Tuesday, April 20, 2010

Kehidupan Selepas Kehidupan.

Antara persoalan yang saya timbulkan kepada peserta-peserta Kembara Mencari Tuhan wujudkah bukti kehidupan selepas mati?

Jawapannya sudah tentulah tidak ada bukti, kerana belum ada lagi mereka yang mati hidup kembali dan menceritakan kepada kita bahawa adanya kehidupan setelah mereka meninggal dunia.

Namun, tidak semestinya bukti itu apa yang boleh dinilai oleh pancaindera semata-mata.

Kadang-kala kesedaran batin ataupun fitrah membuktikan sesuatu itu wujud.

Jika manusia memerhatikan kejadiannya yang berbeza daripada hidupan lain, pastinya manusia menyedari kehidupannya bukanlah sia-sia.

Adakah mereka yang melakukan kebaikan namun tidak mendapat apa-apa ganjaran di dunia, tidak akan mendapat apa-apa langsung?

Adakah mereka yang terlepas daripada hukuman dunia, tidak akan dihukum langsung?

Adakah seseorang itu yang melakukan kezaliman dengan membunuh berjuta-juta orang hanya dihukum mati sahaja?

Fitrah inilah yang membangkitkan kesedaran bahawa wujudnya kehidupan selepas mati yang akan menilai kehidupan yang telah dilalui di dunia sebelum ini.

Apakah kamu menyangka Kami jadikan manusia sia-sia sahaja dan kamu tidak akan kembali kepada Kami (Allah)? ( Al-Mukminun : 115 )

Tiga agama samawi beriman bahawa wujudnya azab kubur, syurga dan neraka, manakala agama hindu dan buddha percaya kepada kitaran kelahiran.

Apa pun itulah fitrah manusia mempercayai wujudnya kehidupan selepas mati.

Teringat kata-kata Dr. Muhammad Surairoh ketika subjek Arkeologi Jordan dan Palestin.

" Mengapa manusia mengadakan upacara terhadap mayat-mayat atau sekurang-kurangnya tidak membuang begitu sahaja mayat, kerana fitrah manusia percaya kematian bukanlah penamat segala-galanya".

Bagaimana pula dengan bentuk pembalasan? adakah sekadar roh ataupun jasad ataupun kedua-duannya yang menerima azab atau nikmat?

0 ulasan: