Monday, November 16, 2009

Menanti Lambaian Ka'bah

Alhamdulillah, saya hampir menjadi tetamu Allah dalam beberapa hari lagi. Satu perasaan yang bercampur gaur antara risau, gembira dan bahagia. Hingga sekarang saya masih belum membelek buku berkenaan ibadat haji. Masakan tidak, kelas bimbingan yang padat, dan musim peperiksaan menjadikan saya tidak begitu terasa lambaian haji begitu hampir.

Hinggakan tengah malam ini, saya masih mengadap laptop menulis artikel untuk informan MPPM dan artikel untuk Biro Akademik PERMATA. Moga usaha ilmiah saya di sini memudahkan urusan musafir ke tanah haram.

Saya berusaha agar tahun ini adalah tahun ibadat bagi saya. Alhamudulillah, ramadhan baru-baru ini, saya merasakan begitu bermakna setelah beberapa tahun agak sepi menyambutnya di sini.

Ramadhan lalu, hampir semua solat didirikan secara berjemaah. 30 hari ramdhan dalam keadaan lapang. Mengajar adik mengaji, khatam Al-Quran, menghabiskan masa setiap hari di perpustakaan hingga menghasilkan karya kembara mencari tuhan. Membantu Ibu menyediakan juadah berbuka puasa. Cukup tenang dan bahagia.

Kemudian diikuti oleh Syawal, tahun ini Allah menyambung kembali ikatan-ikatan ukhuwah antara teman-teman yang dahulunya sentiasa menjadikan kita ketawa. Walaupun hanya berpeluang 5 hari syawal di Malaysia, setiap hari penuh dengan kehadiran rakan-rakan lama. Ada yang sudah 7 hingga 10 tahun terputus hubungan. Bertemu menceritakan nostalgia dan masa depan.

Mungkin impian ukhuwwah yang sentiasa dilaungkan di Jordan ini mendatangkan hasilnya.

Selepas Syawal, datang ZulQaedah, menyambung kembali perjuangan ilmu di Jordan ini. Ada perbezaannya, hubungan dengan pensyarah semakin mesra. Peluang untuk mengajar dan menyebar ilmu semakin luas. Semoga Allah sentiasa mempermudahkan segala usaha penyebaran ilmu ini.

Kini, penantian Zulhijjah begitu mendebarkan. Peluang untuk melengkapkan rukun islam yang terakhir kini hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Dengan segala masalah sebelum ini dipermudahkan Allah, harapan diri ini agar perjalanan ibadat haji kali ini turut dipermudahkan.

Hati ini...

Tuesday, November 10, 2009

Situasi Antara 2 Agama.


Ahmad seorang muslim cuba berdialog dengan John seorang Kristian Khatolik tentang agama islam.

situasi 1.
Ahmad cuba menerangkan kepada John bahawa islam adalah ad-din. Namun, John cuba menterjemahkannya kepada bahasa inggeris yang bermaksud religion. Religion berasal daripada perkataan latin yang bermaksud 'to bind'. Maka, di sisi kristian agama bermaksud manusia mengikat dirinya kepada Tuhan mengharapkan kesejahteraan dengan kepatuhan kepadaNYA.

Islam pula bermaksud penyerahan. Asasnya, kepatuhan kepada Tuhan dari sudut larangan dan suruhNYA kepada manusia.

Samakah konsep ad-din antara islam dan kristian?

situasi 2.

Ahmad cuba menerangkan kepada John bahawa dalam islam terdapat beberapa mazhab yang menjadi jalan ikutan kepada setiap muslim. Kesemuanya adalah benar samada Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Namun seseorang itu perlu mengikat dirinya 100% dengan salah satu mazhab, tidak boleh mengamalkan mazhab sesuka hati.

Namun, John menggambarkannya seperti mazhab dalam Kristian. 2 yang paling utama adalah khatolik dan protestan. Jika dia seorang khatolik maka mestilah 100% dengan mazhabnya. Dan tidak cukup seseorang itu menyatakan saya seorang kristian bahkan mestilah diikuti dengan saya seorang khatolik.

Samakah konsep mazhab antara 2 agama ini?

