Sunday, June 20, 2010

Ahli Fiqh itu Kenal Usulnya


Ada kata-kata yang saya tidak pasti samada daripada kaedah fiqh ataupun kalam ulama ataupun kata-kata sensasi bahawa semua orang usul boleh menguasai bidang fiqh tetapi orang fiqh tidak boleh menguasai bidang usul.

Kata-kata ini nampak ada nilai kesusahan dan ketelitian yang seseorang yang menceburi bidang usul yang memerlukan penguasaan yang sangat mendalam dalam bidang tersebut.

Namun, tidak boleh menafikan kesukaran yang dialami oleh mereka yang berada dalam bidang fiqh yang berhempas pulas mengumpul pendapat-pendapat ulama, hujjah-hujjah mereka dan untuk memilih pendapat yang paling tepat.

Apatah lagi dizaman kini konsep fiqh perbandingan dan ijtihad baru sangat rumit untuk dinilai.

Saya risau kata-kata tersebut adalah kata-kata yang benar namun tersirat padanya kebatilan.

Bagaimana?

Dahulu ada ulama yang menguasai bahasa arab dan sastera pasti menguasai ilmu agama. Cuba anda lihat kitab-kitab agama, pasti akan diselit unsur-unsur balaghah, nahu, dan sarof. Bahkan perbezaan I’rab mampu mengubah hukum ( rujuk : hukum membasuh kaki ketika wudu’ ). Suatu yang tidak pelik juga apabila qias pada sudut bahasa ( rujuk : takrif arak antara mazhab )

Itu dulu, kini dengan bangganya seorang pelajar Adab mengaku bahawa bidang agama bukan bidangnya. Begitu juga dengan pelajar agama bagaikan tidak kenal apa itu kaedah bahasa arab walhal itulah yang mengeluarkan hukum hakam daripada Al-Quran.

Zaman makin berubah, ilmu agama makin dipecah-pecahkan lagi. Yang ketara dua bidang yang paling jelas fiqh dan usuludin ( hadith, akidah dan tafsir ). Pelajar fiqh merasakan kitab hadith adalah suatu yang tidak memberi manfaat kepada mereka untuk dibaca dan difahami. Pelajar usuludin pula merasakan jika membaca kitab fiqh hanya membuang masa.

Kemudian fiqh itu dipecahkan lagi kepada fiqh dan usulnya. Pelikkah jika kita kata orang yang membancuh kopi hanya tahu memasukkan kopi tapi tidak mengetahui gula.

Sebenar berkembang dan berpecahnya ilmu-ilmu islam membuktikan ilmu agama mengalami proses perkembangan yang positif terhadap kualitinya dan sentiasa seiring dengan kehidupan.

Terlalu banyak hadith yang masih belum ditentukan hukumnya memerlukan ramai pengkaji yang benar-benar memfokuskan bidang tersebut.

Terlalu laju peradaban manusia hinggakan tidak terkejar ulama-ulama kita mengistinbat hukum ke atas semua perkara. Masih diperlukan ramai lagi faqih dalam bidang kehidupan.

Begitu juga Al-Quran yang sentiasa ditafsirkan dengan cara dan kefahaman baru.

Sebab itulah mustahil boleh mewujudkan seorang mujtahid mutlak ( ulama yang pakar dalam semua bidang dan mampu menubuhkan aliran mazhab )pada zaman kini.

Namun, kita bukan bercakap tentang ingin jadi mujtahid mutlak. Bahkan ummat islam sudah tidak memerlukan mujtahid mutlak pada zaman kini. Cukuplah dengan mazhab-mazhab yang ada.

Cuma kita bercakap dengan pelajar-pelajar, ustaz-ustaz yang tidak berusaha dan tiada minat untuk menguasai cabang-cabang ilmu agama selain bidang pengkhususan. Ini belum termasuk ilmu-ilmu IT, bahasa inggeris dan segala ilmu pelengkap lain.

Bukannya ingin seorang yang mendalami pengajian fiqh mentakhrijkan semua hadith, namun agar mereka tidak pelik apabila disebut perkataan hadith tersebut hassan, mursal, rawinya tidak dhabit.

Bukannya inginkan seorang pelajar usuludin ( pengajian hadith ) berijitihad dalam sesuatu masalah baru bersendirian, namun sekurang-kurangnya mereka mengetahui maqasid sesuatu hukum, al-awlawiyat sesuatu masalah dan kaedah qias.

Kesan jika dipisahkan antara satu sama lain akan lahirlah:-
1. Ustaz-ustaz fiqh bercakap tentang hukum berdasarkan sesuatu hadith walhal hadith tersebut maudu’ ( palsu )
2. Ustaz-ustaz hadith begitu lancar menghukum bid’ah walhal perkara tersebut adalah khilafiah.

Semua itu bermula sudah terlambat apabila pengajian agama sudah terkesan dengan unsur sikap dan ta’sub dengan bidang masing-masing.

Bermulalah sekarang.. Tidak rugi berusaha untuk menguasai semua itu.

Walaupun tidak mampu menjadi seperti imam Syafie, namun berusahalah mencontohi sikap beliau.

p/s : Rindukan ulama-ulama tanah arab

0 ulasan: