Hari-hari terakhir di MRSM Kuala Klawang, Saya banyak menghabiskan masa dengan memberi persoalan-persoalan yang agak advance kepada pelajar. Bukannya soalan apa itu rukun islam, apa itu rukun iman, cara mengucap syahadah ataupun rukun solat.
Namun, soalannya:-
1.Mengapakah hanya islam sahaja agama yang benar?
2.Apakah bukti jalan yang kamu pilih ini membawa ke syurga?
3.Umat islam melarang penganutnya menyembah objek walhal mereka menyembah ka'bah.
4.Mengapakah poligami diharuskan bagi lelaki namun diharamkan bagi perempuan?
Beberapa lagi soalan yang agak panjang saya kemukakan, pelajar disyaratkan menjawabnya dengan tidak menggunakan dalil Quran, Sunnah dan juga pendapat ulama. Mereka mestilah menjawab secara logik, catatan sejarah dan bukti sains.
Ada kelas yang agak kehadapan dalam menjawab soalan-soalan berikut, betul-betul mengkagumkan saya. Dalam keadaan MRSM ini yang disempitkan pengisian rohani ( tiada langsung kuliah agama, nak kejar akademik konon ), perpustakaan yang boleh dibilang bukunya, tiada kemudahan internet, namun mereka ini begitu istimewa dikurniakan kecerdasan minda.
Tapi sayang, mengapa tidak diasah.
Ustaz bincang semua itu, solat pun diorang belum sempurna, halal haram pun diorang masih bercampur gaur. bla.. bla..
Jika demikian, adakah mereka kenal siapa yang meletakkan peraturan tersebut? Apa yang meyakinkan mereka agama yang mereka pilih ini adalah benar? Mengapa mereka perlu mengikut apa yang halal dan apa yang haram?
Persoalan tersebut perlu dirungkai terlebih dahulu sebelum anda menyumbatnya dengan halal haram.
Agama kita adalah kehidupan, agama adalah fitrah kelahiran, dan agama kita juga tidak bertentangan dengan akal yang sihat.
Alhamdulillah, ada jawapan yang begitu mengkagumkan saya. Yang lebih menarik, beberapa pelajar non muslim turut berminat menyertai perbincangan kami. Vimal, Nava dan Shrish menyertai kelas saya. Vimal sempat menyamput perbincangan kami menyebabkan kelas begitu ceria.
" Kalau tak makan lembu nak makan apa vimal?" tanya seorang pelajar
" Minum susu je"
Seluruh kelas riuh rendah.
Semalam, cikgu Izwan ( mata pelajaran moral ) berkata kepada saya.
“ Ustaz, tadi ada beberapa pelajar non muslim minta kepada saya ingin menyertai kelas ustaz.”
Alhamdulillah.. Ini pengalaman pertama saya berinteraksi dengan bukan islam.
Kadang kala saya menimbulkan beberapa konteroversi lain daripada yang lain. Antaranya:-
1.Umur Saidina Aisyah adalah 17 tahun ketika berkahwin dengan nabi.
2.Memperkenalkan kepada semua Tuhan-tuhan agama lain ( konsep perbandingan agama )
3.Menayangkan video upacara keagamaan kristian.
4.Menayangkan video seorang Dr William Cambel mendedahkan kesilapan Al-Quran.
Bahaya tu ustaz..
Apa yang anda risau? Anda sepatutnya lebih risau jika suatu hari nanti mereka melanjutkan pelajaran ke UK, Perancis, Jerman, mereka terperangkap dengan persoalan ini. Ketika itu mereka hanya ada 2 pilihan samada tidak mengendah langsung tentang agama ataupun mereka berminat pada agama lain.
Ustaz benda itu beratlah..
Saya mengajar pelajar MRSM, pelajar yang terbaik dari sudut level UPSRnya sebelum ini. Di usia ini, mereka sudah akil baligh. Belum bersediakah mereka mengetahui akidah dan islam secara berakal?
Saya teringat kata-kata Ustaz Maszlee Malik ketika Persidangan Tahunan Mahasiswa Jordan ( PERTAMA ) baru-baru ini apabila ada peserta yang merungut istilah yang digunakan beliau terlalu akademik.
“ Ustaz sendiri baru tahu istilah-istilah tersebut dan ustaz ingin kongsikan kepada kamu agar kamu mengetahuinya dengan lebih awal”
Pening budak berfikir nanti ustaz.
Biarkan mereka pening memikirkan persoalan agama daripada pening memikirkan tentang cinta, hiburan, movie dan gosip artis.
Kerana pening mereka akan membuka jalan buat mereka mengembara mencari Tuhan.
Masih ada ruangkah membentuk manusia selepas ini?
Ya Allah, bukalah kepada diri ini peluang untuk membimbing manusia mencari MU.
0 ulasan:
Post a Comment