Situasi 3
Ahmad menyatakan pengamalan islam mestilah daripada fatwa dan hukum hakam yang dikeluarkan oleh majlis fatwa ataupun ulama.

Johan membayangkan dalam Kristian, penganutnya mestilah mematuhi undang-undang yang dikeluarkan oleh pihak gereja.

Samakah fatwa dan juga undang-undang yang dikeluarkan oleh ulama bagi kedua-dua agama ini?

Situasi 4
Ahmad meyakini bahawa manusia perlu bersyukur kerana dikurniakan nikmat oleh Tuhan, maka manusia perlu menjadikan hidup mereka ibadat semata-mata kepada Tuhan untuk membalas balik kurniaan tersebut.

John menggambarkan dalam Kristian manusia berhutang dosa kepada Tuhan atas apa yang dilakukan oleh nenek moyang mereka, Adam dan Hawa yang memakan buah larangan. Maka manusia perlu menghargai pengorbanan Jesus dan taat dalam agama kristian.

Adakah dalam kedua-dua agama, memperlihatkan manusia 'berhutang' kepada Tuhan?

Situasi 5
Ahmad menerangkan bukan semua upacara agama berasal daripada Muhammad s.a.w. Bahkan ada upacara yang baru muncul. Contohnya maulidul rasul,iaitu menyambut hari kelahiran baginda.

Johh melihatnya dalam bentuk yang sama dalam agama kristian. Bukan semua upacara keagamaan berasal daripada Jesus 100%. Bahkan hari krismas sempena kelahiran Juses bukanlah berasal daripada Juses sendiri.

Adakah sama situasi antara 2 agama ini?

Insyallah bersama saya dalam diskusi antara agama hari khamis ini di PUSKMA sempena kelas fatwa muasirah..

Friday, November 6, 2009

Tanpanya, Tiadalah Agama


Dalam kajian antara agama, perkara yang paling asas dalam menjadikan agama itu mampu bertahan adalah kewujudan kitab suci. Semua agama mempunyai kitab suci yang tersendiri. Inilah sumber ketuhanan dalam agama tersebut, ibadat, panduan hidup dan kehidupan selepas mati.

Jika ditinjau, kitab agama mempunyai beberapa ciri-ciri tertentu. Antaranya mempunyai bahasa yang agak sukar difahami. Ada yang sudah tidak dapat dibaca langsung seperti kitab Rig Veda agama Hindu. Dakwaan mereka kitab itu adalah bahasa tuhan yang tidak dapat difahami oleh manusia.

Kitab suci agama juga kebiasaannya dianggap sebagai bahan suci. Jika tidak dapat membacanya ataupun mengamalkan kandungannya, cukup sekadar menjadi bahan suci di rumah penganut untuk menjauhkan daripada unsur-unsur kuasa dan roh jahat.

Kitab suci juga mengandungi kisah-kisah manusia terdahulu agar menjadi pengajaran kepada manusia pada hari ini. Kisah pertembungan antara kuasa jahat dan baik, kisah pahlawan agama, kisah Tuhan dan juga kisah pengasas agama tersebut.

Dalam perdebatan antara agama, jika pendebat ingin membuktikan kepalsuan agama lawan, mereka mestilah membuktikan kepalsuan kitab agama tersebut terlebih dahulu. Jika berjaya, maka runtuhlah agama tersebut.

Inilah yang digunakan oelh Ahmad Deedat apabila berdebat dengan agamawan kristian. Dengan mendedahkan penyelewengan yang terdapat dalam bible, maka tiada apa lagi yang perlu dipertahankan oleh mereka.

Al-Quran dan Al-Hadith.
2 sumber utama islam ini cukup menakjubkan jika kita mengkajinya. Bahkan pemeliharaan 2 khazanah ini diakui oleh pengkaji barat.

Jika dibandingkan dengan agama lain, Al-Quran telah wujud penulis tetap yang dilantik oleh Rasulullah s.a.w. Walaupun tidak dikumpulkan pada zaman baginda, sekurang-kurangnya Al-Quran mempunyai kekuatan pemeliharaan daripada 2 sudut iaitu:-
1. Hafazan oleh sahabat
2. Penulisan oleh sahabat.

