Wednesday, January 27, 2010

Menyapu Stokin. Bolehkah? ( siri 1 )


Untuk perbahasan kedua, saya merasakan isu menyapu stokin juga sama pentingnya dengan isu jamak ketika hujan.

Kesimpulan yang ringkas juga saya sebut di sini, terdapat 3 pendapat ulama dalam masalah ini:-

1.Tidak harus menyapu stokin kerana hadith yang digunakan dhaif. Yang diharuskan adalah menyapu khuf.

2.Harus menyapu stokin yang mempunyai ciri-ciri seperti khuf seperti kalis air, tebal dan boleh berjalan dengannya dalam jarak tertentu tanpa koyak.

3.Harus menyapu stokin. Apa jua bentuk stokin tanpa syarat.

Pendapat pertama dan kedua lebih rajih dan selamat untuk diikuti.

Harus faham lebih selamat bukan beerti pendapat yang selain daripadanya bid’ah ataupun tidak sah selagi mana ada ulama yang berfatwa.

Ibadat terbina atas konsep berhati-hati ( ihtiyat ).

Sebelum itu kita lihat dahulu asal bagi anggota wudu’ seperti yang disebut dalam Al-Quran:-

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, Maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki
( Al-Maidah : 6 )

Maka timbul persoalan di sini jika suruhan asal mewajibkan membasuh kaki, maka adakah keharusan menyapu khuf dan stokin bertentangan dengan ayat ini? Ataupun ianya sebagai pengecualian?

Dalam isu menyapu khuf, Ijma ahli sunnah wal jamaah menyatakan keharusan menyapunya. Ini kerana dalilnya adalah bertaraf mutawatir ( kata Imam Nawawi lebih daripada 80 orang sahabat meriwayatkannya, Imam Ahmad : terdapat 40 hadith daripada sahabat )

Tidak hairanlah Mazhab Hanafi turut menerimanya walhal sebelum ini mereka menolak dalil keharusan menjamakkan solat ( samada musafir ataupun hujan ) kerana martabatnya hanya hadith ahad dan tidak cukup kuat untuk mengecualikan ayat al-Quran.

Sekarang kita kaji pula keadaan dalil keharusan menyapu stokin.

Secara umumnya terdapat 3 hadith yang diriwayatkan oleh sahabat bahawa Nabi s.a.w menyapu stokin. Mereka adalah :-

1. Mughirah


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berwudu’ dan menyapu stokin dan kasut ( na’lain )

( Hadith diriwayat oleh Abu Daud, Tirmizi, Nasaie’ Ibnu Majah, Imam Ahmad, Ibnu Hibban, Ibnu Khuzaimah, Tobarani, Baihaqi )

2. Abu Musa Al-Asya’ari

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berwudu’ dan menyapu stokin

( Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Tabarani )

Bilal

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menyapu khuf dan juga stokin

(Hadith ini diriwayat oleh Imam Tobarani dalam kitab mu’jamnya )

Selain itu juga terdapat riwayat bahawa sebahagian sahabat menyapu stokin antaranya: Ali Bin Abi Talib, Ibnu Mas’ud, Anas Bin Malik, Abu Amamah, Ibnu Umar dan Ibnu Abbas.

Penilaian terhadap dalil keharusan menyapu stokin.


1. Hadith Mughirah:-

Kata Imam Abu Daud : Abdul Rahman Bin Mahdi tidak meriwayatkan hadith ini kerana yang ma’ruf daripada riwayat Mughirah adalah menyapu khuf bukannya stoking.

Kata Imam Tarmizi : Hadith Hasan Sohih

Kata Imam Nasaie’ : Aku tidak mengetahui melainkan seorang sahaja tabien ( Aba Qais ) yang meriwayatkan hadith ini dan yang sahihnya daripada riwayat beliau ( Mughirah ) adalah menyapu khuf.

Imam Baihaqi : Hadith tersebut munkar dan didhaifkan oleh Sufyan al-Thauri, Abdul Rahman Bin Mahdi, Imam Ahmad Bin Hanbal dan Yahya Bin Ma’in

Imam Nawawi : Yang ma’rufnya daripada mughirah adalah menyapu khuf ( bukannya stokin ) dan kata-kata Imam Tarmizi ditolak kerana Jarah ( dhaif perawi ) lebih mendahului ta’dil ( adilnya perawi )

Kesimpulan:-
Mejoriti riwayat daripada Mughirah adalah Nabi s.a.w menyapu khuf. Hanya satu riwayat sahaja menyatakan menyapu stoking. Maka hadith tersebut syaz ( bertentangan dengan riwayat yang lebih thiqah daripadanya )

2. Hadith Abu Musa Al-Asya’ari

Kata Abu Daud : Hadith ini tidak muttasil ( bersambung ) dan tidak kuat.

Imam Ahmad, Yahya Bin Main, Imam Nasaie mendhaifkan perawi yang terdapat dalam hadith ini.

Kesimpulan : Hadith ini dhaif.

3.Hadith Bilal

Terdapat 14 riwayat daripada Bilal bahawa Nabi s.a.w menyapu khuf dan hanya satu riwayat sahaja yang menyatakan Nabi s.a.w menyapu stokin.

Bahkan hadith Nabi menyapu stokin diriwayatkan melalui jalan Ibn Abi Syaibah ( penulis kitab Musonif ), namun apabila kita merujuk kitab beliau sendiri ( Musonnif Ibn Abi Syaibah ) yang disebut adalah menyapu khuf bukannya stokin.

Kesimpulan : Hadith syaz dan wujudnya illah.

Bersambung...

4 ulasan:

djambu puadovich said...

assalamualaikum,
boleh saya tahu kenapa dan atas sebab apa Baginda Rasul SAW berwuduk dan menyapu khufnya?

terima kasih

Muhammad Shahrul Ifwat bin Ishak said...

Antara sebabnya adalah rukhsoh yang diberikan kepada ummat ini. Lagi2 ketika bermusafir dan musim sejuk

djambu puadovich said...

maksud saya, asbab wurud [istilah ni boleh pakai ke?] atau apa2 'illah yang menyebabkan Baginda Rasul SAW menyapu khufnya.

日月神教-任我行 said...
This comment has been removed by a blog administrator.