Sunday, February 28, 2010

Sistem Kewangan Islam : Hanya Bersalut Nama?

Alhamdulillah, semenjak dua minggu di Malaysia menjadikan banyak perkara baru yang saya pelajari terutamanya tentang realiti fiqh dan masyarakat. Ini satu fenomina yang bagus pada saya dalam mengaplikasikan apa yang saya belajar di Jordan.

Terutamanya bidang muamalat

Di Mu’tah sebelum ini sudah empat semester saya menjadi tenaga pengajar kelas akademik persatuan untuk subjek muamalat maliah muasirah ( moden ). Subjek yang tertinggi markah pernah saya perolehi lantaran minat yang mendalam dalam bidang ini. Namun, sejak akhir-akhir saya di sana, fiqh muamalat ini menjadi perkara yang sangat membosankan bagi saya.

Mungkin kerana kurang aplikasinya di Jordan.

Apabila pulang ke Malaysia, suasana cukup berbeza. Bank Islam bagaikan pasar raya, penuh dengan iklan jika dibandingkan dengan bank islam di Mu’tah bagaikan sebuah koperasi gudang lama. Begitu juga dengan syarikat takaful yang muncul dengan nama-namanya sudah cukup untuk menarik perhatian masyarakat islam di sini.

Hubungan dengan bank sudah mencapai tahap hajiyyat.
Begitu juga dengan takaful.

Jika tiada masyarakat akan menjadi begitu sempit muamalatnya.

Semua itu dikatakan alternatif kepada sistem kewangan konvesional.

Untuk kali ini saya cuba menulis tentang isu insurans dan takaful.

Ketika mempelajari tentang subjek ini di Universiti Mu’tah, terdapat 2 pendapat pensyarah tentang isu ini. Boleh rujuk tulisan saya di sini.

Ustaz Zaharudin juga ada menulis isu perbezaan antaranya.

Yang membezakan antara keduanya adalah bentuk akad ataupun kontrak. Insurans bersifat muawadhah ( kontrak tukaran yang mesti dipatuhi oleh kedua-duanya ), manakala takaful pula bersifat tabaru’ ( sumbangan ).

Jika diatas kertas boleh dilihat secara jelas, namun untuk realiti seolah-olah tiada beza antara kedua-duanya.

Yang pasti kedua-duanya bermatlamat keuntungan. Maka, ejen-ejen dilantik agar mempromosikan syarikat mereka. Untuk ejen takaful mereka lebih beruntung dengan mengaitkan unsur-unsur riba, gharar, dan judi yang terdapat pada insurans.

Walhal, itu juga wujud dalam takaful. Bezanya konsep akad mereka adalah tabaru’, maka mereka terbebas daripada semua itu.

Sebab itu, teringat saya kata-kata Dr. Syuesh Mahamid, sebenarnya tiada beza yang jelas antara syarikat insurans dan takaful. Yang mengharamkannya hanyalah apabila terdapat unsur luar yang haram seperti berlakunya penipuan dan juga perlaburan dalam syarikat riba, judi dan sebagainya.

Ini disokong oleh Dr Muhammad Said Hawa, ketua jabatan usuludin menyatakan konsep insurans adalah harus iaitu tolong menolong antara satu sama lain, yang menjadikannya haram apabila pihak ketiga mengambil kesempatan daripada pelaburan ini.

Apa ustaz ni, nanti orang akan mencarum dalam syarikat insurans konvensional!

Bukan bermaksud inginkan mereka menyertai syarikat insurans yang lebih ‘ tidak halal’, namun saya merasakan terpanggil untuk menyatakan sistem takaful perlu lebih berbentuk kemasyarakatan berbanding keuntungan atas ketakutan orang lain.

Apabila matlamat keuntungan mengatasi matlamat tolong menolong, masih berbangga untuk menyatakan sistem ini bersifat tabaru’?

1 ulasan:

Firdaus Zali said...

assalamualaikum, satu info yang menarik.. okey tuan kata perbankan islam di malaysia ini adalah sama dengan konvensional dari segi realitinya, kenapa? tuan kata ia sama kerana bermatlamatkan keuntungan, bukankah matlamat perniagaan itu adalah mendapat keuntungan? bukankah keuntungan itu boleh menjana pendapatan ummah? betul di malaysia, kebanyakkannya.. sistem konvensional di islamkan, tetapi adakah salah kita untuk mencari keuntungan?