berbanding kita.
3.Imam mazhab adalah mereka yang menguasai segala lapangan agama daripada menghasilkan usul, memahami tafsir dan mengetahui kedudukan sesuatu hadith, maka bersikap rendah dirilah terhadap mereka.
Apa pun ini hanya pendapat saya untuk pelajar syariah, jika ada cara yang lebih baik, teruskanlah. Cuma satu renungan daripada kata-kata Prof Dr Said Ramadhan Al-Buti
“ Mempelajari fiqh perbandingan adalah satu-satunya cara untuk mengetahui kejahilan kita kerana ada sebilangan mereka menyangka mampu untuk mengatasi ilmu-ilmu syafie dan Abu Hanifah dengan ilmunya..”
0 ulasan:
Post a Comment