Thursday, January 21, 2010

Sumpahan Ilmu

Hari ini hari terakhir peperiksaan di Universiti Mu'tah. Saya datang menjenguk kuliah syariah, hajat di hati ingin bertemu dengan Dr Muhammad Said Hawa, namun apabila melihat beliau sibuk dihadapan komputer saya membatalkan hasrat tersebut.

Sudah 2 hari, peperiksaan saya selesai. Namun masih ada 2 keputusan yang belum diketahui. Insyallah, semoga tiada halangan untuk saya kembali ke tanah air bulan hadapan.

Apa yang anda dapat dalam tempoh sekitar 3 tahun lebih di sini?

Ada yang berpendapat sistem di Jordan banyak kebaikan dalam memaksa pelajar yang malas untuk belajar. Sistem yang padat dengan peperiksaan dan ketat dalam kehadiran pelajar ke kelas sangat bagus. Walaupun tidak terjun ke alam 'talaqi' kitab, namun sebenarnya ada ruang itu.

Di sini kita belajar sangat laju dan padat. Pensyarah hanya melontarkan persoalan tentang subjek, bergantung kepada pelajar samada ingin bersama durusiah ataupun terus menyelami sumber ilmu di luar sana.

Suasana kini berbeza dengan tahun-tahun saya mula datang ke sini.

Dahulu, selepas peperiksaan, pelajar akan ditanya lepas atau tidak? Jika mendapat markah sekitar 70 itu satu kebanggaan. Ada yang markah 80, 90, namun pelajar tersebut terlalu luar biasa.

Kini, sudah berubah. 80, 90 perkara biasa. Tiada lagi insan yang luar biasa melainkan usaha yang luar biasa.

Dr. Hammad Azzam, Dr Ali Zuqaili, Dr Rawasydah, Dr Faris menjadi pilihan. Pensyarah yang memberi markah 'pukul rata' dijauhi.

Dari sudut persatuan, kelas bantuan akademik sangat penuh. Sikap berkongsi nota, mengkaji soalan dan merujuk mereka yang lebih arif kini menjadi suasana di sini.

Jurang semakin dekat, siapa sahaja layak merasai kepuasan dan kejayaan ilmu. Alhamdulillah..

Tidak perlu lagi kita habiskan masa dengan isu-isu yang merugikan, daripada mengadakan forum ikhtilat, cinta, safar mar'ah, lebih baik kita menganjurkan seminar hadith, daurah matan, TDI dan pelbagai lagi.

Kita perlu kehadapan. Kita perlu sedar matlamat kita. Kita perlu sedar sekeliling kita.

Namun jangan lupa mereka yang ketinggalan. Biarlah kita seiring.

Ramai juga dikalangan sahabat yang berusaha sedaya upaya namun masih gagal mendapat apa yang dihajati. Inilah ujian kepada mereka. Tapi sekurang-kurangnya ujian itu mereka nampak untuk bersabar.

Bagi yang sentiasa diberi kejayaan, nampakkah mereka ujian tersebut untuk mereka bersyukur?

Sangat malang bagi pelajar yang cemerlang dalam bidang agama namun tidak menunjukkan contoh yang baik. Jika diikutkan bidang kita, mereka yang cemerlang sepatutnya mereka yang faqih, mereka yang tawadhu'.

Jangan sampai terbit kalam dikalangan kita.

" kamu rajin-rajin pun dapat markah lebih kurang je, cuba tengok dia tidak study pun tinggi"

Kalam yang penuh racun membunuh semangat rakan yang lain disebabkan kita.

Kita yang sepatutnya menjadi contoh kepada pelajar untuk cemerlang menjadi sebaliknya.

Dalam ilmu, jika ada sifat malu bagi yang ingin belajar dan sifat ego bagi yang telah terpelajar sangat malang.

Ego dan Malu..

Hilanglah keberkatan ilmu..

Sumpahan ilmu...