Kemudian dibukukan pada zaman Khalifah Abu Bakar dan diselaraskan pada zaman Khalifah Uthman. Ketika itu masih ramai lagi sahabat Rasulullah yang masih hidup sebagai saksi kepada semua ini. Hal ini berbeza dengan bible yang dikatakan ditulis 50 tahun selepas kematian Jesus oelh individu yang berbeza-beza.

Satu perkara yang menarik dalam Al-Quran selain daripada warisan antara generasi ke generasi cukup ramai, disiplin penulisannya sangat ketat. Hinggakan mempunyai bentuk tulisan yang tersendiri yang dikenali sebagai resam uthmani. Bentuk tulisan ini tidak boleh diubah.

Hal ini menjadikan Al-Quran yang ada pada zaman kini 100% sama pada zaman Rasulullah s.a.w.

Ada percubaan untuk memalsukan Al-Quran, namun semua itu menemui kegagalan dan pasti berlaku pendedahan ke atasnya. Betapa ajaibnya kitab ini.

Kemudian beralih kepada sumber yang kedua iaitu Al-hadith. Selain kitab suci yang diwahyukan, kata-kata, perbuatan nabi serta sifatnya cuba direkodkan. Walaupun penulisan dan pengumpulannya agak lambat, namun ahli agama ini meletakkan syarat yang begitu ketat untuk menjadikannya sebagai hadith.

Jika ada dikalangan mereka yang menyampaikan hadith tersebut dari kalangan yang tidak dipercayai terus ditolak.

Jika hafazan orang yang meriwayat itu diragui, terus ditolak.

Jika bertentangan dengan riwayat yang lebih dipercayai, juga ditolak.

Jika memasukkan sedikit kata-kata manusia lain ketika meriwayatkannya, juga ditolak.

Syarat yang cukup sukar agar 100% daripada hadith itu daripada Rasulullah s.a.w.

Kesimpulannya, agama islam membezakan 3 bentuk penulisan agar tidak bercampur antara satu sama lain:-
1. Al-Quran yang merupakan kitab suci yang diwahyukan.
2. Hadith yang merupakan segala yang disandarkan kepada Rasul s.a.w.
3. Kata-kata ulama dalam mentafsir, takwil dan syarah kepada 2 sumber di atas ini.

Begitu telitinya penulisan dan pemeliharaan dalam khazanah suci islam.

Jika ditinjau kitab agama lain, kitab talmud merupakan karangan pendeta Yahudi. Bagi Kristian pula, pendeta mereka dikurniakan wahyu dari Jesus untuk menulis kitab suci.


Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya ( Al-hijr: 9 )

Inilah yang membezakan ummat ini....

Tuesday, November 3, 2009

Menanggung Amanah Itu

Alhamdulillah, kelas subjek muamalat maliah dan maqasid berjaya saya sempurnakan silibus untuk peperiksaan pertama mereka. Baki masih tinggal kelas firaq. Saya juga memohon maaf kepada pelajar kelas fiqh ibadat 2 kerana tidak sempat mengadakan kelas terakhir sebelum peperiksaan anda.

Untuk semester ini saya diminta oleh biro akademik mengendalikan kelas:-
1. Firoq fi tarikh islami.
2. Maqasid Syariah.
3. Muamalat maliah muasirah.
4. Fiqh Ibadat 2 ( zakat, puasa dan haji )

Di samping itu juga, biro bimbingan rohani memberi ruang kepada saya untuk mengadakan kelas fatwa muasirah pada setiap hari khamis.

Hingga kini, sejak tahun 2 lagi saya menjadi tenaga pengajar bagi kelas tambahan biro akademik. Alhamdulillah, semakin hari penyampaian saya semakin baik disamping penguasaan saya terhadap ilmu tersebut.

Cuma tadi agak perlahan kerana kehadiran Nurul pelajar Indonesia menyebabkan saya berusaha mempelbagaikan penggunaan perkataan.

Apa pun, tiada kedengaran lagi mereka yang menyatakan saya bercakap terlalu laju dan terlalu loghat terengganu. Masing-masing nampaknya mudah dan tidak segan berinteraksi dengan saya ataupun sekurang-kurangnya menggelengkan kepala jika tidak faham.

Dalam kelas juga saya tidak suka terlalu menumpukan kepada peperiksaan. Kadang-kadang saya akan cuba menyoal mereka berkenaan ilmu-ilmu asas syariah. Ini sangat penting samada ilmu fiqh ataupun usuludin, pengajian tidak seharusnya berbentuk juzu', bahkan sepatutnya ilmu itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.


Nukilan Yang Amanah.

Selain itu juga saya mengambil peranan menyumbang dalam bidang ilmu di Mu'tah ini dengan menaqalkan kata-kata pensyarah syariah. Kalau dahulu sangat aktif menyumbangnya dalam bentuk bahan bercetak kepada persatuan, mungkin kini masa agak terhad.

Apapun setiap kali saya menterjemah ataupun menaqalkan kata-kata mereka pastinya saya akan menulis dihujungnya diterjemahkan dan dinaqalkan oleh Muhammad Shahrul Ifwat. Bukan untuk mencari nama, namun agar mahasiswa faham itu adalah kefahaman saya daripada pendengaran ataupun terjemahan saya daripada pensyarah, bukannya kata-kata pensyarah 100%.

Kerana saya menanggung amanah penyampaian ilmu itu.

Sejak dari tahun 2 hingga sekarang, saya masih mampu memahami kata-kata mereka dengan tepat dan menulisnya dengan baik hinggalah 2 hari lepas ust Mahadi menegur tentang tulisan ini

berkaitan dengan pengajian Dr Mohammad Hawa. Seperti kata ustaz Mahadi, sebenarnya ada juga dikalangan ulama Jordan hatta adik beliau sendiri kurang setuju dengan beliau terutama dalam masalah mendhaifkan hadith.

Yang sebenarnya kata ust mahadi adik Dr Mohammad Said Hawa, Sheikh Muaz menyatakan orang ramai yang tidak bersetuju dengan abang beliau bukannya beliau.

Ini saya tulis daripada kalam melayu bagaimana terjemahan saya daripada pensyarah yang berbahasa arab? Betapa lemahnya manusia ini.

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah" ( Al-Baqarah : 286 )

Saya juga menanggung risiko kelas bantuan akademik, apatah ada beberapa subjek bukan daripada pensyarah yang saya pernah lalui, masalah yang timbul kadang-kadang ada silibus yang saya tidak pernah belajar.

Kadang-kadang hati ini terdetik, benarkah apa yang aku ajar ini.

Namun, saya mengharapkan saya dikalangan orang yang berijtihad, yang menyumbang ilmu dalam keadaan saya belajar dan berusaha, bukannya memandai-mandai.

Apabila seseorang hakim itu ingin memutuskan sesuatu hukum, lalu dia berijtihad dan ( ijtihadnya ) betul maka baginya 2 pahala dan apabila dia ingin memutuskan hukum yang lain lalu dia berijtihad kemudian ( ijtihadnya ) salah baginya 1 pahala.
(Hadith Bukhari )

Hakim yang memutuskan perkara di kalangan umat manusia dengan landasan kebodohan maka dia juga di neraka.
(HR. Abu Dawud, At Tirmidzi, An Nasa’i, Ibnu Majah dan dishahihkan Al Hakim).

Kita pelajar syariah menanggung amanah ini. Pelajar Fiqh suatu hari nanti akan mengeluarkan hukum halal dan haram dan Halal haram itu membawa kepada dosa dan pahala. Yang bertanya dari kalangan awam tidak dipertanggungjawabkan, namun kita yang akan dipertanggungjawabkan kerana kita yang belajar.

Pelajar Usuludin pula, anda bakal menilai sesuatu hadith. Jika anda menyatakan itu adalah sahih sedangkan Rasulullah sendiri tidak mengucapkannya bukankah itu satu tanggungan yang sangat berat?

Ulama fiqh dan hadith meninggalkan satu khazanah turath yang sangat sempurna dalam menjaga agama ini. Ada dikalangan mereka yang menghabiskan masa hidup semata-mata kerana ilmu untuk mewariskan ini semua kepada kita, pelajar agama.

Namun, bagaimana gaya hidup kita kini. Rasa bertanggungjawabkah?